06 July, 2011
BERSIH 2.0 - SPR & Polis anti Bersih?
Gambar atas:BENARKAH INI BAHAN BUKTI YANG DISENGAJA DIREKA?
Apa sudah jadi dengan pasukan polis Malaysia. Nampaknya, sejak isu Bersih 2.0 semakin menghampiri 9 Julai, polis dilihat semakin terdesak. Semacam polis tidak lagi pasukan keselamatan awam, sebaliknya dilihat semacam pegawal keselamatan kepada penguasa Umno-BN. Mungkin dakwaan ini tidak benar. Namun apa yang berlaku, pendekatan dan tindakan polis yang melaksanakan ‘preventive action’ sudah dilihat sealiran dengan hasrat pemimpin Umno yang takut dan mahukan perhimpunan Bersih 2.0 dibatalkan.
Tidak rasional
Justeru tindakan polis sudah senada dengan ucapan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan (Free Malaysia Today, 14 Jun 2011) yang menghasut semua NGO atau pihak tertentu membuat laporan polis untuk menghalang Bersih 2.0. Kesannya, polis bertindak atas agenda ketua penerangan Umno. Akibatnya banyak tangkapan dan provokasi polis termasuk tindakan yang tidak rasional atas fakta ‘baju kuning’ yang dipakai.
Atas asas ini, Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail (Harakahdaily, 3 Julai 2011) berkata, sepatutnya peluang diberikan kepada Bersih supaya rakyat dapat menilai kebenaran yang sebenarnya.
Hujah ketua penerangan PAS itu adalah berdasarkan pelbagai tindakan tidak rasional pihak yang anti Bersih 2.0 (boleh disifatkan sebagai pro demokrasi tempang/pilihan raya kotor) terus memainkan isu Ambiga, komunis, pengganas, mengharamkan pemakaian baju kuning Bersih, menggunakan platform khutbah Jumaat, menghalang ceramah-ceramah Pakatan Rakyat; sedangkan satu peluang pun tidak diberikan oleh kerajaan untuk Bersih dan Pakatan Rakyat menjawabnya.
Paling teruk ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sebuah institusi pengurusan agama telah diterompahkan oleh penguasa Umno-BN menjadi mimbar Khutbah Jumaat (1 Julai 2011) sebagai pentas dan khatibnya dipaksa menjadi tukang syarah memfitnah Bersih 2.0. Maka, mimbar telah menjadi perantara pembohongan popular di ibu negara.
Justeru PAS Wilayah Persekutuan telah membantah. Maka khutbah Jumaat itu sudah jelas berbohong apabila menyebut ‘Bersih akan mengadakan huru hara, merosakkan harta benda awam dan akan mencederakan pihak polis’––jelas satu fitnah menggunakan platform agama di khalayak ahli jemaah.
Sewajarnya, majoriti warga Kuala Lumpur dapat bangkit menolak gaya pengurusan agama JAWI yang sudah menyebar fitnah di mimbar suci.
KKDN mengharam Bersih 2.0
Melengkapkan lagi kenyataan ketua penerangan Umno dan memberi ‘sijil halal’ kepada pihak polis melakukan tindakan kotor adalah pendirian Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Malaysiakini, 2 Julai 2011) yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram––tidak sah dan menyalahi Seksyen 5, Akta Pertubuhan dan bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.
Namun, seorang daripada peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran (Free Malaysia Today, 1 Julai 2011) dalam kenyataan medianya mempersoalkan bagaimana sebuah pergerakan perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni untuk menuntut pilihan raya yang adil boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Maka harus dipersoalkan, apakah perhimpunan aman hasil gabungan lebih 60 NGO (yang sudah sah pendaftarannya) masih berstatus haram.
Justeru, menurut pandangan Surendran, menteri KKDN itu telah menyalahgunakan kuasanya kerana mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan Barisan Nasional.
Pesilat pun anti Bersih 2.0
Ketua Menteri Melaka selaku Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah mengeluarkan suatau kenyataan berbau anti demokrasi kerana mengutuk dan memfitnah Bersih 2.0. Beliau dilihat bersikap tidak adil kerana sewenang-wenangnya menghukum seseorang dengan bias.
Dalam akhbar (Utusan Malaysia, 2 Julai 2011) Ambiga telah dituduh oleh Ali Rustam sebagai bertanggungjawab atas kesalahan akan berlaku huru hara jika perhimpunan Bersih 2.0 diteruskan. Sekali lagi, pendekatan menghukum sebelum pembuktian telah dilakukan oleh pemimpin Umno (sama juga dengan kes Datuk T yang menuduh Anwar sebagai individu dalam video fitnah). Seharusnya, Ali Rustam selaku pengerusi gabungan pesilat bersikap sabar dan bijaksana, bukannya mengapi-api persatuan pesilat.
Apa pun, kenyataan Ali Rustam itu sudah di luar konteks, kerana tujuan perhimpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan aman, tidak membawa senjata dan sekadar mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Realitinya, Bersih 2.0 bukan mahu menentang kerajaan seperti yang dikatakan Ali Rustam tetapi bertujuan menuntut hak rakyat melalui 8 tuntutan bagi pilihan raya yang lebih baik pada masa akan datang. Sekaligus akan meningkatkan lagi status demokrasi menghampiri status demokrasi tulen. Apa pasal pula, Bersih 2.0 katakan haram, sedangkan misi sebenar ialah pemulihan demokrasi dan pembersihan pengurusan pilihan raya yang dikotori oleh agenda politik penguasa Umno-BN.
