Tempoh 26 Tahun Membangun
Bersama Islam Mendasari Kejayaan
Negeri Kelantan
Oleh:
Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan
Pengenalan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Harakahdaily, 16 Nov. 2009) menyifatkan
kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut (ulasannya
ketika itu merujuk kepada tempoh 1990-1995, 1995-1999, 1999-2004 dan 2004-2008
- P) adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri
ini. Sementara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (November
2009), ADUN Paloh dari Barisan Nasional, Dato’ Nozula Mat Diah turut merakamkan
ucapan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar selama
sembilan belas tahun (semasa itu). Demikian pula, kajian ilmiah oleh dua
pensyarah Sekolah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Azizah Md. Yusof dan
Nariman Md. Saad (2001)[1]
mendapati dasar Membangun Bersama Islam turut membawa hubungan positif kepada
peningkatan hasil Kerajaan Negeri atas asas pentadbiran kewangan dan
pembangunan telah menunjukkan kemantapan dan kestabilan. Berikutnya, Timothy P. Daniels (2012)[2] dalam
kajiannya “Economics and ethics in
Kelantan” antara lainnya menyifatkan Kelantan mengalami
pembangunan berteraskan nilai-nilai Islamik kesan amalan dasar Membangun
Bersama Islam.
Demikian empat pengiktirafan ke atas kelebihan dasar Membangun Bersama
Islam yang dapat dirakamkan dalam perspektif menilai pelaksanaannya di bumi
Kelantan. Kini tempoh itu sudah melangkaui masa sambutan Jubli Perak pada 21
Oktober 2015 yang lalu dan sudah melangkah tahun ke-26 (1990-2016). Sudah tentu
pelaksanaannya menghasil lebih banyak lagi kesan kepada pembangunan sosial,
ekonomi dan politik Negeri Kelantan.
Ia dianggap selari dengan keunikan Kelantan sebagai negeri Serambi Mekah
yang rakyatnya didapati mendukung kukuh kehidupan beragama. Justeru dasar
Membangun Bersama Islam telah dipacu oleh misi saf kepimpinan ulama’ yang
begitu kental dan segar dengan keazaman (political
will) untuk memastikan asas Fiqhud-Maqasid berlaku dengan sewajarnya. Di sebalik misi itu tercapainya objektif bagi
merealisasikan prinsip mentadbir Negeri berteraskan siasah syarriyyah––iqamatiddin wa siasatuddunyabih––yang
membuktikan Islam sebagai panduan politik mentadbir dan memerintah serta
menjayakan kehendak dan hak rakyat. Oleh itu, kejayaan selama 26 tahun Negeri
Kelantan melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam yang diisikan dengan
pelbagai program melibatkan peranan agensi kerajaan dan semua rakyat adalah
selayaknya diiktiraf sebagai satu model pentadbiran Islam yang praktikal dan
kontemporari. Sebagaimana dicatatkan oleh Daniels (2012), “This
wide-ranging implantation of their pious Islamic ethical schema indicates that
religious humanist ethics is stimulating commercial development and a more
equitable distribution of resources.” Suatu amalan etika beragama berasaskan ketakwaaan dalam
memastikan pembangunan komersial dan pengagihan sumber yang lebih saksama. Ia
merupakan skema Islamik yang meyeluruh yang juga boleh dianggap sebagai suatu
model pilihan tepat dalam bidang politik pentadbiran ke arah mengukuhkan
keyakinan umat Islam mahupun bukan Islam terhadap sistem politik Islam
berteraskan siasah syariyyah.
Sehubungan itu, menelusuri latar belakang pelaksanaan dua dekad Membangun
Bersama Islam adalah suatu persoalan penting bagi mendapat gambaran jelas ke
arah memahami isi kandungan dan pendekatan pelaksanaannya di Negeri Kelantan.
Dasar Membangun Bersama Islam
Berpandukan sejarah lahirnya dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan
adalah bermula daripada kemenangan PAS di Kelantan dalam pilihan raya umum
1990. Kemenangan tersebut adalah atas prinsip kerjasama politik dengan Angkatan
Perpaduan Ummah (Angkatan). Namun, atas prinsip demokrasi PAS yang memenangi
majoriti kerusi iaitu 24 daripada 39 Dun berbanding parti-parti Angkatan
(Semangat 46 sebanyak 13 Dun dan Berjasa 1 serta Hamim 1 Dun), ia melayakkan
PAS menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri. Ekoran daripada itu, manifesto PAS Kelantan
yang disebut sebagai “Program PAS Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1990” yang
memakai tema “Membangun Bersama Islam” telah diterima dan disahkan oleh Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kelantan sebagai rujukan dalam membina
kerangka dasar bagi perancangan pembangunan Negeri Kelantan. Hasil keputusan
ahli MMK itu dirangka secara rasmi dasar Membangun Bersama Islam menjadi panduan
Kerajaan Negeri Kelantan semenjak 1990.
Mengambil dan melaksanakan keputusan mesyuarat tersebut, pihak Unit
Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) telah merumuskan kandungan manifesto itu
dalam bentuk kertas panduan dasar pentadbiran kerajaan dan perancangan
pembangunan negeri. Rumusan kepada kandungan manifesto itu telah diterbitkan
oleh pihak UPEN dalam Laporan Ekonomi Negeri Kelantan tahun 1990/91.
Menerusi laporan UPEN itu, pokok kepada dasar Membangun Bersama Islam ialah Islam
sebagai Ad-Din. Rujukannya adalah
al-Quran dan As-Sunnah, maka dasar itu bermaksud ‘maju ke depan dengan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam’
dengan berlandaskan sembilan prinsip:
(1) Kekuasan Perundangan Ilahi, (2) Keadilan Antara Manusia, (3)
Keadilan Antara Muslimim, (4) Kekuasaan
Adalah Amanah Allah, (5) Musyawarah, (6) Ketaatan Dalam Hal Kebaikan Dan
Kebajikan, (7) Tidak Menggunakan Kekuasaan Untuk Kepentingan, (8) Mempunyai
Tujuan Yang Jelas Terhadap Negeri/Negara, (9) Al Amru Bil Maaruf Wa Nahyu ‘Anil Mungkar.[3]
Edisi Laporan Ekonomi UPEN memetik manifesto PAS 1990 itu dari aspek dasar
Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada aspek pembangunan seimbang
yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan pembangunan Negeri. Di samping
menumpukan aspek pentadbiran dari segi prinsip Islam yang mengutamakan
penghormatan kepada kuasa dan tanggungjawab pegawai kerajaan.
Berikutanya, Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Pusat Kajian
Strategik yang kemudian menganjurkan seminar-seminar dan kursus-kursus memahami
dasar Membangun Bersama Islam. Di samping turut mengumpul dan mengulas
kandungan visi dan misi ucapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Nik Mat yang menyentuh persoalan dasar dan hala tuju pentadbiran dan
pembangunan berteraskan pendekatan Islam. Penemuan daripada seminar dan ucapan
menteri besar itu telah melengkapkan lagi rumusan oleh UPEN. Kemudian seminar memahami dasar Membangun
Bersama Islam telah diadakan tahun 1993.
Menyusuli keputusan seminar itu, semua ahli MMK telah membina dasar-dasar
khusus setiap portfolio di bawah pentadbirannya. Justeru itu terbitnya
dasar-dasar yang menyokong kepada pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam.
Antaranya ialah dasar kebudayaan, dasar pelancongan, dasar belia, dasar wanita
dan diperlengkapkan dengan pindaan beberapa enakmen seperti enakmen
kekeluargaan Islam, enakmen jenayah syariah II (1993) dan enakmen kawalan hiburan. Sementara pihak Setiausaha
Kerajaan Negeri turut mengeluarkan beberapa pekeliling pentadbiran untuk
dipatuhi oleh pegawai dan kakitangan awam negeri.
Berikutnya, Pusat Kajian Strategik telah menerbitkan kesemua dasar-dasar
dan enakmen serta pekeliling pentadbiran tersebut menerusi bukunya dasar
Membangun Bersama Islam pada tahun 2005. Bagi Pusat Kajian Strategik, hakikat dasar
Membangun Bersama Islam ialah merangkumi prinsip pentadbiran dan perancangan
berteraskan teras ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Sementara prinsip pembangunannya
adalah pembangunan yang seimbang bermula dengan pembangunan insan (kerohanian)
yang perlu selari dengan pembangunan material (fizikal). Memahami prinsip ini,
pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah menganjurkan
bengkel pentadbiran Islam berteraskan penerapan teras UMI dalam mencapai budaya
kerja cemerlang. Selanjutnya pihak PKINK telah menerbitkan kandungan bengkel
itu dalam bentuk buku (terbitan 2005). Sekarang ia telah diulang-cetak.
Ia diikuti pula dengan usaha penulisan secara komprehensif kertas dasar
induk Membangun Bersama Islam yang permulaan diusahakan oleh satu panel yang
dipengerusikan oleh ahli MMK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam
dan Dakwah Negeri Kelantan, Ustaz Hassan Mohamood (sekarang Dato’) pada tahun
2006. Kemudian menjelang sambutan dua dekad pelaksanaan dasar Membangun Bersama
Islam (Ogos 2010) pihak ahli MMK selaku Pengerusi Jawatankuasa pembangunan
Islam, Dakwah dan Pendidikan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah telah
menubuh satu panel untuk memantapkan kerangka yang pernah dibuat sebelumnya,
iaitu apa yang dilaksanakan oleh panel yang dipengerusikan oleh Ustaz Hassan
Mohamood sebelumnya.
Oleh itu, pemerkasaan malah penambahbaikan kepada kandungan dasar Membangun
Bersama Islam dilihat wajar memandangkan banyak pengalaman serta hasilnya
dicapai selepas dua dekad (1990-2010) menaungi
sebagai panduan dalam pentadbiran dan perancangan pembangunan Negeri
Kelantan.
Perkembangan selepas dua dekad pengamalan dasar di dalam pentadbiran
Kerajaan Negeri semakin rancak yang membuktikan Kelantan sebagai sebuah negeri
yang berkat, makmur dan berkebajikan. Ia menyaksikan lahir pula beberapa dasar
pelaksanaan yang membabitkan pembangunan keluarga, kesejahteraan dan kebajikan
selepas pilihan raya umum 2013.
Sebagaimana pada pilihan raya umum 2013, tumpuan tawaran pilihan raya
(disebut juga manifesto) bagi memenuhi dasar Membangun Bersama Islam adalah pembangunan
ke arah ‘keberkatan, kemakmuran dan kebajikan’ yang melimpah ruah dalam
kalangan rakyat. Ia boleh dianggap sebagai penegasan kepada rangkuman ‘Kelantan
sebuah negeri yang baik dan mendapat keampunan yang Maha Berkuasa’. Sehinggalah
pasca pilihan raya 2013, menyaksikan Ustaz Ahmad Yakob selaku Menteri Besar
telah mencetuskan daya usaha ke arah mematapkan lagi penghayatan dan pengamalan
dasar dengan tambahan temanya iaitu “Merakyatkan Membangun Bersama Islam”
sebagai bukti kesungguhan melaksanakan pentadbiran yang berpagarkan syariah.
