CETUSAN
Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang semasa
penggulungan Muktamar PAS ke-59 (pada 24 November) yang lalu berhubung
muzakarah dengan Umno atas isu-isu Islam dan Melayu mendapat perhatian.
Kandungan maksud cetusan Presiden PAS itu bukanlah ke arah
permuafakatan politik atau untuk membina jambatan PAS-Umno. Meskipun
begitu, tajuk muzakarah tetap menghangatkan perbahasan dalam media
sosial dan arus perdana. Malah turut menggemakan nada perbahasan
Perhimpunan Umno ke-67 yang lalu.
Sebelum itu (sehari selepas cetusan Presiden PAS), pihak media ada
melaporkan respons positif Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak
yang bersedia dan menyambut baik. Sikap pertama beliau adalah bersetuju
menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob
ke pejabatnya di Putrajaya pada Khamis (28 November) lalu.
Walaupun hakikatnya, permohonan berkunjung itu telah dibuat melalui
surat rasmi kira-kira dua bulan sebelumnya. Apa yang pasti, kunjungan
itu telah menjadi realiti dan hasilnya agak positif. Mungkin ada hubung
kait dengan cetusan muzakarah pihak Presiden PAS.
Kunjungan untuk kemajuan
Kunjungan tersebut dijelaskan oleh Ustaz Ahmad adalah (berbincang
hal-hal) berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh
kerajaan Pusat kepada Negeri. Contohnya berkaitan infrastruktur dan juga
hal-hal lain untuk kebajikan rakyat. Hal-hal ini kemudian dijelaskan
oleh ahli exco kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Fadzli yang turut
mengiringi Menteri Besar.
Menurutnya, pertemuan itu turut menyentuh hasrat dan cadangan atau
rancangan berkaitan pelaksanaan Islam, pembinaan lebuh raya,
meningkatkan bekalan air bersih, royalti, pembangunan infrastruktur yang
diperlukan untuk negeri Kelantan seperti lapangan terbang, pelabuhan
dan sebagainya. Kesemuanya adalah untuk kemajuan dan manfaat serta
kebajikan rakyat Kelantan.
Apa yang utama maksud pertemuan itu sebagai memenuhi tanggungjawab
betapa perlunya amalan Persekutuan diperkukuhkan menerusi hubungan
antara kerajaan Negeri dengan kerajaan Pusat (baca hubungan G to G). Ini
kerana hubungan dua kerajaan (Pusat dengan Negeri) tidak boleh tidak,
perlu diurus oleh ketua kerajaan di peringkat Negeri dan Pusat.
Hal ini adalah suatu yang pasti bagi melaksanakan tuntutan
Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam maksud merealisasi
jadual bersama atau Jadual Kesembilan.Terutamanya realiti Kelantan, ada
hak kerajaan Negeri yang tidak dilayan selunaknya, malah dilihat
bersifat diskriminasi. Contohnya bantuan bekalan air bersih telah menjadi isu diskriminatif
apabila bantuan RM600 juta hakikatnya dikenakan syarat pinjaman berkadar
bunga 4 peratus dan bukan berstatus geran. Di samping pengurusan
kontrak projek bekalan air pula diuruskan langsung oleh kerajaan Pusat,
sementara kerajaan Negeri tiada hak memutuskan penender projek.
Maka kunjungan Menteri Besar Kelantan itu secara tersiratnya adalah
susulan daripada persetujuan sebelum ini yang telah dirintis oleh Tuan
Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar
Kelantan dengan kerajaan Pusat (ketika bertemu Tun Dr. Mahathir selaku
Perdana Menteri). Justeru Ustaz Ahmad adalah untuk menarik perhatian
Mohd Najib atas pinjaman bersifat berat di sisi kerajaan Negeri.
Isu bersama
Dalam konteks tersebut, kunjungan Ustaz Ahmad kepada Mohd Najib
bukanlah bermaksud mencetus kerjasama kepartian. Sebaliknya ia suatu
gerak kerja diplomasi dalam isu dan urusan melibatkan kepentingan
bersama antara kerajaan Negeri dengan Pusat dalam mentadbir agenda
pembangunan negeri.
Jika tujuan kunjungan itu atas kepentingan isu bersama (pembangunan
negeri), mungkin ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada isi
muzakarah yang dicetuskan Presiden PAS. Sementara banyak lagi isi
muzakarah yang perlu diambil langkah secara lebih praktikal oleh
kepimpinan tertinggi PAS dalam menterjemahkan isu muzakarah yang
dimaksudkan (atas tapak Islam dan Melayu).
Isi muzakarah itu seharusnya diperincikan oleh kepimpinan tertinggi
PAS dalam masa terdekat demi membimbing Ustaz Ahmad meneruskan kerjasama
Negeri-Pusat di dalam banyak perkara lagi melibatkan kepentingan ‘G to
G.’
Survival kerajaan
Di sebalik isu-isu kerjasama yang telah dinyatakan semasa kunjungan
Menteri Besar Kelantan itu, ada lagi isu-isu tertangguh yang seharusnya
dikongsi sama dengan kepimpinan PAS Pusat untuk dibangkitkan dalam
muzakarah PAS-Umno. Ia dianggap penting bagi memastikan survival politik
(baca sokongan rakyat) terhadap PAS kekal di hati warga negeri
Kelantan.
Antara isu tertangguh ialah pembangunan tebing Sungai Golok untuk
mengatasi limpahan air (menyebabkan banjir), pembinaan pelabuhan dan
lapangan terbang bertaraf antarabangsa, pendaratan hasil minyak dan gas
di daratan Kelantan, peruntukan pembangunan rumah mampu milik dan
kerjasama erat dengan bahagian Perumahan Negara, penyelesaian isu
tuntutan royalti minyak dan gas.
Sementara isu yang paling penting adalah pendekatan bersama dalam
pembiayaan peruntukan pembangunan sebagaimana termaktub bajetnya di
dalam buku rancangan Malaysia. Mungkin sesuai dijadikan isu muzakarah
juga ialah pemulihan kuasa Majlis Keselamatan Negeri Kelantan kepada
Menteri Besar dan penutupan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri
Kelantan dengan mengembalikan kuasa pelaksanaan rancangan dan projek
pembangunan kepada Pejabat Pembangunan Negeri di bawah Setiausaha
Kerajaan Negeri Kelantan.
Sehubungan itu, penyelesaian bersama (melalui muzakarah) isu-isu
pentadbiran dan pembangunan negeri Kelantan tersebut seharusnya
dijadikan sandaran penting bagi pimpinan PAS yang bakal memikul amanah
menjayakan muzakarah PAS-Umno nanti.
Semoga cetusan Presiden PAS untuk bermuzakarah itu tidaklah difahami
sebagai cetusan negatif yang boleh memudaratkan survival perjuangan PAS.
Apa yang utama, perjuangan PAS dipastikan kekal relevan dalam
memartabatkan umat Islam di negara ini.
No comments:
Post a Comment