Oleh: Dr Wan Nik
Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan
Pada 5 Mei 2015 lalu telah genap Ustaz Ahmad Yakob
selaku Menteri Besar yang menerajui Kepimpinan Ulamak Negeri Kelantan. Ia suatu
rekod yang sedang tercipta nilai-nilai kebaikan ke arah menghadapi tiga tahun
ke hadapan dan bakal menyambut Jubli Perak (genap 25 tahun) pentadbiran
Membangun Bersama Islam yang diasaskan oleh Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Justeru mengimbau tempoh dua tahun Ustaz Ahmad melaksanakan
amanah dan tanggungjawab Menteri Besar, maka telah berlakunya beberapa program
dan pembaharuan pentadbiran. Antaranya penubuhan Institut Pemikiran Tok Guru
Dato’ Bentara Setia (2013), penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Kelantan
(2014), pelaksanaan Sistem Pemantauan Pelaksanaan Projek Kerajaan Negeri
Kelantan-SPARK (2013), pembentukan Unit Hubungan Seranta Negeri Kelantan
(2014), pelaksanaan Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam (2014),
penyusunan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan
(2015), meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (2015) dan
pengutuhan Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan (2015) serta berusaha
meneruskan agenda tertangguh seperti tuntutan royalti minyak di mahkamah,
memulakan pembinaan Lebih Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dan mengurus
pembinaan Kompleks Sukan (Stadium) Bukit Merbau. Kesemuanya adalah tanda
komitmen dan keupayaan Ustaz Ahmad penerus legasi Tok Guru ke arah
memperkasakan pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan menurut dasar Membangun
Bersama Islam di Kelantan.
Demikian lagi, kepimpinan Ustaz Ahmad telah berjaya
melancarkan Akaun Amanah Tabung Pendidikan Kelantan (Julai 2014) dan mendapat
sumbangan awam bertujuan meningkatkan pembiayaan pendidikan melalui Yayasan
Islam Kelantan dan sebagainya. Begitu pula sejak Februari 2011 program ceramah
UMI (Ubudiah, Mas’uliyah, Itqan) telah dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam dan
Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan untuk anggota perkhidmatan awam, namum ia
dipertingkatkan lagi (menjadi syarat wajib) kepada Pegawai Tadbir Negeri
mengikutinya dalam bentuk modul latihan UMI (2015).
Kepimpinan mendepani
ujian
Meskipun begitu, kepimpinan Ustaz Ahmad turut
berdepan dengan ujian getir (ketentuan Allah SWT) pada penghujung tahun 2015
melalui satu banjir besar yang membabitkan hampir semua jajahan terutamanya
Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai. Banjir yang disifat terbesar dalam tempoh 30
tahun ini turut membabitkan lebih 1,800 buah rumah hilang, lebih tiga ribu kerosak kediaman dan turut
mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM3 billion. Atas ujian getir ini,
Ustaz Ahmad telah mengajak semua lapisan rakyat dan pertubuhan serta badan
korporat untuk berkongsi bakti dan sumbangan ke arah meringan beban penduduk
yang terlibat banjir. Malah satu inisiatif berkebajikan dibuat menerusi
penubuhan Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan (Disember 2014) dan berjaya
mengadakan pelancarannya pada 14 Januari 2015, sekaligus berjaya mengumpul sumbangan
daripada pelbagai pihak sebanyak RM8.1 juta. Apapun sumbangan secara berterusan
diterima dari pelbagai pihak, khususnya dari badan korporat dan NGO selepas
pelancaran tersebut.
Kemudian Ustaz Ahmad turut diuji lagi dengan
pemergian buat selama-lamanya idola Kepimpinan Ulamak dan tokoh Murabbi Ummah,
Tok Guru Nik Abdul Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan pada 12 Februari 2015.
Satu takdir yang menguji rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT untuk
memastikan legasi Tok Guru diteruskan dengan sepenuh kesungguhan kuasa
pentadbiran dan tenaga empat kerat yang dimiliki. Ekoran daripada itu,
pentadbiran Ustaz Ahmad terpaksa berdepan dengan satu pilihan raya kecil di Dun
Chempaka pada 22 Mac 2015. Keputusannya calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood yang
menggantikan tempat Tok Guru telah berjaya meraih kemenangan besar. Ini sedikit
sebanyak meredakan mood kekalahan satu pilihan raya kecil yang sebelumnya,
iaitu di Dun Pengkalan Kubor pada 25
September 2014 ekoran kematian Adun Barisan Nasional, Datuk Noor Zahidi Omar
(25 Ogos 2014).
Demikianlah ujian di antara pelbagai lagi ujian
telah dihadapi oleh Ustaz Ahmad sepanjang perjalanan usaha ke arah meneruskan
khidmat dan kepimpinannya. Ia dilihat cukup cekal dan tabah dalam mendepaninya.
Meskipun ia juga turut dirasai oleh jemaah (parti), rakan sepasukan (kerajaan)
dan masyarakat amnya (rakyat). Malah belum terkira nilai-nilai ujian yang
bersifat personal seperti kedudukan jawatan di dalam parti yang semakin
terbeban dengan amanahnya. Sebelum ini Ustaz Ahmad adalah Timbalan Ketua Ulamak
PAS Pusat, kemudian Pemangku Ketua Ulamak (selepas pemergian ketuanya Tuan Guru
Harun Taib), dan kini selaku Timbalan Al-Mursyidul Am PAS (selepas pemergian
Tok Guru Nik Abdul Aziz). Kesemuanya adalah ujian di sebalik amanah dan
tanggungjawab yang belum terkira bebanan tertanggung melibatkan pengundi dan
masyarakat di Dun dan Kawasannya serta hal-hal kekeluargaan. Apa yang pasti,
kesemuanya adalah ujian Allah SWT yang bakal menambah nilai-nilai ketakwaan
sepanjang jalan perjuangan di jalan-Nya.
Petunjuk penerimaan
rakyat
Walau apapun liku-liku ujian yang dihadapi sepanjang
dua tahun kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Ahmad sentiasa mendapat sokongan
rakyat. Justeru ia diyakini rakyat pasti meletakkan hasrat dan harapan agar
Kepimpinan Ulamak terus diperkasa dan dipersegarkan di Negeri Kelantan
Hasil kajian oleh Pusat Kajian Strategik Negeri
Kelantan pada 1 Mac hingga 5 Mac 2015
melibatkan kira-kira 3% atau 645 orang responden daripada 21,364 pengundi
berdaftar di Dun Chempaka adalah antara yang membayangi hasrat dan harapan itu.
Walaupun tujuan kajian tersebut ialah bagi meninjau sikap politik masyarakat bersempena
menghadapi pilihan raya kecil Chempaka (22 Mac 2015), namun ia turut meneliti
pandangan rakyat terhadap pimpinan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.
Kajian dijalankan secara soal selidik melibat taburan pengundi selaku
responden di semua sepuluh Daerah Mengundi
Dun Chempaka telah dilakukan oleh pembantu penyelidik yang bertemu secara bersemuka
(face to
face) bagi mendapat maklum
balas berhubung isu yang dikaji.
Sehubungan itu, kajian tersebut mendapati: Pertama, 94.3% bersetuju agar Dasar Membangun Bersama Islam yang dimulakan oleh Tok
Guru perlu diteruskan oleh Ustaz Ahmad. Keduanya, 91.9% bersetuju bahawa
kepimpinan Menteri Besar sekarang merupakan kesinambungan kepada Kepimpinan
Ulamak yang diasaskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz. Ketiganya pula, 89.9%
bersetuju sungguhpun PAS telah lama
mentadbir Kelantan (hampir 25 tahun), secara umumnya dilihat telah berjaya.
Menurut kajian itu lagi, nilai kejayaan PAS itu
dilihat berasaskan petunjuk iaitu, 87.3% bersetuju bahawa kejayaan itu
dicerminkan dengan tidak adanya (hukuman di mahkamah - P) kes rasuah dan
penyalahgunaan kuasa. Hal ini dikaitkan pula dengan dasar pentadbiran yang
diaplikasikan oleh Kerajaan Negeri selama ini. Justeru didapati 94.7% bersetuju
bahawa kejayaan PAS mentadbir Kelantan adalah kerana menjadikan Islam sebagai
dasar pentadbirannya.
Ustaz Ahmad penyambung amanah
Berdasarkan hasil kajian tersebut, dapat dirumuskan bahawa kepimpinan
seumpama Almarhum Tok Guru
Nik Abdul Aziz amat diinginkan oleh
pelbagai lapisan masyarakat Kelantan, malah di Malaysia amnya.
Ia ada hubungkait dengan kejayaan sepanjang Tok Guru mentadbir Kelantan berasaskan
Dasar Membangun Bersama Islam.
Demikan pula, kajian tersebut turut memberikan petunjuk bahawa kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Ahmad Yakob sekarang, selaku pengganti
dilihat mendapat kepercayaan majoriti rakyat dan menyifatkan sebagai penerus kesinambungan
Kepimpinan Ulamak yang dimulakan oleh Tok Guru demi
melangsungkan lagi pentadbiran Negeri Kelantan.
Oleh sebab itu, secara umumnya kejayaan
PAS mentadbir Kelantan yang kini di ambang
sambutan Jubli Perak dan kini memasuki dua tahun di bawah teraju kepimpinan
Ustaz Ahmad, ternyata telah dan sedang mencipta rekod terbaik di dalam memenuhi
hasrat dan harapan rakyat. Segala-galanya adalah kerana prinsip Islam terus
dipersegarkan sebagai teras kepimpinan dan pentadbiran di Kelantan.
No comments:
Post a Comment