23 December, 2010

Negara Islam: Rasionaliti politik dan pentadbiran berteraskan agama

Kenyataan yang jelas, Islam adalah mempunyai ketuanan yang tinggi menurut Perlembagaan Persekutuan. Sekaligus ia positif kepada menjadikan Perlembagaan sebagai rujukan penting ke arah merealisasikan pendekatan beragama di dalam urusan politik pemerintahan dan pentadbiran negeri dan Negara. Perkara 3 menyebutkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Sultan/Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama Islam. Justeru memperkukuhkan amalan Perkara 3 ini tidak bemaksud memperbaharui sistem demokrasi dan raja berperlembagaan, hatta jauh sama sekali daripada mewujudkan sistem negara berteras teokrasi mahu pun teodemokrasi.

Ini kerana kerajaan teodemokrasi tidak sesuai dengan maksud Perlembagaan. Teodemokrasi sebagai satu sistem politik yang menggabungkan prinsip teokrasi dan demokrasi. Jika demokrasi difahami sebagai kerajaan hasil mandat rakyat, sementara teokrasi adalah kerajaan mengikut persetujuan Tuhan. Konsep teodemokrasi ini dicipta oleh Joseph Smith Jr seorang bangsa Amerika yang mengaku bertemu Tuhan bersama Nabi Isa tahun 1820. Namun mengikut sistem politik teokrasi seorang Ketua Negara itu hendaklah mendapat pengiktirafan Tuhan. Nilai-nilai ini tidak bertepatan dengan kehendak Perlembagaan.

Maka, perjuangan Islam PAS bukanlah sama dengan teori Joseph Smith Jr., kerana Islam sudah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran yang perlu dilaksana mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan. Tinggal lagi, sejauh mana ahli politik mempunyai political will ke arah menterjemahkan Islam sebagai cara hidup bernegara. Apa pun, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah menerangkan kandungan “cara hidup” itu hendaklah merangkumi keseluruhan aspek hidup dari dunia sampai ke akhirat dan hendaklah berpandukan nilai-nilai dosa dan pahala. Sudah tentu ia memerlukan pemakaian sistem Islam yang menyeluruh.

Ketuanan Islam mengikut Perlembagaan

Justeru itu, kedudukan Islam yang mempunyai nilai ketuanan dan bertaraf inklusif dalam sistem pemerintahan menurut Perlembagaan wajar dijelma dan diamalkan lagi dalam konteks perundangan syariah, urusan pemerintahan dan pentadbiran. Di samping itu, peranan Sultan dan Yang Dipertuan Agong selaku ketua hal ehwal agama Islam menurut Perkara 3(2) yang pastinya mempunyai hak mutlak dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri. Kuasa mutlak itu bukan sekadar harus diterjemahkan dalam urusan politik dan pentadbiran untuk kepentingan umat Islam, malah perlu diterjemahkan sama dalam soal ritual beragama yang perlu dilihat secara meluas dalam konteks urusan pentadbiran dan kemasyarakatan serta perundangan dalam Kerajaan Negeri dan Pusat. Matlamatnya adalah untuk mengukuhkan akidah Islam sebagai way of life (ad-din).

Demikian pula, kedudukan umat Islam dan taraf orang Melayu selaku pemacu kepada pemerkasaan amalan sistem dalam segenap kehidupan turut tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 153 yang memberi hak kepada Yang Dipertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Malaysia. Perkara ini secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan menyediakan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial. Justeru Perkara 153 hendaklah dibaca dan difahami bersama dengan maksud di bawah Perkara 160 (2) yang mentafsirkan orang Melayu mempunyai hak khusus dengan identitinya beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu. Justeru menjadi hak orang Melayu melaksanakan semua tuntutan agama Islam, bahasa dan adat budaya dalam konteks politik dan pentadbiran negara. Apa yang penting difahami ialah Perkara 160 (2) adalah pengiktirafan berkaitan dengan pemberian hak-hak istimewa Melayu dan Islam yang perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah. Demikian lagi, kesemua isu-isu di sebalik Perkara 3, Perkara 153 dan Perkara 160 (2) seharusnya dipersetujui untuk dibaca dan difahami bersama pentafsiran kepada butiran-butiran di bawah Perkara 3 berkaitan kuasa Sultan/Yang Dipertuan Agong di negeri-negeri di dalam Persekutuan, maka logiknya pemakaian sistem Islam perlu direalisasikan dalam amalan politik pemerintahan dan pentadbiran negeri dan negara bagi membolehkan prinsip Islam diterima pakai secara menyeluruh. Sekaligus untuk menafikan wajah Malaysia atau negeri-negerinya adalah sekular.

Secara langsung, pemahaman yang harus dibina dalam pemikiran dan keyakinan setiap warga negara hari ini ialah menjadi tanggungjawab penguasa yang berkuasa membuktikan sistem hidup rakyat Malaysia berpandukan sistem Islam bukannya sistem yang bersifat sekular. Ini disebabkan hubungan Islam dalam konteks ajaran Islam bukannya dikhususkan kepada amal ibadat fardu ain, fardu kifayah, malah terangkum sama ialah bagaimana berlakunya amal maaruf dan nahi mungkar dalam kehidupan masa kini sebagai landasan menuju akhirat. Justeru itu, sekali umat Islam mendapat mandat dan berkuasa, maka persoalan peraturan hidup yang mampu mengawal seluruh sistem ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan dan diplomatik harus dilaksanakan berteraskan Islam. Cuma harus dilaksanakan bersama-sama ialah nilai-nilai dan kerangka politk dan pentadbiran yang adil bukan sahaja kepada umat Islam malah terhadap umat selain Islam. Justeru itu, amat penting mandat dan kuasa itu dilaksanakan mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang turut memberi hak-hak dan kebebasan kepada semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama, seperti maksud Perkara 3 (hak agama Islam dan agama lain), Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 10 (kebebasan bercakap), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan beberapa perkara lagi.

