Dalam Sinar Harian (SH, 27 Januari 11) amat mudah dibaca kerana kenyataan balas kepada media oleh calon Umno-BN, Mohd Azahar Ibrahim sudah jelas menghina pengundi Dun Tenang. Imej Mohd Azahar dilaporkan oleh akhbar ‘seriyal’ itu amat sensasi––kononnya bertujuan menyakinkan pengundi Tenang bagi pilihan raya kecil pada 30 Januari nanti.
Menurut catatan wartawan SH yang memilih tajuk “Tok Ai enggan terjebak permainan kotor” dikatakan Mohd Azahar kini menghadapi serangan demi serangan berbentuk peribadi daripada pembangkang, tetapi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim tetap tenang dan enggan terjebak dengan permainan kotor itu.
Seterusnya dilaporkan, Mohd Azahar tidak akan terikut-ikut dengan taktik pembangkang yang membuat serangan peribadi dengan menabur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadapnya. Ini kerana beliau bersikap ‘gentleman’ dalam meneruskan kerja-kerja berkempen, tanpa terikut-ikut dengan pembangkang yang membuat serangan peribadi.
Mohd Azahar ketika ditemui wartawan di di rumahnya (kenapa di rumah, tidak pergi berkempen) turut memberitahu sepanjang kempen, pihak pengundi tidak pernah menyentuh isu-isu peribadi yang menuduhnya cuai mengurus tanah menyebabkan ada pemilik tanah terlepas miliknya kepada pihak lain. Lalu menyifatkan pengundi tahu apa yang diperkatakan tentang dirinya seorang yang cuai semasa bertugas ADO adalah tohmahan dan fitnah semata-mata.
Apa pun, wartawan tersebut tidak pula menulis fakta-fakta terperinci butiran tanah sehingga menyebabkan dilelong oleh pihak bank. Sedangkan kes itu berlaku di bawah tanggungjawab Mohd Azahar yang ketika itu menjadi Penolong Pentadbir Tanah Segamat (2000-2006). Maka di sebalik kenyataan Mohd Azahar itu sudah jelas mengandungi pembohongan terbesar dalam sejarah pilihan raya kecil negara ini. Lagi berbohong apabila Mohd Azahar (tahun 2003) sebagai penjawat awam ketika itu mengatakan beliau hanya bertindak mengikut prosedur jabatan (Pejabat Tanah Daerah Segamat).
Apakah makna ‘mengikut prosedur’ sehingga tanah atas Lot 2091, Mukim Jabi Segamat itu terlelong tanpa kerelaan tuan punya. Apakah, peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 mengiktiraf ‘selot tanah’ yang dilelong tanpa pengetahuan tuannya adalah suatu seni pengurusan yang cekap?
Sekadar ingatan, Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib mengumumkan Mohd Azahar sebagai calon Umno-BN atas alasan kerana beliau merupakan anak tempatan, dan juga seorang berpengalaman (baca cekap dan tidak cuai bertugas) dalam hal ehwal tanah.
Apa yang terjadi, pihak Umno tidak melakukan scanning yang telus, lalu virus kotor tidak kelihatan. Ataukah, pihak Umno tidak menganggap kecuaian menjalan tugas sebagai pegawai daerah sehingga ‘memangsakan’ tuan tanah bukannya virus kecuaian?
Apa pun, sudah ada pihak yang mencabar, agar membuktikan bahawa calon Umno-BN, Mohd Azahar itu tidak terlibat dalam memangsakan tuan tanah sehingga berlaku kes “skandal lelong tanah.” Apakah pengundi Tenang boleh bertenang untuk undi calon yang ada skandal?
Calon Umno-BN itu turut dilapor berkata dalam akhbar (SH 27 Januari 11) sebagai berlaku "permainan kotor" dan "serangan peribadi" pihak PAS-Pakatan Rakyat ke atasnya. Apakah 'rekod kecuaian bertugas’ menyebabkan tanah milik terlepas milik itu sebagai isu peribadi. Sedangkan individu tuan tanah bertekad ingin melangsai bayaran sebelum tergadai, tetapi beliau kecewa kerana tekadnya sudah tidak dilayan. Apabila perkara tersebut mula terdedah, Mohd Azahar mengatakan ia suatu ‘permainan kotor pembangkang.’
Nyata sekali, isu ini bukannya peribadi lagi. Ia sebenarnya melibatkan integriti seorang calon pilihan raya kecil dan sekiranya terpilih ia adalah pemimpin di mata rakyat yang menguruskan semua urusan pembangunan untuk rakyat. Justeru ia memerlukan seorang yang berintegriti, cekap dan ikhlas. Sesungguhnya, ketiga-tiga sikap ini sudah tiada pada calon Umno-BN, Mohd Azahar Ibrahim. Antara buktinya di sini dipaparkan cabutan (gambar salinan) yang menyatakan kes tersebut dalam Mahkamah Tinggi melibatkan plaintif dan defendan Mohd Azahar Bin Ibrahim yang ketika itu menjalankan kuasa sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Daerah Segamat, Johor. Kes tersebut (No.24 (L) – 674 Tahun 2004) adalah melibatkan tanah atas Lot 2091 Mukim Jabi, Segamat Johor. Apakah semuanya ini suatu isu peribadi yang bersifat permainan kotor PAS-Pakatan Rakyat?
Di sebalik gambar salinan itu, muncul beberapa persoalan. Antaranya, apakah Mansor Mohamad (mangsa pertama) sebagai palintif dalam kes tuntutan tanah akibat dilelong kerana cuai dan semacam salah guna kuasa seorang Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada masa itu (dirujuk kepada Mohd Azahar Ibrahim), adalah kes yang bersifat peribadi yang tidak ada kena mengena dengan orang lain.
Cuba perhatikan, jalur kes ini bermula dengan saman pihak Mansor (palintif) kepada pentadbir tanah dan Bank Bumiputera Commerce. Itu sudah jelas melibatkan hal ehwal kepentingan awam, bukam peribadi. Ini kerana kesan cuai dan salah guna kuasa itu, ada pihak menjadi mangsa, iaitu munculnya individu lain (mangsa kedua) bernama Norhana Mohd Ali. Pihak Norhana pula telah menyaman balik, kerana tanah yang dibelinya (melalui lelongan) sudah dikaveat oleh mangsa pertama, Mansor. Mungkin Norhana sudah terasa dirinya tertipu!
Apa yang jelas, jawapan sekadar sedap di mulut oleh Mohd Azahar (Utusan online 26 Januari 11) adalah jawapan yang tidak bertanggungjawab, menyembunyikan fakta kes, menghina mahkamah dan amat serius ia turu menghina pengundi Tenang yang mengharapkan seorang bakal Adun yang berintegriti.
Paling malang lagi, sikap Mohd Azahar itu sudah jelas suatu pembohongan kepada pimpinan tertinggi Umno-BN, khusus Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib yang memilih beliau sebagai calon mewakili Umno-BN atas dasar beliau terbaik, cekap mengurus urusan tanah kerajaan/rakyat dan mempunyai integriti bersih yang boleh membawa aspirasi Umno-BN. Sehingga beliau dilihat berwibawa dan kredibel untuk membersihkan imej Umno-BN di Labis yang sudah kotor dan tidak berintegriti kerana mempunyai seorang ahli parlimen anak Soi Lek pengamal ‘makan luar’ bersama wanita bukan isteri.
Kembali kepada persoalan pokok, calon Umno-BN kini sudah terbukti sebagai seorang yang tiada integriti, tidak cekap (cuai) dan semacam ada niat berbohong (penipu). Ditambah pula, responsnya yang tidak berterus terang, maka ia sudah menjadi pembohong kepada parti dan pemimpin parti yang memilihnya. Selayaknya, kes cuai, salah guna kuasa dan bacaan umum atas dirinya sudah semacam ada niat menipu serta sudah berimej buruk sebagai calon pilihan raya yang bakal diplih oleh pengundi, maka mana-mana pihak yang mempunyai locus standi harus bertindak memprotes hatta membuat laporan kepada SPRM atas isu yang dihadapi oleh calon Umno-BN tersebut.
Paling mulia, pihak pengundi sendiri (mempunyai locus standi) seharusnya bertindak memprotes calon yang sudah tiada integriti. Ini kerana isu yang dinyatakan itu sudah bertaraf prima facie dengan apa yang telah dipamerkan oleh media dan pihak mangsa sendiri. Semoga Tuhan yang Maha Esa akan memberi kekuatan kepada mana-mana peguam untuk mengusung kes calon Umno-BN ini sampai ke Putrajaya.
No comments:
Post a Comment