Tangkapan
Kemuncak kepada tindakan polis ialah menangkap sesiapa sahaja bersabit Bersih 2.0, mahu pun individu yang memakai dan menyeru kepada menyertai perhimpunan Bersih 2.0. Penangkapan tujuh orang yang sedang minum di Restoran Sempelang, Kota Kinabalu melibatkan dua pemuda PAS. Membuktikan polis sedang tertekan dalam arus kebangkitan rakyat di Sabah. Ia sudah melengkapkan gerakan polis anti Bersih 2.0 yang sebelumnya menangkap pimpinan PSM, iaitu 31 orang di tol Sungai Dua, Pulau Pinang dan 28 orang di Tangkak, Johor. Meskipun tangkapan itu dikaitakan dengan fahaman komunis, tetapi semua orang tahu ia berlaku dalam era kempen Bersih 2.0. Kemudian 6 orang pimpinan PSM itu ditahan semula selepas tempoh reman tamat.
Minggu lepas tangkapan awal seramai 39 orang di Johor, 14 orang di Alor Star dan tiga orang di Batu Gajah, Perak. Sebelum itu, dibuat tangkapan pimpinan muda KeADILan dilakukan polis di Shah Alam. Maknanya tidak kurang 100 tangkapan di seluruh negara telah dilakukan polis semata-mata menjayakan agenda pemimpin Umno-BN yang anti Bersih 2.0
Terbaru Ahli parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa, pemimpin Pemuda DAP Johor Tan Hong Ping dan empat yang lain ditahan dan dibawa ke balai polis Taman Pelangi, Kuala Lumpur, dalam satu lagi episod tindakan polis terhadap sebarang aktiviti 'BERSIH'. Walaupun Er menafikan kehadiran mereka di pasar Taman Pelangi tiada kena mengena dengan perhimpunan Berssih 2.0. Misi mereka memakai baju kuning adalah kempen kebersihan 'gotong-royong' dengan tema "Negara Bersih, Rakyat bertuah." Apa yang nyata, pihak polis sudah polis terlalu sensitif. Tema kami adalah Negara Bersih, Rakyat Bertuah, tetapi mereka tidak mahu menerima penjelasan pihak pemimpin DAP.
Terbaru lagi, melibatkan tangkapan dan tahanan reman penjual baju logo Bersih 2.0 di Kelantan. Ia melengkapkan tindakan sebagaiman sikap pemimpin Umno yang Machivellian yang tidak mahu menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut sistem demokrasi saksama dan pilihan raya yang adil untuk rakyat dan parti politik negara ini.
Sebelum ini, pihak polis telah menyerbu pejabat sakretariat Berish 2.0 dan telah merampas peralatan termasuk baju T kuning Bersih 2.0. Adakah, strategi preventive action ke atas perhimpunan dilakukan polis sah dalam bacaan perundangan?
Apa yang terserlah, ia suatu provokasi semata-mata untuk memastikan perhimpunan Bersih 2.0 lumpuh sebelum berhimpun. Apakah baju T kuning yang dirampas akan dilupuskan atau polis akan pulangkan balik selepas 9 Julai? Tidak mungkin!
Bersih 2.0 diteruskan
Jelas sekarang polis sedang menjayakan misi pemimpin Umno-BN, sehinggakan polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam sudah menunjukkan tindakan negatif.
Tambahan pula tindakan menutup rundingan dengan penganjur Bersih 2.0 sudah diambil oleh polis. Justeru Timbalan Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu menganggap tindakan polis menutup pintu rundingan sudah membuktikan polis tidak memahami tuntutan Bersih 2.0 yang didukung oleh pencinta demokrasi dan keamanan.
Justeru penegasan Haji Mohammad, PAS tetap akan sertai Bersih, demi menuntut keadilan dalam pilihan raya dan bukannya untuk menggugat kestabilan negara. Himpunan Berish 2.0 masih diteruskan. Harapanya 9 Julai nanti bakal mencetus sejarah dan harapan baru demokrasi negara Malaysia. Selepas rombongan Bersih 2.0 menghayati titah yang di-Pertuan Agong, mereka berjumpa Tuanku dan setuju program berarak diganti dengan berhimpun di stadium. Jelas Bersih tetap dengan prinsip memperbaiki demokrasi!
Sekiranya polis kekal meneruskan agenda tangkap-menangkap, maka amat malang sekali, kerana polis sudah bertaraf sama dengan penguasa Umno-BN. Natijahnya, masyarakat dunia telah melihat peliknya kuasa polis, orang yang mempertahankan demokrasi ditangkap dan ditahan. Sementara pihak yang meneruskan ketempangan, kekaburan dan kekelaman domokrasi dibenteng dan dipertahankan. Apakah, polis bukan lagi mesra, cepat dan betul? Percayalah, Berish 2.0 adalah titik cerah demokrasi tulen bagi Malaysia.
Labels:
BERSIH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment