31 January, 2011

PrK Tenang: Perjalanan tidak tenang

Perjalanan proses pilihan raya kecil Dun Tenang sudah selesai pada 30 Januari lalu. Prosesnya bermula sejak penamaan calon pada 22 Januari itu telah menyaksikan seorang wakil rakyat yang tidak berintegriti (bakal berdepan dengan kes saman mahkamah pada Februari nanti) adalah menyerlahkan pegangan yang tidak berubah-ubah majoriti pengundi yang tegar dengan Umno-BN sebagai kepercayaan politik. Ia juga suatu gambaran betapa masih besar siaz rakyat Johor yang tetap berpeluk erat kepada ideologi politik sekular-kebangsaan yang rupanya pelbagai wajah, demi survival hidup. Sekaligus, memberi gambaran kira-kira 4,000 pengundi di Tenang adalah warga peneroka Felda yang setia wala’ kepada pemimpin Melayu yang terus melayukan mereka.

Tenang dan Galas

Oleh sebab itu, secara logiknya, status pengaruh PAS-Pakatan Rakyat di Dun Tenang adalah lebih rendah berbanding Dun Galas. Setidak-tidaknya PAS di Galas mempunyai 22 cawangan (termasuk 5 di kawasan Orang Asal), tetapi Galas masih merupakan kawasan politik tradisi BN. Inikan pula Dun Tenang dimana PAS tidak mmpunyai kekuatan cawangan yang setara dengan Galas, maka munasabahnya PAS boleh kalah sebanyak 1,190 di Galas pada 4 November 2010.

Justeru itu, logiknya PAS boleh kalah 3,707 di Tenang. Tambahan pula di Tenang, Umno-BN sudah memiliki ‘undi simpanan tetap’ melebihi 4,000 peneroka Felda yang merupakan 100 peratus pengundi tegar BN. Maka PAS yang hanya bergantung kepada sokongan pengundi tegar kurang 20 peratus, selayaknya bagi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin Umno-BN mendakwa mereka boleh mencapai majoriti 5,000 undi dalam piihan raya kecil pada 30 Januari lalu.

Suasana tidak tenang

Namun suasana perjalanan kempen dan hari mengundi di Tenang telah dicorakkan oleh keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Suasana cuaca mempengaruhi kelancaran aktiviti pengundian. Akibatnya banyak aktiviti tergendala berikutan berlaku hujan sejak awal dan banjir di seluruh Dun Tenang. Maka jumlah keluar mengundi turut merosot dan jauh daripada sasaran 80 peratus, malah lebih rendah berbanding pilihan raya umum. Pada pilihan raya umum lalu, keluar mengundi 74 peratus sudah dianggap rendah berbanding paras nasional 80 peratus. Maka pada pilihan raya kecil Tenang ia sudah merosot lagi kepada 69 peratus sahaja. Ini disebabkan halangan hujan yang turun mencurah-curah sejak malam terakhir kempen menyebabkan kira-kira jam 11 pagi beberapa jalan-jalan ke pusat mengundi di sudah ditenggelami air. Antara yang paling awal tenggelam ialah Kampung Redong, Kampung Tenang, Pekan Ayer Panas, Felda Tenang, Tenang Station dan Bandar Labis. Melainkan di dalam kawasan Felda, laluan tidak tergendala kerana permukaan buminya lebih tinggi. Senario itu telah mencacatkan pergerakan pengundi dan ia merupakan faktor utama merosotnya jumlah keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Tenang.

Keputusan yang dijangka

Keputusan rasmi terpaksa diumumkan lewat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia juga kerana banjir. Hatta di pusat penjumlahan Dewan Serbaguna Labis turut digenangi air. Walhasilnya, BN mendapat undi 6,699, PAS pula 2,992 undi. Maka, majoriti BN ialah 3,707. Keputusan ini sudah dalam jangkaan banyak pihak. Ia sekaligus membenarkan penemuan kajian Merdeka Centre yang diumumkan tiga hari sebelum hari mengundi.

Bandingan pilihan raya 2008, BN memperolehi 6,367 undi dan PAS pula meraih 3,875 undi dan majoriti BN sebanyak 2,492. Maka pilihan raya kecil kali ini menyaksikan perubahan undi, iaitu BN bertambah 332 dan PAS merosot 883 undi. Sementara perubahan majoriti BN pula bertambah sebanyak 1,215 undi.

Apakah makna perubahan ini? Bagi BN ia suatu peningkatan sokongan dan PAS pula adalah suatu kemerosotan sokongan. Kenapakah PAS merosot? Satu daripada punca adalah
sebahagian pengundi PAS 2008 telah kembali kepada BN (mungkin seramai 332 undi yang menambah kepada BN) itu kerana telah diugut. Ia berikutan ada kes-kes dilaporkan demikian ekoran daripada kerjasama pengundi kepada petugas PAS. Sementara, seramai 551 mungkin tidak keluar mengundi, tidak balik mengundi atau kerana terkandas banjir. Jumlah ini dikatakan sama dengan jumlah pengundi PAS yang dikesan berada di luar Dun Tenang.

Justeru itu, kemungkinan pengundi tidak dapat balik mengundi disebabkan terkandas banjir adalah logik. Namun ada yang berkata, rahmat banjir itu telah memberi kesempatan kepada BN. Ini berikutan BN begitu ghairah untuk menang, lantas semua jentera kerajaan, termasuk askar, JPA3 dan Rela digunakan untuk mengangkut pengundi. Tanpa jentera ini, akan ramai pengundi BN tidak sedia keluar mengundi. Sedangkan PAS tidak berpeluang menggunakan semua kemudahan jentera kerajaan itu. Kelemahan ini menyebabkan pengundi PAS ramai terperangkap dalam banjir.

Analisis DAP

Pilihan raya kecil Tenang kali ini telah menyampaikan sesuatu mesej yang boleh dianalisis dari pelbagai sudut. Antaranya analisis bersifat perkauman bila mana agak ketara jurang nilai pengundian antara pelbagai kaum. Menurut penganalisis DAP, Tony Pua yang menulis menerusi twitter, kalangan pengundi India sokongan kepada BN telah meningkat daripada 30 peratus kepada 80 peratus. Sementara keluar mengundinya pula merosot 23 peratus.

Kalangan pengundi Cina pula, sokongan kepada PAS keseluruhannya dianggap tidak berubah sekitar 64 peratus dengan sokongan paling tinggi di LabisTengah sebanyak 72 peratus. Namun jumlah keluar mengundinya 18 peratus.

Amat luar biasa pula ialah sokongan kepada BN di kalangan pengundi Melayu didapati meningkat di semua daerah mengundi, iaitu melebihi 80 peratus dan paling ketara di Chempelak sebanyak 88 peratus.

Jelas sekali, analisis Tony Pua ini merupakan nilai perkauman yang dicanangkan oleh Umno-BN di Tenang.

Pola keluar mengundi berbeza

Natijahnya, Tenang yang mengandungi pengundi pelbagai kaum telah menterjemahkan sokongan orang Melayu Johor amat kukuh kepada Umno-BN. Dalam konteks Tenang, orang Melayu amat ghairah mengundi adalah bukti Umno-BN berjaya berkempen atas sentimen kaum. Sementara bukan Melayu begitu merosot keluar mengundi juga kerana tertekan dengan suasana kempen perkauman. Apa pun sentimen perkauman ini telkah disaluti keadaan cuaca, menyebabkan jumlah keluar mengundi semakin merosot.

Pada pilihan raya umum 2008 keluar mengundinya tidak sampai 75 peratus dan pada kalinya merosot lagi, iaitu tidak sampai 70 peratus. Faktor utama ialah kerana berlaku banjir. Walau bagaimanapun, ekoran banjir yang menyusahkan pihak pengundi untuk keluar mengundi didapati telah membawa kepada peningkatan sokongan kepada BN. Meskipun, dilaporkan ada pusat mengundi yang lengang berikutan ramai pengundi terkandas, tetapi keluar mengundinya tetap tinggi, antaranya ialah di Kg. Redong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Bahru yang melebihi 70 peratus. Kesemuanya ini adalah kawasan pengundi Melayu.

Namun, di kawasan pengundi Cina, iaitu sekitar bandar Labis keluar mengundinya didapati di bawah 60 peratus dan paling teruk di kawasan India iaitu di Ladang Bukit Dato hanya 47.5 peratus. Apakah ada permainan kotor di sebalik banjir itu? Mungkinkah ada hubungannya dengan tiadanya bantuan pihak tentera, JPA3 dan Rela di daerah mengundi ini?

Banjir untungkan Umno-BN

Dalam suasana banjir, perjalanan kempen amat tidak menyebelahi PAS-Pakatan Rakyat. Ia ada kaitan dengan peranan media maklumat utama pengundi Dun Tenang yang kuat dipengaruhi dan atau bergantung kepada media pro Umno-BN. Majlis ceramah dan perjumpaan anjuran PAS-Pakatan Rakyat banyak terganggu sambutannya kerana faktor cuaca. Begitu juga pergerakan perayu undi rumah ke rumah dan di tempat-tempat awam turut terjejas.

Sebaliknya, bagi Umno-BN aktyiviti berkempen musim cuaca hujan tidak mencacatkan misi kerana peranan akhbar dan televisyen sudah dianggap berjaya masuk ke setiap rumah pengundi. Siaran berita utama dalam televisyen sudah mempamerkan 100 peratus berita positif kepada calon Umno-BN dan 100 peratus pula negatif kepada calon PAS-Pakatan Rakyat. Begitu pula, peranan media cetak mahupun internet pro Umno-BN dapat diakses dengan mudah oleh pengundi. Sepertimana didedahkan oleh kajian agensi Alexa (The Web Information Company), sehingga 30 Januari 2011 didapati daripada sembilan laman berita utama nasional yang paling popular, lima laman adalah pro Umno-BN, dua bebas dan dua sahaja pro PAS-Pakatan Rakyat. Justeru suasana kempen musim cuaca yang tidak tenang, maka penyebaran maklumat awam laman berita itu sudah pasti menyebelahi Umnno-BN.

Harapan bersama

Sehubungan itu, takdir Ilahi telah menentukan keputusan pilihan raya kecil Tenang (30 Januari 2011) pastinya memberi banyak pengajaran untuk PAS-Pakatan Rakyat terus bangkit menghadapi pilihan raya umum ke-13. Segala-gala kelemahan dan kecacatan gerakan politik pilihan raya yang dipimpin oleh Haji Salehuddin Ayub (Pengarah Strategik) dan Dzulkefly Ahmad (Pengarah Operasi) sudah tentu boleh diperbaiki. Masa yang ada bukannya penghalang untuk PAS-Pakatan Rakyat terus mengukuhkan susunan gerakan tersebut. Pastinya, keazaman tinggi pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat seluruh negara merupakan penyubur harapan bersama rakyat untuk menyaksikan perubahan politik negara. Maka pilihan raya kecil Tenang di antara titik strategik boleh membantu ke arah kejayaan mengubah masa depan rakyat Malaysia.

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

Saya masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini setelah Nik Aziz menjadi penentu, dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....! juga jauh dihati saya.
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...! kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah negara Islam yang berdaulat!