Amat bahagia tika lebaran dapat mengunjungi ibu (foto - berkereta) yang sentiasa dirindui (kerana berjauhan).

Apa pun yang menghangatkan sambutan Idul Fitri pada Syawal tahun ini adalah gelagat media arus perdana (pro parti Umno - parti Melayu totok) yang dilihat 'langsung' tidak mengharmonikan suasana raya. Ia merujuk kepada serangan bertubi-tubi terhadap putaran fakta atas isu 'komunis' melibatkan Haji Mat Sabu seorang pimpinan kanan parti PAS. Kesian Haji Mat Sabu!
Justeru itu, Haji Mat Sabu sudah menjadi tokoh paling popular di pertengahan tahun 2011 ini. Tatkala sepanjang Julai (sejak himpunan bersih 9 Julai) sehingga Ogos dan awal September ini, hampir setiap hari paparan berita mengenai tokoh PAS itu sedia terpapar. Ia adalah berkisar atas dua isu yang menyakitkan hati pemimpin Umno, iaitu isu demokrasi yang kotor dibina oleh Umno sejak merdeka (foto bawah), dan isu mengiktiraf Mat Indera yang menentang polis British di Bukit Kepong sebagai hero.

Rasionalnya, kedua-dua isu yang dicetuskan oleh Haji Mat Sabu itu membawa kesan terluka kalangan pemimpin Umno kerana ia telah mendedahkan sesuatu persepsi buruk kepada keagungan Umno selama ini.
Di sebalik isu demokrasi kotor, Haji Mat Sabu telah dituduh oleh pemimpin Umno sebagai pembohong ekoran dakwaannya polis merempuh ketika menangkapnya. Ia memaksa polis terkial-kial menjawab melalui tayangan CCTV yang 'kabur' dan terdesak. Ia memaksa kepada tindakan undang-undang diambil oleh polis dan Haji Mat Sabu.
Begitu pula, dalam isu Mat Indera yang mulanya diputar oleh akhbar 'Utusan' dengan disabitkan Haji Mat Sabu sebagai menyokong 'komunis' yang menyerang polis British di Bukit Kepong sebelum Merdeka, maka media yang tidak adil itu sudah mereka-reka cerita kononnya Haji Mat Sabu ingin mengubah sejarah. Wujud pula skeptis sejarah, apakah penentang British sebelum Merdeka sebagai golongan penderhaka, sementara orang yang bersekongkol dengan British sebelum Merdeka sebagai pejuang Merdeka? Haji Mat Sabu berjaya mencetuskan poin ini yang menyebabkan sejarahwan terpaksa membelek semula 'teori sejarah' lama. Muncullah sejarahwan yang membela pemimpin Umno yang sudah diketahui umum sebelum ini sebagai pegawai kanan British itu sebagai pejuang Merdeka tulen. Lalu diolahlah berita Haji Mat Sabu yang mengiktiraf Mat Indera sebagai penentang polis British itu sebagai komunis yang bertaraf penderhaka kepada penjajah.

Asas yang rasional ialah penjajahan British yang memakan masa lebih 500 tahun di Tanah Melayu telah berjaya menjajah persepsi orang Melayu sehingga mengiktiraf British sebagai 'tuan' kepada Tanah Melayu! Ia berlaku kerana British berjaya membina aparatusnya termasuk pasukan polis India dan Melayu untuk menjaga ladang getah dan lombong bijih serta mengawal kongsi gelap Cina dari mengacau. Berjaya juga membina struktur pentadbiran yang membahagi-bahagikan kuasa raja-raja Melayu dan menguatkuasa undang-undang British lebih tinggi daripada perundangan Islam. Di samping memperkenalkan pembaharuan teknologi pengangkutan dan komunikasi seperti di Britain. Sudah tentu jika ada pihak yang menyerang polis British, samalah dengan menentang 'kuasa British' untuk terus mengaut hasil bumi Tanah Melayu. Maka bila ada pihak yang menentang British ketika sebelum Merdeka, pihak itu adalah penentang Merdeka. Mungkin inilah hujahnya menyebabkan setiap pemimpin Umno yang bersekongkol dengan British dianggap pejuang Merdeka, kerana mereka begitu setia 'bertuankan' British menyerah 'kuasa' untuk Merdeka!
Demikianlah, sedikit cuitan atas cetusan idea Haji Mat Sabu yang menghangatkan sambutan Idul Fitri pada tahun ini. Persoalannya, apakah ia suatu cetusan yang mungkin menggugat pengaruh Umno di kalangan orang Melayu, ataukah akan berlaku sebaliknya? Hakikatnya, dunia kini semakin sarat dengan maklumat baru dan lama yang bakal merumitkan ramalan pengkaji sejarah. Namun, setiap pemimpin Islam tidak seharunya kalut dan bercengkerama dengan kesaratan maklumat, kerana al-Quran sendiri sudah sarat dengan segala maklumat sejarah, semasa dan masa depan.
No comments:
Post a Comment