28 April, 2010

Sinar Harian-media pembuli

Banyak pihak berpandangan peranan media, khususnya surat khabar adalah penyampai maklumat dan pencetus kesedaran rakyat. Peranan itu amat popular zaman berzaman.


Namun, peranan media akan dipertikaikan apabila terlibat dengan penyebaran maklumat yang berat sebelah atau tidak adil dalam laporannya. Perkara ini akan berlaku tatkala media berkenaan mula dipengaruhi agenda tersembunyi (the hidden agenda) oleh pihak tertentu. Lebih teruk lagi apabila media berkenaan telah dipengaruhi matlamat perniagaan dan putaran isu sensasi yang memacu circulation dan volume cetakan.


Atas nilai sedemikian, akhbar Sinar Harian sebagai sebuah akhbar lokal nampaknya sedia dipengaruhi oleh nilai-nilai berat sebelah atau tidak adil itu. Rujukan khusus kepada kenyataan ini adalah laporannya di muka depan pada 27 dan 28 April (kelmarin dan hari ini) menyentuh integriti Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Peranan Sinar Harian nampaknya sudah bersifat manipulatif, provokatif dan representatif kepada pengaruh politik, iaitu musuh politik kerajaan Negeri --Umno. Di samping secara sedar akhbar itu telah cuba berperanan untuk mempengaruhi kesedaran rakyat ke arah memunculkan persepsi serong kepada seorang menteri besar bertaraf ulamak bergelar 'tok guru.'


Apa jadahnya pihak pengurusan media tersebut, berapa peningkatan volume jualan dan sejauh mana ia membawa impak negatif terhadap integriti menteri besar Kelantan tidaklah menjadi soal. Apa yang penting, cara penampilan paparan muka depan itu (lihat gambar) sudah pasti akan dipuji Umno dan semua orang Umno akan tertarik membeli dan membacanya. Mungkin kajian rambang boleh dibuat di kios-kios akhbar atau pembeli akhbar sendiri bagi membuktikannya.


Apapun, bagi saya peranan akhbar harus dipadukan dengan moral. Sewajarnya pemain dan pengamal media dan kapitalisnya harus melihat prinsip kebenaran dan keadilan. Prinsip ini boleh dijayakan sekiranya melihat secara tawaduk nilai mengutamakan moral di dalam proses maklumat (moral first in information). Sebenarnya prinsip ini hanya ada kepada pemain, pengamal dan kapitalis media yang beragama sahaja.


Jika begitu, mungkin Sinar Harian adalah mewakili kelompok media yang tidak termasuk di dalam lingkungan tersebut. Selayaknya, Sinar Harian mendapat title 'media pembuli.'


Semoga Tuhan yang Esa memberi petunjuk dan hidayah ke atas mereka yang bersifat pembuli dan masukkan iman dan takwa di lubuk hati mereka.

No comments: