Berikutan laporan MStaronline yang menggambarkan pihak Pakatan Rakyat tolak kaedah baru pengurusan pilihan raya, maka secara langsung sebenarnya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kini telah gagal menghayati sistem demokrasi, malah telah lupa makna demokrasi itu sendiri.
Ini kerana di sebalik luahan rasa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) itu tidak disebutkan, apakah hujah sebenar pihak Pakatan Rakyat tidak mahu menerima cadangan 'tempoh bertenang' yang dicadangkan SPR itu?
Jika, SPR mahu berada pada kedudukan selaku pengurus pilihan raya yang adil, telus dan bersih sepatutnya tidak berbangkit persoalan pengundi takut keluar mengundi kerana adanya ruang merayu undi pada hari mengundi dan terpacaknya khemah bangsal panas parti di tepi laluan ke pusat mengundi. Di manakah logiknya bila berlaku ketegangan menyebabkan pengundi takut untuk mengundi dan jumlah keluar mengundi telah merosot? Sedangkan realitinya, setiap kali pilihan kecil berlaku jumlah keluar mengundi yang selesa, malah yang terbaru di Bukit Gantang berlaku pertambahan hampir 3 peratus jumlah keluar mengundi. Itupun di dalam keadaan hari mengundi yang kena pada hari bekerja. Perkara yang biasa dibincangkan yang mempengaruhi jumlah keluar mengundi ialah sejauh mana hari mengundi itu ditetapkan oleh SPR adalah terkena pada hari yang 'mesra pengundi', seperti hujung minggu, hari cuti umum dan tidak bersekolah serta jarak kempen yang sesuai.
Kemudian isu 'tegang' itu hanya selalu dibangkitkan oleh pihak Barisan Nasional (BN) tatkala musim pilihan raya kecil sahaja. Tetapi pada musim pilihan raya kecil jugalah, SPR mendapat sokongan kuat pasukan keselamatan (polis, rela & tentera) untuk mengawal keadaan hari mengundi. Di pihak parti bertanding juga (kecuali Bebas) akan membentuk pasukan keselamatan parti untuk mengawasi pergerakan pengundi dan pekerja parti masing-masing agar terhindar daripada insiden yang boleh memburukkan keadaan. Maka rasionalnya bangsal panas parti diwujudkan demi untuk menjaga dan mengawal keadaan pengundian berjalan lancar.
Persoalannya di sini, apakah keputusan SPR tadi berlaku di dalam penilaian dan kepentingan demokrasi itu; ataukah berlaku di dalam senario BN yang sudah tidak popular mencorakkan "mood pengundian" pada hari mengundi di pusat mengundi?
Apa yang jelas, sikap 'volunteer' pekerja BN dalam pilihan raya sentiasa dicabar dengan kuasa 'politik wang'. Mereka sentiasa makan besar dalam pilihan raya...perlu modal besar untuk mengurus sendiri segala-galanya. Sebaliknya pihak Pakatan Rakyat telah berjaya dengan sikap 'volunteer' petugasnya. Maka keghairahan memeriahkan pusat mengundi adalah simbolik yang menggamitkan minat para pengundi untuk menyokong calon Pakatan Rakyat pada saat akhir. Senario itu hanya ada pada sebelah calon Pakatan Rakyat. Maka, dalam minda demokrasi yang sedang subur ini, sepatutnya SPR lebih terbuka, malah turut mendorong parti bertanding termasuk pihak BN agar menampilkan hemah petugas yang bermoral pada hari mengundi, termasuklah juga semasa mengiringi penamaan calon.
Sepatutnya, SPR lagi terbuka di dalam menilai realiti demokrasi di negara ini yang nyata masih dicengkam oleh nilai-nilai jumud dan "backward" dibandingkan dengan negara demokrasi baru seperti Kampuchea, Thailand, Indonesia dan beberapa negara Afrika serta Balkan (negara baru bebas dari penjajahan Rusia)!
Jika benar, SPR mahukan tempoh bertenang dan ingin mencetus suasana pengundian yang lancar, maka adakan undang-undang dan peraturan yang bersifat menyokong kesuburan demokrasi.
Misalnya, permudahkan urusan hari mengundi seperti berlaku di Kampuchea dan Indonesia, proses pengundiannya diadakan di tempat terbuka, tanpa kawalan ketat dan setiap pengundi boleh akses untuk mengundi di 'depan tangga' sahaja. Semakan senarai pemilih tidak perlu lagi pada hari mengundi, boleh terus mengundi. Ini kerana mereka boleh mengundi di mana sahaja mereka berada, termasuk di satu lokaliti kecil. Asalkan mereka sudah mendaftar seminggu sebelum mengundi. Maka sudah tidak berbangkit isu pengundi menyamar 'hantu', kerana pada setiap hujung jari yang mengundi sedia dicalit dengan dakwat yang pastinya alergik untuk pengundi menyamar 'hantu'. Ini sebenarnya nilai demokrasi pembaharuan yang lebih dihormati, jika SPR mahu menjadi pengurus pilihan raya berteraf hero!!
Merujuk kepada kekecewaan SPR terhadap Pakatan Rakyat dengan cadangan hari bertenang dan cadangan tanpa merayu undi serta bangsal panas pada hari mengundi, sepatutnya SPR terlebih dahulu dapat menguatkuasakan larangan kempen kepada BN yang langsung tanpa kawalan berlaku melalui corong radio, kaca televisyen, dada akhbar dan pentas kempen terbuka atas nama majlis rasmi kerajaan anjuran jabatan itu dan ini! Jika isu "unlevelled playing field" dapat dijadikan penilaian keutamaan SPR, nilai-nilai inilah sepatunya menjadi antara banyak-banyak key performance indictors (KPI) bagi SPR!
Sehubungan itu, blog ini berpendapat bahawa hujah kukuh pihak Pakatan Rakyat menolak cadangan SPR tersebut adalah berputar di atas persoalan betapa SPR sebelum ini, kini dan belum pasti bila, dapat menjadi badan pengurus yang adil, telus dan bersih mengendalikan pilihan raya. Bila mana sesuatu perubahan yang kononnya 'baru' natijahnya mundur kebelakang dalam memberi makna sebenar 'demokrasi' di negara ini!
Sebenarnya, Tuhan Yang Esa sentiasa adil di dalam menilai kerjabuat hamba-Nya. Nilai adil itu di sisi Tuhan ialah melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya dan memberi kebaikan kepada seluruh alam jagat. Oleh itu, SPR masih mempunyai banyak ruang untuk melakukan pendemokrasian pilihan raya di Malaysia. Satu daripadanya ialah mendemokrasikan SPR itu sendiri agar bebas daripada telunjuk pemimpin parti pemerintah, pembangkang dan pihak-pihak anti-demokrasi.
No comments:
Post a Comment