PAS negeri Kelantan sekali
lagi dipilih sebagai tuan rumah Muktamar PAS ke-58 yang akan diadakan mulai 2-4
Muharam 1434 (16-18 November 2012). Kebetulan muktamar kali ini diadakan agak
lewat berikutan penangguhan dari yang sepatutnya pada Jun lalu. Penangguhan itu
ada kaitannya dengan persiapan dan mood pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sedang
mempengaruhi gerak kerja PAS di semua peringkat.
Apa pun, Muktamar PAS ke-58
kali adalah bertepatan dan sesuai diadakan di Kota Bharu, Kelantan kerana
sekarang ini Kelantan sedang dalam kempen Tahun Melawat Kelantan 2012. Ia
berlaku lagi seiringan dengan sambutan Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan
Muhammad V pada 11 November lalu. Tambah diserikan lagi dengan bulan ini juga
berlakunya sambutan awal Tahun Hijrah 1434 pada 14 November lalu. Malah
muktamar kali ini juga cukup harmoni kepada para perwakilan yang mengambil
kesempatan mengunjungi negeri Serambi Mekah bersempena musim cuti persekolahan
ini.
Kesemua senario tersebut sudah
tentu menggamit nilai-nilai kewajaan kepada semua perwakilan yang bakal
menyumbang pandangan dan hujahan bernas sepanjang muktamar di Dewan Besar
PUTIK, Pengkalan Chepa.
Pecutan PRU13 menuju Putrajaya
Meskipun demikian, sepanjang
minggu lalu pihak media pro-kerajaan Barisan Nasional begitu sibuk mencanang
pelbagai isu yang berniat untuk mengatifkan perbahasan Muktamar PAS ke-58 ini. Kononnya
ada beberapa pihak kalangan lebih 1,100 perwakilan PAS dari seluruh negara akan
mengambil peluang untuk membangkit isu-isu yang mereka tidak puas hati terhadap
pendirian parti. Media berkenaan cuba merendah-rendah pemikiran perwakilan,
kononnya ada sebahagiannya (semacam kumpulan majoriti) tidak senang dengan
pendirian DAP mengenai Islam dan hukum hudud. Malah ada juga media berkenaan
yang cuba melaga-laga kalangan pimpinan utama PAS, satu pihak dicap sebagai
pendukung Anwar (kononnya puak Anwarinas) ada pula yang anti-Anwar (kononnya
puak PAS totok). Justeru media tersebut meramalkan akan berlaku ribut besar
sepanjang muktamar nanti. Demikianlah mainan media yang sentiasa tidak senang
dengan kestabilan PAS kini, terutama saat menjelang PRU13.
Walau bagaimanapun, pendirian
PAS Pusat, malah setiap PAS kawasan seluruh negara, pastinya meletakkan
Muktamar PAS ke-58 kali ini sebagai medan terbaik membina keyakinan dan
kemantapan, demi pecutan ke garis kemenangan PRU13 menuju Putrajaya. Justeru fokus
isu dan komitmen perwakilan tidaklah elok untuk terpengaruh dengan gendang
dipalu musuh dan isu yang dihangatkan media pro-parti lawan. Malahan tidak mustahak sama sekali bagi para
perwakilan membelek-belek parut dan kudis dalaman sendiri ketika musuh sedang
terkial-kial menahan sakit dan sengsara, tatkala tarikh PRU13 sedang
diperjalanan. Rasionalnya, bulatkan tekad dan bangkitkan permuafakatan sejati
atas nilai-nilai jemaah bagi membuahkan program dan pendekatan serta
melancarkan strategi menggempur Umno dan Barisan Nasional di akar umbi.
Ia sesuai dengan senario
muktamar di Kelantan, negeri sulung dan ulung PAS sudah berkuasa. Pastinya di
sebalik nilai ‘sulung dan ulung’ itu para perwakilan seluruh Negara
boleh menemukan banyak titik persefahaman bagi membulatkan tekad memacu kebangkitan
dalam usaha merobohkan benteng Umno dan Barisan Nasional di negeri
masing-masing.
Utamakan isu-isu PRU13
Berbekalkan tema muktamar ‘Negara
Berkebajikan Teras Perpaduan’ sudah tentu banyak isu yang harus dikupas dan
difahami oleh perwakilan guna untuk diperturunkan ke peringkat akar umbi era
pecutan PRU13 ini. Isu adalah nadi dan gerak saraf mujarab bagi merapati
rakyat dan meraih sokongan baru para pengundi. Lebih-lebih lagi saat PRU13 ini,
bilangan pengundi muda, termasuk golongan pengundi pertama agak besar
bilangannya. Sudah pasti olahan isu dan kupasan yang bernas akan dapat
menghubungkan antara matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat dalam
membina harapan baru untuk mengubah masa depan politik negara. Pengundi muda
adalah aset termahal buat PRU13 ini. Justeru isu-isu yang berlegar dalam
kelompok sosioekonomi mereka amat penting dibulatkan tekad para perwakilan
untuk berbahas dan berhujah sepanjang muktamar.
Sehubungan itu, para
perwakilan amat wajar membangkitkan selain isu-isu memperkemaskan gerak kerja
dan persiapan pilihan raya ialah membangkit persoalan kepincangan dasar dan
program ekonomi dan sosial serta integriti kerajaan Barisan Nasional Di
antaranya yang terbaru sedang hangat adalah isu saman AES yang mencekik rakyat,
saham FGVH yang sedang merundum, rasuah pemimpin Barisan Nasional, dan
keceloparan pemimpin MCA yang menolak perlaksanaan Islam.
Tidak kurang penting juga ialah para perwakilan hendaklah turut menyeragamkan pendekatan berbahas untuk membalas segala serangan Umno dan Barisan Nasional secara positif. Ia boleh dilakukan menerusi penyelarasan isu-isu kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Olahannya hendaklah mampu menjawab segala tohmahan negatif Umno mahupun MCA tentang masa depan orang Melayu dan Islam.
Termasuklah juga pentingnya membangkit
isu-isu politik diskriminasi (pihak Pusat) terhadap Negeri Pakatan Rakyat,
sebagaimana isu tuntutan royalti petroleum negeri Kelantan, kadar royalti petroleum yang rendah, isu empangan
air Langat 2 di Selangor, isu pembayaran geran untuk negeri-negeri dan hak-hak
negeri yang di kesampingkan seperti hak penyiaran radio dan televisyen.
Malah amat penting
diselaraskan pendekatan menjawab isu tuduhan pihak Umno tentang DAP yang
dikatakan anti-Islam, sedangkan kerajaan Pulau Pinang jelas memberi layanan
yang lebih baik kepada pembangunan Islam selama 4 tahun kebelakangan ini.
Kejayaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng memeperuntukan lebih RM60 juta untuk hal
ehwal Islam berbanding masa kerajaan Barisan Nasional hanya sekitar RM26 juta
adalah suatu realiti yang membuktikan Pakatan Rakyat lebih adil untuk Islam di
Pulau Pinang.
Demikian pula kesungguhan
Kerajaan Kelantan dalam mendepani diskriminasi Pusat yang telah menafikan hak
rakyat Kelantan menikmati pembinaan lebuh raya menyebabkan kerajaan negeri
pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz
melancarkan Lebuh Raya Rakyat tanpa tol. Ia telah memuncakkan sokongan rakyat
tatkala pembangunan berkonsepkan wakaf telah dilancarkan.
Sementara itu, dalam beberapa
isu yang dapat dikongsi sama antara PAS negeri-negeri, maka adalah wajar ia
dapat dibincang dan disepakati dalam konteks penyampaian dan hujahan untuk
diterima rakyat. Antara isu itu ialah persoalan gerakan Bersih dalam konteks
pilihan raya yang adil, isu Lynas dalam konteks alam sekitar yang lestari, isu
anak-anak peneroka Felda, dan tidak kurang penting adalah hak-hak rakyat Sabah
dan Sarawak.
Kesemuanya adalah intisari dan
rumusan strategik yang boleh dilakukan selama Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu
kali ini. Justeru itu para perwakilan seharusnya tidak terpengaruh dengan
provokasi media tertentu yang sengaja cuba mencetuskan suasana kelam kabut
sepanjang perbahasan di muktamar kali ini.
No comments:
Post a Comment