Persidangan agung Umno (PAU) ke-66 sudah berlalu dengan
meninggalkan pelbagai kesan yang dilihat amat negatif di sisi PAS dan Pakatan
Rakyat. Amat negatif kerana di medan persidangan itu terbitnya segala macam
fitnah dan putar belit yang langsung ditujukan terhadap PAS dan parti-parti
rakan PAS (Pakatan Rakyat). Tidak kurang pula, timbulnya persoalan yang tidak
berkesudahan kalangan penyokong Umno kerana sebahagian telah menyaksikan
sendiri betapa ruang persidangan tidak dijadikan titik muhasabah berguna bagi
menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Sebaliknya, banyak ucapan
perwakilan termasuk presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden,
ketua-ketua sayap yang kesemuanya asyik menuding jari dan menghukum PAS dan
musuh-musuh politik mereka. Sebagaimana ucapan presidennya, Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak yang berleter-leter dan berdegar-degar sehingga terungkapnya
kata-kata ‘sampai titisan darah terakhir’ demi mempertahan kuasa di Putrajaya. Ia
sudah mengulangi kisah ketiga-tiga sayap Umno ketrika perhimpunan tahun 2011
yang lalu. Justeru ia dilihat semacam Umno sahaja yang layak meratah nikmat
se-Malaysia. Kesemuanya telah menampakkan sirip-sirip Umno sudah tidak relevan
lagi untuk survival masyarakat Malaysia pada masa hadapan!
Walaupun begitu, PAS sebagai sebuah gerakan Islam
terulung masa kini tidaklah perlu terkilan dengan longgokan kata nista pada
persidangan parti asbiah terbesar itu. Sebaliknya PAS harus mengambilnya
sebagai cabaran bagi menggalas komitmen yang lebih besar untuk merasmikan
nilai-nilai ketidakrelevanan Umno dalam PRU13 nanti. Atas sebab ini, PAS tidak
sama dengan Umno.
PAS
pengasas se-Malaysia
Realitinya PAS adalah sebuah parti Islam yang cukup
relevan dengan ciri-ciri dan impian masyarakat Malaysia. Ia terbukti daripada
latar sejarahnya, betapa PAS sejak awal penubuhannya sudah memakai perkataan
se-Malaysia. Ketika penubuhannya tahun 1951, PAS sudah sepadan dan dikenali sebagai
sebuah pertubuhan untuk se-Tanah Melayu. Selepas itu, berlaku pembentukan
Malaysia tahun 1963, maka PAS telah meminda nama dari Persatuan Islam se-tanah
Melayu kepada kepada Parti Islam se-Malaysia. Justeru bukti kerelevanan PAS telah
mendahului zaman dan ia adalah berkat pemikiran tajam (futuristik) para
alim-ulama (asalnya pendukung biro agama Umno dan merupakan bekas pimpinan
Hizbul Muslimin yang ditubuh di Gunung Semanggol) yang mengasaskan PAS ketika
itu sudah memikirkan konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sejarah penubuhan PAS itu amat berbeza dengan Umno.
Ini kerana penubuhan Umno berlaku dalam keadaan menggendung sarat warisan
pusaka penjajah yang inginkan penerus kepada cara-cara penjajahan Inggeris.
Justeru pengasas Umno tidaklah terfikir akan realiti masyarakat berbilang kaum.
Apa yang difikirkan oleh pemimpin Umno hanyalah penyatuan Melayu melalui kempen
untuk menyahkan Malayan Union, demi mempertahan raja-raja dan tanah air
daripada terus diratah penjajah. Ketika itu pemimpin Umno sedang menggendung
sarat segala macam hasutan, sehingga terperangkap dengan amalan devide and rule bawaan penjajah. Justeru
syarat merdeka yang dipasak penjajah pada hati pemimpin Umno ialah masing-masing
kaum hendaklah ada kapal sendiri (Melayu-Umno, Cina-MCA dan India-MIC). Maka kapal
masing-masing itu hendaklah sedia berlabuh dan terikat kuat di jeti yang sama. Sekiranya
Umno sedia menerima syarat itu, barulah penjajah sedia memberi hak merdeka.
Apa pun, Onn Jafar pada masa itu telah mengambil
jalan berbeza, beliau sudah melihat konteks hubungan antara masyarakat
berbilang kaum. Kemudian pada tahun 1951 Dato’ Onn keluar dari UMNO dan
menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan selepas itu Parti Negara. Nilai ketidakrelevanan Umno
sudah berputik apabila pengasasnya sendiri bertindak keluar parti. Ia diikuti
pula dengan alim-ulama biro agama Umno. Lalu munculnya PAS dan Onn Jaafar (IMP
dan kemudiannya Parti Negara) sebagai parti pesaing Umno. Apa pun IMP dan Parti
Negara telah berkubur lebih awal. Tinggallah PAS sebagai pesaing tunggal untuk
terus menafikan kerelevanan Umno di sisi masyarakat se-Malaysia.
Kempen
1Malaysia Najib
Kepimpinan Najib menggantikan Pak Lah cuba
direlevankan untuk masyarakat Malaysia menerusi kempen 1Malaysia. Ia dilihat
pada awalnya sudah memberi nafas segar untuk transformasi politik demi masa
depan Umno. Apa pun kesemua impian itu sudah dilihat hodoh, apabila segala-gala
gerakan transformasi (baca politik 1Malaysia) yang dibuat Najib semacam ‘cakap
tak serupa bikin.’ Ia kedengaran nyaring tetapi tusukanya terlalu lemah untuk
diyakini rakyat. Ia berpunca daripada kegagalan Najib sendiri menguasai rakan
dan regu dalam Umno dan sesama pemimpin komponen BN.
Justeru indeks sosial, ekonomi dan integriti semakin
hari dipertikaikan. Paling besar dipertikaikan apabila pendekataan transformasi
membela rakyat (berslogankan rakyat didahulukan) sudah dilihat sebenar adalah
membangkrapkan rakyat. Rakyat saban hari dirayu bekerja keras demi transformasi
1Malaysia, tetapi saban waktu pula pemborosan, kronisme, korupsi dan ketirisan
telah menyibukkan banyak pihak.
Kini Najib sudah diimejkan dengan transformasi
menuju kegagalan apabila beliau sendiri terpaksa memikul tugas sebagai menteri
pembangunan wanita, mengitar semula suara lapuk Dr. Mahathir, di samping urusan
kewangannya semakin lemah apabila negara turut dibebankan dengan hutang
melebihi RM500 billion.
Nyata sekali, projek membangkrap rakyat tetap
diteruskan tatkala sistem saman AES dilaksanakan pada saat rakan lamanya
seorang tauke karpet, Deepak Jaikishan muncul dengan berkata benar merobek
semula kisah pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembelian kapal selam dan kisah penyiasat
persendirian Balasubramaniam yang dikatakan membuat pengakuan bersumpah secara
dipaksa oleh pihak tertentu yang dikaitkan dengan Najib. Kononnya perancangan
awal (menggunakan Deepak dan Balasubramaniam) untuk memberrsihkan maruah Najib.
Kesemunya (isu-isu mengenai Najib dan kelemahan
tarnsformasi 1Malaysia) telah tertutup rapat sepanjang persidangan Umno lalu,
kerana arahan Najib kepada perwakilan agar menumpukan kepada (strategi
menyerang) membongkar identiti PAS dan Pakatan Rakyat pada pandangan puak Umno!
Pasca
persidangan yang menggigilkan
Kajian Sinar Online mengenai keyakinan pembacanya
terhadap apa yang berlaku di persidangan Umno dan kesannya setakat yang
direkodkan amat mengejutkan sehingga menggigilkan ahli Umno di akar umbi. Tiga
persoalan yang dibangkitkan membuktikan pembaca Sinar itu (setakat jam 2 pagi
pada 2 Disember 2012) membuahkan tahap keyakinan amat rendah kepada peluang
Umno dalam PRU13. Di sebalik persoalan, “susulan perhimpunan agung Umno, jika
anda seorang pengundi, parti pilihan anda:” Jawapan diterima hanya enam peratus
(255 daripada 4,382 jawapan) yang memilih Umno. Selebihnya adalah PAS sebagai
pilihan. Logiknya jawapan itu bersandarkan Umno dalam setiap kali pilihan raya
akan berdepan dengan PAS. Justeru PAS menjadi pilihan majoriti kalangan pembaca
Sinar online itu.
Kajian online itu juga turut mempersoalkan atas isu,
susulan perhimpunan agung Umno iaitu pilihan pembaca sama ada kerjasama
(perikatan) BN atau Pakatan Rakyat, maka yang memilih BN hanya enam peratus
(272 daripada 3,999 jawapan). Begitu pula di sebalik persoalan, keyakinan
terhadap “BN boleh menguasai dua pertiga pada PRU13” juga menunjukkan markah
yang mengecewakan Umno. Pembaca yang yakin bahawa BN boleh menguasai dua
pertiga hanya lima peratus (266 daripada 4,236 jawapan).
Mungkin kajian itu belum mantap untuk memberitahu
hal sebenar, namun sedikit gambaran yang terbuka kalangan pembaca online news
seperti Sinar online itu adalah suatu nilai persepsi, betapa Umno sedang bermasalah
untuk kembali ke puncak. Justeru senario itu diburukkan lagi oleh coretan bekas
Umno, seorang bloger, Aspan Alias sebagaimana dicoretkan (2 Disember 2012)
dalam blognya.
Menurut Aspan, “acuan Umno tidak boleh dipakai lagi,
kita terpaksa menukar acuan baru.” Ia cukup pedih dibaca, tetapi itulah
pengamatan tajam seorang bekas Umno yang mengamati perjalanan perhimpunan agung
Umno lalu berjalan dengan nada lesu, gaya longlai dan langkahnya cukup sumbang.
Beliau menggambarkan hampir 60 peratus perhimpunan berjalan tanpa cukup
kuorum, penuh dengan ucapan menakut-nakutkan orang Melayu.
Dicoretkan lagi kononnya bila Pakatan Rakyat
berkuasa, maka agama Islam akan hilang, Melayu akan hilang, raja-raja akan
hilang dan segala-galanya akan hilang. Justeru secara sinis disebutkannya,
apakah dengan ahli Umno 3.2 juta daripada 15 juta pengundi itu, maka yang bukan
ahli Umno itu berada dalam tidak selamat?
Natijahnya pengamatan Aspan itu ada kebenarannya dan
segala-galanya membuktikan kebodohan sudah menguasai pemikiran perwakilan Umno.
Lihat sahaja di Kelantan yang telah 22 tahun di bawah kuasa PAS sebagai
kerajaan. Apakah Umno boleh membuktikan seramai mana yang mengundi PAS atau
seramai 1.3 juta rakyat Kelantan sudah mati kelaparan kerana Umno tidak
berkuasa, apakah sultan di Kelantan sudah jatuh dari takhta, dan adakah majlis
agama Islam sudah terbubar kerana tiada kuasa Umno dalam hal ehwal agama Islam
di bumi Kelantan? Ini semua persoalan ‘gila’ sudah menguasai Umno di bawah
Najib. Ia suatu bukti ‘fears factor’ cuba dibawa ke dada masyarakat. Mungkin Umno
akan bertambah gila dan takut lagi, bila mana terdengar berita kejayaan
Himpunan Kebangkitan Rakyat di Parit Soleh Ros, Muar, Johor (2 Disember lalu),
tatkala laporan perisikan yang menggambarkan lautan rakyat bangkit bersama
menyatakan sokongan terbuka kepada perubahan kuasa di Putrajaya.
Hanya Allah Maha Berkuasa di atas setiap kuasa, dan
sesungguhnya kuasa itu hanyasanya milik mutlak Allah SWT. Justeru mungkin sudah
sampai masanya doa “KO BN, BN KO” sedang di perjalanan meresapi setiap hati
nurani rakyat se-Malaysia––menerima seruan Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment