Begitu juga, penafian hak royalti itu turut dinyatakan (sebelum itu, 12 Januari) oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Atas sikap itu, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad (13 Januari) menganggap Mustapa sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu royalti minyak untuk negeri berkenaan. Kenyataan Idris itu mungkin berasaskan kenyataan Mustapa yang menganggap tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang beroperasi sejak 1984 sebagai tidak berasas. Di samping, sebelumnya beliau juga menafikan hak Kerajaan Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan-kawasan bertindih atau dikenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia–Thailand.
Berikutan itu, pihak media telah mendapatkan reaksi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa lawatan di Kolej YIK Kok Lanas. Menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, kenyataan dari pemimpin UMNO (merujuk kepada Dr Awang Adek) adalah membayangkan Kerajaan Negeri Kelantan tidak pandai mentadbir dan dijadikan alasan untuk tidak menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Negeri.
Hakikatnya, menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa pemimpin yang mentadbir negeri hari ini adalah yang diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun lalu terbukti lebih ‘pandai’ mengurus harta rakyat berbanding Kerajaan Pusat. Menurutnya, Kelantan jauh berwibawa berbanding pimpinan mereka (BN) yang terbukti telah mengamalkan dasar rasuah, berbanding pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa bersikap telus.
Tuan Guru mengemukakan contoh; beberapa bangunan yang dibuat oleh kerajaan BN khususnya di Terengganu (merujuk kepada tadium) dan Perak (jambatan gantung Kuala Dipang) didapati runtuh. Jambatan, masjid dan sebagainya terjadi sampai runtuh adalah akibat tidak pandai mengurus di samping boleh jadi berlakunya amalan rasuah. Contoh khusus, seperti mana perbelanjaan projek sebuah jambatan dibina oleh pihak BN di Kampung Beris Jambu yang panjang ‘sejengkal’ bernilai RM12 juta melebihi harga sepatutnya. Jika dibandingkan dengan harga jambatan yang dibina oleh Kerajaan PAS di Kelantan di Panchor berdekatan rumah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar, labih pajang dan jauh lebih rendah hanya RM9 juta sahaja.
Sehubungan itu, realiti fakta pentadbiran pincang kerajaan BN dapat dipamerkan dengan beberapa contoh lagi; betapa kes dihadapi kerajaan Kelantan sekarang berhubung dengan keputusan mahkamah dalam kes tuntutan Timbermine berjumlah RM800 juta juga adalah warisan pentadbiran pincang kerajaan BN ketika itu yang tidak pandai mengurus krisis, menyebabkan Negeri Kelantan menanggung beban.
Demikian pula jika diimbau kepada permulaan Kepimpinan Ulamak menerajui pentadbrian negeri pada 1990 dulu, banyak beban tertanggung akibat tidak pandai mengurustadbir atau governance yang lemah kerajaan BN sebelumnya. Antaranya beban hutang dengan kerajaan Pusat mencecah RM760 juta, kemudahan asas yang terabai, ketirisan dalam amalan tender balak, kegagalan pelaburan pembangunan tanah di Lojing dan masalah penerokaan haram tanah dan pembalakan haram secara meluas.
Dalam konteks Kelantan, demikianlah rekod prestasi pentadbiran kerajaan BN. Jika dibuat penelitian kepada rekod pentadbiran BN di negeri-negeri lain pula, boleh jadi lebih banyak kepincangan yang boleh dipaparkan. Misalnya, di Pahang sahaja berlaku beberapa pendedahan berhubung salah urus sumber alam hutan dan tanah tinggi. Antaranya, pendedahan aktiviti pembalakan haram di sekitar Rompin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pernah merekodkan lebih 200 kesalahan perhutanan dalam satu tahun, pernah berlaku saman pihak pembalak kepada kerajaan negeri, dan pencemaran serta penggondolan di Cameron Highland. Belum lagi dinilai dari segi keberkesanan pembangunan pelbagai agensi pelaksana.
Apapun penilaian dan persepsi yang cuba dibina di sebalik perkembangan isu di Kelantan, pihak pemimpin BN dilihat mengutamakan motif politik. Oleh itu, setiap tindakannya adalah cuba untuk memenangi hati rakyat dengan apa cara sekalipun. Maka, dalam kes royalti lawan ehsan, rakyat dijadikan alasan untuk tidak melayani tuntutan Negeri Kelantan. Namun, pihak BN di Kelantan sekarang ini dilihat terdesak untuk menegakkan fakta yang songsang sehingga terpaksa menyeleweng maksud perjanjian antara Petronas dengan Negeri Kelantan yang membenarkan Kerajaan Negeri dibayar wang tunai sejumlah lima peratus daripada hasil minyak.
Rakyat Kelantan sudah cekap membaca nilai wang ehsan yang akan diterima rakyat jika pihak pemimpin BN menguruskan perbelanjaan. Sudah ramai mula bercakap, "jika wang ehsan diberi kepada JPP, hakikatnya orang Umno yang akan dapat”. Malah ada pula yang menterjemahkan, "di sebalik projek akan berlaku agihan wang politik”. Misalnya, peruntukan kepada seorang ahli parlimen BN berjumlah RM1 juta, maka boleh difahami hanya RM500 ribu yang sampai kepada rakyat, RM500 ribu lagi adalah terlekat dalam poket pemimpin Umno. Walaupun pemimpin Umno menafikan, tetapi itulah persepsi awam dan gambar yang terpampang di mata rakyat. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, "Umno bertuhankan wang, maka matlamatnya adalah wang.” Mungkin rakyat Kelantan cukup memahami firasat tersirat daripada ungkapan itu.
Justeru itu, secara simboliknya perhimpunan solat hajat (28 Januari) menghimpunkan puluhan ribu rakyat adalah jawapan secara objektif hakikat sokongan rakyat yang menolak tindakan mempolitikkan wang hasil minyak. Dan hasrat rakyat mahukan royalti bukannya ehsan. Maka, tindakan dan usaha serta perjuangan kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedang bergerak dilandasan yang betul. Sebaliknya pula, gerakan politik songsang Datuk Seri Mustapa sudah tergelincir daripada kehendak dan aspirasi rakyat.
Semuga Tuhan Yang Esa menutupi hati-hati orang-orang mukmin daripada menerima apa-apa sikap songsang para pemimpin bertaraf duniawi.
No comments:
Post a Comment