Awal bulan ini, tercetus isu berbincang dengan UMNO atas isu 'agama'. Pencetusnya adalah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdl Aziz. Ia telah disiar oleh media sebagai berdialog dan setengah media, khususnya Utusan Malaysia menyiarkan sebagai 'bekerjasama.'
Hakikatnya, bekerjasama dengan berbincang itu tidak sama. Mungkin sama ialah maksud berbincang dengan maksud berdialog.
Apapun, dua sudut kefahaman itu tercetus kerana isu keagamaan dalam negara ini yang tidak selesai, khususnya melibatkan agama Islam. Ia dilihat tidak selesai kerana dasar pemerintah negara yang memisah-misahkan antara kandungan agama dengan sesetengah aspek kehidupan seperti perekonomian, politik, keamanan negara, kehakiman, perundangan, kebubayaan dan seumpamanya.
Maksudnya, ada aspek yang dipandu oleh agama dan ada pula yang mengenepikan aspek agama. Antaranya, sistem perundangan utama adalah mengenepikan nilai agama (Islam), sementara sistem perundangan syariah pula berteraskan prinsip hukum Islam, tetapi di dalam aspek khusus ia tidak Islamik. Contohnya, dalam hukuman kesalahan zina tidak dikanunkan hukuman sebatan 100 rotan, sebaliknya enam rotan sahaja. Malah lebih teruk lagi, enam rotan itu masih terletak pada pertimbangan hakim syarii. Sepertimana berlaku baru-baru ini (di Penjara Kajang) hanya tiga rotan sahaja. Nyata ia jauh tersasar daripada hukum Islam sebenar dalam kesahalan zina. Mahkamah syariah pun dalam bab tertentu ia tidak memartabatkan hukum Islam sebenar. Ia tidak lebih daripada mahkamah untuk membicarakan kesalahan ke atas orang Islam semata-mata.
Sehubungan itu, berlakunya salah faham, tidak faham malah tersasar daripada dasar Islam sebenar apabila berlakunya kes-kes melibatkan perundangan Islam. Kesannya masyarakat akan berkecamuk di dalam menilai dan menaakulkan persoalan masyarakat, negara dan ummah apabila dikaitkan dengan Islam. Misalnya, persoalan pembakaran rumah ibadat, penggunaan nama Allah dan hukuman sebat pesalah syariah - banyak pihak berdebat panjang sehingga bercelaru.
Penyelesaiannya, perlu kepada perbincangan atau berdialog agar pihak yang tidak faham dan ragu akan faham dan yakin terhadap keadilan dan kebenaran Islam.
Mahkamah dan keadilan
Pada 17 Februari lepas pula, berlaku demonstrasi yang mewakili 140 ahli parlimen BN kerana membantah tindakan 50 ahli parlimen Australia yang meminta kerajaan Malaysia menggugurkan kes ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rasional ahli parlimen Australia itu ialah pendakwaan ke atas Anwar tersebut adalah memalukan sistem demokrasi di Malaysia. Yang jelas, mereka merasai malu apabila kes yang berlaku itu dibicarakan.
Malangnya, tindakan itu telah dianggap mencampuri urusan dalaman Malaysia.
Ia merupakan peluang bagi piohak BN dan seangkatan dengannya bangkit menentang. Kononnya marahkan pihak ahli parlimen Australia.
Lalu menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pihak ahli parlimen bertindak demikian kerana tidak, mahkamah tidak berlaku adil terhadap Anwar. Dan dalam masa sama, tidak bersetuju dengan sikap pihak luar mencampuri urusan dalaman Malaysia.
Begitu pula, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menganggapkan tindakan ahli parlimen Australia itu sebagai tanda tidak setuju dengan pendakwaan terhadap Anwar. Ia bukannya tindakan campur tangan, sebaliknya sebagai tanda sokongan ke atas Anwar.
Komen Tuan Guru Abdul Hadi telah dipuji oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin atas sebab tidak setuju dengan 'campur tangan'. Tetapi Muhyidin tidak memberi respon atas fakta berlaku adil terhadap Anwar.
Sementara itu, media dan tokoh-tokoh BN pula turut mengambil kesempatan untuk melaga-laga padangan antara Tuan Guru Abdul hadi dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan cara menggambarkan percanggahan atas isu memorandum ahli parlimen Australia. Sedangkan realitinya adalah berbeza - Tuan Guru Abdul Hadi tidak setuju campur tangan pihak luar dan perlunya keadilan; Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengaggap ia bukan campur tangan tetapi tanda sokongan terhadap Anwar.
Hakikatnya, bunyi sahaja berbeza antara dua komen tuan guru itu. Namun, ia jelas terungkap maksud yang sama. Kedua-dua tuan guru adalah berkongsi nilai yang difahami bersama, iaitu realiti keadilan terhadap Anwar.
Mungkin pihak ahli parlimen Australia bertindak membantah kerana malu dan ragu atas 'keadilan' di Malaysia berdasarkan pengalaman pertama kes Anwar sebelum ini. Ini kerana 'dunia' memahami, betapa adanya konspirasi untuk menyingkir Anwar dalam pentas politik negara. Lalu, pendakwaan terhadap Anwar sekarang mempunyai jalan cerita dan maksud yang sama.
Semuga Tuhan Yang Esa memberi panduan yang jelas kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.
No comments:
Post a Comment