Musim pecutan akhir menghadapi pilihan raya umum ke-13
(PRU13) sudah tiba. Banyak peristiwa politik yang berlaku kebelakangan ini dilihat
mencabar parti-parti yang bakal bertanding. Masing-masing parti sudah melakukan
‘warming up’ sebagai gelagat untuk memecut ke garisan penamat. Setakat ini, gelagatnya
memungkin realiti munculnya sistem dua parti di negara ini. Satu pihak adalah penguasa
diwakili Barisan Nasional dan satu pihak lagi adalah Pakatan Rakyat selaku pencabar
(opposition) yang bersedia menjadi penguasa.
Meskipun begitu, sistem dua parti agak terserlah di
Semenanjung Malaysia. Sementara di Sabah masih kelihatan kepelbagaian parti
berikutan muncul dua parti baru, satunya diketuai Datuk Panglima Lajim Ukin dan
satu lagi oleh Datuk Seri Wilfred Bumburing. Dua tokoh ini baru sahaja keluar
daripada parrti komponen Barisan Nasional. Bagaimanapun, kedua-dua parrti itu dilihat
bakal bersama Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti. Kemungkinan besar lagi, Pakatan
Rakyat akan mendapat rakan baru jika parti pimpinan Datuk Yong Teck Lee boleh
bersetuju menjadi kuasa pendesak kepada Barisan Nasional demi memastikan
pertandingan hanya dua penjuru melawan Barisan Nasional.
Najib gelabah dengan
sikap politik rakyat Sabah
Menyedari begitu perkembangannya, maka Perdana Menteri
selaku Presiden Umno dan Barisan Nasional agak kerap ke Sabah, demi memastikan
Sabah sebagai kuasa penyelamat kemenangan Barisan Nasional menguasai Putrajaya.
Ia semacam hambatan untuk Najib berikutan Pakatan Rakyat sedang rancak memalu
gendang menuju Putrajaya.
Justeru Najib kerap membuat lawatan rasmi ke Sabah. Terbaru,
pada 16 Disember Mohd Najib yang diekori Tun Dr Mahathir hadir merasmi
perhimpunan agung ke-23 parti LDP di Sandakan. Susulannya hadir majlis jamuan
tengah hari bersama Jawatankuasa Gereja-gereja dan badan bukan kerajaan (NGO).
Diikuti dengan perjumpaan rakan Facebook Ah Jib Gor dan Majlis Bersama Rakyat
Parlimen Batu Sapi di Kampung Lupak Meluas, Sandakan.
Sebelum itu, pada 2 September Najib menghadiri majlis
Aidilfitri di Kota Belud dalam rangka merapat hubungan dengan Pertubuhan Bajau
Bersatu Sabah (Usbo) yang presidennya adalah Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Rumah terbuka Aidilfitri merupakan anjuran bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan
Sri Pandikar Amin Mulia dan Usbo. Kedua-dua cuba diraikan oleh Mohd Najib atas
asas mereka adalah pemimpin penting Bajau. Lawatan yang dianggap mengukuh
kembali masyarakat Bajau apabila Lajim Ukin keluar Umno.
Terdahulu, pada 13-14 Oktober Najib melawat Penampang, Ranau
dan Kudat. Ia melibatkan perasmian jambatan Inobong dan pecah tanah bangunan
Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman) di Inobong, Penampang dan
perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat di Dewan Kinabalu, Taman
Kinabalu Kundasang, Ranau serta Program Jelajah Janji Ditepati di Kudat.
Biasanya urusan merasmi projek di negeri dilakukan Ketua Menteri, tetapi dalam
konteks Sabah mungkin Musa Aman sedang menghadapi masalah keyakinan dan
terpaksalah Najib ambil pusingan semua urusan ketua menteri.
