Jawatankuasa khas mengkaji bayaran tunai hasil petroleum dilihat
sebagai taktik untuk membaiki imej Umno yang tercalar di mata rakyat Kelantan.
Pengumuman yang dibuat menjelang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib hadir untuk
iftar dan solat terawih di Kelantan semakin mengesahkan taktik itu. Agak
terserlah tatkala Mohd Najib berucap di Kelantan pada 5 Ogos lalu telah ‘merayu
dan merintih’ kononnya pihak Umno dan Kerajaan BN sentiasa mengamalkan prinsip
adil dan telus terhadap rakyat Kelantan. Atas prinsip ini telah dilaksanakan
jawatankuasa khas tersebut.
Kemudiannya, pengerusi perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri
Mustapa Mohamed telah mengaku, kononnya rancangan penubuhan jawtankuadsa khas
ini merupakan inisiatifnya sekian lama bagi membolehkan rakyat Kelantan dibayar
wang tunai (cash payment) daripada hasil petroleum. Lagak Mustapa telah
disambut dengan lakonan anugerah wira para penyokongnya.
Rentetan tersebut membuktikan kelahiran jawatankuasa khas ini
adalah perancangan mengubah persepsi rakyat Kelantan agar pemimpin dan Umno dilihat
bersih dan tidak lagi dicop sebagai ‘penyekat’ royalti petroleum kepada
Kelantan. Sekaligus dianggap mereka pejuang royalti petroleum sebenar? Bukan
Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai pejuang
royalti petroleum sebenar.
Justeru, apakah rakyat Kelantan sedia melupakan detik sejarah yang
sudah disaksi, betapa pemimpin Umno-lah penyekat sebenar segala macam hak
kerajaan dan rakyat Kelantan selama ini? Sebagaimana ucapan Mustapa ketika
kempen pilihan raya kecil Manek Urai (Julai 2009) dan Galas (November 2010)
amat lancar kata-kata penafian akan hak Kelantan atas hasil petroleum yang
dikeluarkan dari perairan Kelantan. Sedangkan ramai mengetahui daripada laporan
rasmi Kerajaan Pusat dan antarabangsa memang wujud hasil petroleum yang
dimaksudkan sebagaimana dalam rajah berikut.
Demikian pula jawapan Mohd Najib di parlimen (4 November 2009) beralaskan
kedudukan telaga minyak dan gas perairan Kelantan adalah di luar jarak tiga
batu nautika menurut Ordinan Darurat. Maka Kelantan dikatakan tidak layak. Sedangkan
ordinan darurat yang dirujuk telah tidak terpakai lagi. Hakikatnya butiran
perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Kelantan adalah di bawah kuasa Akta
Kemajuan Petroleum 1974 yang tidak memerlukan pentafsiran mengenai maksud
kedudukan telaga minyak dan gas di perairan (offshore) dan daratan (onshore). Jelas
sekali, ia suatu pembohongan politik berniat untuk menafikan hak Kerajaan
Kelantan.
Oleh itu jika merujuk kepada peta lokasi berikut adalah jelas di
perairan Kelantan telah ada telaga minyak dan gas PM301 yang dimaksudkan.
Maka bagi menjawab pembohongan itu, gerakan NGO menuntut royalti
petroleum telah dilipatgandakan dalam memberi kesedaran atas hak Kerajaan
Kelantan. Justeru pada 10 November 2011 telah diserahkan kepada Kerajaan Pusat nota
peringatan ulang tahun ke-25 amanat perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak
Husein berhubung hak pembayaran tunai kepada mana-mana negeri yang ada telaga
minyak dan gas. Pada majlis itu, dimaklumkan timbalan menteri kewangan (anak
Kelantan), Datuk Awang Adek Hussin telah tidak mahu menerima penyerahan nota
tersebut dan terpaksa diserahkan kepada menteri yang lain. Justeru itu, dua
pemimpin Umno dari Kelantan (Mustapa dan Awang Adek) telah berdosa kepada
rakyat Kelantan atas sifat fizikalnya menolak hak Kerajaan Kelantan.
Demikian pula, berlaku
di parlimen (17 Novermber 2009) menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri
Mohamed Nazri Abd Aziz turut menghujahkan bahawa pengumuman Mohd Najib di
parlimen (4 November 2009) kononnya berasaskan kajian mendalam dan teliti aspek
perundangan oleh Pejabat Peguam Negara dan Petronas sedia memberi wang ihsan
bukannya wang tunai kepada Kerajaan Kelantan.
Alasan yang diberikan
bersandarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 bersama dengan perjanjian di antara
Petronas dan kerajaan negeri dikatakan hanya memperuntukkan bayaran tunai bagi
petroleum yang dicari gali dan diusaha hasil di dalam sempadan negeri. Asas
sempadan negeri yang dipakai kononnya berasaskan takrif sempadan negeri yang
tiada sumber kekuatan melainkan Ordinan Darurat yang telah dipakai. Justeru
disifatkan tiada petroleum yang diusahakan daripada perairan Negeri Kelantan
dan tiada asas perundangan untuk bayaran royalti petroleum kepada Negeri
Kelantan. Maksudnya tiada sumber petroleum dari kawasan Negeri Kelantan sama
ada di onshore atau offshore.
Jika demikian pendirian
rasmi Kerajaan BN sejak tiga tahun lepas, persoalannya kenapa saat dekat PRU13 ini,
muncul pula cadangan mengkaji secara mendalam atas hak bayaran tunai oleh Petronas
kepada kerajaan negeri. Sedangkan hujah Nazri tersebut sudah pun berasaskan
kajian mendalam. Ia sudah menampakkan pendirian politik yang bertujuan meraih
sokongan rakyat ketika terdesak.
Hakikatnya, selama ini hujah pemimpin Umno peringkat Pusat mahu pun
di Kelantan (tidak termasuk Ketua Bahagian Umno Guaa Musang, Tengku Razaleigh
Hamzah) sememangnya berhempas pulas dan terkial-kial cuba menafikan hak
Kerajaan Kelantan atas bayaran wang tunai lima peratus oleh Petronas. Nampak
nyata, mereka mencipta pelbagai alasan menafikan hak Negeri Kelantan. Sebagaimana
pandangan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar dan Naib Presiden Parti Keadilan
Rakyat yang juga seorang peguam, N. Surendran bahawa kerajaan pusat menggunakan
nama jawatankuasa khas sebagai taktik BN membuat persiapan dalam minit-minit
terakhir menjelang PRU13. Ia sesuatu yang tidak perlu. Apa yang perlu, terus
membayar secara tunai atas hak kerajaan negeri.
Rumusannya, usaha yang kononnya ‘baik’ oleh Mohd Najib dan Mustapa
menubuhkan jawatankuasa khas adalah taktik politik lapuk Umno. Persepsi umum kini
adalah bodoh dan sia-sia jawatankuasa khas dirangka, sedangkan butiran
perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri masih sah dan Akta Kemajuan
Petroleum masih berkuatkuasa. Maka hasrat kepemimpinan Umno kepada jawatankuasa
khas mengkaji pembayaran tunai atas tuntutan kerajaan negeri adalah tidak
perlu. Apa yang perlu, kerajaan negeri (khususnya Kelantan) hendaklah terus
mendesak dalam meminta Kerajaan Pusat membayar mengikut butiran perjanjian yang
telah termeterai. Bagi merungkaikan semua ini, mungkin kes saman ke atas
Petronas oleh Kerajaan Kelantan dalam isu bayaran tunai ini wajar disegerakan.
No comments:
Post a Comment