Karpal Singh setuju untuk bincang

Di dalam memahami hubungan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Karpal Singh, pernah di dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 pada 19 Disember 2009, Tuan Guru menyifatkan 'di dada Karpal Singh ada bulan', merujuk kepada lambang PAS adalah bulan. Langsung Tuan Guru menerjah Karpal dengan penjelasan isu-isu Islam yang diperjuangkan PAS. Sebelum itu, Karpal yang duduk di tengah-tengah antara dua Tuan Guru––Tuan Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi––sebelum berucap telah menjadi perhatian perwakilan konvensyen. Semasa berucap, Karpal secara berseloroh dengan nada bangga kerana duduk di antara dua “Tok Guru.”

Apa pun selepas itu (28 Jun 2010), Karpal Singh dalam temu bual bersama The Malaysian Insider telah mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep Negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara. Ia suatu pendirian lama Pengerusi DAP itu tetap menolak gagasan pembentukan konsep Negara Islam diperjuangkan PAS .

Ketika itu Tuan Guru Nik Aziz (Utusan Malaysia, 1 Julai 2010) berkata, beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar. Ini bermakna Tuan Guru sendiri masih yakin persoalan Negara Islam atau perjuangan Islam masih di dalam perhatian pihak DAP atau kalangan pemimpin mereka masih berbincang rasionalitinya perjuangan Islam dan sejauh mana relevannya perjuangan Islam dalam konteks Malaysia. Ini kerana, pada pilihan raya umum 1999, DAP pernah dalam Barisan Alternatif bersama PAS dan ketika itu, nilai kompromi DAP turut menerima prinsip perjuangan Islam PAS. Tetapi tidak panjang, tatakala media memomokkan Islam dengan pelampau dan keganasan, maka DAP undur dari Barisan Alternatif.

Maka pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2, keyakinan Tuan Guru telah berlaku meskipun tanpa kehadiran Tuan Guru disebabkan keuzuran. Karpal Singh sudah bersikap baru terhadap Islam yang diperjuangkan PAS selama ini.

Sebagaimana pengakuan Karpal Singh yang pernah mengungkap kata-kata “langkah mayat saya dulu” pada 1990 adalah merujuk kepada rasa tidak setuju beliau terhadap PAS mengambil alih Kerajaan Negeri Kelantan yang sedia melaksana sistem politik dan pentadbiran Islam. Apa pun Karpal mengaku, kata-kata itu adalah difahami ‘di luar konteks.’ Maksudnya pihak Karpal sudah mengambil masa selama 20 tahun untuk masuk ‘ke dalam konteks.’ Mungkin ketaksuban terhadap sekularisme, lalu Karpal melihat Islam sebagai agama rasmi (sebenarnya agama bagi Persekutuan) yang tetap membenarkan rakyat yang beragama selain Islam adalah bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Justeru Karpal sudah mengaku (ketika Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat) bahawa Perlembagaan Persekutuan telah membolehkan urusan Negara Islam diterima-pakai. Sehubungan itu, Karpal telah menawar suatu perbincangan isu Negara Islam disegera. Ini kerana pihak Barisan Nasional sentiasa mentohmahkan isu Negara Islam sebagai modal untuk melaga-lagakan antara PAS dengan DAP.

MCA pun tentang Negara Islam

Ketika Dr. Mahathir mengisytihar Malaysia sebuah negara Islam, MCA ketika itu senyap bersahaja. Tiada apa-apa bangkangan dan reaksi negatif. Ia mungkin disebabkan pemimpin MCA yakin dengan apa yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir sebagai kerajaan Islam yang berbeza dengan apa yang digambarkan oleh media tentang matlamat Negara Islam diperjuangkan oleh PAS. Bagi MCA, Negara Islam versi Umno hanyalah meneruskan kedudukan yang sedia ada, tanpa undang-undang berpandukan al-Quran. Ia kekal dengan mengamalkan perundangan Barat yang sudah menjadi makan-minum dan kain-pakai serta bangun-tidur mereka.

Namun pada (14 Ogos 2007), MCA menerusi laman webnya pernah mengeluarkan kenyataan MCA harus membela, melindungi dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dalam mengekalkan Malaysia sebagai Negara Sekular. Di sini membuktikan pengiktirafan MCA kepada apa yang diisytiharkan oleh Dr. Mahathir telah ditarik balik tatkala Abdullah Ahmad Badawi mengemukakan Islam Hadhari yang membatalkan Islamisasi dan Malaysia Negara Islam versi Umno. Ini bermakna, Umno yang berlagak juara orang Melayu sudah mempunyai rakan yang tidak menyokong Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan politik Islam. Justeru itu realiti sekarang, prinsip Ketuanan Melayu Umno adalah mendukung Negara Sekular demi menjaga hati rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Oleh itu, Umno dilihat gagal memberi kefahaman sebenar tentang konsep Negara Islam kepada rakannya.

Temubual e-mail

Wartawan The Malaysian Insider telah menemuramah menerusi e-mail Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (21 Disember) antara soalan panas yang dikemukakan adalah mengenai kesediaan Karpal Singh (Pengerusi DAP Kebangsaan) untuk membincangkan isu Negara Islam yang selama ini menjadi perdebatan antara PAS dan DAP, pandangan mengenai perubahan yang diambil Karpal yang sebelum ini menentang keras cadangan Negara Islam, kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan Karpal bagi membincangkan dan menjelaskan isu Negara Islam ini secara terperinci, keyakinan atas isu Negara Islam akan diterima oleh rakyat khususnya bukan Islam dan bagaimana isu Negara Islam sebelum ini tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga tidak disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hasil respons Tuan Guru atas persoalan tersebut, The Malaysian Insider melaporkan (21 Disember 2010) dengan tajuk “Negara Islam: Kesediaan Karpal cabaran buat Umno-BN, kata Nik Aziz” adalah mencetuskan suatu persepsi positif kepada masa depan isu Negara Islam untuk difahami dan diterima rakyat. Malah perubahan yang diambil Karpal itu, bagi Tuan Guru adalah membuktikan kerjasama Pakatan Rakyat yang turut dianggotai KeADILan amat sesuai dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, Tuan Guru telah mengutuskan rakaman tahniah dan terima kasih khusus kepada Karpal Singh berikutan ucapannya di majlis Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat (19 Disember 2010) di Kepala Batas.

Selanjutnya, The Malaysian Insider melaporkan kesan kenyataan Karpal itu bagi Tuan Guru, dari segi politiknya ia sudah mematikan serangan Umno terhadap PAS. Mungkin MCA pula boleh mempersoalkan, sejauh mana pendirian Umno dalam isu pemerintahan Islam. Bagi PAS memang sentiasa bersedia untuk berbincang mengenai isu Negara Islam dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Maka PAS ataupun Sakretariat Pakatan Rakyat boleh menguruskan sesi perbincangan yang diharapkan oleh Karpal. Kalau boleh perbincangan itu nanti boleh dilibatkan sama ahli akademik atau pakar-pakar perundangan bagi memahami secara spesifik isu-isu berkaitan pemerintahan dan keadilan Islam.

Seterusnya, Tuan Guru menjelaskan, walaupun dalam Perlembagaan tidak disebut secara spesifik “Negara Islam” sebenarnya Perkara 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah cukup menjawab. Hakikatnya Malaysia sebuah negara yang sah untuk mendukung prinsip politik dan pentadbiran Islam. Pakailah tafsir Perlembagaan yang positif, tidak pesimis tentang Islam. Kerana ‘agama persekutuan’ dalam maksud agama bagi negara, bukan sekadar rasmi malah agama perundangan. Maka sewajarnya dalam Perlembagaan itu dijelaskan maksud agama ialah ‘ad-din’ iaitu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, bukan kepercayaan semata-mata. Bila dimaksudkan sebagai ad-din, ia sudah meletakkan Islam sebagai akidah yang mantap tidak boleh dicampur aduk dengan nilai-nilai yang bukan Islam.

Menuju realiti

Pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seiringan dengan Tuan Guru Abdul Hadi (The Malaysian Insider, 20 Disember), malah semua kepimpinan Pakatan Rakyat harus membawa isu pemerintahan negara berteraskan agama seperti maksud Perlembagaan ke persada politik nasional. Ia selari dengan kedudukan Islam sebagai centre stage kepada wajah politik Malaysia sejak awal merdeka lagi. Kini wajah politik ini sedang diusahakan oleh PAS. Cuma rakan-rakan Pakatan Rakyat masih berada pada takat ujian, apakah pemahaman sebenar tentang kedudukan Islam dapat diterima pakai ke arah merealisasikan suatu sistem politik dan pentadbiran negara yang Islamik. Rumusannya, ruang perbincangan sudah terbuka dan usaha selanjutnya harus disegerakan demi kebaikan negara dan umat Islam.

21 December, 2010

TG Nik Aziz respons pendirian terbaru Karpal Singh

BERIKUT DIPAPARKAN RESPONS YAB TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT BERHUBUNG SIKAP TERBARU KARPAL SINGH TENTANG NEGARA ISLAM SEBAGAI MANA PEMULA SOALAN (QUESTIONS FEEDING) OLEH SYED MU’AZ (The Malaysian Insider):


Soalan kepada Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Assalamualaikum,

Saya ingin dapatkan komen Datuk Nik Aziz mengenai kesediaan Karpal Singh (Pengerusi DAP Kebangsaan) untuk membincangkan isu negara Islam yang selama ini menjadi pendebatan antara PAS dan DAP.

Jadi bagaimana Datuk melihat perkembangan dan perubahan yang diambil Karpal yang sebelum ini menentang keras cadangan negara Islam namun kali ini mula berubah untuk membincangkannya?

Adakah Datuk selaku Musyidul AM PAS akan mengadakan pertemuan dengan Karpal bagi membincangkan dan menjelaskan isu negara Islam ini secara terperinci?

Adakah Datuk yakin isu negara Islam akan diterima oleh rakyat khususnya bukan Islam termasuk juga pemimpin Umno yang dilihat akan menjadikan isu ini sebagai salah satu modal untuk menyerang Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP?

Bagaimana dengan komen penganalisis politik Prof A. Aziz Bari yang mengatakan isu yang dilihat “duri dalam daging” dalam hubungan DAP-PAS, tidak memerlukan perbincangan? Aziz Bari juga menyebut isu negara Islam tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga tidak disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Daripada,

Syed Mu'az Syed Putra
Wartawan The Malaysian Insider


Jawapan:



Tuan Syed,

Berikut adalah respons TG Nik Abd Aziz mengenai kenyataan Karpal, seperti mana tuan utarakan:

1. Terima kasih atas pendirian terbaru Tuan karpal Singh. Ia suatu petanda apa yang PAS perjuangkan selama ini
banyak membawa kebaikan untuk semua kaum.

2. Sikap terbaru Karpal S itu sebagai tanda juga membuktikan politik kerjasama melalui Pakatan Rakyat amat sesuai dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama. Ia satu cabaran kepada Umno yang memang menolak asas-asas Islam dipakai dalam politik.

3. Memang bersedia untuk berbincang atas isu negara Islam. Kerana bagi PAS sentiasa mengamalkan prinsip terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja. Pihak parti PAS ataupun sakretariat Pakatan Rakyat boleh menguruskan sesi perbincangan. Kalau boleh perbicangan itu nanti boleh dilibatkan sama ahli akademik atau pakar-pakar perundangan bagi memahami secara spesifik isu-isu berkaitan pemerintahan dan keadilan Islam.

4. Dengan kenyataan Karpal S itu, ia sudah menjawab semua keraguan yang timbul sebelum ini. Dari segi politik ia sudah mematikan
serangan Umno terhadap PAS. Mungkin MCA pula boleh mempersoalkan, sejauh mana pendirian Umno dalam isu pemerintahan Islam.

5. Walaupun dalam Perlembagaan tidak disebut secara spesifik "Negara Islam" sebenarnya Artikel 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah cukup menjawab. Hakikatnya Malaysia sebuah negara yang legalise untuk mendukung prinsip politik dan pentadbiran Islam. Saya syorkan pakailah tafsir Perlembagaan yang positif, tidak pesimis tentang Islam. Kerana agama Persekutuan dalam maksud agama bagi Negara, bukan sekadar rasmi malah agama perundangan. Maka sewajarnya dalam Perlembagaan itu dijelaskan maksud agama ialah "ad-din", iaitu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, bukan kepercayaan semata-mata. Bila dimaksudkan sebagai ad-din, ia sudah meletakkan Islam sebagai akidah yang mantap tak boleh dicampur aduk. Oleh kerana itu, Islam sebagai sistem hidup yang harus dipakai sama dalam urusan politik pemerintahan.

Wallahu'alam.

Sekian.

BACAAN LANJUT DALAM The Malaysian Insider.

12 December, 2010

Umno tak layak bincang soal pimpinan Islam

Merujuk kenyataan dua ketua bahagian Umno, iaitu Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh (Sinar Harian-edisi online, 11 Disember 2010) dan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman (Sinar Harian-edisi Kelantan, 11 Disember 2010), maka saya menganggap kedua-dua mereka itu tidak layak bercakap mengenai kepimpinan Islam. Ini kerana parti Umno itu sendiri tidak pernah berniat untuk memartabatkan Islam sebagai teras kepimpinan negara.

Kunci kepada kenyataan dua ketua bahagian itu adalah respons kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perlantikan timbalan perdana menteri Malaysia seharusnya dari kalangan seorang muslim yang soleh. Bagi saya, kenyataan Tuan Guru ini adalah suatu prinsip jelas dalam kepimpinan Islam, maka apabila ia dipadukan kepada individu yang bernama Lim Kit Siang yang kebetulan Penasihat parti DAP, maka ia sudah kelihatan suatu polemik yang menimbulkan penolakan total pihak Umno. Jelas terserlah kebebalan Umno di dalam menghayati maksud tersirat Tuan Guru sebagai tokoh uyang tegas memperjuangkan asas dakwah di dalam bentuk olahan politik Islam.

Apabila meneliti respons Fatmi itu (atas), ia jelas tidak bersetuju lalu menyifatkan kenyataan Tuan Guru sebagai kenyataan politik. Demikian pula Zawawi yang baru setahun jagung memegang ketua bahagian telah meletakkan taraf kenyataan Tuan Guru sebagai kebudak-budakan.

Justeru Fatmi mahupun Zawawi (sebelah) boleh dianggap mewakili pemikiran pemimpin Umno yang begitu alahan (alergic) tatkala membincangkan soal kepimpinan politik, bila mana isu kepimpinan dipadukan dengan nilai-nilai kempimpinan Islam. Ia semacam cuba mengelakkan daripada menerima hakikat teras kekuatan Malaysia hari ini adalah Islam biukannya kaum. Oleh itu, ramai pemimpin Umno dan penyokong mereka menganggap kenyataan Tuan Guru sebagai aancaman kepada poerjuangan Umno dan Barisan Nasional itu sendiri.

Sehubungan itu, kenyataan dilapor media tersebut boleh fahami sebagai respons yang jelas membayangkan sikap hipokrit pemimpin Umno terhadap Islam. Maka kenyataan Fatmi dan Zawawi sebenarnya boleh dijadikan disifatkan sebagai kebudak-budakan bukannya kenyataan Tuan Guru yang kebudak-budakan.

Ini kerana kenyataan itu, awal-awal lagi didapaati bercanggahan dengan prinsip kebebasan dan hak-hak beragama individu warganegara Malaysia. Di samping itu, kenyataan tersebut dilihat sebagai tidak menggambarkan sifat orang Melayu yang beragama Islam yang cuba mempermainkan usaha dakwah dalam konteks seruan Islam.

Sementelah pula, ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam sendiri yang telah menetapkan ukuran akil baligh di dalam menentukan dosa dan pahala, sedangkan Lim Kit Siang sebagai orang yang akil baligh, peguam dan politicians berpengalaman, amat pasti ia amat matang dengan pendiriannya tentang agama. Justeru kenyataan itu yang turut memperlekehkan kewibawaan Lim Kit Siang sekaligus menggambarkan sikap pemimpin Umno yang tidak menghormati kepimpinan pihak lawan yang jelas bercanggah dengan sunnah Raslullah SAW. Malah ia suatu kedangkalan dalam memahami nilai diplomasi politik dalam negara ini.

Sebagaimana Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai Perdana Menteri pertama di dunia ini yang memartabatkan Islam di dalam pemerintahan tidak pernah pun menyebut fasal ‘bangsa-bangsa’ jauh sama sekali menerima pakai prinsip kebangsaan di dalam menguruskan politik dan pentadbiran Negara. Sedangkan kewujudan bangsa itu sedia ada lebih awal lagi. Hakikat ini, Umno sudah jauh tersasar. Justeru itu, agak pelik dan ajaib sekiranya pemimpin Umno itu bercakap soal ‘masuk Islam’ dan menilai keikhlasan seseorang itu untuk masuk Islam, sedang amalan parti dia sendiri bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

Masakan tidak, disebabkan pemimpin Umno-lah seorang ulama seperti Ustaz Ibrahim Mahmood dan pengikutnya dibunuh di dalam Peristiwa Memali tahun 1985. Malah pernah berlaku, alim-ulama termasuk dari Kelantan turut ditahan di bawah oleh akta zalim ISA. Tidak padan dengan itu, pernah arwah Tuan Guru Haji Mustapha dari Pasir Tumboh telah diseret ke mahkamah dan dijatuhkan hikuman atas dakwaan kononnya mengkafir sesama Islam. Sedang semua tuan guru atau ustaz tersebut berhujah bersandarkan kitab suci al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Lebih teruk lagi, dalam era kekuasaan Umno jugalah berlakunya sekatan bantuan kepada sekolah agama Islam di seluruh negara akibat terpengaruh dengan Amerika yang mentohmahkan sekolah-sekolah agama sebagai pusat aktiviti pengganas. Melarang guru dan ustaz di sekolah-sekoilah memakai kopiah, kerana kopiah identiti Islam. Paling malang lagi, Umno era Abdullah Ahmad Badawi turut memperkenalkan Islam Hadhari sebagai pendekatan yang salah kerana ia didapati seiringan dengan pemikiran orientalis yang bertujuan mengelirukan ajaran Islam sebenar.

Jawapannya, terlalu banyak percanggahan amalan pemimpin Umno sepanjang mereka berkuasa di negara ini yang dilakukan adalah tidak menyokong usaha memartabatkan Islam itu sendiri.

Oleh sebab itu, sejak negara merdeka sehingga ke hari ini, Umno sebagai parti yang memperjuangkan Melayu, didapati tidak berani menawarkan kepada pemimpin MCA atau pun MIC untuk duduk ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Atau sekurang-kurang bersifat demokratik untuk membuka jawatan timbalan menteri besar atau ketua menteri kepada MCA atau MIC. Sebaliknya, amalan kebangsaan Umno itu diragui kerana pernah menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew, Pulau Pinang kepada Gerakan meskipun pada satu ketika kerusi Umno majoriti di dewan negeri Pulau Pinang. Begitu juga dalam konteks Sabah, era Dr. Mahathir pernah mencaturkan jawatan Ketua Menteri kepada sistem giliran membolehkan pemimpin bukan Melayu mendudukinya.

Justeru itu, dalam negara yang mencatatkan hak-hak atas prinsip demokrasi apa salahnya membincangkan jawatan TPM itu kepada bukan Melayu. Paling tidak salah, sekiranya bakal penjawat TPM itu seorang beragama Islam. Ini kerana Islam adalah agama Persekutuan dan penganut Islam adalah mewakili majoriti rakyat yang kebetulan merentasi kaum––tidak hanya orang Melayu malah ada Cina, India, Sabahan, Sarawakian dan kaum-kaum lain adalah beragama Islam. Maka, nilai Islam itu sudah merentasi nilai-nilai perkauman yang dipuja oleh Umno, MCA dan MIC. Logik inilah menjadi hujah bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz melontarkan idea jawatan TPM itu hendaklah berteraskan prinsip perlembagaan dan hendaknya juga selari dengan Islam, iaitu seorang yang soleh. Di sini diperturunkan kenyataan sebenar Tuan Guru seperti di dalam blognya:

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah. Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

Rumusannya, kita umat Islam mahu pun rakan-rakan dari agama selain Islam, janganlah mudah percaya dengan ‘ajakan Islam’ yang terhambur dari mulut pemimpin Umno. Kerana mulut mereka hakikat memiliki bau yang busuk terhadap Islam itu sendiri. Lantaran itu, komen Ketua Umno Pasir Puteh dan Bahagian Kota Bharu tersebut adalah olahan politik yang menyerlahkan kelemasan bernafas dek kebimbangan hilangnya kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

08 December, 2010

Fitnah lagi - TG Nik Aziz sihat

Ekoran daripada kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz membuat kenyataan media berhubung jawatan TPM, maka ada pihak yang tak puas hati.