Sebelumnya lagi, pada 11 Ogos Najib juga
ke Sabah bagi mengumumkan penubuhan Royal Commission of Inquiry (RCI) atau
Suruhanjaya Inkuiri Diraja bagi menangani isu pendatang tanpa izin (Pati) di
negeri ini. Isu yang begitu lama
tertangguh dan menjadi faktor bangkangan majoriti rakyat Sabah. Ia juga menjadi
slah punca Bumburing dan Lajim ambil jalan keluar BN.
Apa yang pasti berdasarkan kekerapan Najib ke Sabah, jelas
terserlah suasana gelabah yang mungkin membahayakan peluang menang PPRU13.
Sebagaimana terluah dalam ucapan Najib ketika merasmikan persidangan LDP,
antaranya telah mengambarkan keadaan BN yang kini terdesak.
Berpandukan analogi
pasukan bola sepak negara “Harimau Malaya” yang kalah Piala AFF Suzuki di tangan
Thailand baru-baru ini, Najib dilaporkan (Berita Harian 17 Disember 2012, muka
2) berkata, BN sukar meraih kemenangan jika ada pihak tidak memainkan peranaan
serta kerjasama di dalam satu pasukan. Skuad kebangsaan kita ada penyerang
hebat yang bolehmenjaringkan gol, tetapi apabila seorang pemain kena kad merah,
satu pasukan kalah.”
Analogi pasukan Harimau Malaya itu mungkin dikaitkan dengan pasukan
BN sekarang yang jika salah petimbangan Pasukan BN di Sabah akan dikeluarkan
dari padang (ditolak rakyat). Maka Najib cuba membayangkan matlamat BN dalam
PRU13, “kita bukan setakat nak menang, tetapi menang dengan mandar besar.”
Bermakna tanpa menang di Sabah, BN tidak mungkin mempertahan Putrajaya!
Justeru
pada persidangan Umno ke-66 lalu, ucapan Najib begitu berapi-api dan cuba
bermain api permusuhan. Lalu perwakilan menerimanya sebagai suatu gambaran
sanggup pertahan Putrajaya hingga ke titisan darah terakhir. Ia telah
mengundang pergaduhan dan rusuhan semasa ceramah Pakatan Rakyat di Gombak
tempoh hari. Pemuda Umno sedang menghayati rasa gelabah presidennya. Maka
ceramah dihadiri Datuk Anwar Ibrahim sudah menjadi medan ujikaji rasa ‘titisan
darah’ mempertahan Putrajaya. Mungkinkah gelabah Najib akan membangkit suasana
samseng dalam PRU13. Pastinya Najib ada jawapannya.
Blog pro-Umno fitnah lagi
Pada minggu lepas, gelabah Najib turut
berjangkit kepada pasukan penggasak siber pro-Umno. Tatkala Umno sedang ketandusan
isu menyerang integriti kerajaan Pakatan Rakyat, maka direkalah cerita oleh
tiga blog pro-Umno (Pisau.net, Akar Umbi-azlantaib.blogspot.com dan
anginperubahan.blogspot.com), kemudian diperpanjang oleh blog-blog seangkatan
dengannya.
Blog-blog tersebut (antara 18-19 Disember)
tanpa memikir dosa telah manipulasikan dan memfitnah melulu, kononnya Menteri
Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Nik Mat merasuah Adun Setiawan merangkap Ahli Parlimen Beruas (DAP) juga selaku
Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Adun Pantai Remis merangkap Ahli Parlimen
Taiping, Nga Kor Ming dalam bentuk konsensi tanah perladangan seluas 10,526
ekar melalui syarikat Upayapadu yang dibeli Ngeh dan Nga. Rasuah itu dikaitkan
dengan pujukan agar DAP Perak menerima Mohd Nizar Jamaludin sebagai Menteri
Besar Perak.
Hakikatnya, pembohongan blogger itu terserlah
dan terbukti kerana proses beli syarikat oleh pemimpin DAP (juga ahli
perniagaan) itu dibuat pada 2012, sedangkan perlantikan Menteri Besar Perak berlaku
pada Mac 2008. Apakah logik sogokan dikemudiankan? Sedangkan amalan yang
dikatakan rasuah itu ialah menyogok dulu, selepas itu barulah penerima sogokan
akan buat apa yang penyogok arahkan. Sepatutnya sogokan dibuat sebelum menteri
besar dilantik!
Hakikatnya, syarikat yang dibeli itu
adalah suatu pelaburan bagi membantu badan berkanun kerajaan Kelantan (Yayasan
Islam Kelantan––YIK––selaku pemilik tanah). Ia (pelaburan) berlaku, apabila
syarikat asal, Terajati didapati gagal menjalankan projek usahasama dengan YIK.
Sebenarnya, syarikat Upayapadu yang dituduh menerima rasuah adalah penyelamat
kepada pelaburan kerajaan Negeri Kelantan melalui YIK. Maka yang dituduh
menerima rasuah hakikatnya pelabur dan yang dituduh memberi rasuah hakikatnya
tuan tanah. Ia tiada kaitan langsung dengan jawatan menteri besar (pada 2008)
dengan pelaburan Upayapadu (pada 2012). Baca penjelasan (dari sumber YIK) sebagaimana tulisan Setiausaha Akhbar, Ustaz Ahmad Fadhli berhubung penafian Taun Guru Nik Abdul Aziz dalam portal berita rasmi PAS: Harakahdaily.net (21 Disember 2012). Jadi tiadalah asas logik tentang apa yang
direka oleh blogger pro-Umno itu. Justeru ia mendedahkan cara blogger pro-Umno
itu pemfitnah besar dalam suasana gelabah. Sang blogger itu patut disaman demi
maruah Pakatan Rakyat!
Utusan Umno
Sepanjang
minggu lepas juga, akhbar Utusan Malaysia sudah menjadi akhbar ‘utusan Umno’
yang totok. Label ini memang popular kerana akhbar ini antara paling kerap disaman akibat laporan fitnah. Lebih-lebih saat pecutan akhir menjelang
PRU13 apabila pemberitaannya sedang melaksanakan serangan (mungkin atas arahan Umno) di atas isu-isu lapuk
terutama kepada PAS selaku pesaing rapat dengan Umno.
Megambil
contoh isu ‘Amanat Haji Hadi’ ia sudah dilapor secara berat sebelah (setiap kali pilihan raya, malah sudah diajak berdebat 1983 antara PAS-Umno tetapi dibatalkan oleh Majlis Raja-raja kerana Umno tiada hujah). Malah laporan saat ini amat sarat dengan fitnah atas amanat, kononnya berlaku pemimpin
PAS mengkafirkan Umno. Maka ‘utusan Umno’ itu cuba marasionalkan melalui kutipan
berita yang tidak berfakta yang dikaitkan dengan sembahyang dua imam, perceraian
suami-isteri, perpecahan umat Islam dan pulau-memulau.
Justeru
itu, putaran amanat yang dipetik sejak 1981 telah dibuat di luar konteks
(kerana maksud sebenar bukannya menuduh orang Umno itu kafir). Malahan tanpa
rasa berdosa, ia telah dimain oleh ‘utusan Umno’, semacam meletakkan Presiden PAS
di kandang orang salah. Mainannya begitu rancak berikutan disiarkan sosok tubuh
yang tidak berdosa bagi mengadili Presiden PAS sebagai individu
bertanggungjawab mengkafirkan orang Umno.
Nyata
sekali, ia suatu penghakiman amat berat dan paling ‘pangan’ apabila turut
menyiarkan pandangan agamawan berjubah mufti dan bergaji besar untuk mendesak
agar amanat itu ditarik balik. Sedangkan tiada bukti sahih (empirikal) untuk
membuktikan natijah amanat itu yang menuding bahawa Umno itu kafir.Atas pandangan itu, pihak ‘utusan Umno’ cuba mencetuskan asakan kepada Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat itu. Justeru Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan
pandangan agamawan yang bertaraf mufti itu. Di dalam Facebook Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut: "...jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang
yang tidak tahu hukum hakam. Boleh berbincang dengan cara yang elok dan
tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti. Jangan jual
harga mufti dengan murah."
Apa
yang benar, kalimah yang dipetik antaranya, “Kita menentang Umno...kerana dia
mengekalkan undang-undang kafir.” Apakah konteks seruan Tuan Guru Abdul Hadi kepada
orang PAS sebegini telah dianggap oleh golongan Umno atau agamawan tersebut bahawa
‘Haji Abdul Hadi’ mengatakan Umno itu kafir? Tidakkah berlaku dalam sejarah
Malaysia moden ini, berapa banyak undang-undang yang tidak berlandaskan Islam
terus diamalkan. Misalnya menggantung sampai mati terhadap kesalahan mengedar
dadah. Sedangkan di dalam Islam hukuman mati selayaknya kepada orang Islam yang
murtad. Apakah semua pengedar dadah yang bersalah itu murtad?
Hakikatnya, konteks ayat ini (Kita menentang
Umno...kerana dia mengekalkan undang-undang kafir) adalah bermaksud untuk
menyakinkan hujah-hujah akidah di sisi PAS yang perlu diyakini oleh orang PAS, betapa
suatu perjuangan yang tidak berlandaskan Islam, maka perjuangan itu boleh
ditentang (dalam konteks PAS ialah berlawan dengan Umno dalam pilihan raya). Di
sini tiada asas untuk mengatakan Umno itu kafir. Ini kerana, kalimah Tuan Guru Haji
Abdul hadi seterusnya ialah: “Oleh kerana itu kita
‘menentang-menghadapi-berlawan’ dengan mereka.” Dalam konteks ini, Tuan Guru
tidak mengatakan: “kita mengkafirkan mereka.”
Demikian
pula di sebalik kalimah yang dipetik berikutnya, “Perjuangan kita adalah
jihad...mati kita adalah syahid.” Ini adalah hakikat perjuangan Islam yang
diungkapkan kepada pejuang PAS yang hadir mendengar ceramah dan seruan jihad
demi menyucikan akidah perjungan agar tidak lari daripada landasan Islam.
Bermaksud berjuang Islam melalui parti Islam natijahnya suatu perjuangan mulia
di sisi Islam.
Sekiranya
Umno sendiri berani mengungkapkan sebagaimana diungkapkan Tuan Guru Haji Abdul
Hadi itu, maka silakan! Ini kerana perjuangan suci berlandaskan Islam bukan hak
parti PAS semata-mata, malah hak semua umat Islam termasuklah yang berada dalam
Umno. Namun harus diingat, sifat perjuangan Islam hanya layak ada pada wadah
yang sanggup menegakkan perintah Allah SWT sahaja. Bagi parti atau perjuangan
yang mempersenda-senda perintah Allah, amatlah tidak layak menguar-uarkan perjuangan
suci bertaraf jihad fi sabilillah. Mungkin layak bertaraf jihad demi hidup untuk
kemajuan ekonomi dan 1Malaysia semata-mata. Justeru putaran semula ‘amanat Haji
Hadi’ tidak lebih daripada salah satu tindakan ‘utusan Umno’ untuk meleraikan
rasa gelabah Najib selaku pemimpin yang berada di hujung teori RAHMAN. Apakah
suasana terdesak Umno kita bakal membuktikan gelabah Najib itu adalah benar?
Oleh
sebab itu, pecutan akhir pihak Pakatan Rakyat menghadapi PRU13 sudah tentu
bakal merungkai serba-serbi jawapan tatkala memasuki Putrajaya. Kuatkan azam,
asahlah stamina dan tambahkan tenaga bagi pastikan sampai di garisan penamat.
Justeru biarkanlah Umno terus terdesak bersama-sama gelabah presidennya.
No comments:
Post a Comment