25 June, 2012

Siapa PM selepas PRU13 menghantui Umno?


Setelah menelusuri tulisan kolumnis Sinar Harian (21 Jun 2012) bertajuk ”Siapa selepas Najib dan Muhyidin” jelas tergambar kegusaran, ketakutan malah kehantuan pemimpin dan pengikut Umno. Sementelah pula, jika ada ahli dan pemimpin Umno yang begitu taksub kepada pandangan tukang tilik dan bomoh yang meramalkan masa depan gelap untuk Umno.

Tulisan itu tidaklah berfakta dalam membahaskan pertembungan antara bakal-bakal perdana, kerana ia tidak lebih daripada suatu lontaran idea berlandaskan  bahasa dan retorik media arus perdana pro-Umno semata. Namun, ia cukup menggambarkan suatu ketakutan seumpama ketika menonton satira seram di pentas yang malap.

Apa pun, mungkin niat kolumnis itu hanya untuk menyampai mesej amaran kepada pemimpin Umno yang sedang sibuk membahagi-bahagikan kekayaan negara kalangan sahabat-handai (kroni) dan anak-cucu (nepoti) mereka. Persoalannya, apakah mirip gaya dan tingkah laku Umno era perdana menteri sekarang sudah di puncak yang menunggu jatuh?

Hubungan teori RAHMAN

Menariknya tulisan kolumnis itu tatkala dibaca pula ulasan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali mengenai teori RAHMAN (Harakah 22-24 Jun 2012). Ulasan mengenai teori susurgalur penggantian enam perdana menteri sejak merdeka sampai kini – bermula Tunku Abdul Rahman (R), Abdul Razak (A), Hussein (H) Dr. Mahathir (M), Abdullah (A) dan Mohd Najib (N) – maka keyakinan PAS tentang senario PRU13 ini adalah penamat bagi Umno. Sudah tentu menakutkan jika difahami bahawa teori sedang di penghujugnya, maka bukan pemimpin Umno bakal perdana menteri selepas Mohd Najib. Selepas ini perlu ada satu teori penggantian perdana menteri yang baru wajar dicipta.

Justeru ulasan Setiausaha Agung PAS yang menanggapi era perdana menteri dari Umno diyakini berakhir dapat dipadukan dengan beberapa nilai kekalutan berbau celaru kolumnis Sinar Harian itu. Antaranya, nilai integriti yang sudah dibangkitkan kolumnis itu adalah bertaraf melaga-lagakan imej pemimpin besar Pakatan Rakyat – Tuan Guru Abdul Hadi, Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Lim Guan Eng – dengan Mohd Najib dan Muhyidin Yasin. Kononnya, pemimpin dari Pakatan Rakyat tidak pentingkan moral kerana bersetuju Anwar sebagai pengganti Najib. Sebaliknya pula, digambarkan Najib dan Muhyidin sebagai yang bermoral tinggi dan memenuhi kehendak rakyat. Lalu dilakarkan Najib sebagai “bukanlah calang-calang calon malah lebih popular daripada Umno dan BN.”

Lakaran kolumnis tersebut sudah menjadikan pemimpin dan ahli Umno seumpama ayam serama mempamer gaya (mengembang ekor), sedangkan ekornya terpalit tahi. Ia sama sekali bertentangan dengan hujahan Setiausaha Agung PAS yang meyakini, graf sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat yang semakin meningkat hari ini, maka teori RAHMAN akan menjadi realiti. Senario ini wajar dihidangkan di pentas Umno bagi memberi keyakinan, betapa Umno sedang berada di persimpangan kuasa.

Najib dilamun gerun

Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bertahan dengan lakaran kolumnis Sinar Harian tersebut, maka logiknya selamatlah ia pada kedudukan sekarang. Sebaliknya pula, jika ulasan Setiausaha Agung PAS sebagai titik muhasabah, pasti Najib tidak lagi menjadi perdana menteri selepas PRU13. Persoalannya, di antara dua keadaan, mana satu yang pasti menjadi realiti?

Pernah seketika Mohd Najib merungut secara terbuka pada majlis pelancaran projek ternakan kambing di Pahang (salah satu projek ECER) pada April lalu. Rungutan itu ialah berkisar kepada kemungkinan benar teori RAHMAN. Rungutan Najib itu dikatakan turut disaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub. Rungutan itu semacam suatu titik persoalan besar sedang menghantuinya. Di sini logiknya, betapa ulasan Datuk Mustafa Ali itu telah menyentuh ‘titik gerun’ seperti yang dimaksudkan.

Munasabah untuk kita menganggap Najib sedang merasai titik gerun, kerana sehingga kini gambaran bila akan diadakan pilihan raya masih menjadi teka-teki yang tidak berkesudahan. Malah, pemikiran Najib selaku pemilik timbangtara bagi menasihati Yang Dipertuan Agung berhubung tarikh pilihan raya (membubar parlimen mahupun dewan undangan negeri) turut dilamun kecamukan kerana gagal menentukan bila parlimen akan dibubar.

Mungkin kecamukan itu kerana dalam pemikirannya sudah dipengaruhi  oleh isu-isu besar, seperti isu dalaman Umno (persoalan moral pemimpinnya), isu peribadinya sendiri (yang dihadapkan dengan kes rasuah ‘scorpene’ dan terbaru pula membabitkan bakal menantunya yang dikatakan menipu sijil pengajian), ataupun persekitaran luar termasuk sokongan rakyat yang meningkat kepada Pakatan Rakyat sekarang.

Hakikat itu pasti mengundang keyakinan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memperkasa tindakan politik mengharungi cabaran menuju Putrajaya. Lebih-lebih lagi bila disaksikan gelombang rakyat bersama Pakatan Rakyat semakin menular. Sebagaimana terserlah dalam ‘Perhimpunan Hijau’ di Kedah awal Jun lalu adalah penerusan gelombang kuning perhimpunan aman  Bersih 3.0. Selayaknya pemimpin Umno, seumpama Mohd Najib sedia menerima hakikat bahawa teori RAHMAN bakal sempurna dan rakyat sedia menunggu pilihan raya untuk membuat mandat baru. Natijahnya siapakah pemimpin (sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional) yang akan menjadi pilihan rakyat untuk duduk di Putrajaya?

No comments: