Perkembangan Pasca
2010 - Merakyat Membangun Bersama Islam
Di dalam satu majlis
ucaptama Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob yang bertemakan
“Kelantan Mendepani Cabaran” (Sempena Sambutan
Jubli Perak Membangun Bersama Islam Tahun 2015 Pada 1 Februari 2015) adalah diungkapkan
maksud Surah Al-Araf ayat 96, “Dan negeri yang baik, maka
tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik
maka tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan lambat serta layu.
Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda kekuasaan Kami dengan pelbagai cara
bagi orang-orang yang bersyukur.” Ia merupakan suatu pengharapan pemimpin dan rakyat Negeri Kelantan pada
hari ini mencapai Baladutthoyib sesudah 25 tahun dasar Membangun Bersama
Islam dilalaksanakan. Kini dasar itu terus dipasakkan lagi agar sebati dengan
rakyat Kelantan, iaitu melalui fasa “Merakyat Membangun Bersama Islam”
dengan tiga tonggak asasnya iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Ini
pasti dijadikan pegangan dan agenda keutamaan kerajaan negeri dalam semua
program-program yang sedang dan bakal dilaksanakan. Lantas suatu doa
diungkapkan oleh Menteri Besar: “Kita sentiasa mendoakan agar Kelantan tidak terhijab daripada Barakaatul
Ardh iaitu segala nikmat kemudahan prasarana, infrastruktur dan makanan.”
Ke arah mencapai harapan tersebut, komitmen Kepimpinan Ulama fasa
Merakyat Membangun Bersama Islam ialah untuk terus melakukan penambahbaikan dengan merangka seterusnya
melancarkan Wawasan “Kelantan Melangkah Kehadapan: Keberkatan Kemakmuran Kebajikan”
dengan menggariskan tiga tonggak utama ini (Tonggak 3K) dan sepuluh strategi
bagi mencapai wawasan tersebut. Ia adalah dokumen strategik yang memerlukan penggemblengan
Jabatan dan Agensi Kerajaan bagi mencapai Wawasan tersebut.
Bukti penghayatan dan pencapaian mengikut
wawasan atau gagasan ini, contohnya telah berlaku di Perbadanan Iktisad Negeri
Kelantan (PKINK) salah satu GLC ulung Kerajaan Negeri Kelantan. Antaranya ialah dengan mengamalkan dasar pentadbiran MBI dalam mempertingkatkan
prestasi program dan aktiviti Kumpulan PKINK. Justeru berlakunya prinsip
Islamik seperti Ar – Rahn, ditubuhkan melalui anak syarikat PKINK, Permodalan
Kelantan Berhad (PKB). Ar- Rahn diwujudkan sebagai sebuah syarikat atau
institusi gadaian Islam terawal di Malaysia dalam memenuhi tuntutan syariah.
Ar-Rahn bermatlamat untuk memberi peluang bermuamalah berlandaskan syariat
kepada umat Islam yang mementingkan aspek halal di dalam urusniaga. Diikuti
dengan Perhotelan Islamik, mengamalkan cara patuh Syariah, sesuai untuk semua
lapisan masyarakat terutama umat Islam, dengan kemudahan dari bilik-bilik yang
selesa, restoran halal, sehingga tarikh mesyuarat dan kemudahan bankuet untuk
menyediakan kemudahan surau dengan imam sepenuh masa yang memimpin pelaksanaan
solat. Menggerakkan keperluan rakyat menerusi projek Rumah Mampu Milik Kelantan
(RMMK). Maka Binaraya PKINK Sdn Bhd diberi tanggungjawab menguruskan RMMK bagi
membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri sesuai dengan
slogan “Satu Keluarga Satu Rumah”. Pembangunan projek ini adalah berkonsepkan
Islam di mana semua unit kediaman mempunyai 3 bilik tidur, 2 bilik air dan
berorientasikan ke arah kiblat. Namun yang paling penting ialah melaksanakan
Prinsip Pentadbiran adalah 'Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (UMI), iaitu menjalankan
pentadbiran sebagai satu ibadah bagi mencapai keredaan Allah SWT. Selain itu,
banyak lagi perlaksanaan sistem ekonomi Islam diterapkan dalam pengurusan PKINK
sesuai dengan motto ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, malah perlaksanaan sama
turut diamalkan oleh agensi-agensi kerajaan negeri yang lain.
Ini sebahagian contoh betapa pengamalan tadbir urus
Islamik berlaku di peringkat GLC yang turut menyuburkan semangat Ustaz Dato’
Menteri Besar sekarang untuk meneruskan legasi menteri besar sebelum ini,
Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sehubungan itu, Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob telah
terus melangkah ke hadapan dengan mengambil tindakan dan pembaharuan sejak awal
menjadi Menteri Besar Kelantan. Ia bertujuan untuk memperkasakan lagi
pentadbiran dan pembangunan Negeri Kelantan berpandukan Strategi Merakyat Membangun Bersama Islam.
Oleh kerana itu, sehingga kini didapati langkah tersebut
adalah melibatkan penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) yang
dianggotai oleh sembilan orang pakar ekonomi, ilmuwan dan ahli teknokrat.
Jawatankuasa ini berperanan untuk mencadang dan menasihati Kerajaan Kelantan
khususnya dalam aspek pembangunan negeri. Ia merupakan satu pendekatan baru
yang dikira lebih produktif. Diikuti dengan pewujudan Unit Sistem Pelaksanaan dan
Pemantauan Strategik Negeri Kelantan (SPARK) yang diterajui oleh Menteri Besar
sendiri. Tujuan unit ini ialah untuk memantau pelaksanaan pelan strategik dan
pencapaian menurut KPI setiap potfolio Exco Kerajaan Kelantan. Seterusnya menubuhkan
Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dengan visi untuk menjadi sebuah institusi
yang mengembangkan dasar Membangun Bersama Islam berasaskan Kepimpinan Ulama. Langkah
ini sesuai dengan pendekatan baru ke arah melarbkan lagi penghayatan dan
pengamalan dasar-dasar Kerajaan Negeri strategi menerusi Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI). Menerusi pendekatan ini diwujudkan tiga tonggak utama
iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan dengan misi penerapan Strategi MMBI
secara bersama antara pemimpin dan rakyat bagi membangunkan Kelantan sejahtera
dan diredai Allah.
Berikutnya dilaksanakan penambahbaikan dalam PAC (Public
Account Committee) dan meminta PAC Kelantan melaksanakan fungsi hisbah dengan
pendekatan yang tegas dan berkesan. Ia adalah suatu pendekatan baharu ke arah
memantapkan lagi peranan yang telah dimainkan oleh jawatankuasa PAC selama ini
di negeri Kelantan Darul Naim di bawah seliaan ulama’ dan umara’.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar
sekarang turut meraikan keterlibatan bersama anak-anak Kelantan diperantauan
menerusi pembentukan portfolio Hubungan Seranta. Portfolio ini diletakkan di bawah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan
Seranta bagi membolehkan penyaluran maklumat Kerajaan Negeri dipercepatkan
menerusi pusat-pusat aktiviti anak-anak Kelantan di luar negeri. Bagi
mengukuhkan matlamat ini, suatu peruntukan khas secara tahunan disediakan di
dalam bajet negeri terutama bagi menjalin silaturahim anytara pemimpin dan
rakyat yang bertugas atau merantau di luar negeri.
Demikian pula, bagi memenuhi amanah dan mandat rakyat
Kelantan yang inginkan di negeri ini terlaksananya perundangan Syariah, maka
bajet tahunan sebanyak RM 1 juta disediakan bermula daripada Bajet 2014 dan
seterusnya. Ia penting sebagai komitmen Menteri Besar bagi menggerakkan secara
aktif usaha ke arah persediaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di
Kelantan mulai tahun 2015 lalu. Hal ini telah ditegaskan oleh Ustaz Dato’ Menteri
Besar ketika melancarkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah
JHEIK dan komitmen Kerajaan Pusat yang seiring dalam menggerakkan jawatankuasa
teknikal yang sama di peringkat JAKIM.
Seterusnya satu peraturan baru turut diperkenalkan yang mewajibkan
Pegawai Tadbir Negeri Gred 41 menyertai Program Diploma Tasawwur Islam di KIAS
sebagai usaha bagi melahirkan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kelantan yang
tidak hanya cekap dalam pekerjaan semata-mata, bahkan mempunyai ilmu keagamaan
yang tinggi.
Kemudian tidak dilupakan adalah usaha ke arah
melengkapkan Negeri Kelantan sebagai hub pendidikan Islam ialah menubuhkan
sekolah baru berkonsepkan asrama penuh yang dibina di Pengkalan Chepa dan
perletakan batu asas telah disempurnakan pada 6 Februari 2014 yang lalu.
Sekolah ini diberi nama ‘Maahad Sains Tok Guru’ bagi menggemilangkan ketokohan
arwah Tok Guru sebagai bapa pendidikan Islam negeri Kelantan.
Hal ini dilengkapkan lagi dengan memperuntukkan sejumlah
bajet bagi program Kerusi Tok Kenali dalam usaha membiayai pelajar yang
terpilih untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang yang
sesuai dengan matlamat Kerajaan Negeri. Ini adalah satu usaha kerajaan negeri
bagi mewujudkan pelapis masa hadapan yang berpotensi.
Selain itu, penubuhan Institut Latihan Perguruan Kelantan
(ILPK) yang bertujuan untuk memantapkan lagi perjalanan prestasi pendidikan di
Kelantan. Semenjak ditubuhkan, ILPK telah berjaya mengendalikan kursus
peningkatan profesionalisma guru untuk 180 orang guru Yayasan Islam Kelantan
pada awal Disember 2014 dan turut mengendalikan bengkel kepimpinan Pengetua
pada Mei 2015 lalu. Selain itu, ILPK telah menyediakan modul kursus yg meliputi
pengurusan sekolah, pedagogi, Al-Quran dan subjek-subjek teras dan pilihan bagi
SPM, SMU, STAM serta UPSR.
Di samping itu, usahasama pendidikan di peringkat
antarabangsa turut dibuat menerusi perjanjian persefahaman pengajian di Turki
dalam bidang perubatan dan juga pengajian Islam, diikuti dengan pihak institusi
pendidikan daripada Qatar, Dubai, Kuwait dan Maghribi. Misinya adalah untuk
menempatkan pelajar-pelajar Kelantan menyambung pengajian dalam dalam pelbagai
bidang yang dimaksudkan.
Sementara dalam bidang penghayatan nilai-nilai ibadat
pula, turut dilaksanakan programkan ‘Hari Mabit’ sempena musim Ibadat Haji yang
melibatkan mabit di Muzdalifah di Tanah Suci Mekah. Ia merupakan penghayatan
‘ibrah (pengajaran) dari mabit yang berlaku dalam sejarah hidup Rasulullah SAW.
Bagi Ustaz Dato’ Menteri Besar agar seluruh pemimpin dunia Islam yang
mengerjakan haji mengambil inisiatif agar berkumpul bagi membincangkan isu semasa
umat Islam dan menemukan ketetapan untuk menyelesaikan segala isu yang
berbangkit di peringkat global, seperti isu hak umat Palestine dan umat Islam
minoriti di negara bukan Islam.
Seterusnya Kerajaan Negeri sentiasa mempastikan agenda pembangunan
sosioekonomi negeri terus berjalan rancak dan memuaskan. Sehubungan itu, Ustaz
Dato’ Menteri Besar telah bersetuju dengan projek menarik pelaburan dari dalam
dan luar negeri dapat dijayakan. Oleh itu, tumpuan bagi menarik lebih ramai
pelabur dari Asia Barat dan Asia Timur diutamakan. Tumpuan diberikan kepada
pelaburan dalam bidang halal hub dan industri berasaskan mineral terutamanya limestone yang belum diusahakan secara
industri. Penerokaan telah dibuat dengan mengadakan MoU dengan kumpulan pelabur
dari Wilayah Linxia China yang kini sedang diteruskan. Ia turut menjayakan MoU
berkonsepkan kerjasama atas dasar kesaksamaan dan faedah bersama dalam bidang
industri, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan. Persetujuan juga telah dibuat
dalam industri halal dan pensijilan dari segi makanan, ubat-ubatan, pakaian,
produk biologi dan penternakan. MoU telahpun diperluaskan dengan melibatkan
juga kumpulan usahawan Shanghai Al-Amin Biotech dan Golden Triangle Worldwide
Sdn Bhd bagi membina kilang pengeluaran gelatin halal di Negeri Kelantan untuk
pasaran tempatan juga luar negara.
Demikian juga, usaha menaiktaraf kehidupan rakyat di luar
bandar melalui perancangan bandar-bandar baru diteruskan lagi. Ia penting sebagai
katalis pembangunan dan ekonomi di koridor Negeri Kelantan. Selain yang telah
menunjukkan kejayaan seperti Bandar Baru Tunjung dan Lemah Sireh yang sedang
dimajukan ialah Pasir Tumboh dan Bandar Utama Gua Musang, di samping Bandar
Baru Sungai Terah dan Dabong. Pembangunan bandar baru ini merupakan suatu nilai
kerjasama dalam membangunkan negeri berkonsepkan kerajaan dan swasta. Ia turut
menyumbangkan kepada pertambahan peluang pekerjaan, pembinaan rumah kediaman
dan peningkatan taraf sosioekonomi negeri.
Apa yang menjadi keutamaan Strategi Merakyat Membangun
Bersama Islam sekarang adalah ke arah mensejahterakan rakyat dengan nilai-nilai
keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. Oleh kerana itu, usaha-usaha pembangunan
yang memberi impak untuk kemajuan rakyat sering diutamakan. Di antara usaha
terbaru pelaksanaan pembangunan yang dibuat antaranya lagi ialah membangunkan projek perintis yang dikenali
sebagai Nucleus Green Valley atau 'Lembah Hijau Nukleus' sebagai projek contoh oleh
Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad. Projek ini telah diiktiraf oleh Jabatan
Alam Sekitar sebagai projek tanaman tanah tinggi yang mesra alam dan menjadi
penanda aras pertanian kepada Tanah Tinggi Lojing. Ini adalah antara usaha
dalam membangunkan sektor pertanian serta mengoptimumkan hasil kerajaan negeri
di samping dapat eningkatkan pengeluaran makanan penduduk dalam negeri.
Berikutnya, kepentingan pusat pengajian pondok tetap menjadi keutamaan
Kerajaan Negeri sekarang. Di antaranya berusaha menaikkan taraf Pusat Pengajian
Pondok Moden YIK di Kandis sebagai tumpuan bagi mengikuti pengajian Islam.
Malah usaha sedang dijalankan bagi memperkenalkan pusat pengajian pondok
sebagai destinasi pelancongan Islam. Justeru usaha pembangunan pondok telah
diselaraskan agar sesuai menjadi tarikan pelancong untuk mengikuti ilmu
bertalaqi atau datang dan tinggal bertalaqi di pondok-pondok seluruh
Kelantan.
Memberi kebebasan kepada aktiviti-aktiviti agama lain, menjaga kepentingan
dan hak kaum-kaum lain agar tidak terabai
memandangkan mereka juga adalah rakyat Kelantan. Sebelum ini, Kerajaan
negeri telah memberi kebenaran kepada 24 buah Wat Siam di Kelantan yang dalam
proses diwartakan untuk diletakkan di bawah Majlis Sangkha Negeri Kelantan.
Selain daripada itu, rumah ibadat orang Cina turut diberi perhatian.
Paling utama lagi ialah perkembangan mutakhir
sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan nilai-nilai
kemakmuran dan berkebajikan kepada rakyat. Ia dibuktikan menerusi usaha penambahbaikan
perkhidmatan bekalan air bersih kepada rakyat. Atas tujuan ini Kerajaan Negeri
bersama-sama Kerajaan Pusat telah mengadakan Perjanjian Penstrukturan Semula
Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan pada bulan September 2016 yang
lalu. Syarikat Kerajaan Negeri, Air Kelantan Sd. Bhd telah diberi tanggungjawab
bagi bagi membangun industri air demi memastikan bekalan air yang cukup dan
bersih di seluruh Kelantan. Ia suatu tindakan bijak dan terbuka kepimpinan
Ustaz Dato’ Menteri Besar sekarang yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Akhirnya yang terkini, semasa Amanat YAB Ustaz Dato' Menteri Besar bersempena Sambutan 26 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan pada 20 Oktober 2016 kepada Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negri Kelantan adalah disebutkan keperihatinan Kerajaan Negeri Kelantan mengenai keharmonian hubungan antara kaum. Justeru Menteri Besar telah mengumumkan penubuhan Pusat Integrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan yang menumpukan sasaran kepada mengerat hubungan antara semua kaum di negeri ini. Ini suatu lagi perkembangan positif pelan merakyat aspek Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan secara lebih melebar.
Semoga sambutan ke-26 pentadbiran Membangun
Bersama Islam Negeri Kelantan tahun ini memberi makna besar kepada pemimpin dan
rakyat negeri ini. Harapan yang tinggi, ia bakal mencetuskan nilai sokongan
lebih meyakinkan kalangan rakyat menjelang setahun lagi akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14.
No comments:
Post a Comment