18 June, 2010

Politik masjid di Kelantan

Latar belakang


Menerusi tulisan saya sebelum ini bertajuk “Politik hendaklah selari dengan Islam” adalah sarat dengan realiti politik Islam dan sebenarnya berlaku dalam masjid. Maka, berani saya hujahkan bahawa salah satu ciri politik Islam ialah wujudnya politik masjid. Ia cukup berbeza dengan politik sekular yang tidak menerima amalan politik berlaku di gereja. Oleh sebab itu, tiada sebab bagi umat Islam meniru-niru cara-cara politik sekular yang memakai prinsip politik suku, agama suku. Maka, PAS sebagai parti Islam adalah bersih dari saki-baki amalan politik sekular. Melainkan parti Umno yang masih pekat-berdene (kejap melekat) dengan lendir-lendir sekular-kebangsaan-pragmatik (SKP) warisan penjajah Inggeris!


Politik masjid berlaku di Kelantan


Adakah masih kental fahaman Umno di Kelantan, sedangkan telah 20 tahun rakyat Kelantan dibayangi dengan politik Islam acuan PAS? Menjawab persoalan ini, memang ada sebahagian kelompok Melayu yang berfahaman politik SKP terlekat pada puak Umno Kelantan. Maka ia dilihat masih pekat melekat dengan lendir itu. Justeru itu, kalangan kelompok itu masih berlaku isu penolakan politik masjid, meskipun seketika lalu lendir SKP agak jumud dan beku. Persoalannya, kerana apa baru sekarang muncul pula isu politik masjid di Kelantan? Sehingga sanggup mengupah seorang yang mendakwa pengasas pondok menghujahkan (Mingguan Malaysia, 16 Mei 2010) tiada wujud politik dalam Islam (termasuk di masjid).


Sebenarnya, ia ada hubungannya dengan kepentingan politik Umno Kelantan sendiri. Tidak lain, melainkan ‘katak berbunyi (berkokok) bila nak hujan’ dan mungkin ada kaitannya dengan peruntukan wang ehsan RM20 juta pihak kerajaan Pusat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Umno Kelantan! Kononnya mereka (pemimpin Umno) akan berlaku adil untuk mengagihkan peruntukan itu tanpa sentimen politik. Soalnya, adilkah wang itu disalur kepada pihak yang tidak sah? Kerana pihak yang sah ialah Kerajaan Negeri Kelantan bukannya Perhubungan Umno Kelantan. Jelas sekali, dalam bab wang ehsan mereka tidak menghayati tuntutan dalam ceramah (khutbah) Jumaat, iaitu ‘perintah Allah agar berlaku adil di dalam berbuat kebaikan’ sesama Islam. Itulah balanya memisahkan politik dari masjid. Mereka (puak Umno) sudah tidak lagi memakai perintah ceramah Jumaat dalam tindak-tanduk politik mereka. Benarlah dakwaan umum, sesungguhnya mereka itu pengamal politik suku agama suku!


Membangun Bersama Islam


Dalam perkembangan politik tanah air, parti PAS pernah menyertai BN pada tahun 1974 sehinggalah PAS ditendang keluar tahun 1977. Hasil daripada itu, PAS bengah dan maju ke depan membina acuan baru bertegas dengan politik Islam. Berkatnya, PAS telah meraih semula keyakinan rakyat Kelantan dengan memenangi pilihan raya 1990 dan kembali semula memerintah negeri.


Bertolak dari tahun 1990 hingga sekarang, PAS di Kelantan telah meletakkan dasar Membangun Bersama Islam sehingga berjaya mentadbir dan menguruskan pembangunan negeri. Teras Membangun Bersama Islam adalah ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Teras ubudiah adalah mendidik rakyat Kelantan memahami peranannya sebagai hamba Allah yang diciptakan semata-mata untuk memperhambakan diri kepadaNya. Teras masuliah pula adalah mengajar rakyat Kelantan komited dengan tanggungjawab (akauntabiliti) yang dipikul dan melaksakan tanggungjawab itu kerana Allah SWT dan meyakini setiap tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sementara teras itqan adalah menuntut semua rakyat Kelantan diingatkan agar melakukan tugas secara berkualiti melalui budaya ketekunan, komitmen dan kesungguhan serta fokus dalam bekerja, tanpa penyelewangan atau sikap sambil lewa.


Kesemua teras UMI ini telah dipacu dengan baik menerusi pelbagai program kerajaan Negeri Kelantan. Salah satunya adalah menerusi masjid dan surau yang merupakan medan ilmu lokal para guru agama dan pendakwah menyampaikan kefahaman politik dan cara hidup Islam.


Kesan UMI


Kesan yang jelas amalan UMI iailah berlaku keluhuran PAS mengamalkan pentadbiran berteras agama (UMI) dibuktikan dengan tindakan kerajaan Negeri Kelantan menarik akaun kerajaan dari bank riba kepada Bank Islam dan mewujud perhotelan Islam yang tanpa alkohol, menutup semua premis judi yang dilesenkan oleh pemimpin Umno, mempamerkan syiar agama dengan peraturan wanita menutup aurat dan memberi hak kepada semua kaum termasuk Orang Asal. Berikutnya, melaksanakan asas-asas perumahan Islamik mengandungi tiga bilik, mengutamakan kebajikan warga emas bagi semua kaum melalui skim kifalah, merakyatkan ekonomi negeri melalui skim Ladang Rakyat dan bantuan pembangunan kepada usahawan wanita. Mengawal hiburan agar selari dengan batasan agama dengan memperkenalkan enakmen kawalan hiburan, menyediakan hiburan nasyid alternatif dan memajukan pembinaan budaya hiburan Islamik sehingga melahirkan dikir barat dakwah, dikir hijrah dan dikir halaqat.


Sebenarnya, kekuasaan politik atas nama politik Islam telah membolehkan banyak program pembangunan Islam yang memberi kesan kebaikan untuk semua kaum di Kelantan. Misalnya, dengan pembinaan Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang bercirikan seni bina masjid Cina di Beijing turut mendekatkan hubungan kaum di Kelantan. Malah mengingatkan pula kepada kegemilangan betapa umat Islam di Cina adalah umat yang lebih awal menerima seruan Islam berbanding orang Melayu. Ia adalah untuk menobatkan kehebatan Islam.


Mendekatkan Islam dengan DAP


Paling menarik di sebalik kesan politik Islam dibawa oleh PAS di Kelantan, ia telah berjaya menghapuskan salah fahaman dan Islamfobia DAP kepada Islam dan politik Islam. Meskipun, seketika awal-awal mendekati DAP, PAS diserang dan Islam dihina oleh pemimpin DAP. Sehingga ada kalangan pemimpin mereka yang menentang hangit model Negara Islam, hukum hudud dan terlalu prejudis dengan keadilan pentadbiran Islam di Kelantan.


Sekarang, salah faham dan Islamfobia hampir tiada kedengaran lagi, malah tidak kurang pula kalangan pemimpin dan wakil rakyat DAP sudah pandai berkalimah Arab, menghafal al-Quran, menyebut kalimah al-Quran dan mengiktiraf kehebatan sejarah Islam di dalam ceramah-ceramah mereka. Hinggakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP (di negeri majoriti pengundi Cina) telah berani mengisytiharkan model kepimpinan Umar Abdul Aziz sebagai ikutan pentadbirannya. Sehingga Lim turut melontarkan persoalan kepada pihak Umno yang tidak mahu menerima realiti, bahawa pentadbiran Islam mempunyai kebaikan yang boleh ditiru dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.


Paling terbalik-kot pula, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS seorang tokoh Islam yang nazari (seorang yang teguh pendirian agama – fundamental agama) sering dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina dan India agar dapat hadir di dalam majlis ceramah mereka. Malah setiap kali kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan disambut dengan standing ovation (sambutan berdiri dengan iringan tepukan hormat) oleh hadirin kaum Cina dan India. Sedangkan kehadiran beliau bukan untuk dinner, sebaliknya menyampaikan ucapan penyatuan rohani dengan selalu mengingatkan kepada titik penyatuan manusia bermula dari satu keturunan, yakni Nabi Adam AS lalu membaca ayat al-Quran (surah An-Nisa’3:1) bermaksud, “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada tuhan kamu, yang telah menciptakan kamu dari seorang manusia (bernama Adam). Dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (bernama Hawa’), Allah memperkembang biakkan (keturunan dari jenis) laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah, yang dengan (mempergunakan) namanya, kamu saling meminta satu sama lain. Dan (peliharalah) hubungan persaudaraan dan kasih sayang (di antara sesama kamu). Sesungguhnya Allah selalu memantau dan mengawasi (segala tindak tanduk dan aktiviti hidup) kamu.” Apakah senario ini semua bermakna PAS telah menggadai maruah dan meninggalkan pinsip Islam di tepi longkang?


Natijahnya, penerimaan tersebut sudah tentu memberi untung kepada politik Islam, tatkala sebahagian masyarakat Cina dan India serta Siam sudah berani mendekati PAS melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS. Sekarang kelab itu (dilancarkan pada 23 Mei lalu) telah diiktiraf sebagai sayap parti dan bertaraf Dewan Himpunan Penyokong PAS (selesa disebut Dewan Penyokong). Ia menguatkan lagi sayap PAS kepada empat sayap.


Sesungguhnya, amat seni politik Islam ini. Kebaikannya telah menarafkan peranan Dewan Penyokong bersama-sama Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat memikul tugas politik Islam. Maka, pendekatan PAS selama ini (bermula dengan kepimpinan arwah Ustaz Datuk Fadhil Nor dan sejak dipakai tema PAS untuk Semua), sebenarnya PAS telah sedia bertoleransi, bertegas dan mesra kepada semua kaum adalah suatu pendekatan berpandukan kejayaan Nabi Muhammad SAW tatkala mendikrikan Sulh Hudaibiah dan mengikat perpaduan menerusi al-Dustur al-Madinah. Apakah pendekatan ini melayakkan PAS menjadi boneka kepada DAP atau KeADILan?


Sesungguhnya, PAS terus maju dengan misi politik-dakwah dan kental menghadapi segala cabaran. PAS di Kelantan yang memerintah sejak dua dekad lalu terus istiqamah menjadikan institusi masjid, rumah Allah sebagai pusat paling sesuai menyampaikan mesej pembangunan politik-dakwah. Hasilnya, rakyat Kelantan menerimanya tanpa prejudis lagi. Demikianlah senario politik masjid di Kelantan.


Hanya Allah SWT maha mengetahui setiap apa yang diciptakan-Nya dan Dia maha bijak merencana, dan segala pengetahuan dan perencanaan-Nya adalah mengatasi pengetahuan dan perencanaan manusia.

Oleh:

Wan Nik Wan Yussof

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

No comments: