Tiga aspek pembangunan
Menariknya bajet 2011 ialah kerana ia mencerminkan hasrat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan ulamak menggariskan perbelanjaan secara berhemat bagi memenuhi kesejahteraan rakyat dengan tumpuan kepada tiga aspek penting dalam pembangunan, iaitu penjanaan ekonomi, pembinaan insan dan pembelaan golongan rakyat.
Memahami ketiga-tiga aspek tersebut, masing-masingnya mempunyai makna khusus dan memenuhi prinsip Membangun Bersama Islam yang menerapkan keadilan dan kesejahteraan untuk dinikmati sama rata kalangan semua rakyat. Penjanaan ekonomi adalah suatu perancangan bagi mencetuskan pertumbuhan yang bakal dinikmati dan bakal menyeimbangi pendapatan dan merapatkan jurang kaya miskin semua lapisan rakyat. Sementara pembinaan insan pula sudah pasti berpandukan kepada tiga teras utama, iaitu bekerja sebagai satu ibadat (ubudiah), melaksana tugas dengan penuh tanggungjawab (masuliah) dan mengutamakan pencapaian berkualiti/cemerlang (itqan). Kemudian pembelaan golongan rakyat pula adalah suatu fokus Kerajaan Negeri ke arah penambahbaikan prinsip cakno (caring) pemimpin terhadap rakyat yang memenuhi amalan perkongsian rezeki (sharing) dan sumbangan (giving) kepada keluarga/individu yang daif, miskin, orang kurang upaya, anak yatim, warga emas dan ibu tunggal (armalah). Kesemua aspek ini sudah pasti menjadi tumpuan bagi memastikan pendekatan penyayang menyantuni semua bidang pertumbuhan ekonomi, sosial dan insaniah rakyat Negeri Kelantan.
Strategi bajet defisit
Asas pembinaan bajet 2011 Negeri Kelantan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Dato’ Husam Musa kali ini adalah berdasarkan punca hasil yang dianggarkan berjumlah RM410,887,757.35. Anggaran ini adalah munasabah berpandukan pendapatan hasil Negeri Kelantan sebenar tahun 2009 ialah RM334,810,477.86 dan anggaran tahun 2010 sebanyak RM387,378,415. Ini bermakna pertambahan anggaran 2010-2011 adalah sebanyak RM23,509,342.35.
Logiknya pertambahan anggaran ini bersandarkan keyakinan terhadap langkah-langkah pengupayaan pengurusan kewangan yang lebih cekap dan berhemat serta kesungguhan meraih punca hasil baru menerusi projek yang sedang dijalankan bakal mendapat hasil pertemgahan tahun 2011. Di antaranya projek pembangunan Bandar Baru Tunjong, pembangunan sektor perladangan kelapa sawit dari syarikat Kerajaan Negeri, pembinaan ruang niaga oleh Perbadanan Menteri Besar, perundingan premium tanah melibatkan agensi pembangunan wilayah seperti Kesedar di Rantau Manis seluas 10,000 hekter, langkah penambahbaikan pengurusan kewangan pihak berkuasa tempatan dan kutipan tunggakan di pelbagai jabatan Kerajaan Negeri.
Meskipun begitu, bajet kali ini turut menganggarkan sebanyak RM464,134,690 perbelanjaan mengurus yang membawa implikasi nilai defisit sebanyak RM53,246,932.65. Jumlah defisit ini lebih besar berbanding 2010 yang melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM416,881,439 dengan defisit hanya RM29,503,024.. Kenapa defisit diperbesarkan? Ia sebenarnya suatu strategi bajet bagi membolehkan Pegawai Kewangan Negeri memohon peruntukan dari Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pembiayaan imbuh defisit. Strategi ini adalah suatu langkah pemikiran strategik dalam konteks sumbangan hasil dari rakyat dan bumi Kelantan yang tidak dipandang kecil oleh Kementerian Kewangan. Ia setidak-tidaknya dapat mengimbangi kesan amalan menganaktirikan Kelantan dari segi tanggungjawab pemberian geran di bawah prinsip persekutuan yang kurang dipatuhi.
Sekadar disebutkan rekod amalan menganaktirikan itu sebenarnya berlaku dengan cara melambat-lambatkan atau menafikan langsung pemberian geran wajib Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Antara yang dilambat-lambatkan ialah pemberian geran per kapita penduduk, jalan persekutuan, pertumbuhan hasil dan geran pihak berkuasa tempatan. Malah berlaku penafian langsung pemberian geran bekaan air sedangkan negeri dikuasai Barisan Nasional dilayan sebagai geran dan geran perumahan rakyat.
Pergantungan kepada hasil tradisi
Walaupun demikian keupayaan Kelantan berdikari tidak boleh diragui. Sejarah yang dilalui menunjukkan upaya kewangan mengurus pembangunan negeri sudah teruji selama dua dekad lalu. Kuasanya berada pada amalan tadbir urus terbaik berprinsipkan kerjasama selesa pemimpin dan pentadbir menjayakan amanah dengan penuh kesederhanaan, berhemat, cermat dan tidak boros. Ia adalah kunci utama kenapa Kelantan berjaya mempamerkan integriti bersifat berkat––sekatan demi sekatan dikenakan tetapi masih kental berdikari––malah berupaya membayar hutang, menaikkan gaji kakitangan perkhidmatan awam dan mencetuskan projek berkebajikan sehingga menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain dan Kerajaan Pusat.
Mungkin kelebihan itu disebabkan prinsip kesederhanaan (wasatan) dalam mengurus bajet yang kuat bergantung pada hasil yang dijana oleh semangat kerjasama antara rakyat dan pemimpin. Justeru kira-kira 61 peratus daripada punca hasil adalah disumbangkan oleh aktiviti tradisi rakyat, iaitu hasil tanah (RM107,213,613) dan hasil hutan (RM144,207,000) yang kesemuanya berjumlah RM251,420,613. Atas fajta inilah ada pihak yang menganggapkan pergantungan kuat pada hasil tradisi ini menunjukkan ekonomi Kelantan tidak berkembang. Namun harus diingat, penjanaan secara berterusan sektor ekonomi berterusan adalah aset kukuh yang mampu menampung sebarang kemelesetan ekonomi. Prinsip ini terpakai secara meluas di kebanyakan negara maju. Oleh itu, amat tidak tepat telahan yang cuba menegatifkan tradisi punca hasil Kelantan ini.
Tinggal lagi, strategi dan program yang menghasilkan nilai tambah hasil Negeri Kelantan perlu dilihat di dalam dua perspektif ekonomi, iaitu pertama pengekalan bersifat ekonomik dalam sektor pembangunan tanah dan perhutanan, dan kedua penjanaan sektor ekonomi hiliran yang disokong oleh penyertaan rakyat dan para pelabur di dalam pelbagai sektor ekonomi baru seperti perniagaan, perkhidmatan dan pembuatan. Sesungguhnya menerusi bajet penyayang kali ini, nampaknya ada kunci bagi membuka kedua-dua persepktif ini.
Penjanaan ekonomi penyayang
Sesungguhnya menjadi hasrat Kerajaan Negeri Kelantan memajukan kedua-dua perspektif ekonomi yang bersifat mesra ke arah pertumbuhan dan penambahan hasil secara jangka panjang. Antara kuncinya yang disebutkan oleh Dato’ Husam yang dilihat selaku planner di sebalik bajet penyayang ialah pelaksanaan amalan sharing dan giving yang bakal mengukuhkan punca hasil di dalam rangka memperkasa daya sumbang (pemberian) berasaskan paduan erat (kerjasama) antara Kerajaan Negeri dengan pemodal dan rakyat.
Dalam konteks ini, kunci utama disebutkan hendaklah bermula daripada pihak kerajaan yang seharusnya mempamerkan daya pengurusan beritqan berlandasakan nilai-nilai ubudiah dan masuliah. Meskipun pranata (regulation) yang melengkapi prinsip ini tidak sempat dihuraikan oleh Dato’ Husam semasa penggulungan bajet 2011 tersebut. Namun khalayak pentadbir dan sidang dewan negeri seduah dapat menangkapnya sebagai teras kejayaan penjanaan ekonomi penyayang. Justeru apabila diterjemahkan kepada gerak kerja pasca bajet, kesemua kekangan ke arah penambahan hasil tradisi hendaklah diurus secara smarts working di beberapa sudut kritikal di pelbagai jabatan dan agensi serta badan berkanun, termasuk pihak berkuasa tempatan.
Strategi yang dianggap wajar ialah menilai dan membina semula (reinventing) sudut kritikal punca hasil seperti mana berikut:
1. meningkatkan upaya kutipan hasil yang tertunggak,
2. memperkemaskan langkah-langkah berdikari di badan berkanun (misalnya Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darul Naim),
3. meningkatkan jumlah pembayar cukai pintu di dalam kawasan perkhidmatan majlis daerah yang berpotensi,
4. menyemak semula butiran perjanjian usaha sama yang lapuk supaya boleh menambahkan hasil,
5. menyediakan kepakaran pengurusan fiskal khususnya di bahagian tanah, hutan dan majlis daerah,
6. mengurus tender dan kontrak projek secara terbuka bagi menutup segala lubang yang mungkin menyebabkan ketirisan,
7. mengkaji semula kadar premium berkaitan dengan pembangunan tanah dan perhutanan sesuai dengan nilai ekonomi masa depan,
8. menyediakan skim insentif khas kepada mana-mana jabatan atau agensi serta badan berkanun yang berjaya melepasi sasaran hasil tahunan, dan
9. meluaskan lagi anugerah khidmat cemerlang kepada semua pihak pengurus kewangan fiskal terbabit yang didapati berjaya melonjakkan hasil melepasi 25 peratus sasaran hasil tahunan.
Apa pun, nilai-nilai yang bersifat political-will atau keazaman tuntas pihak yang berkaitan sudah pasti bakal menyumbang kejayaan dalam sembilan sudut kritiakal di atas.
Program insaniah dan membela rakyat
Sebagaimana dinyatakan pada awalnya, strategi bajet penyayang turut mengambil kira dua teras perkhidmatan agihan rezeki (dilivery) kepada golongan rakyat. Fokusnya adalah menyburkan nilai-nilai keinsanan dan mengupayakan golongan rakyat dari kumpulan serba ‘kekurangan’ berteraskan pentadbiran Islam. Sehubungannya, kumpulan sasar adalah generasi belia, warga emas, keluarga miskin dan daif, OKU, anak yatim, armalah dan mana-mana galongan yang wajar dibantu.
Oleh itu, program yang sedia dipamerkan di dalam bajet 2011 itu, selain meneruskan program cakno dan sumbangan kebajikan sebelum ini, turut ditambah dengan program baru yang disifatkan program ‘penyayang.’ Kesannya Kerajaan Negeri telah memperuntukkan di bawah butiran ‘perkhidmatan dan bekalan’ sebanyak RM80,290,080 iaitu peningkatan sebanyak RM16,686,860 berbanding bajet 2010 sebanyak RM63,603,220. Kandungan program dari jumlah peruntukan butiran ‘perkhidmatan dan bekalan’ itu, termasuk program sedia ada dan baru yang berkonsepkan penyayang ialah:
1. Khas program Orang Asli––pembangunan Orang Asli (RM200 ribu), kebajikan orang bukan Islam/Orang Asli (RMRM1 juta), dakwah Orang Asli/bukan Islam (RM150 ribu);
2. Program belia dan wanita––aktiviti belia (RM2 juta), kebajikan dan pembangunan wanita (RM1.5 juta), latihan belia/wanita (RM300 ribu), sumbangan lelaki berkahwin-Gerbang Azziwaj (RM1.5 juta);
3. Kebajikan pelbagai lapisan rakyat–– kebajikan OKU (RM500 ribu), bantuan penyakit kronik (RM500 ribu), skim kifalah (RM5 juta), rumah du’afaat (RM4.7 juta); skim al-It’am berupa bantuan beras keluarga miskin (RM1.5 juta),
4. Sumbangan ekonomi––bertani satu ibadah (RM300 ribu), usahawan berdikari (RM2 juta), usahawan tani (RM150 ribu); subsidi baja padi (RM2 juta), program biotek (RM200 ribu); input pertanian (RM200 ribu), jaringan pasaran desa (RM200 ribu), bumi hijau (RM100 ribu), jihad ternak (RM200 ribu), Industri desa (RM500 ribu), lembu fidlot (RM300 ribu), program pertanian contoh (RM200 ribu), pertanian organik (RM200 ribu), galakan pertanian dan ternakan untuk rakyat miskin (RM550 ribu)
5. Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM12.691 juta)––sumbangan untuk armalah, anak yatim, bantuan am dan bantuan khas bulanan keluarga/individu miskin serta bantuan sekolah;
6. Pembangunan pendidikan Islam menerusi Yayasan Islam Kelantan (RM60 juta), one-off pendidikan (RM800 ribu), pembangunan pondok/pusat tarbiyah (RM200 ribu), ;
7. Program insaniah warga Dun––pembangunan insan (RM1.2 juta), program rakyat miskin (RM1.2 juta), pembangunan ICT desa (RM500 ribu), pembangunan sumbr manusia (RM200 ribu), pembelaan rakyat miskin (RM1.2 juta), bantuan elektirik dan air bersih (RM1 juta), Desa Taqwa (RM300 ribu);
8. Prasarana dan perumahan rakyat––rumah awam kos rendah (RM4 juta), jalan, longkang/parti, rekreasi, lorong belakang, tempat perhentian kenderaan, keindahan bandar, perlongkangan pekan, kesihatn awam (RM9 juta);
9. Pembangunan fizikal, projek ekonomi masa depan dan pelbagai kemudahan asas termasuk jalan dan jambatan serta saliran dan pantai yang diuruskan melalui jabatan-jabatan seperti perhutanan, kerja raya, pengairan dan saliran, pertanian, vateriner, perikanan, pembangunan negeri dan perbendaharaan negeri adalah kesemuanya berjumlah tidak kurang daripada RM179.49 juta.
Komitmen beramanah untuk rakyat
Secara keseluruhannya, strategi bajet 2011 Negeri Kelantan merupakan suatu pembuktian terbuka dan penerusan kepada polisi kewangan dan fiskal negeri yang mengutamakan pelaksanaan amanah kepimpinan untuk rakyat. Ia suatu nilai ubudiah dan masuliah berdasarkan perintah Allah SWT (dalam Surah An-Nisa’ ayat 58) bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Oleh itu, penumpuan kepada aspek pembangunan insaniah disokong oleh kemajuan jasmaniah adalah misi penting bajet demi penyuburan takwa bagi mendapat limpahan berkat daripada Allah. Ia sekali gus memenuhi tuntutan pentadbiran secara beragama (berpandukan iman dan takwa) yang digambarkan oleh Allah SWT (dalam Surah Al-A’araf ayat 96) bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Selanjutnya semua lapisan rakyat wajar bersyukur dan sentiasa mendoakan limpahan nikmat rezeki seperti mana perintah Allah SWT (dalam Surah Saba’ ayat 39) bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya dan Dia juga menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan (belanjakan), maka Allah akan menggantinya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki." Ironinya bajet Negeri Kelantan bagi tahun 2011 mencetuskan harapan baru bagi mencapai matlamat pembangunan Negeri meliputi keperluan jasmani dan ruhani secara sekali gus. Semoga ia bakal memperkukuhkan lagi prinsip pembangunan Negeri Kelantan di bawah pranata Membangun Bersama Islam pasca mendepani penilaian rakyat dalam pilihan raya umum ke13 nanti.
No comments:
Post a Comment