Teringat pula kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin ketika berkempen di Galas (Utusan Malaysia 28 Oktober 2010) telah ‘membidas pandangan hubungan mengundi dengan agama’sebagai “fatwa ikut suka PAS.”
Sementara pada pilihan raya Merlimau pula, Tan Sri Muhyidin juga membidas Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggunakan premis tafsiran sendiri, lalu berfatwa mengenai ‘hubungan mengundi dengan syurga’ sebagai “fatwa songsang” (The Malaysian Insider 28 Februari 2011). Bagi Muhyidin, orang Islam tidak memerlukan sebarang fatwa baru kerana sudah ada pelbagai fatwa yang tidak pesongkan akidah.
Persoalannya, apakah perbuatan mengundi tidak akan dicatat oleh malaikat yang bertugas mencatat setiap perbuatan kita? Apakah urusan mengundi yang termasuk dalam hal ehwal ‘ulil-amri’ itu tidak termasuk dalam hitungan Allah di akhirat kelak? Sebenarnya, bagi seorang mukmin (seorang Islam sejati) akidahnya tetap menyakini bahawa setiap apa yang kita lakukan, sekalipun sebesar zarah akan termasuk di dalam kiraan Allah di akhirat kelak. Justeru amalkanlah cara berpolitik mengikt prinsip seorang Islam sejati.
Kisah Mufti Harussani
Menurut Mufti Perak itu lagi, soal mengundi atau memilih parti politik, ia tidak boleh menggunakan hukum sewenang-wenangnya termasuk dijanjikan syurga atau neraka. Ini kerana soal syurga dan neraka bukan hak kita kerana ia kuasa Allah SWT untuk menentukan siapa lebih berhak bergantung kepada amalan mereka.
Kenyataan tersebut sebenarnya penegasan Allah, Mufti Harussani hanya mengingatkan kita semula. Kenyataan yang sama difahami dan diamalkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Namun, muncul salah faham pihak Harussani yang dilihat terpengaruh dengan putaran fitnah Umno dan provokasi media pro-Umno. Umno dan media sudah semacam sepakat mendendangkan lirik yang sama terhadap Tuan Guru, iaitu “mengundi PAS masuk syurga dan mengundi BN masuk neraka” sebagai fatwa Tuan Guru. Hakikatnya, Tuan Guru tidak pernah pun memfatwakan begitu. Maka amat malanglah, Mufti Harussani sudah dilihat senada dengan Muhyidin yang menganggap Tuan Guru berfatwa sedemikian.
Hakikatnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah pun memfatwa sebagaimana diputar fitnah dan diprovokasi songsang oleh pemimpin dan media pro-Umno. Atas hakikat ini, Tuan Guru mengutus surat (7 Mac 2011) mohon penjelasan Mufti Harussani bagi membetuli salah fahaman tersebut.
Undi PAS dapat pahala
Hakikat perjuangan Islam adalah menuruti keredaan Allah bagi meraih pahala sebagai modal mendapatkan balasan syurga. Justeru, apa yang sebenarnya ialah Tuan Guru tidak pernah mengungkapkan sebagaimana dipetik oleh Mufti Harussani (mengundi PAS masuk syurga, mengundi BN masuk Neraka). Apa yang pernah diungkapkan oleh Tuan Guru dalam konteks mengundi dengan balasan pahala ialah menurut Tuan Guru mana-mana orang yang mengundi PAS tahun 1990 dikatakan mendapat pahala dan ungkapan itu dibuat pada Januari 2002 itu atas rasional, setelah PAS menang dan membentuk kerajaan di Kelantan. Hasil kemenangan itu telah banyak dasar Islam dilaksanakan seperti pengharaman judi, memindah akaun kerajaan ke bank Islam, mengamal prinsip pentadbiran Islam, mengenakan peraturan tutup aurat dan berjimat cermat dalam urusan kewangan kerajaan.
Justeru semuanya itu adalah selari dengan perintah Allah dan layaklah Tuan Guru mendakwa mengundi itu boleh mendapat pahala. Ia tidak mencabar kuasa Allah. Malah banyak hadis nabi yang menawarkan pahala atas usaha melaksanakan perintah Allah. Ia merupakan prinsip Islam. Maka mengundi itu boleh dianggap sebagai ibadat, yang kebaikannya (kelebihannya) adalah menguntungkan Islam. Oleh itu, hasil daripada mengundi itu layaklah mendapat pahala.
Kesemua cerita tersebut tidak dihayati oleh pemimpin Umno. Sebaliknya mereka memutarnya bagi mengalih perhatian rakyat supaya tidak melihat urusan mengundi dalam konteks agama.
Jika benar pemimpin Umno jujur dengan agamanya sendiri, sepatutnya mereka berani katakan, “mengundi BN pun dapat pahala.” Apa yang pasti, pemimpin Umno tidak sedia ‘mengagamakan’ perjuangan politik mereka, kerana Umno parti kebangsaan yang sekular.
Seharusnya Mufti Harussani memahami realiti perjuangan Umno yang telah menjauhkan umat daripada Islam.
Dukacita lagi, segala usaha mengembalikan ‘kuasa’ agama sudah diputar belit dan diancam dengan pelbagai kekeliruan. Sehingga nilai ketegasan beragama sudah dianggap songsang dan sesat.
Maaf! Bukan niat mengajar, cuma sekadar mengomen atas sikap ‘mengelirukan’ seorang mufti. Takkan Mufti Harussani tidak dapat menilai mana satu keluhuran dan mana pula kekalutan. Natijahnya perjuangan kebangsaan adalah kekalutan besar zaman ini yang perlu diperbetulkan. Sementara perjuangan untuk Islam adalah keluhuran hakiki yang wajar didokong bersama. Sesungguhnya perjuangan Islam adalah peluang meraih pahala ke arah mendapatkan balasan syurga milik Allah.
No comments:
Post a Comment