Politik tali hayat
Kecut perut dengan keputusan pilihan raya umum 2008 mungkin isu pokok membayangi keputusan terbaru itu. Asasnya, BN sudah hilang kuasa dua pertiga. Agak perit lagi apabila kalah di Perak, Selangor dan Pulau Pinang serta gagal merampas kuasa di Kelantan. Diikuti dengan gagal di lapan daripada 11 pilihan raya kecil. Maka, strategi politik talian hayat hendaklah dijayakan demi survival elit Umno yang sedia berdepan dengan asakan rakyat. Justeru projek indoktrinasi warga pendidik (guru) dengan isian politik amat wajar bagi Umno/BN.
Sebelum ini, sudah berlaku strategi talian hayat menggunakan media massa. Namun ia dilihat tidak memadai. Realitinya, ia tidak berpada dengan hanya mainan media sekadar memutar-belit isu-isu yang menghentam parti-parti dari Pakatan Rakyat (PR) untuk demoralise PR. Ternyata Umno/BN masih memerlukan ’orang’ untuk menjadi jurubicara talian hayatnya. Maka, kelicikan politik menterinya (mungkin menteri itu ialah Tan Sri Muhyidin Yassin) untuk terus berkuasa dilihat sebagai sudah bersedia melalui jalan pintas untuk kekal berkuasa. Maka warga pendidik yang merupakan sasaran dianggap tepat. Ini kerana warga pendidik yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran merupakan dua pertiga yang terdiri daripada pemegang ijazah dianggap oleh pemimpin Umno sebagai jentera terbaik untuk mencipta semula (reinventing) keyakinan rakyat kepada parti yang sudah tua itu.
Mainan menteri atau KSN?
Apa pun di sebalik pengumuman tersebut terdapat persoalan. Kenapakah kebenaran berpolitik hanya kepada guru DG41 hingga DG48, bukan kategori pegawai di dalam perkhidmatan awam? Kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak menjawab persaolan ini, ia sekadar menjelaskan bahawa kebenaran itu tidak membabitkan Pengetua dan Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan. Mungkin ini mainan menteri bukan KSN!
Positif untuk guru?
Apa yang penting kebenaran itu bakal membuka peluang kepada 140,000 guru yang sudah 17 tahun dilarang aktif berpolitik. Maka kebenaran yang akan berkuat kuasa 1 Ogos ini sudah tentu dapat memenuhi selera politik sesetengah guru. Pastinya positif untuk guru tersebut kerana mereka memang bercita-cita untuk menyumbang bakat dalam merakyatkan pendidik menerusi parti politik.
Namun, ada sedikit kegusaran seperti mana diluahkan oleh Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang menerima keputusan itu dengan perasaan berbelah-bahagi. Baginya sebelum ini, walaupun kerajaan menghalang guru daripada terbabit dalam politik sudah berlaku pelbagai masalah di sekolah akibat perbezaan pandangan guru dalam politik. Jadi timbul kekhuatiran ia akan memburukkan keadaan kecuali guru terbabit mampu bersikap profesional dan meninggalkan parti politik yang dianggotai di pintu pagar sekolah, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Demikian juga, Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Anuar Ibrahim turut menganggap keputusan itu sebagai amat tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada guru untuk berkongsi pandangan mereka dalam bidang politik.
Nada yang sama turut dinyatakan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad yang mengharapkan guru yang ingin berpolitik perlu bijak membahagikan masa antara tugas sebagai pendidik dan politik. Menurutnya lagi, berdasarkan sejarah negara, politik digerakkan oleh guru kerana golongan ini mengutamakan bakti kepada negara serta perkhidmatan mereka sebagai pendidik.
Bolehkah guru bersama politik pembangkang?
Apa yang penting, kebebasan berpolitik telah dibuka, namun seperti dijangkakan ia sekadar untuk politik Umno/BN. Secara sah dan berpandukan pengalaman dulu-dulu tidak akan ada warga pendidik yang diberi kebebasan sama untuk aktif dalam parti politik pembangkang.
Secara logik, jika dibenar secara bebas (boleh masuk parti politik pembangkang), sudah tentu akan bergema nada politik kependidikan yang akan merugikan Umno. Maka tidak alasan untuk berkata positif bagi KSN dalam melaksanakan strategi yang merugikan parti pemerintah. Pastinya menteri pendidikan akan dikutuk oleh pemimpin Umno, termasuk NGO seperti Perkasa atau seangkatan dengannya.
Apa yang menariknya, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerusi Presidennya Omar Osman, turut berharap kebenaran itu turut diperluaskan kepada semua 350,000 pegawai pada gred jawatan yang sama dan tidak terhad untuk guru saja. Maka, pihak kerajaan BN perlu lebih rasional bagi memastikan kuasa pentadbiran dan perkhidmatan awam mantap dan berkesan jika mahu mempertimbangkan rungutan presiden CUEPACS itu.
Ulasan spontan
Sehubungan pengumuman warga pendidik boleh berpolitik, ada pihak yang membuat ulasan sepontan bahawa tinddakan itu adalah membuktikan Umno berada di dalam kebimbangan yang memuncak. Mungkin itu adalah strategi politik jangka pendek menteri pendidikan untuk mencari kelebihan politik peribadinya dalam menguruskan jawatannya menunju ke puncak. Itupun jika pilihan raya umum ke-13 menjanjikan penerusan hegemoni Umno/BN. Jika sebaliknya berlaku, maka warga pendidik adalah pihak yang mencetus politik baru bagi mengubah demokrasi mengasak kepada demokrasi terbuka. Sama-sama kita saksikan nanti, kerana guru adalah insan yang membangunkan insan, termasuk insan politik.
No comments:
Post a Comment