25 August, 2009

PERMATANG PASIR: PAS menang selesa

Sah BN ditolak oleh rakyat, maka BN juga sudah tidak laku di Pulau Pinang. Walau apapun alasan untuk Tan Sri Muhyidin Yassin katakan, nyata sekali rakyat Permatang Pasir tidak sama dengan Manek Urai. Meskipun, pihak jentera kempen BN menjaja janji retorik "anak emas", ia tidak dipandang. Malah ia tidak selari dengan kredibiliti calonnya Rohaizat berbanding Ustaz Mohd Salleh Man (USM). Tidak ada aura atas calon BN. Asasnya, Rohaizat sudah hancur integritinya apabila Malaysian Bar membuktikan beliau pernah melakukan pecah amanah.

Asas itu tidak berlaku pada USM sebagai calon PAS. Itu belum lagi dirinci-rincikan isu-isu yang membebankan UMNO dan kenaifan jentera BN yang sememangnya lemah longlai tak upaya menguruskan diri di bulan Ramadhan.
Sehubungan itu, blog ini menegaskan betapa BN sudah lemah dan tidak laku. Tanpa jentera kerajaan yang mengusung kempen BN di Permatang Pasir, tiada hebatnya UMNO itu. Maka UMNO sudah ditolak orang Melayu dan rakyat di negara ini. Berikut disusuri analisis mudah mengenai apa yang berlaku di sebalik kemerosotan undi dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Isu kekurangan undi dan kemerosotan keluar mengundi adalah suatu realiti bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir. Akibat daripadanya jumlah keseluruhan keluar mengundi telah merosot kira-kira 9 peratus daripada 82 peratus kepada 73 peratus. Kesannya undi PAS turut merosot sebanyak 1,386 dan begitu juga undi BN merosot sebanyak 504. Namun kemerosotan undi BN agak kecil berbanding PAS. Justeru itu, majoriti PAS daripada pilihan raya umum 2008 telah berkurang sebanyak 882 undi.


Secara bandingan, keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini adalah menyaksikan undi PAS dan BN sama-sama merosot. Lihat jadual di bawah.






Jadual di atas sepintas lalu menunjukkan pengundi asal PAS (tahun 2008) berkurang dan kekurangan itu ada kaitannya dengan sikap pengundi PAS yang merasakan tidak perlu balik mengundi kerana yakin dengan kemenangan besar (66%) sebelum ini. Namun agak malang bagi BN, kerana undi BN turut merosot dalam situasi komitmen parti itu untuk menang berdasarkan mood pilihan raya kecil Manek Urai yang agak tinggi. Ini terjadi mungkin ada kaitan langsung dengan isu-isu kempen yang timbul. Antaranya penolakan langsung dalaman BN dan pengundi terhadap calon BN ekoran daripada krisis integriti (akibat isu pecah amanah) melibatkan wang salah sebuah koperasi.


Sehubungan kemerosotan jumlah keluar mengundi itu, pihak Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga selaku Pengarah Jentera Induk Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir (Bernama, 22 Ogos 2209) telah menjangkakan bahawa PAS akan berdepan dengan kemerosotan pengundinya yang akan keluar mengundi kerana hari mengundi adalah jatuh pada Selasa merupakan hari bekerja. Sedangkan ramai pengundi terpaksa berdepan dengan hambatan masa untuk pulang mengundi, terutama di kalangan mereka yang bekerja di luar daripada Permatang Pasir. Tambahan lagi, pihak kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mengisytiharkan hari mengundi itu sebangai cuti umum. Walaupun didapati pihak Ketua Menteri. Lim Guan Eng telah mengarahkan pihak majikan supaya memberi kerjasama dan kelonggaran kepada mana-mana pekerja yang merupakan pengundi Permatang Pasir.


Selain itu, kemerosotan keluar mengundi turut ditentukan oleh tarikh, iaitu pada 25 Ogos adalah hujung bulan dan minggu terakhir bagi bulan Ogos. Pada tarikh itu, kebanyakan pekerja sektor swasta yang mewakili sebahagian besar kumpulan pengundi Permatang Pasir belum menerima gaji. Secara berkebetulan pula, umat Islam baru sahaja menyambut Ramadhan yang sudah tentu sedikit sebanyak mengurangkan dorongan untuk keluar mengundi. Mungkin juga ada kaitannya dengan keadaan kesesakan jalan pada hari mengundi akibat ramainya pelawat pilihan raya sehingga menimbulkan rasa kurang senang kalangan pengundi untuk keluar mengundi.


Walau apapun, punca kemerosotan undi juga disebabkan oleh tanggapan umum, bahawa PAS telah menang besar dalam pilihan raya lepas. Tanggapan itu akan turut mempengaruhi pengundi yang tinggal di luar Permatang Pasir, maka mereka tidak perlu balik beramai-ramai untuk mengundi. Sementelah pula, berlakunya dakwaan bahawa wujudnya kempen songsang pihak BN yang mengajak rakyat supaya tidak keluar mengundi atas alasan PAS telah menang besar dalam pilihan raya lalu. Kempen songsang BN juga turut melibatkan penggunaan jentera kerajaan seperti polis dan tentera yang sedikit sebanyak menimbulkan keresahan, terutama kepada pengundi atas pagar yang sedikit sebanyak menjejaskan kesungguhan keluar mengundi kalangan pengundi tersebut.


Namun, keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir jelas sekali amat malang bagi pemimpin UMNO. Selepas pilihan raya ManekmUrai mereka sudah menaruh keyakinan untuk meraih kembali sekongan orang Melayu, termasuk di Pulau Pinang. Nyata sekali mereka gagal, ekoran pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini turut mengulangi sejarah beberapa pilihan raya sebelum ini. Meskipun pelbagai isu dicipta untuk menyongsong orang Melayu lari dari PAS. Tatkala BN hanya mampu meraih 34.5 peratus undi popular, ia cukup mengesahkan bahawa UMNO dan BN sudah tercorot dari lanskap politik Malaysia. Hakikatnya, PAS bersama Pakatan Rakyat sudah terbukti utuh dan diterima orang Melayu dan pelbagai kaum di negara ini.


No comments: