21 October, 2010

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan (Siri 3)

Kerajaan Negeri Kelantan diterajui PAS bersama Angkatan dilihat komited (istiqomah) menjayakan amalan pentadbiran berteraskan Membangun Bersama Islam. Segala dasar atau polisi kerajaan dipacu berpandukan al-Quran dan al-Hadis serta ijmak-qias ulama’. Justeru pendekatan amalan pentadbiran itu telah melakukan transformasi dan pembinaan keyakinan kepada model pemerintahan Islam yang pernah mencapai kegemilangan pada zaman Madinah dan era khulafa ar-Rasyidin serta Othmaniah.

Model itu dipakai dengan teliti, maka sebaik sahaja memerintah Kelantan, Tok Guru Nik Aziz selaku pencetus dan peneraju siasah Kerajaan Negeri telah memindahkan akaun tetap kerajaan negeri dari bank konvensional-riba ke Bank Islam. Amalan kewangan dipraktik mengikut acuan Islam dengan mewujudkan dua akaun kerajaan negeri iaitu halal dan haram. Kerajaan Negeri mengamalkan dasar tender terbuka. Implikasinya telah mendorong kepada pelaksanaan sistem perbankan tanpa faedah (SPTF) atau sistem perbankan Islam (SPI) dan pembukaan kaunter kewangan syariah di bank-bank konvensional.

Ulama’ menerajui perubahan

Justeru, survival kepimpinan ulama’ yang menerajui Kerajaan Negeri Kelantan sekarang ini dilihat sebagai menyambung kembali usaha-usaha Islamik yang telah dilakukan kepimpinan PAS ketika mentadbir negeri sebelum 1978. Antaranya menutup lubang-lubang maksiat dengan memastikan lesen premis tempat-tempat perjudian dan hiburan tidak lagi dibenarkan. Premis menjual arak juga dikawal iaitu selaras dengan nisbah penduduk bukan Islam.

Demikian pula, komitmen pentadbiran Islamik diteruskan dengan mengawal kedai-kedai gunting serta salon unisex agar tidak lagi berorientasikan kebebasan tanpa batasan seksual. Persembahan hiburan yang melampau juga tidak dibenarkan. Makyong dan menora yang jelas bercanggah dengan Islam kerana mengandungi unsur khurafat (pemujaan mensyirikkan Allah) turut diharamkan.

Bagi membantu rakyat keluar dari amalan riba, kerajaan negeri pada 1992 memperkenalkan sistem gadaian Islam (Ar Rahn) yang diuruskan melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Ekoran langkah tersebut pajak-pajak gadai konvensional-riba tidak lagi mendapat sambutan sehingga banyak yang terpaksa menutup operasi. Ar-Rahn kemudian diperkembangkan ke seluruh Kelantan dan negeri-negeri lain. Malah sistem pajak gadai Islam itu menjadi perintis kepada pelbagai agensi kewangan di bawah kawalan Kerajaan Pusat turut mengambilnya sebagai projek kewangan Islam.

Menteri Besar juga menekankan polisi berjimat cermat bagi menjaga harta kerajaan. Langkah awal yang diambil iaitu memotong elaun Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, anggota Exco dan Speaker sebanyak 20 peratus yang dimasuk ke dana parti.

Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta para Exco juga memotong elaun sebanyak lima peratus yang dimasukkan ke dalam Tabung Serambi Mekah. Amalan memberi cenderamata kepada pemimpin juga dihentikan. Turut dilakukan adalah tidak menggunakan peruntukan majlis hari raya dan imbuhan kerana tidak menduduki rumah kerajaan. Ia telah menjimat wang Kerajaan Negeri, malah turut memulang balik secara tidak langsung kepada rakyat menerusi akaun kerajaan (Kumpulan Disatukan dan Tabung Serambi Mekah). Selama 20 tahun ia berlaku dan sudah lebih puluhan juta, ia dipulangkan balik kepada akauan Kerajaan Negeri. Sehingga kini belum ada mana-mana Kerajaan Negeri diterajui Umno sanggup berbuat demikian!

Kerajaan Negeri juga memberi cuti bersalin kepada kakitangan wanita daripada 42 hari kepada 60 hari. Kerja lima hari seminggu mulai dikuatkuasa pada 1 Januari 1996 serta memendekkan waktu pejabat bulan Ramadhan dengan cara tidak ada waktu rehat tengah hari.

Kesemuanya adalah gambaran berhemat di sisi kepemimpinan, cermat dalam berbelanja dan bermanfaat untuk rakyat dalam konteks semasa dan masa depan. Ia suatu gambaran kekuatan model pentadbiran Islamik selama dua dekad menerajui perubahan di Negeri Kelantan.

Keluarga bahagia

Kerajaan Negeri juga terus berusaha memperkasakan kedudukan serta penghormatan terhadap kaum wanita (khususnya kaitangan awam) dengan menambahkan cuti bersalin daripada 42 hari kepada 60 hari. Seterusnya mulai tahun 2011 cuti bersalin akan ditambah kepada 90 hari. Cuti bersalin boleh diambil lebih awal sekiranya mereka tidak mampu melaksanakan tugas di pejabat.

Selain itu kakitangan wanita yang kematian suami juga dicadang diberi cuti iddah. Ini dilakukan selaras dengan tuntutan Islam di mana wanita kematian suami mempunyai iddah selama empat bulan 10 hari. Ketika iddah tersebut mereka tidak digalakkan berada di tempat-tempat awam, bagi mengelakkan sebarang fitnah berlaku.

Kerajaan Negeri juga memberi kemudahan cuti kepada suami untuk menjaga isteri ketika bersalin. Kemudahan itu dapat dimanfaat bagi menjaga anak-anak memandangkan isteri perlu berpatang, dan tidak dapat melakukan tugas-tugas yang agak berat.

Cuti 2 hari seminggu

Kerja lima hari seminggu mulai dikuatkuasa pada 1 Januari 1996. Kelantan merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan hari bekerja lima hari seminggu. Amalan pentadbiran ini adalah rasional dan selari dengan psikologi pekerja serta mendapat pengiktirafan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang kemudiannya ditiru oleh Kerajaan Pusat meskipun pada awalnya ditentang hebat. Sehingga mendapat kritikan pemimpin Kerajaan Pusat kononnya dengan cuti dua hari boleh mengurangkan prestasi jentera kerajaan. Namun tidak lama kemudian cuti tersebut turut dipraktikkan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat. Signifikannya, amalan cuti dua hari seminggu turut membawa kebaikan kepada keakraban kekeluargaan. Ini kerana melalui cuti dua hari seminggu telah membolehkan kakitangan awam mempunyai masa lebih lama bersama keluarga. Ia turut menggalakkan indsutri pelancongan domestik dan terbukti jumlah bas dan jadual penerbangan antara Kota Bharu-Kuala Lumpur begitu kerap dan mengatasi mobiliti domestik penduduk Terengganu dan Kedah.

Sementara pihak Tok Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan telah menjadikan hari Jumaat sebagai hari untuk menuntut ilmu agama dan Sabtu pula bersama keluarga. Sekali gus menggerakan pemikiran rakyat kepada kehidupan berilmu dan kerukunan hidup berumah tangga. Meskipun, aspek ini terlalu subjektif untuk diukur, tetapi ruang ilmu dan kekeluargaan itu sudah menjadi dasar dan program Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun begitu, pihak Kerajaan Pusat cuba mengelak daripada dikatakan meniru apa yang dilakukan Kerajaan Kelantan, malah pelaksanaan cuti Sabtu pada awalnya dipraktikkan pada cuti hari Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga sahaja. Pelaksanaan kaedah itu mengelirukan dan akhirnya Kerajaan Pusat menerima hakikat, apa yang Kerajaan Kelantan buat adalah mewakili kehendak majoriti. Lalu pelaksanaan cuti hari Sabtu sepenuhnya mengikut apa yang dilakukan di Kelantan telah diterima.

Pembangunan pendidikan Islam

Sepanjang 20 tahun parti PAS yang memperjuangkan Islam mentadbir Kelantan terus menampilkan perubahan bersifat transformasi dan paling ketara ditumpukan kepada aspek pembangunan berimbang antara tuntutan rohani dan jasmani. Ini selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam. Tumpuan pembangunan rohani adalah kepada aspek pendidikan.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan menubuh Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat di Pulai Chondong. Maahad tersebut berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang sehingga kini memiliki kerjaya dalam bidang profesional termasuk pensyarah, peguam dan pegawai tadbir.

Profesional lulusan maahad tersebut berbeza berbanding dengan sekolah-sekolah lain kerana mereka mampu menjadi imam solat dan menyampaikan dakwah. Di dalam dada mereka ada 6,666 ayat suci al Quran.

Sehingga kini Maahad Tahfiz Al Quran diperkembangkan ke beberapa jajahan lain termasuk Pasir Mas dan Bachok. Malah menjadi misi Tok Guru Nik Aziz untuk memastikan setiap jajahan memiliki sekolah tahfiz al-Quran.

Maahad Tahfiz Sains pula mula diperkenalkan dengan penubuhan Maahad Tahfiz Sains Al- Bustanul Ariffin di Kampung Berangan, Tumpat. Selepas itu dibina Maahad Tahfiz Sains yang lebih besar dengan kemudahan asrama yang lebih selesa di Tanah Merah dan diikuti dengan sebuah lagi di Kok Lanas. Apa yang penting ialah produk maahad tahfiz sains telah berjaya melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang sains dan teknologi yang berkemampuan menghafal ayat-ayat al Quran.

Sebelum itu YIK membuka kelas aliran sains tulen di Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan. Pelajar-pelajar lulusan sains tulen kedua-dua sekolah terbabit kini berjaya dalam bidang sains dan teknologi. Ramai di kalangan mereka sekarang menjadi doktor, jurutera dan ahli sains.

Kecemerlangan akademik kedua-dua sekolah terbabit menyebabkan setiap tahun permohonan pelajar baru sentiasa bertambah. Ia turut mendapat sambutan (permohonan) daripada ibu bapa dari luar Kelantan untuk menghantar anak-anak belajar di kedua-dua maahad tersebut. Kesan transformasi pendidikan Islamik yan lebih dikenali dengan pendidikan sepadu itu turut mengundang Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan pengajaran mata pelajaran agama disepadukan dengan mata pelajaran sains dan iktisas di sekolah-sekolah menengah. Lalu tumbuhlah sekolah-sekolah yang dikenali sebagai sekolah mnengah kebangsaan agama (SMKA), iaitu sekolah berasrama yang menyeimbangkan kurikulum agama dan akademik biasa di bawah kawalan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Justeru itu, pihak Kerajaan Negeri menerusi YIK terus memperluaskan pendekatan sepadu pengajaran sains tulen dan agama ke sekolah-sekolah YIK di setiap jajahan.

Kerajaan Negeri juga menghidupkan kembali kegemilangan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) di Nilam Puri sebagai sekolah tinggi yang dimatikan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika memerintah Kelantan pada 1978. Kerajaan BN ketika itu menyerapkan YPTIK kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sebagai kampus cawangan di Nilam Puri. Sekolah tinggi dalam bidang agama itu dikenali sebagai Maahad ad-Dakwah Wal-Imamah ditubuhkan 1994 dan pelaksanaannya merupakan suatu tunai janji manifesto PAS pada pilihan raya umum1990. Penubuhannya adalah atas hasrat menjadi pusat pengajian tinggi agama peringkat diploma dalam bidang usuluddin, dakwah dan syariah serta ke arah melahirkan pelapis kepimpinan masyarakat yang berdakwah dalam masyarakat.

Maahad tersebut yang terletak di Nilam Puri mendapat pengiktirafan Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti ternama di Asia Barat. Maahad Dakwah berkembang pesat dan menjadi perintis kepada penubuhan institut pendidikan tinggi Islam. Selepas itu (tahun 1999), Kerajaan Negeri telah menubuhkan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Maahad ad Dakwah Wal Imamah telah diserap ke dalam KIAS. Kini KIAS telah berjaya sebagai institusi pendidikan awam Kerajaan Negeri yang mendapat pengiktirafan Lembaga Akreditasi yang mencapai taraf pendidikan global. Statusnya sedang mencerah nama melalui kursus-kursus yang ditawarkan, di samping turut mengadakan program ijazah berkembar dengan beberapa universiti di Timur Tengah dan Indonesia serta universiti tempatan.

Perkembangan pendidikan Islam terus semarak dengan pembinaan Kolej Yayasan Islam Kelantan di Kok Lanas bagi menempatkan pelajar-pelajar tingkatan enam. Kolej khusus disediakan bagi membolehkan pelajar-pelajar lepasan SPM yang berminat melanjut pelajaran ke universiti di Timur Tengah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan STPM. Hal ini meletakkan pendidikan Islam Kelantan sebagai rujukan kepada negeri-negeri lain, terutama dari segi sukatan pengajiannnya serta keberkesanannya. Sehingga kini, kurikulum YIK dipakai di beberapa sekolah agama di Johor, Selangor dan Sarawak. Malah YIK turut mengeksport kepakarannya sampai ke Kampuchea bagi mendidik masyarakat Melayu Cham di sana. Kelangsungan daripada kecemerlangan YIK yang popular dengan peperiksaan sijil rendah agama (SRU), sijil menengah agama (SMU) dan sijil tinggi agama (STU) telah memberi ilham kepada Kerajaan Pusat melaksanakan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan terpakai di seluruh negara dan kelayakannya adalah setanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM).