Mantan perdana menteri , Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini (25 September 2010) hadir ke majlis jemputan perhimpunan Melayu anjuran Perkasa Kelantan bertempat di depan Stesen Keretapi Pasir Mas. Himpunan itu atas tema “Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Rakyat Malaysia.”
Dr. Mahathir menganggap Perkasa sebagai satu kuasa politik dalam negara, justeru suaranya tidak boleh diketepikan.
"Sebaliknya, kita akan mendengar pendapat-pendapat Perkasa kerana ia sedikit sebanyak mencerminkan kehendak orang Melayu dan kehendak negara,"
Dr. Mahathir turut melahirkan rasa sedih kerana orang Melayu masih tidak sedar ancaman yang sedang dihadapi oleh mereka sehingga berpecah kepada tiga puak disebabkan individu tertentu yang gilakan kuasa kerana hendak menjadi Perdana Menteri.
Dalam nada sinis, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin pembangkang tertentu yang malu hendak menjadi orang Melayu dan mengaku orang Islam, tetapi tidak berlagak sebagai seorang Islam sebenar kerana tidak sanggup bekerjasama dengan orang Islam lain yang memimpin parti UMNO.
Beliau juga mengatakan kononnya PAS sanggup ‘mengetepikan bangsa dan melonggarkan agama’ hanya kerana hendak mendapatkan sokongan politik kaum tertentu untuk membentuk kerajaan dan memimpin negara.
Jelas, ucapan Dr. Mahathir itu sudah tersasar dan tersalah fakta, malah berunsur memfitnah kepada semua umat yang tidak berjuang atas nama Melayu.
Sanggah Melayu Dr. Mahathir
Justeru itu, ikuti jelujur pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menepis kenyataan tersasar seperti mana diungkapkan tokoh-tokoh seumpama Dr. Mahathir dan yang sekepalanya dengannya.
Bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, sebenarnya “Islam menghebatkan Melayu” bukannya kebangsaan yang menghebat mahupun membangga Melayu. Antara lain Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegaskan tidak adil bagi Allah kiranya Dia melebihkan satu-satu bangsa atas bangsa lain. Bangsa yang tidak dilebihkan akan terasa hina tak pasal-pasal.
Ini kerana menurutnya, sebagaimana firman Allah bermaksud: “Hai, manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal”(Surah Al Hujuraat, ayat 13).”
Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz lagi, “persoalan penegasan Allah ini, satu-satu bangsa itu akan menjadi hebat apabila bangsa itu mencapai tahap kemuliaan dan diperkasakan dengan ketakwaan. Kemuliaan bermakna beriman dengan penuh yakin dan istiqamah kepada ajaran Islam. Sementara takwa merupakan ukuran kehebatan dan keperkasaan bangsa itu berusaha menegak apa yang diperintah (perkara maaruf) di sisi Allah dan sentiasa meninggalkan malah mencegah daripada melakukan apa yang dilarang (perkara mungkar) di sisi Allah. Maknanya nilai bangsa itu akan dipandang hebat apabila ia mencapai tahap kemuliaan dan ketakwaan menurut acuan Allah SWT. Bukannya hebat bangsa itu kerana namanya atau kuatnya semangat perkauman Melayu atau Cina atau India dan sebagainya.
“Apa yang mengelirukan umat Malaysia, Umno sendiri mengaku perjuang Islam, tapi masih tolak Islam, seperti undang-undang jenayah dalam Islam (hudud). Sebaliknya Umno terus berkeras dengan kebangsaan (perjuangan untuk bela Melayu). Malah berbangga dan mengagung-agungkan semangat perkauman yang sempit dengan melaungkan ‘hidup Melayu.’
Daripada muaturunkan kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz merangkap Menteri Besar Kelantan itu, mudah-mudahan akan ramai umat Malaysia bersetuju untuk menolak fahaman secular-kebangsaan Umno dan menerima perjuangan Islam.
Jika demikian, kita harus mempersoalkan adakah layak Umno yang masih berdegil dengan dasar perjuangan sekular-kebangsaan Melayu itu mengutuskan presidennya untuk membuka pengajaran kepada umat Amerika Syarikat dalam misi menghapuskan “Islamofobia’ di sana? Sedangkan dalaman gelanggang Umno hatta BN serta pemikiran pihak pemimpin mereka begitu liar dengan unsur-unsur “Islamofobia.” Jawapannya, jauh lagilah Umno akan berminat untuk melaksana perjuangan Islam! Dunia boleh menjadi saksi, semoga premis ini tidak menyebabkan pemimpin dan parti Umno terus bebal dengan Melayu dan Islamofobia.
No comments:
Post a Comment