Malah Ibrahim turut membongkarkan sikap Mustapa yang tidak jujur kepada parti ekoran daripada lima petisyen pilihan raya pihak BN terhadap PAS di Kelantan. Pada masa sama Mustapa sendiri berdepan dengan dua petisyen (kerana beliau bertanding dua kerusi), iaitu di Parlimen Jeli dan Dun Ayer Lanas. Mustapa dikatakan telah berdepan dengan bukti kukuh bahawa beliau melakukan rasuah dalam pilihan raya kerana menggunakan kepala surat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan dibuktikan (menerusi nota yang ditulis) bahawa beliau menyogok sejumlah wang kepada individu tertentu untuk menjamin kemenangan dirinya, calon BN di Bukit Bunga dan Kuala Balah. Demi menyelamat diri, Mustapa dikatakan telah merunding dengan pihak tertentu untuk menarik balik kesemua petisyen BN terhadap PAS dan pihak PAS pula menarik balik semua petisyen ke atas BN. Pada masa itu, menurut Ibrahim penyokong Umno begitu ghairah untuk menang petisyen dan akan merampas kuasa dari PAS secara mudah.
Natijah di sebalik paparan semula kandungan buku Ibrahim itu, jelas sekali Mustapa bukannya seorang pemimpin Umno yang baik dan komited dengan parti. Sebaliknya, seorang oportunis, antagonis dan pesimis tatkala berhadapan dengan kepentingan diri dan isu peribadi. Mungkin atas sebab inilah, beliau mengamalkan mobilisasi poilitik, sedia berhijrah ke Jeli daripada bergelumang dengan Umno di kampung asalnya kerana tidak mampu berdepan dengan kelincahan pemimpin dan penyokong Umno di Bachok era Dato’ Ahmad Shahibuddin Mohd Nor.
Malah seketika tahun 2003, Mustapa dikatakan turut terlibat memecat Shahibuddin dari ketua bahagian atas alasan memberi laluan kepada Dato’ Dr. Awang Adek Husin tokoh lebih muda sebagai ketua penaja Umno bahagian. Peluangnya membalas sudah tiba ketika itu. Gugurlah Shahibuddin dari Umno Bachok meskipun beliau memiliki nombor pendaftaran Umno Baru 00000031, antara paling kanan di Kelantan. Maka lengkaplah, bagi Mustapa menjawat pengerusi perhubungan negeri menjelang PRU 2004.
Namun, cita-citanya menjadi menteri besar tidak kesampaian juga, kerana takdir Ilahi beliau terpaksa berdepan dengan pilihan antara mendahulukan diri atau parti dalam isu petisyen pilihan raya. Mustapa menjawab dengan senang, mendahulukan diri. Justeru selayaknya beliau ditukar dengan Datuk Seri Annuar Musa selaku pengerusi perhubungan selepas PRU 2004. Apakah watak dan pakaian seperti Mustapa wajar diterima rakyat Kelantan menggantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz?
Mustapa comeback
Kegagalan Annuar Musa pada PRU2008 memberi peluang semula untuk Mustapa comeback. Kini giliran Mustapa sekali lagi. Walaupun keupayaan Mustapa memimpin Umno Kelantan terbukti gagal tahun 2004, tetapi kegagalan itu tidak bermakna ketumpulan seni amali politiknya. Berdasarkan latar belakang selaku economist dan pengurus kewangan sejak era Tun Daim Zainuddin, sudah pasti Mustapa memiliki strategi manipulasi dan putaran isu yang bersifat adu-domba ilmu marketing untuk menjadikannya seorang political animal yang mementingkan untung dan menang.
Justeru PAS yang berada ditampuk kuasa sekarang adalah pesaing yang pasti diserang bertubi-tubi. Misalnya kini, media televisyen dan akhbar di bawah telunjuk sudah menyerang menteri besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tidak cukup dengan itu, komplot media baru (blogger, facebooker, twitter dan youtube) sudah dipasang siap untuk memfitnah pemimpin dan wakil rakyat PAS.
Terbaru dalam isu debat perkataan ‘jahiliah’ nampaknya media tersebut sudah ‘bermain api’ untuk memanas suasana dan mengasah taji untuk melaga-laga Tuan Guru dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Sedangkan kenyataan asal Tuan Guru tidak pun menyebut mahu berdebat dengan majlis itu. Apa yang disebut ialah berdebat dengan pihak yang ada kuasa. Tafsirannya, kalau pihak yang ada kuasa itu mufti, maka muftilah dan kalau pihak yang berkuasa itu perdana menteri, maka atas sifat menteri besar yang mahu berdebat, regunya perdana menterilah!
Oleh kerana politik masa kini adalah berlandaskan persepsi dan komunikasi, pihak Mustapa dilihat sudah memulakan kempen media yang beragenda sebagai pelan merampas Kelantan dari kepimpinan ulama. Lantaran itu, individu lulusan agama yang sudah tidak ada harga di sisi PAS seperti Mohd Nor Deris dan Haji Lah Geting telah ditabalkan sebagai ulama Umno. Mereka ini bersama kuncu-kuncunya ditugas untuk menghentam ulama dalam PAS dengan pelbagai isu. Strategi ini akan berterusan kerana Mustapa sendiri tidak akan bersuara atau menghentam mana-mana pihak agar beliau kekal dilihat baik dan warak. Sudah pasti pihak PAS seharusnya tidak berdiam diri dalam menangani serangan kempen media tajaan Mustapa kali ini.
Dimensi Kelantan
Sikap pengundi Kelantan terbahagi kepada tiga dimensi politik kepartian, iaitu pendukung establishment, pembangkang dan pengikut-ikutan. Tiga dimensi ini dipengaruhi oleh suasana kehidupan dan pendedahan maklumat serta darjah pergaulan sosial semasa. Ia ada kaitannya dengan apa yang disebut oleh Francis Fukuyama sebagai low-trust dan high-trust yang memberi maksud nilai kepercayaan yang utuh atau kurang utuh menyebabkan padu atau kurang padunya penyusunan, kejujuran dan gelagat kerjasama komuniti dalam sesebuah masyarakat. Asas keutuhan dan kepaduan itu adalah bertitik tolak daripada keluhuran sejagat seperti kepatuhan kepada perintah Tuhan (dari segi Islam, ad-din - penulis) atau ‘keadilan’ yang hakiki (di sisi Islam, berpandukan al-Quran - penulis).
Mungkin pemikiran Fukuyama ini boleh diterjemahsuaikan dengan senario kemasyarakatan rakyat Kelantan yang didimensikan sebagai pendukung setia perjuangan Islam (pendukung establishment) dan semestinya tegar menyokong PAS atas keyakinan hanya PAS memperjuangkan Islam. Berikutnya didimensikan sebagai golongan yang apa sahaja dilaksanakan atau berkaitan dengan kerajaan negeri dan atau parti PAS, akan ditentang malah ditolak mentah-mentah (pembangkang) dan semestinya mereka itu pengundi tegar berpihak kepada Umno. Dua dimensi rakyat ini seakan-akan bersifat high-trust dalam konteks komuniti masing-masing.
Sementara rakyat yang didimensikan sebagai pihak yang bersikap ‘tunggu dan lihat’ selalu mencari peluang dan kesempatan hasil persaingan dua dimensi (pendukung dan pembangkang) yang akhirnya akan membuat pilihan atau berpihak kepada salah satu, sama ada muncul sebagai penyokong kepada komuniti pendukung PAS atau komuniti pembangkang serupa Umno. Namun, norma kepercayaan (trust) yang terlakar pada susuk tubuh dimensi ketiga ini seumpama pakaian yang tidak berjenama (warna mudah luntur dan corak mudah rosak). Justeru dimensi ini berwatak pengikut-ikutan yang memilih demi sesuatu kepuasan bukan berteraskan agama dan kejujuran, iaitu menyerupai sifat low-trust.
Pihak pengkaji politik menamakan norma kepercayaan komuniti rakyat dimensi ketiga ini sebagai sokongan palsu. Bila-bila masa sahaja (bergantung kepada isu) tatkala tercetus sesuatu yang boleh menggugat/mengukuh kepercayaan mereka, lumrahnya sokongan akan berubah (kekal mendukung PAS atau terus menentang PAS). Norma kepercayaan sebegini amat popular di kalangan kira-kira 400,000 pengundi muda di Kelantan yang menjadi taruhan PAS dan Umno dalam pilihan raya akan datang. Apakah PAS mempunyai suatu pelan strategik bagi menguasai golongan muda ini?
Strategi berlapis
Sehubungan dengan persekitaran dimensi rakyat Kelantan sedemikian para strategis Umno Kelantan sudah mengatur langkah memprogramkan rakyat selaku pengundi untuk mengumpul suara majoriti dalam PRU ke-13 nanti. Secara ringkas, setakat yang diperolehi dari pelbagai sumber, pihak Mustapa sudah mengatur strategi berlapis-lapis untuk gah bangkit merampas negeri Kelantan dari PAS.
Di antara strategi itu ialah memenangi hati pengundi muda, iaitu melalui bangkitan semangat gelombang merah (dilancar pada 5 Februari lalu), diikuti dengan gerakan mengakses pengundi luar (sejak setahun yang lalu) dengan pelbagai medium (antaranya melalui bayaran lumayan asalkan mendaftar mengundi di parlimen/dun sasaran menang), menubuh persatuan bukan kerajaan (NGO) bagi mengurus kepentingan rakyat dari dimensi pengikut-ikutan dan memastikan projek kerajaan pusat dipolitisasikan agar pemberian berbaloi undi.
Sementara strategi jijik turut dirancang dengan bantuan pihak ‘state’ yang berkaitan (rasanya tidak wajar disebutkan, kerana sedia maklum) telah diarah melaksanakan gerakan klon kad kerakyatan, pas sempadan, pemindahan pengundi tanpa pengetahuan, pemindahan status pengundi biasa kepada pengundi pos dan strategi memburukkan tokoh PAS dan Pakatan Rakyat. Strategi jijik paling berkesan pernah dilaksanakan di Terengganu pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh ketika PRU 2004 yang mengkecundangkan PAS di tampuk kerusi kerajaan negeri.
Kesemua strategi berlapis-lapis Umno tajaan Mustapa di Kelantan kali ini dilihat lebih mendapat sambutan. Justeru, kesemua impian Mustapa harus sebagai ‘siren amaran’ yang lagunya sudah bising dan memerlukan tindak-balas sepadan demi mempertahan PAS dan kerajaan Negeri Kelantan. Elakkan dari terus berirama dengan dimensi yang ada agar tidak terus selesa (complacency). Apa yang utama adalah gerak kerja gigih dapat dijayakan demi mempertahan sokongan dan keyakinan rakyat dalam mendaulatkan kepimpinan ulama terus menerajui rakyat Kelantan pasca dua dekad ini.
No comments:
Post a Comment