Dalam kenyataan Tuan Guru itu antara lain menyebutkan:

“Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri... “ [baca teks penuh]

Lalu pihak berkenaan (saya yakin mereka adalah gerombolan pemutar skru driver pemfitnah musuh Tuan Guru) memutar isu itu dengan niat provokasi malah menyebar fitnah pula terhadap Tuan Guru kononnya Tuan Guru sebenarnya sakit tenat dan dimasukkan ke ICU. [baca putaran fitnah]. Mungkin cara pihak berkenaan cuba menjatuhkan harapan rakyat kepada PAS atau ia suatu tanda gerak hati pihak tertentu sebagai tanda dekat dengan pilihan raya umum yang bakal diisytiharkan oleh PM . Hakikatnya Tuan Guru sihat, sekadar perlu rehat adalah perkara biasa.

Sebenarnya, kenyataan Tuan Guru itu sudah ada pihak yang bimbang dan risau dengan penegasan prinsip yang selama ini telah mencorakkkan imej ke-Islam-an parti PAS bersama Pakatan Rakyat. Antara pihak paling bimbang dan terasa tercabar malah bakal rugi besar bila rakyat yakin dengan PAS ialah UMNO!

Semoga Allah SWT yang maha berkuasa menentukan masa depan ummah ini memberi hidayah agar pihak yang belum menerima prinsip kepimpinan Islam dapat menerimanya.

06 December, 2010

Mengisi Hijrah 1432 dgn Iman & Taqwa

Besok 1 Muharram 1432 Hijrah, pasti kita tidak akan lepas dari mengingati peristiwa Hijrah. Justeru Hijrah 1432 bakal menjadi tonggak permulaan bulan kalender Islam untuk umat Islam mengambil suatu sikap lebih maju dari segi iman dan taqwa. Lantaran hijrah Rasulullah SAW beserta para sahabatnya ke Madinah telah berumur 1432 tahun. Maka peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah perlu dimaknakan secara pasti.

Demikianlah peristiwa bersejarah yang patut dikenang dan dapat dijadi proses transformasi spiritual ke arah membina jatidiri muslim. Di dalamnya terkandung makna dan pengisian kerohanian untuk sebuah pengorbanan sejati yang mengapresiasikan perjuangan mengedepankan kepentingan misi Iman dan Taqwa, agar ia tetap lestari dan terjaga dari kepunahan.

Ambillah pengajaran daripada sejarah Nabi-nabi agar kita sendiri sedia menyahut perintah Allah (al-Quran, Surah Yusuf:111) “Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”.

Apa pun Hijrah yang disambut kali ini hendaknya mendapat kebaikan yang bakal menambahkan lagi kebaikan yang sedia ada. Maka kita tidaklah sesekali bersikap lemah menghadapi cabaran tahun baru Hijrah ini. Ia sesuai dengan peringatan Allah SWT (Al-Qur’an Surah Ali Imran:139) “Dan janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi jika kamu orang-orang yang beriman”.

Semoga Allah memberkati hidup ini, dan kita semua tetap mengharapkan keredhaan-Nya serta syafaat Nabi kita Muhammad SAW.

02 December, 2010

Ketuanan Melayu - siapa salah?

Kebelakangan ini sudah hangat diperkatakan isu ketuanan Melayu. Ia ada kaitan rapat dengan agenda politik parti Umno selaku pemerintah Pusat. Lebih menghangatkan tatkala munculnya golongan ultra-Malay seperti pertubuhan Perkasa dan beberapa NGO yang menjadi penyambung suara Umno di luar kotak politik. Apa pun, isu ketuanan Melayu menjadi semakin tajam dibicarakan oleh media milik pemerintah Pusat apabila muncul idea terbuka yang menafikan nilai-nilai ketuanan selama diperjuangkan oleh Umno dalam konteks kepentingan dan hak orang Melayu. Terbaru, pandangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak konsep ketusanan Melayu dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula menganggap ketuanan Melayu sebagai slogan digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa. Anggapan ini jelas ditujukan kepada pemimpin Umno.

Ketuanan Melayu itu mulia?

Persoalannya, apakah adanya kemuliaan di sebalik nilai-nilai ketuanan Melayu yang didikirkan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang rata-rata pejuang Umno. Marilah sama-sama meneliti firman Allah SWT (Surah Al Hujurat, ayat 13): “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.

Persoalan penegasan Allah ini telah disebutkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam blognya sebelum ini (1 Oktober 2010): “Satu-satu bangsa itu akan menjadi hebat apabila bangsa itu mencapai tahap kemuliaan dan diperkasakan dengan ketakwaan. Kemuliaan bermakna beriman dengan penuh yakin dan istiqamah kepada ajaran Islam. Sementara takwa merupakan ukuran kehebatan dan keperkasaan bangsa itu berusaha menegak apa yang diperintah (perkara maaruf) di sisi Allah dan sentiasa meninggalkan malah mencegah daripada melakukan apa yang dilarang (perkara mungkar) di sisi Allah. Maknanya nilai bangsa itu akan dipandang hebat apabila ia mencapai tahap kemuliaan dan ketakwaan menurut acuan Allah SWT. Bukannya hebat bangsa itu kerana namanya atau kuatnya semangat perkauman Melayu atau Cina atau India dan sebagainya.”

Maka di sisi agama, nilai Melayu mahupun ketuanan yang dicanangkan tidak mempunyai apa-apa makna sekiranya kekuatan nilai akidah Islamiah tidak dijadikan teras. Sejarah Islam cukup mengukirkan ketamadunan bangsa di dunia Islam adalah berpaksi nilai-nilai tamadun berteraskan agama. Meskipun, bangsa Arab yang majmuk di Madinah semasa kepimpinan Nabi Muhammad SAW turut menikmati sifat madaniah yang aman dan sejahtera.

Ketuanan Melayu milik elit

Soalnya kenapa pemimpin Umno tidak yakin dengan kekuatan Islam sebaliknya terus bebal dengan nilai-nilai ketuanan bangsa? Mungkin jawapan yang munasabah ialah kerana segolongan elit Melayu di dalam Umno tidak yakin dengan kekuatan ketuanan Islam, atau memang mereka sedia menjadi hamba kepada fahaman kebangsaan, atau kerana mereka memang tidak nampak realiti kekuatan teras ajaran Islam dalam konteks kontemporari. Justeru itu, soal nilai ketuanan Melayu itu tidak lebih hanya permainan Umno untuk tujuan hidup (survival) elit mereka.

Seorang pensyarah IPTA tempatan memberi komen spontan atas isu Umno: “Layakah Umno berlagak sebagai tuan bagi orang Melayu, sedangkan mereka itu didapati telah melkaukan beberapa tindakan yang tidak bermaruah sepanjang menguruskan kepentingan negara dan rakyat Melayu? Selama ini pun orang Melayu sudah tertipu apabila sempadan bahagian pilihan raya tidak ditambah di negeri-negeri ‘the Malay belt’ menyebabkan jumlah kerusi parlimen dan Dun orang Melayu tidak ditambah sejak 30 tahun lepas.”

Sehubungan itu, tambah pensyarah itu lagi, “amat mengejutkan kita lagi, apabila pihak Pusat menafikan orang Melayu di Kelantan dari segi royalti minyak sebanyak lima peratus. Sehingga mereka sanggup pula memunggah minyak dan gas dari perut bumi Kelantan dinaikkan di Thailand dan Terengganu. Ini semata-mata kerana Kerajaan Negeri Kelantan adalah kerajaan parti PAS. Nampak jelas maruah ketuanan Melayu sudah dijadikan alat bagi kepentingan elit penguasa kalangan Umno. Kalau demikian, bagaimana Umno boleh jadi tuan kepada orang Melayu?”

Melayu dalam Perlembagaan

Berdasarkan kenyataan tersebut, turut dilihat kegagalan Umno mewakili sifat ketuanan Melayu ialah dalam konteks menjaga Islam sebagai agama bagi orang Melayu. Lantaran itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan dalam suatu responsnya, turut mempertikaikan "ketuanan Melayu yang diperjuangkan Umno, kerana Umno sendiri gagal mendaulatkan Islam. Sedangkan Islam adalah sebagai agama dan identiti bangsa bagi orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan (Perkara 160).

Menurut Tuan Guru, soal agama Islam dalam konteks Umno amat diragui ekoran kelantangan pemimpin dan menteri Umno yang sangat marah kepada pemimpin DAP (sebelum) dan pemimpin KeADILan (terbaru) kerana membaca ayat al-Quran. Sedangkan dari segi Islam, al-Quran itulah penyambung hidayah Allah untuk umat Islam atau insan yang belum Islam. Cuba rujuk semula sejarah, bagaimana kisah Saidina Omar al-Khattab mula tertarik dengan ajaran Islam dan kemudian memeluk Islam setelah membaca ayat-ayat suci al-Quran di rumah adik kandungnya. Justeru cara pemimpin Umno itu sudah menggadai kebaikan Islam semata-mata taksuban politik yang bencikan DAP dan KeADILan.

Sedangkan soal Islam yang diperundangkan di dalam Perlembagaan tersebut telah menjelaskan kedudukan orang Melayu amat rapat kaitannya dengan Islam adalah tidak boleh dipertikaikan. Justeru nilai orang Melayu sudah tiada soal lagi, mesti berpaksikan Islam. Perkara 160 mengenai tafsiran Melayu menyatakan: "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Sehubungan itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari turut menegaskan hakikat Islam adalah agama persekutuan yang sepatutnya diperundangkan dan diamalkan di dalam setiap segi kehidupan di Malaysia ini. Kenapakah pemimpin Umno memandang sepi kenyataan ini?

Justeru itu, sifat pemimpin Umno termasuk juga kolumnis Sinar Harian, Aziz Deraman (1 Disember 2010) agaknya sangat marah kepada Datin Seri Wan Azizah kerana mengeluarkan kenyataan “ketuanan Melayu ditongsampahkan dan ketuanan Melayu itu sebagai slogan digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa.”