Pada 2014, Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan
telah dilancarkan. Matlamat merakyatkan ialah ‘mendidik’ masyarakat agar
bersikap ‘mesra’ dengan dasar Membangun Bersama Islam, lantas ‘komited’ kepada
segala usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Menerusi matlamat
ini, tujuh mercu tanda dijadikan landasan bagi menjayakan tiga prinsip utama di
bawah Dasar Membangun Bersama Islam––Ubudiah, Mas’uliyah dan Itqan––teras
pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri Kelantan. Tujuh mercu tanda itu
ialah Amalan Kebersihan, Menyempurnakan Solat, Pembangunan Pendidikan, Menyuburkan
Kebudayaan dan Kesenian, Menangani Gejala Sosial, Menerajui Pembangunan Ekonomi
Islam dan Penyelidikan dan Penilaian. Sehubungan itu, tahap pengamalan sebenar
dalam kalangan rakyat merupakan ukuran nilai kejayaan program dan aktiviti
merakyatkan prinsip Ubudiah, Mas’uliyah dan Itiqan yang menjadi teras
pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri Kelantan.
Justeru model pentadbiran dan pengurusan dasar adalah bermula dengan
pengiktirafan dasar Membangun Bersama Islam dengan tiga prinsip yang menyokong,
Ubudiah, Mas’uliyah dan Itqan. Selama 23 tahun pelaksanaannya yang kemudian
menyaksikan usaha penerusan bermula 2014 apabila Ustaz Dato’ Menteri Besar
Kelantan mencetuskan pendekatan dasar-dasar pembangunan yang mesra rakyat. Oleh
kerana itu, ukuran kepada tahap pelaksanaan bukan hanya merujuk kepada
pengamalan tiga prinsip tersebut, malah ke arah menilai kesannya yang
berasaskan nilai-nilai keberkatan, kemakmuran dan kebajikan yang dinikmati
kalangan rakyat. Maka modelnya dapat digambarkan sepertimana rajah di bawah.
Menjelang dua dekad
Hakikatnya Kelantan terus membangun memenuhi harapan rakyat
menjelang dua dekad (tahun 2010) pelaksanaan
dasar Membangun Bersama Islam. Maka, selayaknya telah berlaku kesan
nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan
negeri–– falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran––sekaligus
menobatkan legasi Kepimpinan Ulama yang ulung menerajui eksekutif kerajaan
negeri. Kesinambungan legasi Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
oleh Ustaz Haji Ahmad Yakob merupakan taraf
Negeri Serambi Mekah sebagai pusat pengimarahan ajaran Islam di dalam setiap
cabang kehidupan. Tidak mungkin
ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama Menteri Besar Kelantan. Buktinya
kepimpinan Menteri Besar Kelantan sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat
dengan wajah kepimpinan ulama yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan
hari ini. Berkat taburan ilmu itu,
kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Malah
sesuai disebutkan Kelantan terus membangun dan ia telah memenuhi harapan rakyat.
[1] Sementara itu
dalam kertas kerjanya yang Azizah Md Yusof bersama-sama Nariman Mohd Saad
bertajuk “Dasar Membangun Bersama Islam dan pertumbuhan eknonomi Kelantan”
turut membuktikan program dan legislatif Islam yang dilaksanakan dalam
pentadbiran di Kelantan memberikan impak yang positif terhadap pembangunan dan
pertumbuhan ekonomi Kelantan.
[2] Dr. Timothy P.
Daniels merupakan Associate Professor of Anthropology, di Hofstra University, Hempstead,
New York, US. Beliau pernah berada di Kelantan selama tiga
bulan bagi menyiapkan kajiannya dan hasil kajian beliau bertajuk “Economics
and ethics in Kelantan, Malaysia” disiarkan oleh Hofstra HORIZONS, Spring 2012,
pp. 22-27.
[3]
Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (1996). Konsep Membangun Bersama Islam dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Kertaskerja yang dibentangkan di Majlis Perhimpunan Unit Dakwah Halaqah dan
Penghulu Peringkat Negeri Kelantan pada 24 April 1996 di Kota Darulnaim,
Kelantan.
No comments:
Post a Comment