Pembudayaan politik matang dan
sejahtera bermaksud suatu pembinaan budaya atau amalan yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan
dan tindakan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, sesuai dengan realiti
masyarakat bermatlamatkan keredaan Allah, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Berasaskan pembudayaan ini, ia dilihat serasi dengan
PAS dan latar belakang masyarakat Malaysia yang bersifat kepelbagaian dengan
cara hidup mengutamakan lemah-lembut dan sopan-santun sesuai dengan teras
sejarah kebudayaan berteraskan Islam dan Melayu serta perjuangan kemerdekaan
negara yang mengutamakan perundingan dan permuafakatan. Selayaknya, PAS
mengorak langkah ke arah pemerkasaan parti demi pembudayaan politik matang dan
sejahtera.
Foto kenangan: Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu. |
Ustaz Dato' Menteri Besar Kelantan menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu. |
Salah satu prinsip pembudayaan
politik matang dan sejahtera ialah bertunjangkan prinsip syarak di dalam
menguruskan apa-apa dasar dan pelaksanaan gerakan parti mahupun pentadbiran. Ini
selari dengan tuntutan Perlembagaan PAS yang mengutamakan sistem Islam di dalam
gerakannya.
Sebagaimana dimaklum tujuan PAS
ialah (Fasal 5) memperjuangkan wujudnya di dalam negara
ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai
hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah, mempertahan kesucian
Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Sementara
usaha PAS bagi menguruskan perjuangan Islam bertapak kukuh di dalam negara ini ialah (Fasal
6)
menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasul-Nya
melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan, dan memperjuangkan Islam
sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan
bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan
keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran,
ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
Model politik matang PAS di Kelantan
Bertolak daripada tuntutan
perjuangan tersebut, maka PAS yang telah 25 tahun mentadbir Kelantan telah
mempamerkan suatu model politik matang dan sejahtera berprinsipkan mesra
syariah (bertunjangkan syarak). Malahan sedang menuju ke tahap keutuhan sistem
pentadbiran yang memenuhi indeks syariah sebagaimana tuntutan al-Quran.
Mengambil
satu sudut pembangunan, Kerajaan Negeri Kelantan telah merasmikan pembudayaan
prinsip syarak bersandarkan kepada visi dan misi dasarnya yang Islamik iaitu
Membangun Bersama Islam (diperkasakan sekarang sebagai Merakyatkan Membangun
Bersama Islam mencapai Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan).
Dalam
mengisi dasar tersebut, banyak tanggungjawab yang telah dilakukan ke arah
mempastikan persoalan pentadbiran dan pelaksanaan pembangunan yang dirancang
dan diurustadbir hendaklah memenuhi kehendak syarak, sebagaimana firman Allah
SWT (Surah An-Nur ayat 55) bermaksud: “Allah menjanjikan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat
Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang
kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang
sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan
mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka;
dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami
ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak
mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur
ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.’’
Bertolak
daripada prinsip tersebut seawal pentadbiran PAS tahun 1990 lagi langkah
pengurusan kewangan yang mesra syariah dibuat dengan membebaskan akaun
kerajaan negeri dari riba, pembukaan pajak gadai Islam (ar-Rahn) dan dasar jimat cermat serta bersederhana dalam berbelanja.
Turut ditubuhkan Tabung Amanah Serambi Mekah bagi menggalak rakyat menyumbang
untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Di samping menyediakan kemudahan
pinjaman tanpa riba kepada Adun dan penjawat awam.
Kemudian
dilaksanakan pengharaman premis judi, pengawalan persembahan hiburan yang
berunsur syirik, penguatkuasaan pakaian menutup aurat, melarang memperaga
wanita (terdedah aurat) sebagai bahan iklan dan penyusunan kedai gunting unisex
serta penyusunan jualan arak mengikut kadar penduduk bukan Islam.
Diikuti
dengan pelaksanaan pendidikan Islam menerusi Dakwah Halaqat, amalan memula mesyuarat
dengan bacaan al-Fatihah dan menutupnya dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr.
Ia disusuli dengan amalan kepimpinan yang bersederhana dan berkebajikan yang
tidak sewenang-wenang menggunakan harta dan kemudahan kerajaan.
Disusuli
pula penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2005 yang
melibatkan hukuman hudud, qisas dan takzir untuk kesalahan jenayah kepada orang
Islam. Sekarang pula, ke arah pelaksanaan misi perbandaran Islam di semua pihak
berkuasa tempatan.
Ia
turut diperkasakan pentadbiran dalam pembangunan ekonomi berteras prinsip Islam
yang mengutamakan ketelusan menerusi amalan tender terbuka. Pelaksanaan
perbandaran Islamik dan pengimarahan cara hidup berteraskan amal ibadat, budaya
ilmu serta kesejahteraan Islam telah dilaksanakan program pembangunan komuniti
Desa Taqwa dan Medan Ilmu serat Qariah/Madinah Ramadhan
Amalan ta’awun
Begitu pula, seawalnya lagi PAS di
Kelantan telah melaksanakan amalan pembangunan berkonsepkan kerjasama atau
gotong royong melibatkan masyarakat setempat. Konsep tersebut ialah amalan
ta’awun dalam menyiapkan sesuatu projek kesejahteraan rakyat. Ia merupakan
amalan berasaskan ta’awanu (bertolong-tolongan) yang disyariatkan oleh Allah
SWT di dalam al-Quran (Surah Al-Maidah ayat 2) bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan.”
Amalan
ta’awun lebih popular kalangan masyarakat Kelantan sebagai gotong royong, iaitu
suatu proses sosial yang mengutamakan kerjasama dalam menjayakan sesuatu
matlamat bersama. Ia juga suatu amalan yang digalakkan di dalam berjemaah
mahupun berorganisasi yang memupuk persaudaraan Islam, kesatuan fikrah dan
amal. Kesan daripada amalan ta’awun itu telah dapat menjimatkan kos projek dan
menjalin hubungan setiakawan dan kehidupan berteraskan permuafakatan. Hal ini
sedang diperkasakan apabila secara rasminya portfolio Kesejahteraan Rakyat dilaksanakan
mulai 2013. Natijahnya adalah kesejahteraan hidup di dalam sesuatu komuniti
setempat. Inilah yang diimpikan oleh sebuah gerakan Islam tatkala berkuasa.
Parti menguasai kerajaan
Sesungguhnya, model politik matang
dan sejahtera yang dipamerkan menggambarkan PAS melakukan tatkala berkuasa,
sekaligus menjayakan prinsip parti menguasai kerajaan. Agenda parti diterapkan
dalam pelaksanaan perancangan dan urustadbir kerajaan yang bertunjangkan
prinsip syarak.
Prinsip
parti menguasai kerajaan merupakan amalan standard bagi kepimpinan kerajaan
yang dipilih oleh parti untuk menguruskan kuasa (dari Allah melalui kerajaan
untuk rakyat mencapai keredaan-Nya) di peringkat kerajaan demi kepentingan
parti dan rakyat yang memilih pemimpin yang berkuasa (kepimpinan ulama’).
Dalam
amalan demokrasi, sebuah kerajaan dibentuk hasil kepercayaan dan mandat
majoriti rakyat kepada sesebuah parti. Parti yang terpilih membentuk kerajaan
di Malaysia ialah yang memenuhi keperluan sistem “first past the post” (pihak yang dikira menang meskipun dengan
satu undi).
Oleh
sebab itu, pembudayaan politik matang dan sejahtera di Kelantan sentiasa
melalui proses penambahbaikan kerana setiap penggal pilihan raya, rakyat akan
menilai di atas pencapaiannya. Ukuran pencapaian utama adalah sejauh mana
pelaksanaannya memenuhi indeks syariah yang membawa impak memuaskan dari segi
kesejahteraan hidup rakyat sesuai dengan perkembangan semasa.
Dengan
kata lain, pengalaman PAS di Kelantan di dalam memartabatkan model politik
matang dan sejahtera ini merupakan kesinambungan daripada pembinaan nilai-nilai
madani dalam masyarakat dan negara. Ia berpaksikan usaha pengukuhan hubungan
keberkatan, kemakmuran dan kebajikan yang bertunjangkan syarak. Hal ini sedang
diuruskan oleh kepimpinan ulama’ PAS Kelantan sekarang ini yang perlu dikongsi
bersama-sama demi memacu pembinaan tamadun baru yang membawa penyelesaian
berasaskan sistem politik dan sosial Islam.
No comments:
Post a Comment