Perkembangan
politik Sabah semacam sudah di luar kawalan Umno dan BN di peringkat Kuala
Lumpur. Ia telah menggusarkan sang penguasa BN di Sabah dan Kuala Lumpur.
Berikutan tindakan Tan Seri Lajim Ukin dan Tan Seri Wilfred Bumburing dua
minggu lepas, maka sekali lagi suhu politik Sabah memuncak pada minggu ini (12
Ogos 2012). Ia menyaksikan pengumuman Naib Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun
Murut Organization (UPKO), Senator Datuk Maijol Mahap keluar parti.
Satu perkembangan
yang cukup getir buat BN dan dianggap gentlemen di sisi rakyat Sabah, kerana
seperti mana Lajim dan Bumburing, Maijol turut membuat pengumuman tersebut di rumahnya
di Kampung Kokobuan, Kota Marudu. Pengumuman itu juga disaksikan Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekaligus bakal menambahkan
lagi gugatan peluang BN mempertahankan Sabah, termasuk di parlimen Kota Marudu yang
kini diwakili Timbalan Pesiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus
Johnity Ongkili.
Ketokohan Maijol
walaupun bukan seorang bertaraf menteri, namun pengumumannya telah membanyakkan
lagi titik perubahan akan berlaku di Sabah menjelang PRU13. Paling tepat ia
turut mengongsi sikap yang telah dibuat oleh lajim dan Bumburing sebelum ini. Kesemuanya
adalah kerana peranan Pakatan Rakyat bersama Anwar Ibrahim telah mencipta satu
semangat yang meresapi keyakinan kepimpinan dan rakyat Sabah.
Apa pun kegagalan Mohd Najib menangani politik Sabah sudah ditutup rapat oleh media arus perdana. Justeru pilihannya, media arus perdana sudah diarah untuk membesar-besar isu-isu yang memburukkan parti-parti Pakatan Rakyat.
Fatwa Umno mengharbikan DAP
Sehubungan itu, pakar agenda setting Umno terpaksa melaksanakan pendekatan mengalih isu-isu yang teruk melanda BN dan isu mencalar imej kepimpinan Mohd Najib. Pakar tersebut secara ditegas diarah melakukan pemulihan isu-isu teruk kepada BN dan imej buruk Mohd Najib sendiri. Justeru tujuannya ialah untuk memastikan serangan dan mengadu-domba terhadap hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Matlamatnya Pakatan Rakyat perlu diporak-perandakan menjelang PRU13.
Atas agenda tersebut, pihak akhbar Utusan Malaysia (8 Ogos) dilihat turut mensasarkan kepada DAP menerusi penyiaran satu fatwa untu menyekat umat Islam menyokong DAP. Fatwa yang dimaksudkan seolah-olah satu sepakat kalangan ulama, tetapi hakikatnya adalah fatwa parti Umno yang beralaskan kenyataan seorang penceramah Umno Kelantan, Haji Abdullah Saamah yang bukan pun ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.
Meskipun demikian, fatwa yang dilihat cacat itu hanya disokong oleh orang-orang yang sekepala dengan Abdullah sahaja. Antaranya ulama muda Umno Fathul Bari Jahaya dan Mufti Perak, Tan Seri Harussani Zakaria.Sebaliknya, fatwa yang menyentuh secara langsung maruah DAP itu (haram sokong DAP kerana kafir harbi) telah disanggah oleh Dr. Mazlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sinar Harian 13 Ogos).
Mengadu-domba isu hudud
Secara langsung dapat difahami tujuan akhbar tersebut menyerang DAP ialah untuk menghangat semula persoalan DAP sebagai anti-Islam.Sekaligus mengheret hubungan PAS-DAP atas isu hudud yang belum selesai. Sedangkan isu hudud menjadi hangat semula adalah kerana ADUN Kemelah (Umno) Johor, Dato’ Ayub Rahmat yang mencadangkan kerajaan BN melaksanakan hudud yang labih baik dengan apa yang dicadangkan oleh PAS. Menurut Rahmat, hudud yang sebenar hendaklah dikuatkuasakan atas umat Islam dan bukan Islam. Cadangan itu telah memaksa MCA menyerang Umno. Sampai kini pemimpin Umno terkedu seolah-olah diserang penyakit kencing manis di tahap kritikal. Maruah Umno sudah tersungkur ke bumi dalam isu hudud. Ia telah mengesahkan pendirian pemimpin Umno, termasuk Mohd Najib sendiri yang menolak hudud.
Apa pun fatwa liar Abdullah perlu dilihat secara serius, sebagaimana cadangan Dr Mazlee agar phak keselamatan bertindak atas ‘fatwa liar’ yang seolah-olah memberi lampu hijau untuk umat Islam memerangi DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.
Memburukkan lagi keadaan ekoran fatwa liar tersebut apabila akhbar yang sama kemudian menyiarkan kempen ‘Haram sokong DAP’ (9 Ogos). Ia semakin menampakkan pendekatan terdesak perancang agenda setting Umno untuk memburuk imej DAP sekaligus mendedahkan provokasi untuk membangkit rasa marah umat Islam.
Reaksi kepada kempen itu, pemimpin DAP Lim Kit Siang telah menyatakan bantahan dan menyifatkan akhbar Utusan sedang melancarkan kempen melampau diilhamkan oleh Umno dengan tema "Haram sokong DAP" sebagai anti-nasional yang menolak warisan tiga Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein (sidang media Lim Kit Siang 12 Ogos).
Pihak DAP sebelum itu (9 Ogos) telah membuat laporan polis ke atas kempen itu, antaranya di Pulau Pinang oleh Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari dan di Perak oleh sayap Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).
Menurut Zairil, apa yang disiarkan akhbar tersebut bermotifkan politik dan bertujuan untuk menabur fitnah. Sedangkan DAP jelas mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan.
Tindakan akhbar Utusan dikuasai Umno itu sebagaimana diulas oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi (Sinar Harian 9 Ogos) sebagai kegagalan Umno bagi menunjukkan contoh dan sifat Islam sebenar kepada bukan Islam, sebaliknya menonjolkan amalan boleh mencalarkan imej agama suci itu.
Seterusnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi (Sinar Harian 12 Ogos) menegaskan sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat yang memperjuangkan pemerintahan Islam, PAS akan terus berusaha menjelaskan kepada pemimpin DAP termasuk Karpal mengenai prinsip keadilan dalam undang-undang jenayah Islam itu.
Hangat di Kelantan
Sementara di Kelantan masih
belum reda kehangatan perbincangan mengenai penubuhan jawatankuasa khas
mengkaji bayaran tunai (royalti) hasil petroleum sebagaimana diumumkan Mohd
Najib pada Jumaat, 3 Ogos lalu. Reaksi kalangan pemimpin
Pakatan Rakyat hampir sepakat menganggapkan ia tidak perlu. Apa yang perlu
ialah bayaran tunai hendaklah dibuat mengikut butiran perjanjian antara Petronas
dengan Kerajaan Negeri.
Oleh itu, dengan merujuk
kepada tuntutan royalti Kerajaan Kelantan, Anwar Ibrahim (The Malaysian
Insider, 9 Ogos) menegaskan penubuhan jawatankuasa khas itu adalah tidak perlu,
sebaliknya perlu membayar tunai kepada negeri yang terlibat medngikut
berdasarkan peruntukan dalam Akta Petroleum 1974. seperti yang dinikmati oleh
Sabah dan Sarawak.
Demikian pula, Timbalan
Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw turut mempersoalkan tujuan
penubuhannya kerana perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan ini
sudah terlalu lama. Jadi permainan apa yang ingin dimainkan BN dengan tubuhkan
jawatan kuasa ini?
Sehubungan itu, satu
Persidangan Meja Bulat 58 NGO telah diadakan di Kota Bharu pada 11 Ogos lepas
dan meluluskan enam resolusi. Antaranya meminta Kerajaan Kelantan menolak
penubuhan jawatankuasa khas mengkaji bayaran tunai itu. Di samping mengecam
‘pencabulan Kerajaan Malaysia’ terhadap perjanjian di antara Kerajaan Negeri
Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975. Justeru itu, NGO berkenaan akan
mengajurkan satu majlis Solat Hajat dan Munajat Royalti untuk mohon
mengembalikan hak rakyat Kelantan. Mungkinkah munajat ini nanti bakal melimpahi
Stadium Sultan Muhamad IV sebagaimana munajat 28 Januari 2010 lalu?
Melihat kepada mood
terkini, hampir pasti seluruh rakyat Kelantan mahukan royalti petroleum dibayar
kepada Kerajaan Kelantan. Semangat kekitaan ini sedang memuncak menyokong
kegigihan dan keikhlasan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru
Dato’ Nik Abdul Aziz dalam menuntut Kerajaan Pusat mengarahkan Petronas
mengembalikan hak rakyat yang dirampas beralaskan wang ihsan.
Sesungguhnya, nilai
kegigihan dan keikhlasan kepimpinan Tuan Guru adalah cerminan kepada perjuangan
Islam dalam PAS sekarang. Mungkin atas nilai inilah, anak Allahyarham Tun
Ghafar Baba, Datuk Tamrin sedia meninggalkan Umno dan menyertai PAS secara
rasmi pada 12 Ogos lalu. Justeru mengukir luahan hati Pengerusi ANAK Mazlan
Aliman, beliau merasa bangga kerana anak bekas Timbalan Perdana Menteri kini
bersama PAS. Di mana lagi kehebatan semangat perjuangan kebangsaan Umno?
Tinggal lagi mereka yang berpayungkan perkauman masih tergila-gila memburukkan
Islam yang diperjuangkan PAS. Sudah tentu kesemua senario ini bakal menghangat
PRU13 nanti.
No comments:
Post a Comment