Kini telah dua dekad Kelantan ditadbir menurut acuan Membangun Bersama Islam (MBI). Peneraju dan eksekutif yang terserlah di sebaliknya adalah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar. Sumber pengetahuan yang mencorakkan MBI adalah ajaran Islam. Segala pokok dan cabang ajaran Islam dijadikan rujukan utama di dalam membina teras pentadbiran dan pembangunan negeri. Teras yang dimaksudkan ialah Ubudiah, Masuliah dan Itqan atau singkatannya "Teras UMI" merupakan pakaian rasmi semasa menguruskan hal ehwal pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Komitmen berpakaian rasmi ini ("Teras UMI"), maka tidak keterlaluan jika dikatakan Kelantan kini sebagai sebuah negeri mencapai piawai keamanan (security standards) terulung di Malaysia. Selayaknya Kelantan sebagai Model Keamanan Malayia dan selayaknya juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz dinobatkan sebagai tokoh keamanan Malaysia atas kejayaan menghadapi cabaran dalam mengurus negeri sejak dua dekad (20 tahun) yang lalu.
Model keamanan
Natijah ajaran Islam adalah mencapai kehidupan yang selamat di dunia dan sejahtera di akhirat. Dari makna Islam ia sudah memberi nilai selamat dan sejahtera apabila Islam itu disebut sebagai "berserah diri" atau "menyerah diri kepada Allah." Hakikatnya Allah Tuhan Yang Esa adalah pengawal, pentadbir dan penguasa mutlak di alam semesta. Logiknya, apabila Kerajaan Negeri Kelantan komited mengurus tadbir negeri berpandukan ajaran Islam, berkat dan kekuasaan Allah sedia mengawasinya. Justeru firman Allah (al-’Araf 7:96) bermaksud “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
Hakikatnya, nilai ajaran Islam yang diberkati Allah, sudah tentu hasilnya adalah keamanan yang diturun khusus untuk pemerintah dan rakyatnya. Negeri Kelantan telah merasmikan (“Teras UMI”) adalah penghubung mencapai buah keberkatan. Kekuatan bagi pengisian kepada teras itu adalah nilai kepatuhan kepada seruan amal maaruf dan nahi mungkar serta keyakinan sepenuhnya di atas integriti pentadbiran yang beragama. Punca kepada keberkatan yang menghasil keamanan adalah komitmen sebaik sahaja memulakan urusan kuasa, iaitu memindahkan akaun Kerajaan Negeri dari bank riba ke bank Islamik dan pemberian pinjaman tanpa riba untuk kakitangan awam. Diikuti dengan amalan kepimpinan berteraskan akhlak Islam, memajukan pendidikan Islam di sekolah Yayasan Islam dan pelaksanaan Dakwah Halaqat membawa misi dakwah kepada rakyat melalui masjid dan madrasah. Disusuli pula dengan pendekatan syariah di dalam mengawal akhlak rakyat melalui peraturan menutup aurat, penamatan lesen premis judi, tidak membenarkan hiburan yang melampau, mengawal penjualan arak hanya untuk bukan Islam dan menamat lesen operasi kedai gunting ’unisex’ wanita kepada lelaki. Di samping kebajikan terus dijaga berikutan penubuhan Tabung Serambi Mekah yang mengumpul dana untuk diagihkan kepada pelbagai projek kesejahteraan rakyat. Kesemuanya adalah suatu realiti keamanan yang secara langsung merupakan model pentadbiran untuk keamanan Negeri Kelantan.
Konsep keamanan
Secara etimologis konsep keamanan (security) berasal dari kata Latin securus (se + cura) yang bermakna terbebas dari bahaya dan terbebas dari ketakutan (free from danger and free from fear). Ini bermakna gabungan kata se (bererti tanpa/without) dan curus (yang bererti gelisah/uneasiness). Kemudian apabila digabungkan maksudnya, securas adalah pembebasan dari kegelisahan, atau satu kedamaian tanpa sebarang risiko atau ancaman (liberation from uneasiness, or a peaceful situation without any risks or threats).
Selama ini konsep keamanan diyakini sebagai suatu situasi yang terbebas dari ancaman perang ketenteraan atau kemampuan pertahanan negara dari serangan musuh. Namun, berikutan perkembangan perhubungan antarabangsa yang menyentuh nilai-nilai diplomatik, maka pemahaman konsep keamanan diperluas menjadi tidak hanya meliputi aspek ketenteraan dan aktornya bukan negara semata. Ia sudah mencakupi aspek-aspek selain ketenteraan, tetapi melibatkan sama aktiviti aktor dari dalam masyarakat sendiri. Dalam konteks ini, termasuk dalam nilai-nilai keamanan adalah pelbagai aktiviti dijalankan oleh pertubuhan politik mahupun NGO yang kesannya bukan setakat kalangan ahlinya, malah semua unsur kemasyarakatan yang berkaitan, hatta ke peringkat pihak yang berkuasa (kerajaan).
Oleh itu, menurut Benjamin Miller (2001) seorang pakar keselamatan/keamanan (tulisannya The concept of security: should it be redefined? Journal of Strategic Studies, Vol. 24, Bil. 2 Jun 2001. Halaman 13-42), perluasan konsep keamanan ini adalah mencakupi lima dimensi utama: Dimensi pertama adalah bermulanya ancaman (the origin of threats). Dimensi kedua adalah sifat ancaman (the nature of threats) menyangkut aspek-aspek lain seperti ekonomi, sosial-budaya, lingkungan hidup, bahkan isu-isu kesihatan masyarakat. Dimensi ketiga, yakni respon berubah-ubah (changing response) akibat perubahan aspek kehidupan sebagai sifat-sifat ancaman yang berkorelasi kuat dengan pendekatan keamanan yang bukan hanya bersifat ketenteraan, malah menyangkut sama pendekatan bukan ketenteraan seperti ekonomi, politik, undang-undang dan sosial-budaya. Dimensi keempat, akan mengarahkan kita kepada perlunya perluasan tumpuan situasi semasa nilai keamanan yang tanggungjawab pihak berkuasa (negara/negeri) bagi mencorakkan keamanan (changing responsibility of security). Ini kerana negara/negeri adalah "organisasi politik" terpenting yang berkewajipan mewujudkan keamanan bagi seluruh warganya. Akhirnya, dimensi kelima adalah nilai-nilai teras keamanan (core values of security) yang menumpukan kepada situasi keamanan nasional, kedaulatan, dan integriti wilayah/negeri. Nilai-nilai teras itu seharusnya melihat kepada nilai-nilai baru yang mencetuskan suasana selamat atau aman.
Justeru itu, keamanan sewajarnya ditanggapi bukan sahaja secara memahami konsepnya, malah penting ditanggapi sama ialah aspek isu kemasyarakatan yang terkesan akibat agenda pentadbiran pihak berkuasa yang berlaku secara multidimensi. Dalam perspektif sebuah Kerajaan Negeri berteraskan agama seperti Membangun Bersama Islam di Kelantan, amat wajar nilai-nilai keamanan itu dilihat secara multidimensi dan mengintegrasikan nilai-nilai itu dengan berbagai unsur dan komponen kemasyarakatan, terutama soal agama (dosa-pahala), muamalat, pembangunan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat, hubungan antara kaum dan nilai-nilai warisan tradisi yang menjadi khazanah negeri.
Nilai teras keamanan
Berdasarkan pengalaman Kelantan sebagai sebuah negeri di bawah federalisme yang mengolah pentadbirannya mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan dengan mengikut lunas-lunas Demokrasi Raja Berperlembagan. Maka perlembagaan sebagai teras rujukan dan pentafsirannya serta integriti kepimpinan bermula dengan raja-raja, pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya dan pemimpin yang dilantik oleh kerajaan yang berkuasa. Semuanya adalah nilai-nilai teras yang bakal mencorakkan suhu keamanan negara. Ini diperkukuhkan pula dengan amalan pentadbiran yang sedia menghormati integriti pengasingan kuasa pihak legislatif, eksekutif dan judisiari.
Demikian pula di peringkat negeri, keamanan sedia wujud apabila berlaku penghormatan kepada amalan federalisme, penghormatan atas kuasa-kuasa Pusat dan Negeri yang menyentuh integriti raja, majlis mesyuarat kerajaan negeri dan jabatan serta pegawai-pegawai Pusat dan Negeri. Pengolahan terbaik pentadbiran federalisme adalah roh keamanan yang berkekalan antara Pusat dan Negeri. Dalam soal ini, Negeri Kelantan sudah melalui dua dekad era federalisme yang dikatakan mencabar nilai-nilai teras keamanan kerajaan dan rakyatnya.
Pokoknya bermula dengan sikap pihak Pusat tidak menghormati kuasa rakyat Kelantan yang memberi mandat kepada PAS mentadbir Negeri. Sikap tersebut telah menggerakkan tindakan-tindakan mencabar bidang perlembagaan, kuasa raja (sultan) dan menafikan keputusan Negeri, terutama dalam kes-kes melibatkan hak Negeri menerima pembayaran apa-apa jumlah kewangan yang wajib dibayar oleh Pusat dan pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hudud untuk rakyat Islam. Termasuklah juga hak mendapatkan bayaran tunai (royalti) hasil pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas di pantai Kelantan. Malah pihak Pusat turut mencengkamkan lagi autoriti pentadbiran dengan membuka Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai skuad pentadbiran kedua mengurus segala nodaan hak Negeri yang tidak wajar diiktiraf oleh pihak berkuasa Negeri. Apakah tindakan Pusat sedemikian tidak mencabar nilai-nilai teras keamanan negara dan negeri? Persoalan ini sudah terjawab dengan laluan dua dekad Tuan Guru Nik Dato’ Nik Abdul Aziz selaku ketua eksekutif utama mengenderai kuasa di Negeri Kelantan.
Kelantan kekal aman
Sejarah membuktikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang berlakunya keamanan berterusan. Hatta semasa Negara dilanda rusuhan kaum 13 Mei 1969, tidak pun berlaku sebarang kemalangan yang mencalar nilai-nilai keamanan rakyatnya. Melainkan sekali sahaja, iaitu ketika ‘politik darurat’ tahun 1977 yang membawa kajatuhan Kerajaan PAS Kelantan dalam suatu pilihan raya khas Mac 1978. Apapun politik darurat itu adalah ciptaan Pusat melalui parlimen telah meluluskan Majlis Gerakan Negera (MAGERAN) mengambil alih kuasa pentadbiran Negeri selepas kekalutan politik angkara pihak tertentu. Namun era pentadbiran Membangun Bersama Islam kini, integriti Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah berjaya menguruskan psiko-politik warga Kelantan dengan nilai-nilai keamanan berteraskan iman dan takwa. Meskipun pelbagai cabaran ke atas keamanan Kelantan oleh kuasa Pusat, ia masih belum menggugat nilai keamanan yang ada. Walhasilnya, rakyat Kelantan selamat dan sejahtera bersama keamanan negerinya. Logiknya, Kelantan adalah model keamanan bagi negeri-negeri di Malaysia.
No comments:
Post a Comment