Seorang Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Islam Agama Islam (Jasa) telah diserang demam akibat jangkitan virus“teori retorik” semasa berwacana di Kota Bharu dua minggu lepas (10 Julai). Panel itu ialah Lokman Nor Adam bekas pemuda KeADILan yang menyertai Umno yang kini mendapat ‘bahagian’ dengan menduduki kerusi panel pemikir Jasa.
Dr. Mujahid dan Dr. Mohd Asri yang juga ahli wacana anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu didapati tidak dapat mengawal Lokman daripada serangan virus retorik itu. Mungkin juga, Affandi Yusof rakan sekapal Lokman turut membiarkannya agar diserang virus itu. Kandungan virus retorik itu adalah sarat dengan rupa kebencian terhadap misi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini.
Kenyataan Lokman di dalam wacana tersebut ketika mengomel perjuangan PAS sudah dilihat terluah dengan kepanasan suhunya melonjak. Luahan sinisnya tentang pencapaian PAS sekarang mungkin berpunca daripada kejayaan PAS mentadbir Kelantan berpendomankan Islam. Atau mungkin juga kerana terkedunya akibat wacana anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu membincangkan khusus mengenai isu keMelayuan yang menjadi darah daging perjuangannya. Betapa keterbukaan kerajaan Negeri dalam melihat persoalan bangsa yang menjunjung ketinggian beragama telah membuka ruang pihak pemimpin Umno (meskipun pemimpin kerdil) untuk membidas pencapaian kerajaan Negeri Kelantan.
Kelantan hub ilmu
Apa pun, ahli exco terbabit, Dr. Mohamed Fadhli Datuk Hassan merupakan mantan pensyarah UIAM suka melihat Kelantan sebagai hub ilmu yang terkenal sedikit masa lagi. Setakat ini sudah enam kali wacana serupa diadakan di Kota Bharu. Mungkin pihak Urusetia Penerangan di bawah bimbingan Haji Abdul Rahman Yunus bakal menerbitkan dokumen rasmi siri wacana tersebut. Ia bakal memlengkapkan lagi sifat ‘Serambi Mekah’ di bawah kepimpinan ulama terkenal Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.
Teori retorik disanggah
Teori retorik biasanya dipakai di dalam kajian sastera bagi melihat asas-asas genre atau jalan penulisan yang bersifat sastera dan komunikasi. Di sebalik teori ini juga terkandung nilai-nilai retorik krtikan mengenai kuasa, dominasi dan ideologi. Ia menyentuh soal politik dan pemerintahan, namun ia masih tertumpu kepada nilai-nilai falsafah yang berasal dari idea Plato. Di dalam penggunaan moden retorik difahami sebagai seni berbahasa bagi komunikasi berkesan dan berlaku dalam lima asas, iaitu penemuan atau pencarian sesuatu, tatacara, gaya, ingatan dan penyampaian. Justeru retorik selalu disesuaikan dengan pendekatan politik demokrasi yang mengutamakan prinsip kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan politik. Namun, retorik tidak terlepas dari nilai-nilai ‘mengada-adakan’ sesuatu yang belum pasti dan pura-pura, tetapi dibahas secara logik, etos dan bersandarkan fakta yang mungkin direka-reka.
Sesungguhnya umat Islam tidak harus terperangkap dengan momokan teori retorik yang dilontarkan pada malam wacana tersebut. Asasnya kerana ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengambil pendekatan retorik berhubung sikap dan keyakinan serta tindakan mengenai perintah agama. Di sisi Islam, manusia diciptakan Allah atas tujuan menjadi khalifah di bumi bagi memastikan kehidupannya berpandukan konsep pengabdian (ubudiah) kepada-Nya. Justeru dalam soal bernegara umat Islam tidak boleh bertindak secara retorik. Ajaran Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan contoh teragung untuk diikuti dan dilaksanakan oleh umatnya, iaitu “bernegara secara beragama.” Oleh itu, manusia sebagai khalifah Allah tidak diizinkan untuk menyakini berasaskan retorik yang bersumberkan sekularisme (menepikan ikatan agama). Ini kerana sebagai khalifah Allah, maka Allah memberi tugas bernegara secara beragama –melaksanakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. Justeru itu dalam urusan bernegara, PAS sentiasa berpegang kepada prinsip bernegara mengikut apa yang disunahkan oleh Nabi Muhammad yang meletakkan dasar-dasar pentadbiran Islam sebagai teras utama.
Oleh kerana itu, umat Islam tidak boleh beretorik di dalam hal-hal keagamaan. Misalnya, perintah sembahyang (solat) lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berhaji ke Tanah Suci Mekah dan berzakat bagi yang sampai had rezekinya adalah tidak boleh ditunaikan secara retorik. Mungkin pendukung sekular sahaja yang tergamak mengatakan ibadat sembahyang, pergi haji atau tunai zakat sebagai amalan retorik.
Hakikatnya semua amal ibadat di dalam Islam, termasuk pekerjaan rutin tidak boleh dianggapkan retorik. Pada asasnya semua amal ibadat adalah perintah Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Sehubungan itu, di sebalik amal ibadat adanya nilai pahala, syurga, keikhlasan dan paling penting bukti pengabdian kepada al-Khaliq.
UMNO sebenar parti retorik
Tidak wajar sama sekali menuduh PAS sebagai parti retorik dalam soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Paling tidak wajar juga apabila menuduh PAS menjanjikan dasar-dasar pentadbiran Islam sebagai retorik. Sedangkan dunia telah tahu, malah sebahagian ahli Umno juga tahu, dan mungkin juga Panel Pemikir Jasa semua tahu (tetapi buat-buat tidak tahu), betapa dasar Islam yang dipakai dalam Umno ibarat gelombang ombak di lautan yang berbuak bergulung bila ada ribut, tetapi hanyut dan terdampar bila lautan kembali tenang. Misalnya, Umno era Mahatirisme terkenal dengan dasar Islamisasi, kemudian bertukar kepada Islam Hadhari ketika era Pak Lah dan bertukar lagi menjadi ‘Islam satu Malaysia’ pada era Najib. Selepas ini Islam jenis apa pula?
Kemudian, bagi rakyat Kelantan mereka tidak akan lupa, sejarah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Hudud yang diluluskan tahun 1993. Namun, Perdana Menteri ketika itu mempersoalkan hukum hudud itu dan tidak menerimanya, meskipun telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Malah Kerajaan Negeri Kelantan turut menerima surat daripada Perdana Menteri yang melarang penguatkuasaan hudud di Kelantan. Apakah tindakan sedemikian tidak retorik?
Oleh itu, kalau ada suara-suara sebelah Umno yang melalak (jangan sampai peringkat menyalak) dalam menyeru PAS bersatu melaksanakan dasar Islam, maka katakan, “Umno pembohong.” Lihat sahaja Umno era Najib, mana satu dasar Islam untuk kita banggakan? Sebaliknya, apa yang dilaksanakan tidak lebih daripada mengharu-biru keadaan, sehingga berlakunya pertelagahan sesama mufti dan tidak sependapat dalam pelbagai isu. Muncul pula tali barut yang tuduh menuduh dengan ungkapan sesat, wahabi dan syiah. Paling teruk terdedah akhlak segelintir rakyat yang mempamerkan petunjuk prestasi utama yang buruk seperti peningkatan kes jenayah seksual, jenayah along, jenayah ragut, jenayah buang anak dan amalan rasuah.
Umno – buang Melayu terima Islam
Mengenai pemakaian dasar Islam dalam perjuangan parti, PAS amat komited memperjuangkan Islam. Dasar perjuangan Islam adalah kesinambungan daripada perjuangan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan 1948, tetapi diharamkan penjajah Inggeris beberap bulan selepas itu. Pengharaman itu dipercayai disebabkan desakan pemimpin Umno yang menganggapkan Hizbul Muslimin yang dianggotai alim-ulamak sebagai ancaman kepada Umno serupa dengan komunis. Kemudian pemimpinnya ditangkap dan saki baki pemimpin Hizbul Muslimin telah bergabung semula menubuhkan PAS tahun 1951.
Umno pula sebuah parti Melayu yang diwujudkan atas sentimen marahkan penjajah Inggeris yang memperkenalkan Malayan Union. Malayan Union difahami sebagai mencabar hak kerakyatan dan kedudukan raja-raja Melayu. Atas asas ini, amat jauh sekali untuk mengatakan tujuan Umno ditubuhkan untuk menjayakan dasar Islam. Oleh itu, berlakunya golongan ulama yang meninggalkan Umno disebabkan mereka tidak mahu bersubhat dengan isu judi loteri yang dilaksanakan kerajaan Umno. Justeru tiada asas untuk mendakwa Umno sebagai pejuang Islam. Jika ada yang mengatakan Umno berjuang Islam, maka ia adalah retorik.
Demi Islam, PAS-Umno bergabung?
Berpandukan kontradiksi antara PAS dan Umno tersebut, sudah tentu dasar perjuangan kedua-duanya tidak mudah dikompromikan. Apa pun, sekiranya wujud political will, mungkin sampai ketikanya Umno menukar dasarnya kepada dasar Islam. Apabila bertukar kepada dasar Islam, ia akan serupa dengan PAS. Lantas PAS boleh bergabung dengan Umno, sebagaimana bergabungnya Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat (singkatan KeADILan). Maka dalam soal politik PAS-Umno, sekiranya PAS bergabung dengan Umno, mungkin nama yang sesuai ialah Parti Islam Bersatu Malaysia singkatan BERSATU). Soalnya, inginkah pemimpin Umno menukar dasarnya lalu memakai dasar Islam semata-mata untuk bersatu dengan PAS?
Apa pun, sekiranya BERSATU itu menjadi realiti, suatu pemilihan kepimpinan yang baru perlu dibuat. Ketika itu, pemimpin yang layak mengetuai sebuah parti Islam semestinya mereka yang faham dengan perjuangan dan pergerakan Islam. Maka, tidak semestinya semua pemimpin Umno hari ini akan dipilih. Ini dilemma sesetengah pemimpin Umno yang memang tidak ingin terlepas jawatan. Sudah tentu mereka ini tidak bersetuju. Maka akan ada yang kecewa dan bertindak melawan sebarang usaha menukar dasar parti untuk bersatu dengan PAS.
Jika demikian sikap sesetengah pemimpin, mungkinkah Umno boleh membuang retoriknya selama ini? Namun, demi bersatu atas nama Islam sewajarnya Umno membuang retorik perjuangan kebangsaannya.
‘Ikhtiar’ Umno menolak Islam
Realiti Umno sekarang adalah menolak Islam dengan penuh sedar. Ia dilakukan dengan penuh ‘ikhtiar’. Umno memakai dasar kebangsaan adalah dilakukan dengan penuh sedar, iaitu mengutamakan kebangsaan daripada Islam. Berbeza dengan DAP yang tidak memakai Islam, ia tidak dianggap suatu ‘ikhtiar’ kerana DAP tidak mewakili kelompok parti yang ahlinya beragama Islam. Sebaliknya DAP menjayakan perjuangan yang tidak berteraskan mana-mana agama disebabkan terbawa-bawa dengan prinsip politik sekular yang diadu domba oleh Barat, terpengaruh dengan aliran sekular Umno dan pelbagai kecaman pihak musuh Islam.
Retorikkah berjuang Islam?
Apabila umat Islam tidak mahu memperjuangkan Islam, maka perjuangan umat Islam boleh dianggap kosong. Sementara Islam sendiri selaku fikrah dan wadah kehidupan dunia akhirat boleh mengisi kekosongan itu. Apabila Umno tidak bersedia untuk menerima dasar Islam, sebenarnya Umno akan terus membiarkan ahlinya berada di dalam kekosongan. Di sinilah hujah tepat untuk Umno menerima Islam sebagai wadah perjuangan demi memastikan umat Islam tidak terperangkap dengan sebarang perjuangan yang kosong.
Sebaliknya PAS yang sejak awal menerima Islam telah menghubungkan kehidupan ahlinya dengan panduan Islam. Hanya Islam sebagai landasan perjuangan politik yang boleh mengisi kehidupan ahlinya mencapai keredaan Allah SWT. Ini kerana komitmen PAS apabila berkuasa ialah melaksanakan prinsip Islam di dalam urusan kerajaan dan rakyatnya. Justeru apa yang PAS perjuangkan telah mengambil kira maslahah umat dan syariat, sekaligus menurut apa yang disunahkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Maka, amatlah dangkal sekiranya ada pihak yang berstatus ulama atau mufti yang mencadangkan perpaduan orang Melayu berwadahkan bangsa bukannya agama. Sepatutnya, cadangan itu hendaklah di atas prinsip perpaduan berwadahkan Islam. Amat tidak masuk akal apabila seorang bertaraf mufti (Berita Harian, 18 Julai 2010) menusuk cita-cita sampai terungkap kata-kata “saya tidak pernah berputus asa” mahu menyatukan orang Melayu atas sentimen perjuangan bangsa. Maka, kita boleh anggapkan sikap dan cita-cita ulama atau mufti itu sebagai pemakaian teori retorik yang keterlaluan sehingga lupa jawatan ulama atau mufti itu sebenarnya adalah atas nama Islam bukannya bangsa.
Perjuangan Islam di tempat yang salah?
Bayangan daripada kisah seorang ulama atau mufti di atas, ternyata wujud di dunia ini sikap orang berpengetahuan agama yang hidupnya dengan pakaian agama, tetapi pemikiran dan falsafah akidahnya masih terpaku pada perjuangan kebangsaan Melayu. Sehingga dipetik kata-kata (dalam Berita Harian, 18 Julai 2010), “perpecahan wujud kerana kita meletak keutamaan di tempat salah, jika diletakkan di tempat betul,.. kita boleh berjaya.” Persoalannya di sini, apakah maksud ‘meletak keutamaan di tempat yang salah’?
Sebagai orang beragama, wajar diperjelaskan, apakah meletakkan keutamaan kepada kebangsaan Melayu itu adalah tindakan yang betul? Adakah dengan mengutamakan perjuangan Islam itu adalah tindakan yang salah? Realiti daripada apa yang berlaku, kelihatan amat jelas natijah kenyataan mufti tersebut adalah mendahulukan sentimen keMelayuan berbanding keIslaman.
Semoga Allah SWT mengampuni segala kesilapan hamba-Nya yang serba kekurangan dari segi iman dan takwa. Hanya kemuliaan iman dan takwa kepada Allah akan memuliakan manusia dan bangsanya. Ingatlah, manusia dan bangsa itu dianggap umat yang berjaya di sisi Allah dan Rasul-Nya apabila berjuang tidak di atas dasar bangsanya, tetapi berjuang atas dasar fisabilillah. Bukan fisabilillah jika berjuang atas sentimen perpaduan bangsanya sedangkan Islam di kesampingkan, maruah Islam terus dihina dan penghayatan Islam terlalu minimum, hatta pemimpin dan isteri-isterinya tidak menjaga kesempurnaan maruah dan aurat peribadinya. Insaflah dan kembalilah dengan menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan sebenar. Sesungguhnya perjuangan PAS menjadikan matlamat pelaksanaan cara hidup Islam dalam diri, masyarakat dan negara bukanlah retorik. Maka katakan, perjuangan Islam itu adalah satu tanggungjawab bagi seluruh umat Islam.
No comments:
Post a Comment