10 January, 2011

PrK Tenang: Calon Wanita

Isu calon pasti hangat diperkatakan setiap kali pilihan raya kecil (PrK). Hari ini iklim kepanasan mula terasa, meskipun kelihatan tenang di DUN Tenang. Ini berikutan pihak PAS sudah bermesyuarat semalam (9 Januari) dan pihak pula Umno melalui Ketua Wanita, Sharizat Abdul Jalil turut menamakan seorang pimpinan wanitanya dicadang bertanding.

Calon penentu kemenangan

Ura-ura hangat diperkatakan tentang parti/pihak akan bertanding ialah setakat ini ada tiga pihak yang bersedia mengemukakan calon bertanding. Dua pihak yang mewakili tradisi parti ialah Pakatan Rakyat yang diwakili PAS dan Barisan Nasional diwakili Umno. Sementara pihak ketiga ialah pihak bebas yang tidak berparti.

PAS telah rasmi bertanding berikutan keputusan mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu. Begitu pula, Umno sebagai penyandang tradisi di DUN Tenang sudah pasti telah menyenarai pendek nama calonnya. Sementara pihak bebas yang tidak parti turut mengumumkan akan bertanding, iaitu seorang yang mewakili pekerja ladang, G. Sivanandan, 50, merupakan pemimpin tempatan menganggotai Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Ladang (NUPW).

Pihak PAS pula setakat ini sudah hangat diperkatakan akan menamakan seorang pimpinan Muslimat Labis, Normala bte Sudirman seorang guru dan berstatus ‘isteri’. Begitu juga di pihak Umno nampaknya berminat kepada pemimpin wanita selaku calon, ekoran awal-awal lagi Ketua Wanita, Sharizat Abdul Jalil telah mencadangkan Ketua Wanita Labis, Haslinda Salleh (gambar-berbaju kurung) seorang guru berstatus ‘anak dara’ sebagai calon mewakili Barisan Nasional.

Apa pun MCA yang diketuai Chua Soi Lek tidak memprotes meskipun di situ kubu kuatnya, kerana beliau pernah menjadi ahli parlimen Labis yang sekarang diserahkan kepada anaknya, Chua Tee Yong (nepotisnya).

Jika benar, PAS dan Umno menamakan pimpinan dari kaum Hawa untuk berentap, pastinya berlaku persaingan kali ini berlaku dalam seimbang. Ini kerana kedua-dua pihak tidak mengemukakan tokoh yang sudah popular. Justeru jentera kempen kenalah berhempas pulas mempromosi calon.

Paling penting, faktor calon dalam pilihan raya kecil sering menjadi fokus dan bakal menjadi penentu kemenangan. Ini disebabkan calon dinilai secara telus dari pelbagai sisi (dalaman dan luaran). Namun, keberkesanan media kempen bakal membantu melariskan calon kalangan pengundi. Memandangkan di Tenang pengundi wanitanya agak seimbang dengan lelaki, sekitar 50.9% sudah tentu komitmen persetujuan pengundi lelaki kepada calon wanita bakal mengundang kemenangan kepada mana-mana pihak. Kesedaran terbaru Pakatan Rakyat untuk meramaikan penglibatan wanita dalam politik dan pembuatan keputusan sudah tentu membantu untuk menggerakan jentera PAS, KeADILan dan DAP ke arah kempen berkesan.

Namun, seharusnya media kempen calon dapat bertindak tuntas dan berupaya melakukan kempen balas. Berdasarkan pengalaman pilihan raya kecil Galas calon PAS diserang oleh media Barisan Nasional dengan fitnah 'khalwat' sehingga ke hari mengundi. Maka, mengambil langkah awal membenteng serangan fitnah jentera Barisan Nasional menjadi kemestian jentera kempen Pakatan Rakyat. Justeru kepada Allah kita berserah, semoga segala tipu daya lawan pasti dapat dipalitkan jua.

1 comment:

Anonymous said...

tolonglah jangan calon wanita,,, carilah calon lelaki. ramai yang berkeupayaan sebagai pemimpin...