Rejim Umno
Kesemuanya menggambarkan keghairahan rejim Umno untuk merampas kuasa Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS hasil mandat rakyat sejak 1990. Namun keghairahan itu secara bandingannya tidaklah sehebat rakyat Mesir yang ingin gulingkan rejim Hosni Mubarak. Ini kerana landasan isu dan tuntutan antara Umno Kelantan dengan rakyat Mesir amat berbeza.
Paling berbeza, rejim Hosni Mubarak adalah pendokong Parti Demokratik Kebangsaan (Al-Hizbul Al-Watani) melaksanakan ketidakadilan ketara terhadap rakyat Mesir. Sementara majoriti rakyat yang mendesak pengunduran rejim itu ialah para pengundi parti yang berlatarbelakangkan Islam, iaitu Parti Kebebasan dan Keadilan (Al-Hurriyah wal 'Adalah/Freedom and Justice Party – FJP) dan Parti Salafi Al-Nour.
PAS di Kelantan yang mentadbir negeri tidaklah seperti rejim Mubarak yang menzalimi rakyat, kerana PAS adalah parti Islam. Begitu pula, pihak Umno di Kelantan tidaklah seumpama FJP yang dinaungi Ikhwanul Muslimun (Ikhwan Muslimin), kerana Umno partinya berteraskan kebangsaan seperti parti rejim Mubarak yang memiliki Al-Hizbul Al-Watani.
Ikhwan bukan seperti Umno
Ikhwan Muslimin adalah satu gerakan politik dan dakwah di Mesir. Namun, gerakannya ditolak oleh Raja Farouk dan Jamal Abdul Nasir serta penguasa Mesir selepasnya, terakhirnya ialah Hosni Mubarak. Sehinggalah berlakunya kebangkitan anak muda Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir menuntut kebenaran atas hak yang mewakili majoriti rakyat Mesir. Kesannya, suatu pilihan raya telah diadakan dan peranan Ikhwan Muslimin telah terserlah.
Ikhwan Muslimin sebelum itu telah mengadakan perikatan dengan parti politik, iaitu melalui FJP. Keputusan selepas tiga pusingan ialah Ikhwan Muslimin menerusi FJP telah memenangi 38 peratus atau 235 daripada 498 kerusi di parlimen. Diikuti dengan Parti Salafi Al-Nour di tempat kedua sebanyak 29 peratus atau 121 kerusi Parti Wafd meraih 36 kerusi dan Parti Blok Gabungan Mesir mendapat 33 kerusi. Ini bermakna, dua parti Islam (FJP dan Salafi) telah menguasai 67 peratus kerusi atau menguasai lebih dua pertiga kerusi parlimen. Kenapa FJP mendapat mandat terbesar antara lain kerana FJP merupakan bayangan politik-dakwah Ikhwan Muslimin yang komited dengan agenda perjuangan memartabatkan Islam. Sementara pendekatan yang menggandingkan cendikiawan dan ulama telah mematangkan kepimpinan untuk menduduki birokrasi pemerintahan Mesir. Justeru FJP menjadi popular dalam pilihan raya Mesir yang diadakan ketika rakyat dahagakan penyelesaian tekanan sosial dan ekonomi akibat rejim penguasa yang tidak bertanggungjawab. Rasionalnya rakyat Mesir menolak rejim yang tidak bertanggungjawab itu.
Umno dalang
Realiti ini sudah tentu berbeza sama sekali dengan apa yang dilihat terhadap rejim Umno di Kelantan. Lantaran Umno telah mendera rakyat Kelantan dengan pelbagai karenah amalan federalisme, menafikan royalti petroleum, memburukkan maruah rakyat Kelantan dengan imej miskin dan mundur serta pelbagai serangan saraf menerusi media massa saban hari.
Justeru di manakah rasional bagi Umno untuk merampas Kelantan sehingga ada satu gerakan tukar ynag menghasut rakyat untuk menukar Kerajaan Membangun Bersama Islam? Maka sudah terang lagi bersuluh misi gerakan menghasut yang dikenali sebagai Tukar itu ialah “tukar Kerajaan PAS Kelantan” dan motonya pula “acu test sepenggal” adalah suatu refleksi kekecewaan sejak lima kali pilihan raya lepas.
Apa yang nyata, ia satu gerakan yang Umno Kelantan adalah dalang, kerana kempennya turut dihadiri pemimpin parti kebangsaan itu (foto di sebelah). Timbalan Pengerusi Umno Kelantan dan Setiausahanya antara yang hadir majlis pelancaran Tukar. Justeru ia bukan NGO yang mewakili rakyat, kerana Pengerusi TUKAR, Kamarudin Mohd Kasim dikatakan salah seorang setiausaha biro dalam organisasi Umno.Rakyat perlu rasional
Apa pun rakyat Kelantan harus bertindak rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai kempen yang memburuk prestasi baik Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Justeru wakjar sekali rakyat menjawab dengan bijak semua persoalan: Apakah Kerajaan Negeri Kelantan sudah tidak bertanggungjawab seumpama rejim penguasa Mesir yang dibenci oleh majoriti rakyat? Apakah Umno yang menjadi payung Tukar itu menjanjikan yang terbaik selari dengan prinsip perjuangan seumpama Ikhwan Muslimin di Mesir? Sejauh mana pula, pemimpin yang menaungi Tukar itu mempunyai wawasan Islam seumpama cendikiawan dan ulama yang memimpin parti FJP yang mesra Ikhwan Muslimin? Jawabnya, Umno sang penguasa yang sudah setengah abad perlu ditolak di Kelantan hatta di peringkat Pusat dalam pilihan raya akan datang.
Justeru apa yang dibangkitkan tentang kelemahan termasuk kekuatan kepimpinan ulama di Kelantan hari ini, ia suatu bukti keagungan tamadun yang telah dicipta oleh rakyat Kelantan bersama PAS sejak 22 tahun lalu. Ia juga suatu keunikan sejarah politik-dakwah yang ditakdirkan Allah SWT telah berlaku di Kelantan. Justeru ia bukan sesuatau yang mendera rakyat sebaliknya membahagiakan semua lapisan warga Kelantan. Semoga Kelantan terus aman dengan amalan berkebajikan, kesejahteraan dan keharmonian selari dengan kehendak Islam.
No comments:
Post a Comment