Semuga Tuhan Yang Esa menempatkan roh arwah Pak Su Wel bersama orang yang solih. Begitulah harapan rakyat Manek Urai selepas Pak Su Wel kembali ke rahmatullah pada 22 Mei 2009 lalu. Beliau seorang wakil rakyat yang rapat dengan tubuh-badan rakyat, menyelami kepayahan hidup dan merasai dengup jantung rakyatnya. Khidmatnya kekal abadi dalam kenangan setiap insan yang pernah merasainya. Lalu kepiluan rakyat tetap menjadi salutan hidup rakyat Manek Urai yang merintih suatu harapan baru tatkala gendang pilihan raya kecil sudah dipalu.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sudah menetapkan 6 Julai untuk proses penamaan calon dan 14 Julai 2009 nanti adalah hari mengundi. Bermakna, rakyat Manek Urai perlu diajak sekali lagi memilih calon yang 'semacam' Pak Su Wel. Sesuai dengan itu, pihak PAS sudah mengumumkan calonnya yang dipilih bertanding untuk rakyat Manek Urai. Saudara Fauzi Haji Abdullah, 50 tahun (gambar) telah terasmi sudah mewakili PAS. Tunggu lagi akan disahkan oleh SPR pada 6 Julai. Sehingga kini, pihak Barisan Nasional (BN) telah bersetuju untuk bertanding, tetapi belum ada keputusan untuk menamakan calon yang bakal bertanding. Sementara, parti-parti lain dan puak 'Bebas' belum kedengaran ura-ura untuk bertanding.
Nampaknya PAS telah memecah tradisi dari segi pengumuman calon, kerana mendahului BN. Tindakan mendahului BN ini mungkin didorong oleh rasa optimis terhadap Fauzi seorang ahli perniagaan yang berjaya, merupakan Bendahari PAS Kuala Krai dan dikenali ramai serta rapat dengan rakyat Manek Urai. Meskipun, PAS ada ramai pimpinan yang layak bertanding, namun kesesuaian kepimpinan Fauzi yang 'semacam' arwah Pak Su Wel adalah kelebihan utama yang ada padanya sehingga menyakinkan pihak kepimpinan tertinggi PAS untuk mengumumkan lebih awal nama calon. Kesannya, ia telah menggugah keputusan pihak BN untuk memilih calon yang sesuai mencabar Fauzi. Walau apapun, BN telah komited akan tetap mencabar PAS demi survival politik UMNO untuk menebus maruah yang tercalar akibat gagal mencabar KeADILan di pilihan raya kecil Penanti dan tewas di Bukit Gantang, Kuala Terengganu dan Permatang Pauh. Sama-sama menunggu, siapa bakal calon BN dari UMNO meyaingi Fauzi di Manek Urai.
No comments:
Post a Comment