13 September, 2009

PrK BAGAN PINANG: Undi pos SPR bertanggungjawab

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang semasa berceramah di Ipoh menyatakan keraguan terhadap sejumlah undi pos daripada tentera dan polis ada kewajarannya. Ia bukan atas alasan mereka (pengundi pos ) tidak diberi kebenaran untuk menghadiri kempen politik dan ceramah tanpa dihalang oleh pihak tertentu, tetapi di sebaliknya mengandungi strategi tersembunyi yang tersasar dari kebebasan dan nilai demokrasi. Atas dasar seseorang pengundi pos tidak harus berada di bawah tekanan, diugut atau berasa bimbang dan tertekan apabila mereka membuang undi untuk calon yang benar-benar mereka sokong.


Kemudian dalam konteks kawasan Bagan Pinang yang bakal diadakan pilihan raya kecil, betulkah sampai 5,000 lebih pengundi pos berdaftar di sana yang majoritinya adalah tentera? Analisis daftar pemilih yang dibuat di Bagan Pinang terdapat sekurang-kurangnya 15 pusat berdaftar pengundi pos. Berikut adalah realiti jumlah pengundi pos yang berjaya dikesan mengikut pusatnya:

PUSAT PEMILIH POS BERDAFTAR & JUMLAH

1. BALAI POLIS TELOK KEMANG =28

2. IJED KEM KG SAWAH =847

3. IJED KEM SI RUSA =55

4. ILMI PORT DICKSON =103

5. IPDA PORT DICKSON =407

6. KAD KEM SUNGGALA* =1,130

7. KOMPENI KPD KEM SI RUSA =265

8. MARKAS STAF GARISON =1

9. MARKAS STAF STESEN PORT DICKSON =98

10. PLATUN SERBA BHG. 1 KOMPENI ANGKUT =2

11. PONDOK POLIS BATU =2

12. PUSASDA KEM SI RUSA* =1,903

13. SEK. PENG. TENTERA DARAT PORT DICKSON=57

14. SEKOLAH PERTUKANGAN PERINTIS =105

15. WORKSHOP BRIGED KEM KG SAWAH =165

JUMLAH PEMILIH POS BERDAFTAR DI PUSAT =5,168

(bertanda bintang* pula terdapat kira-kira 500 tentera keturunan Sabah dan Sarawak)



Daripada jumlah tersebut, apabila dianalisis secara kaum kalangan pengundi pos itu didapati jumlah pembahagian ikut kaumnya seperti berikut:


JUMLAH & KETERANGAN/KAUM

Melayu = 4,608

India = 52

Cina = 11

Bumiputera Sabah & Sarawak = 502

JUMLAH = 5,173

JUMLAH MENGUNDI (2008) = 5,191

UNDI POS BIASA = 18

BERDAFTAR DI PUSAT = 5,168

TIDAK PASTI = 5.


Namun, di sebalik jumlah tersebut ada pula mendakwa sebahagian anggota tentera dari pengkalan Port Dickson (dalam Bagan Pinang) telah berpindah ke Gemas, tapi masih mengundi di situ. Ini suatu persoalan yang hanya boleh dijawab oleh SPR dan phak berkuasa kem berkenaan sahaja. Walau apapun, bagi tujuan pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti, semua perkara berbangkit mengenai undi pos tidak boleh dipandang remeh, kerana ia menjadi faktor utama kepada menang-kalah pihak BN atau PAS.


Keraguan fungsi Borang 2 undi pos


Beberapa pemimpin kanan PAS telah mencetuskan tugas yang harus diselesaikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, antaranya ialah perlu dimansuhkan Borang 2 dalam peraturan pengundian pos. Namun, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang memberi respon kepada apa yang disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Haji Mahfuz Omar (Harakahdaily.net/Berita Harian, 7 September 2009), dilaporkan berkata Borang Lampiran 2 tidak akan dimansuhkan kerana prosedur itu mengikut undang-undang dan butiran peribadi termasuk nama, nombor MyKad dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos tidak pernah didedahkan.

Beliau dipetik berkata, selama ini SPR tidak pernah disoal atau diminta oleh tentera atau polis mengenai undian yang dibuat anggota-anggotanya, melalui pos, bagi tujuan semakan dan sejak undi pos dilaksanakan, tidak pernah ada penjawat awam yang diturunkan pangkat atau dibuang majikan.

Mengulas lanjut respon Pengerusi SPR itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dilaporkan berkata, "PAS kesal dengan sikap tidak progresif dan kurang profesional pengerusi SPR kerana masih lagi mengamalkan budaya double standard dalam melayani pengundi-pengundi pos di seluruh negara berbanding pengundi biasa,"

"Jika pengundi biasa, tiada Borang Lampiran 2 diberikan. Malah tiada dalam peraturan sekalipun.

"Tetapi pelik kenapa Borang Lampiran 2 itu diwajibkan kepada semua pengundi pos, walhal nama-nama dan maklumat mereka sudah ada dalam daftar pengundi."

Ulasan Ustaz Idris itu di atas asas bahawa kewujudan Borang Lampiran 2 diyakini atas tujuan membuat semakan terhadap pengundi-pengundi pos yang pro-Pakatan Rakyat.

"Ketidaktelusan dalam menjaga kerahsiaan pengundi ini menjadi senjata ampuh SPR dalam membantu kemenangan calon-calon BN kerana calon Pakatan bergantung penuh dengan pengundi biasa, sedangkan BN menguasai pengundi pos secara paksa rela.

"(Tuduhan) ini terbukti bila mana wujudnya laporan-laporan sebelum ini yang mendakwa bahawa setiap pengundi pos akan disemak kertas undinya dengan merujuk nombor siri kertas undi dan Borang Lampiran 2."

Persepsi pengundi pos


Sebenarnya Borang lampiran 2 itu sebetulnya Borang 2 yang menjadi syarat sah atau tidaknya satu-satu kertas undi pos yang dipangkah oleh pengundi. Selain pengunaan borang itu yang meragukan dan mencurigakan semua pihak, prosedur pengundian pos juga boleh menimbul rasa tertekan, tiada kebebasan dan pihak pengundi sendiri akan merasai begitu tertekan dan menganggap mengundi sebagai suatu urusan ‘terpaksa’ dilakukan.


Apa yang sebenarnya, sebagai pengundi (tentera/polis/kakitangan SPR) yang selalu terikat dengan arahan jabatan, patuh dan terhimpit dengan politicking dalaman jabatan atau majikan, sudah tentu akan timbul keraguan dan rasa takut-takut dengan peraturan pengundian pos. Walaupun Pengerusi SPR memberi jaminan tidak berlaku pendedahan identiti pengundi pos seperti yang dicatitkan dalam Borang 2. Namun, jika dinilai kepada prosedurnya, setiap pengundi perlu memasukkan Borang 2 itu ke dalam sampul B bersama-sama sampul A yang mengandungi kertas undi yang telah dipangkah. Maka, jaminan pengerusi SPR itu tidak lebih sekadar jaminan sahaja. Kerana majoriti pengundi pos tetap berpendirian, bahawa Borang 2 itu akan diketahui juga kerana di dalamnya tercatit nombor kertas undi dan nama pengundi yang boleh dicam semasa proses pengiraan berlaku.


Kemudian paling memeritkan lagi, Borang 2 itu memerlukan pengesahan saksi yang biasanya penyaksi itu adalah kalangan pegawai atasan yang menjadi bos kepada pengundi berkenaan. Realiti itu menyebabkan segelintir pengundi pos bersikap mengelak diri daripada mendapat saksi lalu sanggup merosakkan undinya atau tidak mengembalikan terus kertas undi yang diterimanya. Ini kerana, mana-mana kertas undi pos yang tidak disertakan dengan Borang 2 adalah tidak sah.


Senarai pengundi pos perlu dibersihkan


Mungkin atas faktor tersebut, berlakunya kes-kes yang agak ketara jumlah undi pos yang tidak dikembalikan. Misalnya pada pilihan raya umum 1999, bagi DUN Pasir Panjang, Teluk Kemang terdapat 2,684 kertas undi pos yakni 24.5% daripada 10,972 undi yang dikeluarkan telah tidak dikembalikan, dan di DUN Sungai Udang, Melaka pada pilihan raya sama sebanyak 4,197 kertas undi pos atau 28.7% daripada 14,604 undi yang dikeluarkan telah tidak dikembalikan.


Sementara di DUN Bagan Pinang sendiri dalam pilihan raya umum 2008, terdapat 668 atau 5.8% undi daripada 11,579 undi yang dikeluarkan, sebahagian besarnya adalah undi pos telah tidak dikembalikan. Kenapakah berlaku undi yang tidak dikembalikan? Perkara ini boleh jadi berlaku, pertama sikap pengundi berkenaan telah memprotes peraturan pengundian pos, apabila mereka tidak sanggup mendapatkan tanda tangan saksi, dan keduanya, jumlah anggota tentera yang berdaftar di dalam senarai pemilih (sebagai pengundi pos) adalah lebih ramai berbanding jumlah sebenar tentera yang bertugas di kem atau pusat mengundi di sana. Fenomena itu adalah suatu gambaran kewujudan dan peraturan undi pos cukup meragui, mencurigai dan menakuti pengundi itu sendiri. Oleh itu, realiti amalan pengundian undi pos adalah bertentangan dengan hak asasi, kebebasan dan ketelusan sistem demokrasi itu sendiri.


Dalam kes tersebut juga, SPR sepatutnya memperbaharui data anggota tentera yang terkini. Terutama menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, sebelum senarai daftar pemilih induk diwartakan, kemas kini sewajarnya dilakukan oleh SPR demi mengelak sebarang kecacatan atau keraguan tersebut. Oleh itu, pihak PAS yang akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat boleh mendesak SPR supaya melaksanakan tugas itu demi ketelusan dan kebersihan pendaftaran pemilih. Sesungguhnya, SPR patut berbuat demikian tanpa didesak.


Sehubungan itu, pihak SPR seharusnya berani membuat perubahan demi meredakan nilai-nilai ketegangan di sebalik amalan undi pos. Untuk sekian kali bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti, SPR di bawah pengerusi sekarang hendaklah berani mengembalikan nilai ‘demokrasi’ ke atas proses pengundian undi pos.



Wahai pengerusi SPR, jadilah tuan sebagai ahli suruhanjaya SPR yang melakarkan sejarah dengan melakukan pendemokrasian melalui pendekatan regulasi yang rasional. Semuga Tuhan Yang Esa akan membalas segala ikhtiar berharga itu dengan pahala yang besar di akhirat kelak.

No comments: