02 December, 2010

Ketuanan Melayu - siapa salah?

Kebelakangan ini sudah hangat diperkatakan isu ketuanan Melayu. Ia ada kaitan rapat dengan agenda politik parti Umno selaku pemerintah Pusat. Lebih menghangatkan tatkala munculnya golongan ultra-Malay seperti pertubuhan Perkasa dan beberapa NGO yang menjadi penyambung suara Umno di luar kotak politik. Apa pun, isu ketuanan Melayu menjadi semakin tajam dibicarakan oleh media milik pemerintah Pusat apabila muncul idea terbuka yang menafikan nilai-nilai ketuanan selama diperjuangkan oleh Umno dalam konteks kepentingan dan hak orang Melayu. Terbaru, pandangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak konsep ketusanan Melayu dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula menganggap ketuanan Melayu sebagai slogan digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa. Anggapan ini jelas ditujukan kepada pemimpin Umno.

Ketuanan Melayu itu mulia?

Persoalannya, apakah adanya kemuliaan di sebalik nilai-nilai ketuanan Melayu yang didikirkan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang rata-rata pejuang Umno. Marilah sama-sama meneliti firman Allah SWT (Surah Al Hujurat, ayat 13): “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.

Persoalan penegasan Allah ini telah disebutkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam blognya sebelum ini (1 Oktober 2010): “Satu-satu bangsa itu akan menjadi hebat apabila bangsa itu mencapai tahap kemuliaan dan diperkasakan dengan ketakwaan. Kemuliaan bermakna beriman dengan penuh yakin dan istiqamah kepada ajaran Islam. Sementara takwa merupakan ukuran kehebatan dan keperkasaan bangsa itu berusaha menegak apa yang diperintah (perkara maaruf) di sisi Allah dan sentiasa meninggalkan malah mencegah daripada melakukan apa yang dilarang (perkara mungkar) di sisi Allah. Maknanya nilai bangsa itu akan dipandang hebat apabila ia mencapai tahap kemuliaan dan ketakwaan menurut acuan Allah SWT. Bukannya hebat bangsa itu kerana namanya atau kuatnya semangat perkauman Melayu atau Cina atau India dan sebagainya.”

Maka di sisi agama, nilai Melayu mahupun ketuanan yang dicanangkan tidak mempunyai apa-apa makna sekiranya kekuatan nilai akidah Islamiah tidak dijadikan teras. Sejarah Islam cukup mengukirkan ketamadunan bangsa di dunia Islam adalah berpaksi nilai-nilai tamadun berteraskan agama. Meskipun, bangsa Arab yang majmuk di Madinah semasa kepimpinan Nabi Muhammad SAW turut menikmati sifat madaniah yang aman dan sejahtera.

Ketuanan Melayu milik elit

Soalnya kenapa pemimpin Umno tidak yakin dengan kekuatan Islam sebaliknya terus bebal dengan nilai-nilai ketuanan bangsa? Mungkin jawapan yang munasabah ialah kerana segolongan elit Melayu di dalam Umno tidak yakin dengan kekuatan ketuanan Islam, atau memang mereka sedia menjadi hamba kepada fahaman kebangsaan, atau kerana mereka memang tidak nampak realiti kekuatan teras ajaran Islam dalam konteks kontemporari. Justeru itu, soal nilai ketuanan Melayu itu tidak lebih hanya permainan Umno untuk tujuan hidup (survival) elit mereka.

Seorang pensyarah IPTA tempatan memberi komen spontan atas isu Umno: “Layakah Umno berlagak sebagai tuan bagi orang Melayu, sedangkan mereka itu didapati telah melkaukan beberapa tindakan yang tidak bermaruah sepanjang menguruskan kepentingan negara dan rakyat Melayu? Selama ini pun orang Melayu sudah tertipu apabila sempadan bahagian pilihan raya tidak ditambah di negeri-negeri ‘the Malay belt’ menyebabkan jumlah kerusi parlimen dan Dun orang Melayu tidak ditambah sejak 30 tahun lepas.”

Sehubungan itu, tambah pensyarah itu lagi, “amat mengejutkan kita lagi, apabila pihak Pusat menafikan orang Melayu di Kelantan dari segi royalti minyak sebanyak lima peratus. Sehingga mereka sanggup pula memunggah minyak dan gas dari perut bumi Kelantan dinaikkan di Thailand dan Terengganu. Ini semata-mata kerana Kerajaan Negeri Kelantan adalah kerajaan parti PAS. Nampak jelas maruah ketuanan Melayu sudah dijadikan alat bagi kepentingan elit penguasa kalangan Umno. Kalau demikian, bagaimana Umno boleh jadi tuan kepada orang Melayu?”

Melayu dalam Perlembagaan

Berdasarkan kenyataan tersebut, turut dilihat kegagalan Umno mewakili sifat ketuanan Melayu ialah dalam konteks menjaga Islam sebagai agama bagi orang Melayu. Lantaran itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan dalam suatu responsnya, turut mempertikaikan "ketuanan Melayu yang diperjuangkan Umno, kerana Umno sendiri gagal mendaulatkan Islam. Sedangkan Islam adalah sebagai agama dan identiti bangsa bagi orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan (Perkara 160).

Menurut Tuan Guru, soal agama Islam dalam konteks Umno amat diragui ekoran kelantangan pemimpin dan menteri Umno yang sangat marah kepada pemimpin DAP (sebelum) dan pemimpin KeADILan (terbaru) kerana membaca ayat al-Quran. Sedangkan dari segi Islam, al-Quran itulah penyambung hidayah Allah untuk umat Islam atau insan yang belum Islam. Cuba rujuk semula sejarah, bagaimana kisah Saidina Omar al-Khattab mula tertarik dengan ajaran Islam dan kemudian memeluk Islam setelah membaca ayat-ayat suci al-Quran di rumah adik kandungnya. Justeru cara pemimpin Umno itu sudah menggadai kebaikan Islam semata-mata taksuban politik yang bencikan DAP dan KeADILan.

Sedangkan soal Islam yang diperundangkan di dalam Perlembagaan tersebut telah menjelaskan kedudukan orang Melayu amat rapat kaitannya dengan Islam adalah tidak boleh dipertikaikan. Justeru nilai orang Melayu sudah tiada soal lagi, mesti berpaksikan Islam. Perkara 160 mengenai tafsiran Melayu menyatakan: "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Sehubungan itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari turut menegaskan hakikat Islam adalah agama persekutuan yang sepatutnya diperundangkan dan diamalkan di dalam setiap segi kehidupan di Malaysia ini. Kenapakah pemimpin Umno memandang sepi kenyataan ini?

Justeru itu, sifat pemimpin Umno termasuk juga kolumnis Sinar Harian, Aziz Deraman (1 Disember 2010) agaknya sangat marah kepada Datin Seri Wan Azizah kerana mengeluarkan kenyataan “ketuanan Melayu ditongsampahkan dan ketuanan Melayu itu sebagai slogan digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa.”

Realiti atau tidak, betul atau salah dan benarkah Wan Azizah mengungkap kata-kata sedemikian bukan soalnya. Apa yang harus diungkitkan di sini benarkah Umno, pemimpin Umno, aktremis ketuanan Melayu dan pihak-pihak pencinta Melayu sudah cukup kuat memperjuangkan nasib Melayu sebagai tuan dalam negara ini?

Ketuanan tetapi dhaif

Suatu realiti yang mudah dilihat dan direnung ialah isu kedaifan orang Melayu dalam negara ini. Hakikatnya kedaifan Melayu telah menjadi modal politik berterusan golongan elit Umno sebagai penguasa atas semua urusan pembangunan negara dalam segenap kali pilihan raya. Soalnya, realiti kedaifan itu salah siapa, puncanya di mana dan kenapa? Dalam konteks elit penguasa yang menguruskan isu-isu kedaifan itu, ia adalah terpikul pada bahu pemimpin Umno yang berkuasa. Kenapa sepanjang Umno berkuasa sudah lebih 50 tahun) Melayu sebagai tuan terus daif dan logikkah kedaifan Melayu dipersalahkan ke atas pihak pemimpin politik yang tidak berkuasa? Atau, adilkah kedaifan itu patut dipersalahkan ke atas bahu orang Melayu yang daif itu sendiri.

Lihat sahaja impak penguasaan parti Gerakan bersama Umno sebelum ini di Pulau Pinang. Natijahnya sudah berapa luas tanah-tanah kepunyaan Melayu sudah bertukar tangan kepada orang lain. Tidak kurang pula terlalu rendahnya kesedaran politik Melayu Pulau Pinang, sehingga sekarang ini tidak kurang daripada 200 ribu pemuda-pemudi Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih. Belum dikira lagi sejumlah ribuan projek ekonomi atas kuota Melayu-Bumiputera sedia dijaja dan dialibabakan. Di manakah hebatnya Umno menjaga ketuanan bangsanya sendiri?

Fikirlah untuk menukar ketuanan

Orang Melayu masih lemah dalam ekonomi. Sedangkan kerangka kemajuan kononnya sudah dibina oleh pemimpin negara––zaman Tun Razak menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan zaman Najib diperkenalkan pula Model Ekonomi Baru (MEB) yang tidakpun baru!

Persoalannya, apakah kegagalan DEB dan MEB nanti adalah kerana orang (Melayu) yang daif tak pandai nak membebas diri dari daif kepada maju? Maka, adakah benar segolongan elit penguasa sebenarnya gagal menterjemahkan agenda bertindak untuk mendaulatkan nilai-nilai ketuanan Melayu seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan? Jika persoalan ini diteliti dengan rasional, adalah benar dakwaan Wan Azizah itu. Realitinya, segolongan elit yang berkuasa gagal, bukan orang Melayu yang menanggung kedaifan itu yang gagal. Adatnya yang daif bergantung kepada elit dan segala-galanya yang elit boleh melakukan yang terbaik untuk membantu yang daif.

Provokasi murahan

Apa pun, ucapan Wan Azizah berkenaan ketuanan Melayu itu telah menjadi bahan provokasi yang tidak bermaruah pada muka depan Utusan Malaysia (1 Disember 2010). Akhbar yang pro-Melayu itu cuba membangkit kemarahan pembaca terhadap Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Lebih-lebih lagi pada tag-linenya tertulis “Anwar, Wan Azizah wajar diusir kerana tolak ketuanan Melayu.” Lalu mendapat reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sinar Harian & Utusan Malaysia, 1 Disember 2010) yang menganggap kenyataan Wan Azizah boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Sebenarnya, bukan rakyat yang resah sebaliknya pemimpin Umno yang berada dalam keresahan kerana nilai-nilai ketuanan Melayu yang menjadi buah keramat politik Umno sedang dilodehkan. Justeru tidak berbangkit soal Wan Azizah perlu memohon maaf secara terbuka kepada Raja-Raja Melayu (seperti diasak oleh beberapa NGO pro-Umno) kerana yang diungkitkan oleh Wan Azizah bukan ketuanan dalam konteks Raja-raja Melayu, tetapi ketuanan Melayu yang dislogankan oleh pemimpin Umno. Maka, mungkinkah isu ketuanan Melayu bakal menyaksikan MCA, Gerakan dan MIC berpaling?

Ketuanan Islam

Tiada apa dengan ketuanan Melayu. Ia tidak lebih daripada permainan slogan pemimpin Umno demi nyawa dan survival politik. Justeru Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyarankan kita semua kembali menegaskan komitmen untuk mendirikan ketuanan Islam bagi semua kaum di Malaysia. Ini kerana ajaran Islam adalah rahmat untuk sekalian alam (rahmatal-lil’alamin). Maka, Mujahid Yusof (2010) menulis dalam bukunya “Kita kan orang Malaysia” juga menggagaskan Melayu selaku keturunan tidak mungkin mendahului Islam! Hakikatnya Melayu memerlukan Islam untuk bangkit sebagai tuan yang mencipta semula tamadun bangsa.

Maka selama ini, Umno yang salah kerana terus bebal dengan slogan menjaga elit mereka kononnya membela Melayu dengan nilai ketuanan bangsanya. Apa pun, bangsa yang kuat beragama adalah memiliki ketuanan yang sejati, iaitu ketuanan Islam yang berpaut sepanjang masa pada kehendak Allah SWT. Semoga Allah SWT memberkati semua umat yang cintakan Islam dan bangsanya yang sentiasa beragama.

2 comments:

tungkaran hati.blogspot said...

Perjuangan PAS lebih bermaruah tanpa PKR dan DAP.
Keujudan PAS dalam PR hanya sebagai Babi tunggangan sahaja.
Tak percaya? Tanyalah sama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Anonymous said...

Apa dah jadi dgn tungkaran hati ni weh! Parti PAS sudah dilihat sbg babi. Umno gadai maruah ko MCA dilihat sbagai binatang apa pulak?