15 August, 2013

100 hari Melepasi Cabaran Pimpinan Baru Negeri Kelantan



Pilihan raya umum 5 mei 2013 telah menyaksikan PAS kekal sebagai kerajaan di Kelantan. Kerjasama bersama Pakatan Rakyat telah membawa satu keyakinan semula untuk PAS membentuk Kerajaan Negeri dengan mandat dua pertiga pengundi Kelantan. 

Pada 6 Mei pula, menyaksikan berlaku peralihan kuasa kepimpinan menteri besar Kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengundur diri dan mandat baru dibebankan pula kepada Ustaz Dato’ Ahmad Yakob. Ia membawa kepada satu pembentukan saf kepimpinan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru di bawah menteri besar baru.
 
Fot0 - Ehsan UKMB
Meskipun menteri besar baru, natijahnya Ustaz Ahmad adalah seorang yang sudah lama, berpengalaman dan merupakan timbalan besar sebelum ini. Nilainya, ia suatu peralihan pucuk pimpinan majlis mesyuarat kerajaan negeri yang menyambung daripada saf yang dibentuk oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini. Justeru segala dasar dan amalan tadbir urus masih kekal daripada apa yang sebelum ini. Ia bermaksud Ustaz Ahmad adalah penyambung dan pewaris kepada apa yang dibawa oileh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Justeru dasar  dan amalan tadbir urus adalah masih dengan visi dan misi asal yang diasaskan sejak tahun 1990 lagi. Ia masih berpaksikan kepada visi mentadbir Kelantan berasaskan sistem Islam dengan istiqamah di atas prinsip Membangun Bersama Islam. Sementara pernyataan misinya masih meletakkan matlamat untuk memaju dan membangunkan rakyat dan Negeri  Kelantan menuju “Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan” demi mencapai keredaan Allah.

Usaha tambahbaik

Bertolak daripada visi dan misi sedemikian, sudah tentu kepimpinan baru Kerajaan Kelantan masih mempunyai kerangka program dan projek tersendiri. Ia bermakna ada kerangka lama yang patut diteruskan dan ada pula yang patut diperbaiki. Di samping tidak dapat dinafikan ada juga yang memerlukan kerangka baru.

Sehubungan itu, beberapa projek awal atau inisiatif yang dibuat sebelum pilihan raya umum lalu, ada yang perlu ditambahbaik dari segi pendekatan bagi memastikan kejayaan. Misalnya projek lebuh raya rakyat telah menghadapi cabaran menjelang pilihan raya apabila pihak kontraktor menarik diri. Maka kontraktor baru telah diurus segera oleh kerajaan negeri. Demikian pula projek sedang berjalan seperti ladang rakyat dan Bandar Lembah Sirih, ia memerlukan penilaian prestasi bagi memastikan matlamat kejayaan memenuhi harapan rakyat.

Bayangan di atas adalah sebagai suatu terjemahan persepsi betapa serius dan tingginya komitmen kepimpinan baru Kerajaan Negeri pimpinan Ustaz Ahmad sekarang. Justeru itu, langkah pemerkasaan sudah dan sedang dilakukan melalui  pembentukan saf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri  (ahli exco) yang dianggap lebih mantap apabila mengukuhkan lagi gandingan kepakaran ahli agama dengan ahli iktisas. Ia suatu langkah memperkukuhkan misi Kepimpinan Ulama mengurustadbir kerajaan dan parti.

Menteri besar Ustaz Ahmad turut melakukan penyusunan semula kedudukan portfolio ahli exco dan timbalan exco dengan mengambilkira pengalaman, kepakaran dan keperluan semasa. Ia sesuai dengan matlamat menambah keyakinan rakyat dan pihak awam kepada keupayaan Kerajaan Negeri. Ia sesuai dengan itu, usaha mendekatkan Kelantan dengan kerajaan negeri-negeri lain dan warga Kelantan yang bekerja di luar juga telah dibuat.  Mislanya, diwujudkan portfolio hubungan serantau bagi membolehkan penyaluran maklumat Kerajaan Negeri dipercepatkan menerusi pusat-pusat aktiviti Kelantan di luar negeri. Di samping itu, pihak menteri besar sendiri turut mengambil tanggungjawab memimpin portfolio pelaburan sebagai tarikan dan faktor pendorong menerokai pertumbuhan sektor pelaburan di Kelantan.

Melengkapi keputusan tersebut, seawal mesyuarat ahli exco pasca pembentukan kerajaan baru pihak menteri besar telah mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri  bagi mengumpul kepakaran dan idea bernas bagi membantu pembangunan ekonomi negeri mendepani cabaran. Ia satu pendekatan baru yang dikira lebih mesra dan produktif.

Seiringan dengannya, keputusan pihak kerajaan negeri  adalah mempertegaskan lagi projek perumahan rakyat berkonsepkan mampu milik di setiap jajahan. Di ikuti dengan pengumuman dasar mesra keluarga kakitangan awam bagi memboleh pasangan (isteri/suami) yang  bertugas berlainan jabatan dapat ditempatkan secara berdekatan. 

Demikian pula, kepimpinan baru turut peka dengan peranan dan tanggungajwab syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam mengerakkan pembangunan wilayah dan tempatan. Justeru setiap ahli exco diberi peranan utama mempengerusikan GLC yang sesuai dengan portfolio yang dipegang.  Diikuti dengan perlantikan beberapa individu yang berjaya sebagai lembaga pengarah.  Ini selari dengan tradisi peralihan kuasa, misalnya exco pertanian dan timbalannya diberi peranan mempengurusikan GLC berkaitan pertanian. Pendekatan ini dianggap lebih mesra rakyat dan menjayakan matlamat kerajaan dalam menentukan tuju arah GLC. Ia turut membabitkan peluang untuk mana-mana GLC mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak datang melabur di Kelantan.

Aura Tok Guru

Sesuatu yang penting lagi dalam memastikan gaya kepimpinan baru Kerajaan Kelantan hari ini kekal dan segar dengan amalan Kepimpinan Ulama, pihak menteri besar Ustaz Ahmad bersetuju menubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG). Ia suatu inisiatif ke arah menggarapkan segala isu-isu kepimpinan berintegriti yang telah diasaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama 23 tahun. Institusi ini dikira penting sebagai sumber rujukan dan panduan dalam konteks semasa mahu pun masa depan. Sebagaimana dimaksudkan oleh Ustaz Ahmad, “aura dan kepimpinan Tok Guru dipastikan sentiasa ada dalam persekitaran pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.”

Selanjutnya komitmen dan tumpuan kerajaan negeri di bawah kepimpinan baru adalah memastikan projek yang disebut sebelum ini (seperti lebuh raya rakyat, stadium, tuntutan royalti minyak dan sebagainya) berserta dengan sembilan tawaran program Membangun Bersama Islam semasa pilihan raya umum ke-13 (antaranya perumahan, bandar baru, projek berkebajikan dan sebagainya) akan dilaksanakan dengan sedaya upaya mungkin. Ia suatu mandat rakyat yang perlu dipertegas secara berhemat.

Kebaijikan dan pelaburan

Selari dengannya, keutamaan Kerajaan Kelantan masa kini ialah mengambil langkah pemerkasaan dasar-dasar kerajaan. Ia akan dilakukan dalam beberap pendekatan bersifat dasar dan inisiatif berimbang. Bagi tujuan ini, beberapa dasar sebelum ini akan dibuat penilaian, di samping menyelaraskan dasar-dasar baru seperti dasar kebajikan dan pelaburan berasas pendekatan Islam. Ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri ke arah meningkat program berkebajikan dan menarik lebih ramai pelabur Islam dalam pembangunan negeri. Hal ini telah ditegas juga oleh menteri besar semasa persidangan dewan negeri yang lalu, iaitu menjadi keutamaan untuk menarik pelabur dari dunia Islam dan sebelah timur. termasuk dari negara-negara Arab, Korea dan China dapat datang ke Kelantan. Ia akan dilakukan secara kerajaan dengan kerajaan.


Demikian juga, kepimpinan Ustaz Ahmad menginsafi akan kesungguhan rakyat inginkan pelaksanaan perundangan syariah di Kelantan, termasuk hudud dapat berjalan lancar. Keinsafan ini akan dilaksanakan menerusi satu Sidang Meja Bulat dalam masa terdekat. Apa pun pihak-pihak yang berkepakaran dalam bidang perundangan Islam adalah dilalu-alukan untuk bersama-sama Kerajaan Negeri, demi memartabatkan kedudukan Islam dalam politik pentadbiran.

Selanjutnya, menjaga hak negeri dan rakyat adalah keutamaan kepimpinan baru kerajaan Kelantan. Justeru usaha meningkatkan hasil negeri akan diusahakan secara lebih cermat dan berhemat. Maka sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi menggantikan aktiviti eksplorasi mineral berasaskan persetujuan kerajaan-pengusaha sebelum ini. Secara prinsipnya, proses tender adalah berasaskan jumlah tan hasil mineral yang dikeluarkan. Ia dianggap adil kepada pengusaha dan sekaligus boleh menambahkan hasil Kerajaan Negeri dalam persepsi mengatasi rasuah dan kebocoran.

Isytihar harta

Dalam pada itu, Ustaz Ahmad amat prihatin dengan isu-isu integriti yang melibatkan ahli exco dan pegawai kerajaan. Sehubungan itu, pengisytiharan harta kalangan ahli exco dipersetujui sebagai melaksanakan pelan integriti pimpinan. Ia suatu langkah positif demi meningkatkan budaya pentadbiran yang menghayati dan mengamalkan prinsip ubudiyah, itqan dan masuliyah yang merupakan teras pentadbiran Membangun Bersama Islam.

Kini kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan baru telah genap 100 hari. Maka daya usaha pembinaan keyakinan dan panduan pentadbiran ke arah lebih cemerlang pasti dijadikan keutamaan. Sehubungan itu, pihak menteri besar Ustaz Ahmad bersetuju mewujudkan satu Sistem Pemantauan Pelaksanaan Projek dan Program Kerajaan Negeri bagi tempoh lima tahun. Ia adalah suatu pelan penyelarasan dan penilaian prestasi yang akan dipakai oleh semua ahli exco bagi memandu pegawai pelaksana di peringkat jabatan, GLC dan pihak yang berkaitan. Harapan di sebalik pelan ini adalah lambakan idea yang segar bagi memastikan prestasi projek dan program kerajaan negeri nanti menepati sasaran dan menenuhi petunjuk prestasi menjelang 2018.

Justeru kepimpinan baru negeri Kelantan yang diterajui oleh menteri besar Ustaz Ahmad pastinya padat dengan segala tugasan dan seharusnya dapat memikulnya dengan penuh tanggungjawab dan beramanah. Komitmen berasaskan pengalaman dan kepakaran ahli exco Kerajaan Negeri Kelantan hari ini dianggap sudah memenuhi harapan seluruh warga Kelantan. Apa yang penting, segala-galanya harus diurus secara kekeluargaan, persefahaman dan kegigihan yang bertunjangkan keikhlasan demi keredaan Allah. Semoga kepimpinan baru Negeri Kelantan sentiasa mendapat petunjuk-Nya.

1 comment:

Anonymous said...

Salam..selepas 100 hari PAS mentadbir kelantan...bagi saya gerakan kini nampak layu sedikit seolah2 kita tuada arah tuju yang jelas. tambahan pula ada sebahagian ahli PAS sendiri tidak puas hati dengan perlantikan exco yang dibuat secara tergesa2...sepatutnya boleh dibawa bincang dalam dewan harian PAS Kelantan.
Tambahan pula sekarang ini Kelantan pula hendak mengambil ALAMFLORA yang telah ditamatkan oleh selaangor,kita pula nak ambil mereka. 'R' masih berjalan tetapi seolah Kjaan Kelantan kurang memberi sokongan kepada usaaha ini,sepatutnya kita terus menekan untuk menuntut hak rakyat.
seakan sekarang exco yang ada seolah mendabik dada dengan kemenangan....sayugia contohilan kerajaan selangor yang begiti banyak usaha dijalankan untuk rakyat mereka dan banyak pula idea yang boleh diterima rakyat selangor,kita seolah22 kering idea,tambahan pula sekarang macam menyepi dan takut2.....gunalah kemahiraan dan kepakaran Husam Musa pada tempatnya....banyak pegawai barru yang dilantik seolah2 mencerminkan proksi yang tertentu...jgn jadi mcm Pm kita tu. salam.