11 March, 2011

PrK Merlimau & Kerdau: Poin kritikal persiapan PAS menghadapi PRU13

Pilihan raya kecil (PRK) Merlimau dank Kerdau adalah ke-15 dan ke-16 dalam siri PRK sejak pilihan raya umum 2008 (PRU12). Keputusannya adalah mengulangi PRK Galas dan Tenang yang menyaksikan kekalahan PAS. Justeru keputusan PRK Merlimau dan Kerdau kali ini tidak mengejutkan, tambahan pula ia berlaku di kubu Umno. Mungkin bagi setengah pihak, agak terkejut bila dilihat kepada lonjakan undi BN yang amat ketara. Apa pun, PAS tetap utuh dengan sokongan undi teras.

Keputusan PrK

(a) PrK Merlimau (Rajah 1)

Berlaku di Merlimau, tatkala pada PRU 1999 undi PAS sebanyak 2,012 sudah dikira cukup baik dalam konteks bertempur di kubu teras Umno. Pada PRU 2004 pula, PAS tidak bertanding, sebaliknya KeADILan yang bertanding dan meraih 1,245 undi. Pada PRU 2008 PAS kembali bertanding dan meraih 2,827 undi. Prestasinya sudah cukup baik dengan hanya berbekalkan lima cawangan PAS. Maknanya, berlaku kenaikan sebanyak 1,582undi di Merlimau.

Namun pada PRK lepas, PAS di Merlimau sudah meraih sebanyak 2,319. Bandingan dengan PRU 2008 berlaku penurunan hanya 508 undi. Tetapi ia tetap lebih baik jika dibanding dengan PRU 1999. Maka teras PAS di Merlimau adalah sekitar angka 2,000 dan tidaklah seteruk PRU 2004 ketika KeADILan bertanding.

Analisis pengundian bagi Merlimau dapat diterangkan seperti mana dalam Jadual 1 berikut:

PAS didapati merosot undi sebanyak 508 (-8.29 peratus) dan prestasi tersebut menggambarkan kemerosotan menyeluruh di semua DM, terutama DM yang keberadaan pengundi India––di Jasin Lalang yang merosot 113 undi (-25.24 peratus) dan Merlimau Utara 64 undi (-17.54 peratus). Merlimau Pasir pula merupakan DM ramai pengundi Cina juga merosot agak besar, iaitu 101 undi (8.81 peratus). Namun di DM Pengkalan Samak, kawasan campuran kaum (majoriti Melayu) kemerosotan adalah paling kecil, iaitu 3 undi (2.49 peratus). Ia berbeza di DM Chin Chin merupakan tempat Calon PAS, didapati merosot agak besar, iaitu 89 undi (12.27 peratus).

(b) PrK Kerdau (Rajah 2)

Pada pilihan raya umum (PRU) 2004, undi PAS di Kerdau 1,871 dan PRU 2008 meningkat kepada 2,250. Berlaku kenaikan sebanyak 649 undi. Namun pada PRK lepas, PAS meraih sebanyak 2,336. Berlaku kemerosotan sebanyak 184 undi. Mudah dikata, undi PAS masih utuh pada pengaruh status-quo, kerana yang merosot adalah pengundi atas pagar (184 undi) telah kembali kepada BN. Maka sokongan kepada PAS masih segar dan teras PAS tidak tergugsat di Kerdau. Jadual 2 berikut menerwngkan perbandiungan keputusan dari PRU ke P{RK Kerdau.


Analisis pengundian bagi lima daerah mengundi (DM) terpilih (Rumpun Makmur, Jengaka 22, Jengka 23, Kerdau dan Kuala Kerdau), mendapati pengundi muda – berdasarkan jumlah undi muda dari saluran 2 dan saluran 3 yang mengundi berjumlah 2,127, didapati hanya 37.99 peratus yang mengundi PAS. Jadual 3 berikut menjelaskan.

Jadual 3: Analisis pengundi muda PRK N.28 Kerdau, Pahang (6 Mac 2011)

Pengundi muda ikut saluran muda (PAS) = 808 /37.99%
Pengundi muda ikut saluran muda (BN) = 1,319 / 62.01%
Jumlah pengundi muda 5 DM terpilih = 2,127


Pengundi tua – berdasarkan jumlah undi tua (warga emas) dari saluran 1 sahaja (dari lima DM) yang mengundi berjumlah 1,676, didapati hanya 30.97 peratus yang mengundi PAS. Jadual 4 berikut menjelaskan.

Jadual 4: Analisis pengundi tua PRK N.28 Kerdau, Pahang (6 Mac 2011)

Pengundi tua ikut saluran tua (PAS) = 519 /30.97%
Pengundi tua ikut saluran tua (PAS) = 1157 /69.03%
Jumlah pengundi tua 5 DM terpilih = 1676

Ini bermakna, peratus sokongan pengundi muda agak baik berbanding pengundi tua. Pola sokongan sebegini adalah lumrah bagi Dun ‘kuat’ Umno-BN.

Pengundi dewasa/pertengahan – berdasarkan pengu8ndian di tiga DM (Jengka 22, Jengka 23 dan Desa Murni) sejumlah 1,240 yang mengundi, 28.95 peratus kepada PAS dan 71.05 peratus kepada BN. Lihat jadual 5 berikut.

Jadual 5: Analisis pengundi dewasa PRK N.28 Kerdau, Pahang (6 Mac 2011)

Pengundi dewasa ikut saluran 2 (PAS) = 359 /28.95%
Pengundi dewasa ikut saluran 2 (BN) = 881/ 71.05%
Jumlah pengundi dewasa 3 DM terpilih = 1,240

Analisis pengundi dewasa dari tiga DM itu darjah sokongannya terlalu lemah kurang 30 peratus dan lebih rendah berbanding PRU 13. Misalnya di Desa Murni pada PRU 46.49 peratus untuk PAS, tetapi merosot pada PRK kepada 33.08 peratus.

Secara umumnya, prestasi PAS bagi PRK Kerdau boleh disifatkan sebagai satu ‘kajian kes’ (case study) yang mewakili keupayaan sedia ada (sebelum dilaksanakan projek reinventing PAS) di Dun-dun yang setaraf. Penting diberi perhatian ialah keputusan PRK Kerdau kali ini telah menyaksikan kemerosotan undi PAS sebanyak 184 undi atau 6.29 peratus, kerana agak setara dengan Manek Urai (14 Julai 2009; merosot 6.36 peratus).

Sehubungan itu, PAS dan Pakatan Rakyat perlu merencana projek pintas bagi memastikan kira-kira separuh daripada Dun yang seumpama Kerdau dapat dimenangi dalam PRU13 nanti.

Bandingan Merlimau dengan Kerdau

Persamaan ketara keputusan bagi dua PRK ini ialah kemerosotan undi (Merlimau 8.21 peratus; Kerdau 6.29 peratus). Kenapa merosot agak besar di Merlimau? Ia suatu persoalan yang prlu dijawab melalui suatu post-mortem yang telus. Apa pun persamaan umum di antaranya ialah kemerosotan menyeluruh undi PAS sejak PRU sehingga PRK ini, iaitu dari aspek undi antara kaum, pola umur dan mengiukut DM.

Hal ini mungkin boleh dirumuskan sebagai kelemahan dan senario politik semasa yang dapat dibutirkan di bawah tajuk ‘faktor kekalahan/kelemahan ( ?).’

Faktor kekalahan/kelemahan (?)

1. Dua Dun ini adalah kubu Umno yang belum pernah dimenangi pembangkang, termasuk Kerdau (semasa nama Sanggang) yang pernah diadakan PrK, PAS kalah sekitar 1,900 undi.

2. Mungkin atas alasan no.1 ini, PAS tidak melakukan penambah baikan kekuatan cawangan sejak PRU 2008. Ada hanya lima cawangan.

3. Jentera lambat bergerak berikutan lambat kepoutusan/arahan kerja dari PAS Pusat. Pergerakan awal hanya berlaku di peringkat Melaka dan Pahang sahaja. Petugas pembantu negeri-negeri bermula secara all-out hanya dua hari sebelum penamaan calon.

4. Kekangan kewangan peringkat perhubungan PAS negeri antara punca “headstart” tidak berorientasi menemui pengundi, tetapi persiapan teknikal bersifat dalaman.

5. Ketidak upayaan jentera kempen berdepan dengan kempen agresif jentera kerajaan BN, terutama dari segi fitnah yang memburukkan pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.

6. Tiada penyelarasan kempen Pakatan Rakyat untuk menjawab isu hubungan PAS-DAP yang menjadi modal Umno memburukkan ‘politik orang Melayu’ di daerah mengundi Melayu.

7. Isu-isu pembangunan di Negeri Pakatan Rakyat (termasuk isu Kelantan) tidak mampu dijawab secara berkesan dan tidak dijadikan fokus semasa merayu undi rumah ke rumah.

8. Pasukan kempen masih belum menemui isu yang spesifik untuk menarik keyakinan orang Melayu, terutama di Felda. Sementara isu-isu pokok seperti peri penting menyokong perjuangan Islam telah dikelirukan oleh provokasi Umno yang mengaitkan “undi PAS masuk syurga” dan “PAS kuda tunggangan DAP.”

9. Kepelbagaian pendekatan kempen masih terikat dengan program lama (penerangan, ziarah, sebaran risalah). Pendekatan baru seperti billboard, ramah mesra dan majlis bersama pengundi tidak dapat diadakan secara merata disebabkan kekangan kewangan dan kurang kemahiran pihak pasukan kempen pemuda, muslimat dan kempen pimpinan.

10. Strategi kempen berpandukan kumpulan pengundi sasar, seperti MOSWA, pengundi muda dan atas pagar tidak disasarkan secara berstrategik menyebabkan perubahan sikap pengundi/culaan gagal mendapat bacaan tepat.

Kempen melampau BN

Kebalikan daripada wujudnya kelemahan (?), kedua-dua PRK itu pula berhadapan dengan kempen melampau dan terlarang BN yang jalankan oleh agensi-agensi kerajaan BN. Hakikatnya jentera PAS telah berlawan dengan jentera kerajaan BN. Walaupun fakta ini dianggap sebagai ‘alasan’ menutup kelemahan (?), namun setakat keupyaan PAS berdepan dengan ‘program kempen BN’ menerusi jentera kerajaan itu, PAS tidak berdiam diri.

Beberapa report polis, SPRM dan SPR telah dibuat, di samping pendedah media turut dibuat bagi membuktikan kempen terlampau dan terlarang BN. Kesannya, demokrasi ala-BN terus dihalalkan oleh badan penguatkuasa tersebut.

Paling ketara pihak PAS telah membuat tiga jenis report yang siginifiken dalam kes PRK kali ini. Satunya (di Kerdau) melibatkan report polis mengenai sogokan janji Pengurus Felda Jengka kepada pengundi Kerdau berjumlah RM3.368 juta atas nama bayaran SES (dari RISDA) dan RM1.547 juta atas nama bayaran SITS (dari MPOB/kelapa sawit).

Keduanya (di Merlimau) melibatkan report SPRM mengenai integriti ketua menteri Melaka atas anggapan pecah amanah dan unsur rasuah di dalam projek pembinaan kompleks Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang gagal menyiapkan projek ikut jadual dan penjualan lot tanah kepada kontraktor dan pihak tertentu.

Akhirnya, (di Merlimau dan Kerdau) melibatkan report SPR mengenai penggunaan premis awam (dewan orang ramai – Kerdau; politeknik – Merlimau) sebagai pusat operasi jentera BN yang dilihat secara terang-terangan premis untuk kepentingan awam telah disalah guna untuk kepentingan jentera BN.

Kesemua report berkenaan tidak dipedulikan, dan kesannya pengundi menganggapkan perkara itu sebagai sah dan BN sebagai tidak bersalah. Justeru, pihak PAS boleh menggunakan report ini sebagai bahan kes kemungkinan tindakan petisyen membantah kempen melampau dan terlarang BN di Merlimau dan Kerdau. Tindakan petistyen amat penting sebagai protes dan political action untuk mencetuskan gelombang bersih demokrasi menjelang PRU13.

Pengajaran menjelang PRU

PAS sebagai parti politik-dakwah tidak seharusnya serik mengorak langkah perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Apa pun PAS memerlukan persiapan rapi menghadapi mencabar dalam meraih keyakinan rakyat. Masanya masih ada membina saf kemenangan menjelang PRU 13 nanti dengan memberi perhatian kepada tanggungjawab berikut:

1. Mendaftar pengundi baru di dun sasaran dalam tempoh Mac-Jun 2011 (baki masa yang ada) menjelang kemungkinan PRU November 2011 nanti.

2. Mengurus pengundi luar lebih awal dengan menemui mereka di lokasi seperti di Lembah Klang, Bandar-bandar utama, Sabah dan Sarawak.

3. Mengurus selera pengundi muda dengan program mesra dan menambat hati seperti membanyakkan NGO belia di bawah naungan PAS.

4. Memperjelas isu-isu kejayaan pentadbiran Negeri Pakatan Rakyat secara ‘nationwide’ menerusi forum dan seminar serta ceramah bergerak pimpinan PAS.

5. Menguruskan dan membekalkan maklumat strategik menjawab fitnah dan provokasi serta pre-amptive pihak Umno-BN, media cetak, media elektronik dan media baru.

6. Serentak itu, pemerkasaan jentera parti dan cawangan harus dibuat bersempena dengan mesyuarat agung parti sehingga menjelang PRU13.

Penutup

Berpandukan keputusan dua PRK serentak ini, kemerosotan undi yang dialami PAS adalah melibatkan semua kaum dan umur pengundi serta lokasi pengundi. Ini memberi amaran pendekatan persepsi (issues based) bukan memberi jaminan kepada pengupayaan PAS-Pakatan Rakyat membina pengaruh, setidak-tidak untuk bertahan pada undi PRU 2008.

Oleh itu, langkah reinventing jentera parti amat penting, khususnya ke arah melengkapkan nilai kemenangan berasakan KPI pilihan raya, iaitu mendaftar pemilih mengikut Dun tumpuan, melatih kepakaran pimpinan dan petugas pilihan raya, pengurusan isu dan krisis dalaman secara bijaksana dan persiapan kewangan yang cukup.

Sekian.

Wassalam.

PAS UNTUK SEMUA
5 Rabi’ulakhir 1432/10 Mac 2011.

No comments: