17 June, 2016

Susah meramal bagi dua PrK kali ini

Buat julung kali negara berdepan dengan dua pilihan raya kecil (PrK) serentak selepas pilihan raya umum 2013 - di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Kekosongan serentak kerusi ialah kerana kematian dua ahli parlimen tersebut dalam satu tragedi kemalangan helikopter (kebetulan dinaiki bersama) semasa kempen dua hari menjelang hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Namun keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak bukan suatu tragedi bagi Barisan Nasional (BN). Keputusan pilihan raya pada 7 Mei lalu itu menyaksikan BN tetap menang besar kerana faktor Adenan Satem selaku ketua menteri baru yang dijadikan asas favourite untuk BN memikat hati rakyat.

Namun dalam konteks Semenanjung untuk mengatakan dua PrK kali ini berkemungkinan BN menang kerana nilai favourite Adenan adalah sesuatu yang tidak relevan. Malah faktor favourite Perdana Menteri Mohd Najib dijadikan asas kepada pengundi bagi dua PrK ini sebagai berkemungkinan untuk menolak BN.

Ia berlaku demikian kerana favourite Najib tidak sama dengan Adenan yang telah berumur tetapi baru dilantik sebagai ketua menteri. Najib yang lebih muda dari Adenan telah dilantik sebagai perdana menteri selepas Pak Lah (3 April 2009). Kemudian mengesahkan mandat rakyat kepadanya dalam pilihan raya 2013 dengan prestasi yang sederhana berbanding Pak Lah pada pilihan raya umum 2004 (kemenangan bergaya BN). Selepas mendapat mandat sederhana pada 2013, nilai favourite Najib dilihat semakin merudum apabila berlaku pendedahan kerugian projek 1MDB, terdedah skandal Tabung Haji, pelaksanaan cukai ke atas semua rakyat menerusi GST, diikuti dengan rancangan melaksanakan perjanjian TPPA dan paling mengejutkan skandal RM2.6 billion wang yang didakwa masuk ke akaunnya. Di samping tidak ketinggalan terbeban sama ke atas bahu Najib adalah isu-isu yang berkaitan gaya hidup isterinya yang dianggap mewah di mata rakyat.

Sehubungan itu, sekiranya pengundi bagi kedua-dua PrK kali ini menganggap nilai favourite Najib tersebut sebagai penolakan kepada parti yang dipimpinnya (UMNO) maka sudah tentu BN akan tewas. Asasnya nilai-nilai penolakan itu berkemungkinan menjadi realiti apabila dikaitkan pula dengan faktor kesetabilan UMNO di kedua-dua kawasan parlimen tersebut yang dilihat bermasalah, terutama dari segi pemilihan calon.

Walaupun begitu, dua keadaan nilai favourite (Najib dan UMNO Bahagian) itu belum cukup kuat untuk mengatakan BN akan tewas. Ini disebabkan pihak pencabar kepada BN pula berada dalam keadaan bercengkerama semenjak PAS dan DAP tidak sehaluan sehingga melahirkan parti serpihan Parti Amanah Negara (PAN). Keadaan bercengkerama terbawa-bawa ketika pilihan raya Sarawak apabila masing-masing gagal mengelak pertembungan di kerusi yang bertanding.

Hal yang sama telah berlaku di dua PrK ini apabila pihak pencabar BN, iaitu PAS dan PAN masing-masing bersaingan. Malah PAN dilihat lebih menonjol sebagai parti baru untuk menjadikan medan dua PrK ini sebagai pengukur nilai-nilai fovourite kononnya untuk mendahului PAS. Ini bersandarkan kenyataan pemimpin PAN sendiri yang mereka sebagai parti mewakili gabungan Pakatan Harapan (PAN, DAP dan PKR), sedangkan PAS adalah pencabar di luar gabungan. Justeru jentera kempen PAN dilihat banyak dikuasai DAP dan dibantu oleh PKR di kedua-dua medan PrK. Sekaligus ia memberi nilaian faktor persaingan agak sengit di antara PAN dengan PAS dan ia memperlihatkan dari segi luarannnya PAS agak terkebelakang dalam berdepan dengan PAN. Ia mungkin disebabkan PAS sendiri banyak menghala sasaran utama kempen terhadap BN.

Apapun realiti politik persaingan antara pakatan pencabar (PAN, DAP dan PKR) dengan PAS yang mana lebih favourite di sisi pengundi sebagai pencabar sebenar kepada BN sama-sama dapat disaksikan pada dua PrK ini. Apa yang pasti, medan dua PrK ini adalah dalam kawasan majoriti pengundi Melayu, sementara Cina dan India merupakan nilai tambah untuk menjamin kemenangan. Di sinilah ukuran yang dapat menyerlahkan parti pencabar mana yang lebih favourite di sisi pengundi.

Justeru bagi meneliti asas ukuran itu, terlalu banyak faktornya, terutama aspek isu setempat dan strategi kempen tiga pihak utama (BN, PAS dan pakatan pencabar PAN). Suatu asas yang nyata ialah BN sebagai dominator di Kuala Kangsar dan Sungai Besar sejak dahulu lagi. Sementara PAS adalah pencabar tradisi UMNO. Kemudian kemunculan PAN dianggap sebagai penerus status  pencabar atas nama Pakatan Harapan (kesinambungan Pakatan Rakyat pada 2013). Di sebalik asas-asas ini, UMNO memiliki nilaian Melayu dan kuasa BN. Sementara PAS memperjuangkan Islam dan idealisme yang sanggup berpecah dengan DAP atas alasan Islam. PAN pula dianggap regu yang berkongsi hasrat dan cita-cita dengan DAP dan PKR atas nilai kemajmukan Malaysia.

Oleh sebab itu, pihak mana yang bakal menguasai hasrat majoriti pengundi di dua PrK kali ini, maka ukurannya mestilah bertolak daripada asas-asas perjuangan yang memenuhi nilai majoriti pengundi Melayu, sekaligus memenuhi nilai-nilai kemajmukan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Namun adat persaingan yang berlaku, pilihan raya kecil adalah berbeza dengan pilihan raya umum. Persoalan asas biasanya diketepikan oleh pengundi, sebaliknya persoalan 'makan-minum harian' menjadi keutamaan. Oleh sebab itu, kedudukan parti-parti pencabar yang bercengkerama mungkin akan memberi keselesaan kepada BN untuk mengekalkan dominasinya menerusi strategi kempen ke arah memenuhi 'makan-minum harian' pengundi berbanding persoalan teras. Jika ini benar maka inilah senario politik tradisi PrK di negara ini yang kebanyakannya menyebelahi BN. Jika ini tidak benar, maka senario PrK sudah berubah buat kali ini dan UMNO mungkin bukan lagi penguasa di dua parlimen tersebut.

Bacaan tambahan boleh link di sini:
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/41568-luka-umno-di-kuala-kangsar-berdarah-lagi

No comments: