Berikutan kenyataan ramai pemimpin Umno-Barisan Nasional yang mendakwa SPR sebuah badan pengurus pilihan raya yang bersih. Tiba-tiba Bersih 2.0 sudah menuntut lapan perkara yang membongkarkan nilai-nilai tidak bersih.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 yang dilihat menggeliatkan SPR adalah sebenarnya ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib. Namun kerana lapan tuntutan itu adalah menyentuh secara langsung kepada perjalanan pilihan raya, maka SPR selayaknya tergeliat. SPR sudah melenting tidak tentu pasal.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 yang dimaksudkan ialah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan hentikan politik kotor.
Sebenarnya di sisi SPR, kelapan-lapan tuntutan tersebut amat bergantung kepada keputusan kerajaan Barisan Nasional, terutamanya perdana menteri. Justeru setiap isu berbangkit, SPR tiada kuasa pemutus yang bebas.
PM perkuda SPR
Berdasarkan pengalaman lalu, SPR tidak boleh berbuat apa tanpa persetujuan perdana menteri. Maka SPR boleh memperkudakan SPR demi survival politiknya. Misalnya, dalam menguruskan persempadanan semula bahagian pilihan raya, sehingga kini beberapa negeri tidak dilakukan penambahan bilangan Parlimen dan Dun. Sedangkan isu persempadanan adalah fakta yang paling kritikal dari sudut kuasa rakyat dan tuntutan kuasa mengikut kaum. Betapa kuasa orang Melayu di Parlimen sudah dinafikan bertambah di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Malah, menurut sumber Terengganu dan Kedah dikatakan tidak berlaku tambahan kerusi Parlimen sejak persempadanan tahun 1983 lagi.
Berlaku demikian dikatakan kerana perdana menteri semasa persempadanan itu tidak bersetuju menambah sebarang kerusi dalam keadaan di negeri-negeri lain bukan jalur pengundi Melayu dilakukan tambahan kerusi.
Demikianlah dalam konteks tuntutan Bersih 2.0, SPR tidak ada kuasa meraikan sehinggalah perdana menteri berkata setuju atau tolak. Justeru tuntutan agar membersihkan senarai pemilih, pihak SPR mengatakan “tidak ada kuasa” Pihak yang berkuasa ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Maksudnya pihak SPR tidak boleh membersihkan senarai pemilih (mengeluarkan nama pengundi mati atau hilang kelayakan dari senarai) selagi mana pihak JPN tidak memperakukan mana-mana pemilih sebagai mati atau hilang kelayakan. Atas ketiadaan kuasa SPR sebegitu, maka munasabahnya dakwaan banyak ‘hantu’ dalam senarai pemilih. Maka ‘hantu’ yang banyak memungkinkan senarai pemilih di satu-satu Dun boleh dimanipulasi melalui pembikinan kad pengenalan klon atas nama yang mati atau senarai nama pemilih yang hanya ada pada nama, tetapi orangnya tiada.
Oleh kerana itu, bagi membolehkan SPR membersihkan senarai pemilih daripada pengundi ‘hantu’ Maka perdana menteri perlu bersetuju untuk meminda peruntukan perlembagaan bagi membolehkan pemilih yang kotor dapat dibersihkan.
Undi pos vs andvance voting
Hal undi pos pula, pihak perdana menteri sendiri ada kepentingan agar semua pengundi pos terus taat setia kepadanya. Jika semua polis dan tentera mengundi secara pos (memasukkan dalam karung pos) dan mengundi dalam kawasan kem/balai masing-masing. Maka kepentingan politik perdana menteri hendaklah dikawal ketat oleh ketua kem/balai. Sementara pihak calon lawan tidak akan mampu akses kepada ketua kem/balai. Pendekatan yang sama sudah digunakan oleh semua calon Barisan Nasional. Maka calon Pakatan Rakyat boleh sekadar berdoa tanpa layanan adil oleh ketua kem/balai. Ini realiti.
Apa pun, SPR turut mengumumkan urusan pengundian awal (advance voting)kononnya untuk membaiki proses pengundian pos, tetapi dalam masa sama undi pos tetap wujud dan akses kempen kepada pengundi pos hanya diberikan kepada Barisan Nasional. Pemimpin dan calon Barisan Nasional sahaja yang boleh akses berkempen di kalangan pengundi pos. Parti Pakatan Rakyat tetap dinafikan. Malah pernah ketua bahagian Umno Jeli menghadiahkan pelbagai ‘dowry’ untuk hidangan pengundi pos di Kem Batu Melintang dan Kem Batu 11 Kemahang. Turut didedahkan ialah bagaimana ketua Umno itu telah menggunakan kepala surat MTEN sebagai nota menyogok wang kepada individu tertentu. Bukankah itu sebahagian daripada amalan rasuah pilihan raya yang membabitkan jentera institusi awam?
Atas hal sedemikian, Bersih 2.0 menuntut agar kerajaan pimpinan Mohd Najib dapat mengukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan hentikan politik kotor. Jika dinisbahkan kepada kes ketua Umno Jeli itu, MTEN sudah diperalatkan dan kem tentera sudah menjadi lubuk parti politik dengan melayan satu pihak dan menafi satu pihak. Apakah demokratik pengundi pos dikekalkan jika demikian halnya? Apa pun, nilai yang paling kotor atas undi pos adalah manipulasi pihak pemimpin Barisan Nasional yang semacam direstui SPR apabila undi pos seringkali dikaitkan sebagai deposit tetap Barisan Nasional. Malah SPR tiada langsung kuasa menyekat sogokan wang. Hanya SPRM berkuasa menghalang rasuah dan sogok atau sebarang kempen kotor. Benarlah, SPR bukan badan bebas yang sebenar-benarnya bebas mengurus dan memastikan perjalanan pilihan raya berjalan dengan adil, telus dan bersih.
Biometrik yes, dakwat no
Satu perkara yang agak pelik dilakukan SPR ialah menolak penggunaan dakwat kekal (yang dituntut Bersih 2.0), tetapi bersetuju pula untuk menggunakan pengimbas biometrik kad pengenalan. Alasannya, kaedah biometrik boleh mengatasi pengundian lebih daripada sekali atau menghalang pengundi hantu. Sebenarnya alasan SPR ini (menolak dakwat, kemudian bersetuju dengan biometrik). Ia suatu keputusan yang masih boleh dipertikaikan. Ini kerana masih banyak kes yang didakwa wujudnya kad pengenalan klon/IC khas yang dicipta semata-mata untuk memboleh pengundi ‘upahan’ Umno-Barisan Nasional mengundi atas nama yang telah mati atau sakit yang tidak mengundi. Justeru kes sebegini tidak mampu diselesaikan oleh sistem biometrik.
Tambahan lagi, sistem biometrik itu sendiri masih boleh dipertikaikan kecekapan dan kemungkinan berlaku kelemahan teknikal dari segi penggunaan, selain kosnya agak mahal berbanding penggunaan dakwat. Apa pun tidak mungkin SPR menerima penggunaan dakwat kekal celup jari, meski pun penggunaan dakwat itu dikatakan lebih berkesan.
Kini SPR sudah alih tajuk dan misinya dilihat tidak tulus dan tidak mengakui adanya kekotoran dalam senarai pemilih. Ini kerana di dalam daftar pemilih sekarang, masih mengekalkan nama pengundi mati dan nama pengundi yang hilang kelayakan. Pastinya nama-nama itu boleh dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan.
Bersih 2.0 pertubuhan haram?
Meskipun Bersih 2.0 sudah difatwakan pertubuhan haram oleh menteri polis, ketua polis, kabinet kerajaan Barisan Nasional dan ulama’ pro-Umno, namun SPR nampaknya sudah mengakui di sebalik tuntutan Bersih 2.0 itu ada asas halalnya.
Buktinya sudah dua perkara, iaitu biometric dan advanvce voting adalah respons SPR terhadap tuntutan Bersih 2.0. Maknanya, respons itu sudah semacam mengiktiraf acara yang difatwakan haram. Mungkin selepas ini, Bersih 2.0 tidak memerlukan logo halal Jakim lagi, kerana SPR sudah membuat dua endorsemen daripada lapan. Atau sedikit masa lagi, kesemua lapan tuntutan Bersih 2.0 akan diberi logo halal oleh SPR.
Logiknya ada, kerana misi Bersih 2.0 adalah pembersihan perjalanan pilihan raya yang sebelum ini dikotorkan oleh campur tangan visi pemimpin Umno. Maka misi Bersih 2.0 itu sebenarnya ada dalam poemikiran SPR. Cuma pengerusi SPR dan yang sekepala dengannya sahaja yang mengikut-ikut cara kotor pemimpin Umno-Barisan Nasional. Justeru halal adalah tiket meraih pahala di sisi agama.
DPT
Pada 27 Julai lalu telah dibuka pameran daftar pemilih tambahan (DPT) suku ke-2 bagi 2011. Bagi parti-parti politik dan SPR sendiri menganggap ia sebagai satu peluang untuk membersih senarai pemilih. Apa yang penting ikhtiar parti politik harus menggerakkan ahlinya menyemak dan membuat bantahan atas nama-nama pemilih yang diragui statusnya.
Mengikut prosedur, pengundi boleh membantah atau menuntut atas senarai DPT dipamerkan. Tetapi sesuatu yang menyusahkan kerana pembantah perlu membayar dan selepas itu akan melalui proses perbicaraan antara pembantah dengan pemilih dibantah. Kedua-dua pihak perlu hadir untuk mempertahan/membela. Setiap bantahan yang ‘kalah’ perlu dibayar oleh pembantah kepada yang dibantah sejumlah maksimumnya RM200 atau sekadar RM50.
Prosedur ini dilihat tidak adil kepada pembantah kerana alasannya ia termasuk dalam urusan SPR yang menerima pendaftaran pengundi yang dimanipulasikan pihak tertentu semasa mendaftar. Atas kefahaman inilah, pihak pembantah ada asasmengesyaki mungkin ia ‘pengundi hantu’ yang diurus oleh pihak tertentu. Apakah mungkin SPR meminda prosedur ini? Ataukah pendaftaran pemilih secara automatik boleh menyelesai isu menghalang pihak berkepentingan mendaftar nama ‘pengundi hantu’ ini? Atas prosedur dan realiti sebeginilah tuntutan Bersih 2.0 adalah rasional. Sebaliknya pihak yang menentang/memperkecil lapan tuntutan itu adalah sebenarnya berada sebelah pihak yang tidak rasional. Logiklah SPR sudah tidak rasional.
Rumusannya, kedudukan status SPR pasca Bersih 2.0 adalah masih kekal sebagai ‘kuda tunggangan’ kepada pihak berkepentingan. Ia berlaku kerana masih terdapat keraguan nyata atas jasa-jasa SPR yang banyak dipertikaikan. Tunggu masa nanti, adakah SPR bebas sebebasnya? Hanya gelombang rakyat boleh memperbetulkan SPR melalui kempen menolak Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya ke-13. Apa pun, sebilangan rakyat masih mengharapkan SPR melakukan penambahbaikan bagi membersihkan perjalanan pilihan raya yang akan datang.
No comments:
Post a Comment