25 October, 2018

SIKAP RAKYAT KELANTAN TERHADAP ISU-ISU UTAMA NASIONAL

Pengenalan

Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan telah menyelesaikan "Kajian Sikap Rakyat Kelantan Terhadap Isu-isu Utama Nasional 2018" pada 1hb. hingga 7 Oktober yang lalu. Kajian melalui soal selidik itu telah melibatkan 1,524 responden yang dipilih secara rawak berimbang daripada 45 Dun dalam 14 kawasan Parlimen.

Demografi Responden

Pecahan jantina dan umur bagi 1,524 responden seperti mana berikut:
  • Lelaki: 759 orang (49.8%) 
    • muda (21-40 tahun) 376 orang (50%)
    • dewasa (41-60 tahun) 270 orang (36%) 
    • veteran (61 tahun ke atas) 113 orang (15%)
  • Wanita: 765 orang (50.2%)
    • muda 388 orang (51%), 
    • dewasa 261 orang (34%) 
    • veteran 116 orang (15%). 
Pecahan mengikut Parlimen dan Dun pula seperti mana berikut:
  • Parlimen mengandungi empat Dun ialah sekitar 130 responden; 
  • Parlimen mengandungi tiga Dun ialah sekitar 100 responden.
  • atau purata responden dari setiap Dun ialah sekitar 33 orang.
Tujuan kajian tersebut ialah untuk menguji sikap rakyat Kelantan terhadap tiga isu utama nasional:
  • Pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan Pusat dalam menunaikan janjinya selepas tempoh 100 hari.
  • Kerjasama pembangkang melibatkan hubungan PAS dengan UMNO.
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8. 
Perincian lokaliti responden juga turut dipilih secara rawak mengikut strata berikut:
  • Bandar 399 orang.
  • Pinggir bandar 613 orang.
  • Luar bandar 512 orang.
Begitu pula pecahan mengikut latar belakang sosial adalah seperti mana berikut:
  • Kakitangan awam 153 orang (10%)
  • Kakitangan swasta 309 orang (20.3%)
  • Pendidik 68 orang (4.5%)
  • Imam 12 orang (0.8%)
  • Penghulu 29 orang (1.9%)
  • Pimpinan NGO 47 orang (3.1%)
  • Peniaga 557 orang (36.5%)
  • Usahawan 56 orang (3.7%)
  • Profesional 15 orang (1%)
  • Petani/penternak/nelayan 278 orang (18.2%)
Sementara itu, pecahan 1,524 responden mengikut status mengundi pada PRU-14 lepas seperti berikut:
  • Kali pertama 290 orang (19%)
  • Kali kedua 252 orang (16.5%)
  • Kali ketiga 228 orang (15%)
  • Kali keempat 202 orang (13.3%)
  • Lebih empat kali 552 orang (36.2%)
Penemuan Kajian

1Pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan Pusat dalam menunaikan janjinya selepas tempoh 100 hari: Sepuluh sub-isu(1) dibangkitkan di dalam soal selidik dan secara puratanya tahap persetujuan responden adalah:-
  • Setuju 37.14%
  • Sangat setuju 5.52%
  • Nilai persetujuan (Setuju + Sangat setuju) = 42.66%
2. Kerjasama pembangkang melibatkan hubungan PAS dengan UMNO: Sembilan sub-isu(2) dibangkitkan di dalam soal selidik dan secara puratanya tahap persetujuan responden adalah:-
  • Setuju 53.59%
  • Sangat setuju 12.52%
  • Nilai persetujuan (Setuju + Sangat setuju) = 66.11%
3. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8: Tujuh sub-isu(3) dibangkitkan di dalam soal selidik dan secara puratanya tahap persetujuan responden adalah:-
  • Setuju 33.40%
  • Sangat setuju 5.03%
  • Nilai persetujuan (Setuju + Sangat setuju) = 38.43%
Nota(1) 
1. Langkah menggantikan cukai GST kepada SST adalah menepati harapan rakyat. 
2. Pemansuhan senarai hitam imigresen terhadap peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun masih perlu bayar balik. 
3. Langkah Kerajaan menstabilkan harga minyak Ron95 tanpa menurunkan harga. 
4. Penangguhan projek Laluan Keretapi Laju Pantai Timur ECRL. 
5. Pelancaran fasa pertama skim i-Suri iaitu caruman KWSP kepada golongan isteri/wanita yang berdaftar dengan e-Kasih dengan cara suami mencarum sebanyak RM5 dan Kerajaan menambah RM40 sebulan.. 
6. Kerajaan Pakatan Harapan bersetuju menubuhkan Jawatan Kuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanakan secara adil Perjanjian Malaysia 1963 untuk Sabah dan Sarawak. 
7. Pelaksanaan kenaikan gaji minima sebanyak RM1050 bermula Januari 2019 untuk kakitangan Kerajaan dan Swasta. 
8. Pelaksanaan skim Insurans kesihatan sosial bagi kategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) bermula Januari 2019. 
9. Kerajaan PH membantu peneroka FELDA untuk melupuskan hutang tidak wajar yang dikenakan sebelum ini. 
10. Kerajaan PH serius untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit di dalam pelbagai skandal salahlaku, namun hanya tertumpu kepada kes 1MDB sedangkan penyelewengan MARA, FELDA dan Tabung Haji belum dilaksanakan lagi.

Nota(2)
1. Menguatkan perjuangan hak ketuanan Melayu dan Bumiputera. 
2. Memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 
3. Memperkasakan sistem perundangan Islam di negeri-negeri. 
4. Mengukuhkan benteng mempertahankan institusi Raja-raja. 
5. Memperkasakan Gagasan Sejahtera yang dipelopori oleh PAS . 
6. Membentuk satu kerjasama pembangkang dengan wajah yang baru (tidak semestinya Gagasan Sejahtera/Barisan Nasional). 
7. Dengan perkembangan politik di bawah Kerajaan PH hari ini, sudah sampai masanya PAS dan UMNO bekerjasama. 
8. Menjadi kuasa pendesak, smak dan imbang terhadap Kerajaan PH. 
9. Kerjasama politik orang Melayu yang terbesar dan mantap mewakili kepentingan orang Melayu menghadapi PRU-15.

Nota(3) 
1. Pilihan Raya Kecil Port Dickson adalah langkah yang tepat untuk memberi peluang DSAI menjadi Perdana Menteri ke-8. 
2. DSAI adalah tokoh yang terbaik untuk memimpin Malaysia selepas Tun Mahathir. 
3. Rekod peribadi DSAI yang disabitkan dengan liwat dan dipenjarakan adalah fitnah yang dicipta. 
4. Walaupun pernah dipenjarakan, namun DSAI masih layak diangkat sebagai Perdana Menteri. 
5. DSAI sebagai Perdana Menteri ke-8 bakal melonjakkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan PH. 
6. DSAI sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah mampu memimpin Malaysia yang lebih baik daripada Tun Mahathir. 
7. DSAI tokoh yang boleh memenuhi kehendak semua kaum, membela hak-hak orang Melayu dan memartabatkan kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu.

Ulasan

1. Pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan Pusat

Berdasarkan nilai persetujuan 42.66% ini, ia menggambarkan sikap rakyat Kelantan yang agak rendah terhadap keupayaan Kerajaan PH Pusat dalam menunaikan janji 100 harinya. Hal ini ada kaitannya dengan senario Kelantan yang bukan ditadbir oleh PH yang majoriti rakyatnya tidak terikut-ikut dengan rentak politik tabur janji pihak PH. 

Berkemungkinan juga nilai itu menjadi lebih rendah sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir tidak membuat jawapan balas atas tanggapan rakyat yang mengatakan Kerajaan PH gagal menunaikan janji 100 harinya. Jawapan balasnya, (Manifesto is not a Bible, it is guidance) yang meletakkan janji manisfesto sekadar panduan telah meletakkan "harapan" kepada sesetengah rakyat betapa ada janji yang boleh dan tidak boleh ditunaikan. 

Begitu pula, pendirian pemimpin PH yang beralasan Negara menanggung hutang mencecah RM1 trillion (pada 31 Disember 2017) telah dapat meredakan nilai bangkangan rakyat terhadap kegagalan menunaikan janji. Bagi sesetengah rakyat, adalah wajar Kerajaan PH mengutamakan isu keseimbangan ekonomi Negara daripada berbelanja besar untuk meneruskan projek yang dijanjikan. Oleh itu, janji projek seperti penangguhan ECRL dan penyelesaian hutang peneroka FELDA telah menyebabkan rakyat menaruh "harapan" apabila sampai masanya nanti, iaitu setelah ekonomi Negara kembali stabil, maka kesemua janji itu akan ditunaikan. Maka Kerajaan PH dianggap tidak berdolak-dalih. 

Namun demikian, Kerajaan PH bukan berada di dalam zon selesa untuk melengah-lengah daripada menunaikan janjinya. Memandangkan 57.34% lagi responden yang tidak memberi nilai persetujuan di atas persoalan janji 100 hari Kerajaan PH. Peratus ini akan membesar selepas rakyat sudah jemu dengan "sikap berharap agar janji ditunaikan" apabila melepasi tempoh setahun setelah berakhirnya Belanjawan 2018 dan muncul pula Belanjawan 2019, iaitu belanjawan sebenar Kerajaan PH Pusat.  Pelaksanaan Belanjawan 2019 sudah tentu akan mencabar ketulusan segala janji PH dalam pilihan raya yang lalu.

2. Kerjasama pembangkang (hubungan PAS dengan UMNO)

Berdasarkan nilai persetujuan 66.11% ini adalah menggambarkan majoriti rakyat Kelantan bersikap positif terhadap kerjasama pembangkang. Lebih-lebih lagi dalam hubungan yang mengukuhkan ketuanan dan kedudukan orang Melayu, memartabatkan perundangan Islam dan mempertahankan institusi Raja.

Sikap positif ini mulai berkembang selepas keputusan pilihan raya umum lalu, apabila UMNO tidak berkuasa di peringkat Pusat dan diganti oleh Pakatan Harapan. Kesan daripada pendekatan Kerajaan PH Pusat yang melantik individu bukan Melayu ke jawatan penting seperti menteri dan badan perundangan, diikuti dengan pendirian menteri tertentu yang agak terbuka dalam membicarakan hal ehwal Islam. Di samping berlaku pula penyebaran isu-isu yang mencabar nilai-nilai keselamatan orang Melayu, perundangan negara dan institusi Raja, maka persepsi sebahagian rakyat agak negatif kepada masa depan negara di bawah PH.

Hal ini semua turut mendorong kepimpinan PAS dan UMNO serta NGO pro-Islam dan Melayu untuk merancang ke arah pembentukan suatu kekuatan pembangkang sebagai usaha menyelamatkan kemuliaan Islam, masa hadapan orang Melayu dan kedaulatan Raja. Petanda awal kepada kerjasama pembangkang itu turut berlaku semasa Muktamar PAS Pusat dan diikuti pula Perhimpunan Agung UMNO yang menyaksikan kepimpinan UMNO dan PAS saling turut hadir pada majlis perasmian.

Semasa perasmian Muktamar PAS Pusat, Presiden PAS turut membayang kemungkinan diwujudkan satu pakatan pembangkang baru. Begitu pula, pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO, Presiden UMNO turut membayangkan bahawa UMNO akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri. 

Sebenarnya, dalam mempertegaskan semangat Ta'awun itu, Presiden PAS acapkali menyebutnya tatkala melancarkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) setahun lebih awal, iaitu sebelum pilihan raya umum. Menerusi BPMS, pemimpin PAS dilihat lebih mesra dengan UMNO dan ada pemimpin dan ahli parlimen PAS diberi ruang bersiaran dalam RTM. 

Kenyataan dan realiti sedemikian sudah mula menampakkan asas-asas kerjasama di antara PAS dengan UMNO dalam maslahah menguatkan pembangkang berhadapan dengan Kerajaan PH. Tinggal lagi, sejauh manakah bukti-bukti kerjasama itu akan berlaku dan rakyat, khas orang Melayu akan mendukung sama Gagasan Pembangkang atas semangat Ta'awun itu. 

Justeru sikap positif rakyat Kelantan dalam kajian ini adalah mewakili sebuah kerajaan yang ditadbir oleh PAS, maka dapat dianggapkan majoriti ahli PAS boleh bersetuju dengan pendekatan bekerjasama dengan UMNO atas prinsip keseimbangan politik (semak dan imbang) terhadap perjalanan Kerajaan PH demi menghindari mudharat lebih besar (ancaman terhadap keselamatan Islam, Melayu dan Raja).

3. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8

Berdasarkan nilai persetujuan 38.43% ini, ia menggambarkan majoriti rakyat Kelantan tetap skeptikal terhadap agenda untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir Mohamad (Tun). Tahap persetujuan yang rendah ini berkemungkinan selari dengan senario Kelantan yang ditadbir oleh PAS yang kepemimpinannya terkenal dengan mengamalkan gaya Kepimpinan Ulamak dan sinonim dengan akhlak beragama yang tinggi.

Hal ini merupakan manifestasi gaya kepimpinan yang diasaskan oleh Allhayarhamhu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar yang mengetuai pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan selama 23 tahun.

Apabila kajian ini memasukkan elemen-elemen akhlak dan integriti serta karismatik sebagai asas ukuran persetujuan terhadap DSAI sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, maka secara perbandingannya majoriti rakyat Kelantan akan bersikap negatif. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh cognitive map rakyat Kelantan yang menolak parti PKR dan PH dalam pilihan raya lepas.

Hakikatnya, pembudayaan kepimpnan PKR tidak berlaku di Kelantan, maka bolehlah dikatakan ketokohan DSAI tidak berlegar meluas dalam kalangan rakyat Kelantan. Justeru itu, ia tidak popular sebagai tokoh bakal PM menggantikan Tun, meskipun elemen karismatik DSAI dari segi keupayaan dalam memenuhi kehendak semua kaum agak tinggi, tetapi tahap persetujuannya masih tidak melebihi 42%. Sekiranya Tun tetap memilih DSAI sebagai penggantinya, maka hasil kajian ini mengatakan bahawa ia adalah pilihan yang tidak popular di sisi rakyat Kelantan.

Rumusan

Secara umumnya, hasil kajian ini mendapati rakyat Kelantan agak responsif terhadap tiga isu utama nasional, iaitu Pencapaian Kerajaan Pakatan Harapan Pusat, Kerjasama pembangkang (hubungan PAS dengan UMNO) dan DSAI sebagai bakal Perdana Menteri ke-8. 

Memandangkan Kelantan ditadbir oleh PAS yang menjadi pembangkang di peringkat Pusat, maka hasil kajian ini agak positif terhadap isu kerjasama pembangkang di antara PAS dengan UMNO. Tahap persetujuannya melebhi 60% yang membuktikan sentimen kepembangkangan rakyat Kelantan terhadap Kerajaan PH Pusat melangkaui perbezaan politik antara PAS dengan UMNO. Mereka dilihat membina persetujuan di atas nilai-nilai kebersamaan demi menyelamatkan kemuliaan Islam, ketuanan Melayu dan kedaulatan Raja.

Oleh itu, adalah munasabah bagi rakyat Kelantan bersikap pesimis dan skeptik terhadap isu pencapaian Kerajaan PH Pusat dan DSAI sebagai bakal Perdana Menteri ke-8. Mereka pesmis terhadap pencapaian Kerajaan PH yang meletakkan pelaksanaan janji manifeso pada garis masa 100 hari. Ini seiring dengan realitinya, sepuluh janji PH memang gagal dilaksanakan sepenuhnya. Munsabahnya, tahap persetujuannya di bawah 40% dan hasil kajian ini mendapati majoriti rakyat Kelantan pesimis dengan janji manifesto PH.

Begitu juga, di sebalik agenda DSAI sebagai bakal PM ke-8 telah terbukti tahap persetujuannya tidak melebihi 42% dan menunjukkan majoriti rakyat Kelantan skeptik terhadap agenda tersebut. Walaupun, ramai pihak mengetahui kemenangan PH menguasai Kerajaan Pusat di atas majoriti mudah ada kaitannya dengan komitmen Tun untuk memilih DSAI sebagai penggantinya, namun bagi majoriti rakyat Kelantan tetap menginginkan seorang PM yang bersih daripada sebarang isu akhlak peribadi, berintegriti dan berkepimpinan Islamis. Maka pembudayaan Kepimpinan Ulamak dilihat cukup menebal. Justeru, neraca kepimpinan yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan menerusi kajian ini adalah tidak cukup kuat untuk mengatakan DSAI sebagai bakal PM ke-8.

Secara keseluruhannya, 1,524 responden yang responsif dalam kalangan rakyat Kelantan dianggap relevan bagi menerangkan tahap persetujuan terhadap tiga isu-isu utama nasional yang dikaji. Oleh itu kajian ini telah mencapai tujuannya untuk menilai tahap persetujuan rakyat yang dikatakan tidak bersetuju (negatif) di atas pencapaian Kerajaan PH dan tidak bersetuju (negatif) DSAI sebagai PM ke-8. Sebaliknya rakyat Kelantan bersetuju (positif) terhadap politik kerjasama pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

No comments: