Terkini isu hangat yang nampaknya masih panas bahangnya di sisi media cetak ialah isu kehadiran Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS ke majlis santapan malam pihak Yang Dipertuan Agong. Lapor media tertentu, majlis santapan itu turut dihadiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Dari mana punca berita, menyebabkan media melopornya begitu tidaklah dinyatakan. Dalam kenyataan media Mursyidul Am PAS, tidakpun dibuat sebarang pengesahan tentang pemimpin negara yang hadir, melainkan Presiden PAS dan Yang Dipertuan Agong. Maka tidak disebut hadir sama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Namun, apabila isu sama diajukan oleh pihak media kepada Perdana Menteri, ia semacam benar bahwa beliau turut bersama dalam majlis santapan itu. Mungkin pihak media (wartawan) bolehlah bertanyakan pula Timbalan Perdana Menteri untuk pengesahan.
Apapun tidaklah penting sangat tentang siapa yang hadir itu. Agak menarik untuk dipersoalkan, apakah isu yang 'dibualkan' oleh pimpinan atau nagarawan bersama Yang Dipertuan Agong? Paling teringin untuk menyoalnya lagi, tatkala Mursyidul Am PAS secara tegas menyatakan tidak bersedia menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa menghadap. Begitu juga turut ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS ialah agar mana-mana pihak tidak membuat andaian-andaian yang tidak menentu dan dapat menghentikan sebarang andaian yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana. Ini seruan jujur. Namun apa yang berlaku, nampaknya media cetak hari ini (Sinar Harian, 11.1.2011) sudah tidak hormat kepada seruan Mursyidul Am PAS! Buktinya muka depannya (gambar atas), disusuli dengan muka surat N6 (gambar bawah), sudah menyiarkan laporan berita yang tidak dipetik sumbernya. Malah ia dijadikan sensasi manipulasi yang bersifat sinisme.
Agak tidak sedap dibaca dalam laporan tersebut, bila dituliskan ayat-ayat berikut: Antara yang ditimbulkan secara ringkas dalam pertemuan itu adalah berhubung dengan isu kalimah Allah yang pernah menjadi hangat awal tahun lalu serta isu cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas, yang menemui jalan buntu kerana kedua-dua UMNO dan Pas belum menemui ‘titik persamaan’. Maka, saya yakin ini bukan bersumberkan sumber sahih. Ia adalah cuitan nakal yang cuba mengundang polemik dan terjahan mereka yang tak senang dengan ayat-ayat ini.
Justeru itu, Tuan Guru Mursyidul Am PAS sudah dengan tegas menjelaskan hari ini (11.1.2011) di Pejabatnya, bahawa cara laporan Sinar Harian tersebut sebagai pendekatan melaris jualan akhbar, isinya tidak tepat. Baginya kenyataan media sebelum ini masih kekal tak berubah. Demikian pula, Setiausaha Agung PAS ketika diminta mengesahkan tajuk muka depan itu, dengan tegas dinyatakan itu tidak benar. Ia turut disahkan oleh Pimpinan Umum KeADILan (sebagaimana disiarkan oleh akhbar sama di muka surat N2 - gambar sebelah) telah menganggap isu pertemuan itu telah selesai berikutan masing-masing pimpinan Pakatan Rakyat sudah menerima penjelasan. Justeru tidak berbangkit lagi nada dan maksud seperti mana cuitan Sinar Harian hari ini.
Semoga apa yang dipaparkan media cetak tersebut tidak mengenepikan fakta sebenar. Berfikirlah dengan tenang dan dengan hati nurani yang suci berbekalkan cahaya kebenaran Ilahi. Agar apa yang tersirat sedia menghasilkan kebaikan demi ummah.
No comments:
Post a Comment