Realiti atau tidak, betul atau salah dan benarkah Wan Azizah mengungkap kata-kata sedemikian bukan soalnya. Apa yang harus diungkitkan di sini benarkah Umno, pemimpin Umno, aktremis ketuanan Melayu dan pihak-pihak pencinta Melayu sudah cukup kuat memperjuangkan nasib Melayu sebagai tuan dalam negara ini?

Ketuanan tetapi dhaif

Suatu realiti yang mudah dilihat dan direnung ialah isu kedaifan orang Melayu dalam negara ini. Hakikatnya kedaifan Melayu telah menjadi modal politik berterusan golongan elit Umno sebagai penguasa atas semua urusan pembangunan negara dalam segenap kali pilihan raya. Soalnya, realiti kedaifan itu salah siapa, puncanya di mana dan kenapa? Dalam konteks elit penguasa yang menguruskan isu-isu kedaifan itu, ia adalah terpikul pada bahu pemimpin Umno yang berkuasa. Kenapa sepanjang Umno berkuasa sudah lebih 50 tahun) Melayu sebagai tuan terus daif dan logikkah kedaifan Melayu dipersalahkan ke atas pihak pemimpin politik yang tidak berkuasa? Atau, adilkah kedaifan itu patut dipersalahkan ke atas bahu orang Melayu yang daif itu sendiri.

Lihat sahaja impak penguasaan parti Gerakan bersama Umno sebelum ini di Pulau Pinang. Natijahnya sudah berapa luas tanah-tanah kepunyaan Melayu sudah bertukar tangan kepada orang lain. Tidak kurang pula terlalu rendahnya kesedaran politik Melayu Pulau Pinang, sehingga sekarang ini tidak kurang daripada 200 ribu pemuda-pemudi Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih. Belum dikira lagi sejumlah ribuan projek ekonomi atas kuota Melayu-Bumiputera sedia dijaja dan dialibabakan. Di manakah hebatnya Umno menjaga ketuanan bangsanya sendiri?

Fikirlah untuk menukar ketuanan

Orang Melayu masih lemah dalam ekonomi. Sedangkan kerangka kemajuan kononnya sudah dibina oleh pemimpin negara––zaman Tun Razak menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan zaman Najib diperkenalkan pula Model Ekonomi Baru (MEB) yang tidakpun baru!

Persoalannya, apakah kegagalan DEB dan MEB nanti adalah kerana orang (Melayu) yang daif tak pandai nak membebas diri dari daif kepada maju? Maka, adakah benar segolongan elit penguasa sebenarnya gagal menterjemahkan agenda bertindak untuk mendaulatkan nilai-nilai ketuanan Melayu seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan? Jika persoalan ini diteliti dengan rasional, adalah benar dakwaan Wan Azizah itu. Realitinya, segolongan elit yang berkuasa gagal, bukan orang Melayu yang menanggung kedaifan itu yang gagal. Adatnya yang daif bergantung kepada elit dan segala-galanya yang elit boleh melakukan yang terbaik untuk membantu yang daif.

Provokasi murahan

Apa pun, ucapan Wan Azizah berkenaan ketuanan Melayu itu telah menjadi bahan provokasi yang tidak bermaruah pada muka depan Utusan Malaysia (1 Disember 2010). Akhbar yang pro-Melayu itu cuba membangkit kemarahan pembaca terhadap Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Lebih-lebih lagi pada tag-linenya tertulis “Anwar, Wan Azizah wajar diusir kerana tolak ketuanan Melayu.” Lalu mendapat reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sinar Harian & Utusan Malaysia, 1 Disember 2010) yang menganggap kenyataan Wan Azizah boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Sebenarnya, bukan rakyat yang resah sebaliknya pemimpin Umno yang berada dalam keresahan kerana nilai-nilai ketuanan Melayu yang menjadi buah keramat politik Umno sedang dilodehkan. Justeru tidak berbangkit soal Wan Azizah perlu memohon maaf secara terbuka kepada Raja-Raja Melayu (seperti diasak oleh beberapa NGO pro-Umno) kerana yang diungkitkan oleh Wan Azizah bukan ketuanan dalam konteks Raja-raja Melayu, tetapi ketuanan Melayu yang dislogankan oleh pemimpin Umno. Maka, mungkinkah isu ketuanan Melayu bakal menyaksikan MCA, Gerakan dan MIC berpaling?

Ketuanan Islam

Tiada apa dengan ketuanan Melayu. Ia tidak lebih daripada permainan slogan pemimpin Umno demi nyawa dan survival politik. Justeru Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyarankan kita semua kembali menegaskan komitmen untuk mendirikan ketuanan Islam bagi semua kaum di Malaysia. Ini kerana ajaran Islam adalah rahmat untuk sekalian alam (rahmatal-lil’alamin). Maka, Mujahid Yusof (2010) menulis dalam bukunya “Kita kan orang Malaysia” juga menggagaskan Melayu selaku keturunan tidak mungkin mendahului Islam! Hakikatnya Melayu memerlukan Islam untuk bangkit sebagai tuan yang mencipta semula tamadun bangsa.

Maka selama ini, Umno yang salah kerana terus bebal dengan slogan menjaga elit mereka kononnya membela Melayu dengan nilai ketuanan bangsanya. Apa pun, bangsa yang kuat beragama adalah memiliki ketuanan yang sejati, iaitu ketuanan Islam yang berpaut sepanjang masa pada kehendak Allah SWT. Semoga Allah SWT memberkati semua umat yang cintakan Islam dan bangsanya yang sentiasa beragama.