21 April, 2020

COVID-19: Tiga Negara Asia Tenggara Melonjak

Perkembangan penularan Wabak COVID-19 di Asia Tenggara sehingga hari ini (21 April) menyaksikan tiga negara mengalami kes-kes yang melonjak ketara. Paling tinggi ialah Sngapura mencecah 9,125 keseluruhan kes, diikuti oleh Indonesia 7,135 kes, Filipina 6,599 dan Malaysia ditangga ke-14 sebanyak 5,482 keseluruhan kes. Berikutnya Thailand 2,811 keseluruhan kes, diikuti oleh lima negara Asia Tenggara lagi yang jumlah penularannya amat rendah iaitu, Vietnam 268 kes, Brunei 138 kes, Kemboja 122 kes, Myanmar 119 kes dan terendah Laos hanya 19 kes.

Menarik untuk dilihat ialah perbandingan mudah pola pertambahan kes di antara Indonesia dan Singapura yang ketara kedua-dua negara ini menunjukkan pola mendongak. Sebagaiamana diulas di dalam posting semalam (20 April) pertambahan di Singapura telah dinyatakan sumber penularan akibat daripada kedudukan Singapura yang terbuka dan faktor warga negara asing yang bekerja melebihi 100,000 orang ditempatkan di asrama. Justeru pola pertambahan digamba secara data dan carta seperti di bawah.




Demikian pola yang serupa berlaku di Indonesia seperti digambarkan melalui carta dan data-data di bawah.





Walau bagaiamanapun, perkembangan di Indonesia akan dilihat secara khusus menerusi posting hari ini (21 April) memandang faktor penularan Wabak COVID-19 di sana turut menjadi penyebab pertambahan kes di Malaysia.



Dilaporkan Wabak COVID-19 telah menular di Indonesia pada 2 Mac, 2020 ketika seorang instruktur tarian dan ibunya di Depok, Jawa Barat yang dijangkiti COVID-19 daripada seorang warga negara Jepun. Di sinilah bermulanya  "kluster Jakarta" atau "kluster kelas tarian”  yang kemudiannya menjadi punca/pembawa beberapa kes COVID-19 di Jawa Barat dan Jakarta.

Semenjak itu, kes COVID-19 yang disahkan di Indonesia mula meningkat secara perlahan-lahan. Didapati pada 8 Mac, seramai 6 orang yang telah mengikuti kelas tarian adalah dijangkiti COVID-19.

Menjelang 9 April, wabak tersebut telah menular di Indonesia setelah provinsi Gorontalo, Pulau Sulawesi disahkan menerima kes pertama.  Daripada dua kluster itu,  ia menular ke provinsi Jakarta, Jawa Barat, dan Jawa Timur menjadi provinsi yang paling terkesan.

Mulai 5 Februari Indonesia melarang semua penerbangan pergi balik ke China. Ekoran daripada itu, pihak berkuasa tidak lagi mengeluarkan visa untuk warga negara China. Larangan itu disusuli dengan melarang semua mereka yang pernah ke China di dalam edah 14 hari daripada memasuki atau bertransit di Indonesia. Larangan itu turut disokong oleh penegasan, warga negara Indonesia tidak digalakkan mengunjungi China.

Berikutnya pada 4 Mac, MRT Jakarta pula mulai membuat pengimbasan suhu penumpang yang akan memasuki stesen dan tidak membenarkan mereka yang mengalami gejala demam tinggi menaiki tren.  Langkah yang sama turut dibuat di semua pintu masuk di beberapa tempat awam seperti pusat membeli-belah dan sekolah.

Mulai 8 Mac pula, sekatan perjalanan diperluaskan ke wilayah Daejeon dan Gyeongsangbuk-do di Korea Selatan, bandar Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali dan bandar Teheran dan Qom di Iran.

Pada 13 Mac, Kerajaan Indonesia menetapkan 132 pusat rawatan di seluruh Indonesia dan pada 18 Mac, ia ditambah lagi sebanyak 227 hospital (109 hospital tentera, 53 hospital polis dan 65 hospital milik kerajaan) ekoran daripada pertambahan lebih banyak pesakit COVID-19. Ia diikuti dengan penubuhan Coronavirus Disease Mitigation Acceleration Task Force diketuai Doni Monardo.

Pada hari yang sama (18 Mac), Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian meminta semua pemimpin wilayah Indonesia untuk menghentikan semua perjalanan yang tidak penting ke negara asing.

Sebelum itu, pada 15 Mac, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah merayu agar rakyat Indonesia mempraktikkan cadangan ahli epidemiologi supaya mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) untuk memutus rantaian penularan Wabak COVID-19.

Begitu pula pada 16 Mac, Kementerian Perusahaan Milik Negara telah mengarahkan pekerjanya yang berumur 50 tahun ke atas untuk bekerja dari rumah. Presiden Joko Widodo juga memaklumkan keputusan untuk melaksanakan perintah berkurung (lockdown) di bandar atau kabupaten setelah berunding dengan pihak berkuasa Pusat.

Pada 30 Mac, Jokowi menolak untuk mengenakan lockdown di Jakarta. Justeru itu, laluan bas yang menghubungkan Jakarta dan bandar dan provinsi lain telah dibenarkan berikutan keputusan pembatalan untuk menghentikan sementara operasi bas antara bandar dan antara  provinsi (AKAP) yang berpusat di Jakarta Pusat.

Pada 13 April, Jokowi mengisytiharkan COVID-19 sebagai bencana nasional setelah menjangkiti 4.557 individu dan menyebabkan 399 kematian di Indonesia. Prof Mahfud MD selaku Kementerian Koordinator Bidang Politik, Undang-Undang dan Keamanan (Indonesia) menyatakan bahawa bencana nasionalnya tidaklah disandarkan atas kekuatan undang-undang semata (cannot be based for force majeure).

Sehubungan itu, langkah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) adalah pilihan yang dikatakan berupaya untuk membatasi beberapa kegiatan sosial untuk memutuskan rantaian penularan Wabak COVID-19.

Meskipun keputusan melaksanakan lockdown nasional suatu keputusan terbaik, namun pihak berkuasa wilayah tertentu masih boleh merayu untuk Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) mengikut kesesuaian. Namun ia perlu mengemukakan bukti langkah-langkah endemik dan mitigasi kepada Kementerian Kesihatan.

Di Aceh, Plt Gubernur Aceh, Nova Iriansyah mengisytiharkan keadaan darurat "skala provinsi" di Aceh selama 71 hari, yang berlangsung dari ada 20 Mac hingga 29 Mei. Di Sumatera Utara pula, pihak berkuasa provinsi telah mengisytiharkan keadaan darurat bermula 31 Mac hingga 29 Mei 2020.

Hubungan Kluster dari Indonesia terbawa ke Malaysia

Sebuah kluster baharu telah dikesan di pintu masuk antarabangsa iaitu menunjukkan kes positif COVID-19 dikesan di kalangan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April 2020. Kluster tersebut terdiri daripada 43 orang pelajar yang pulang dari Temboro, iaitu salah satu zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

Apapun pelajar tersebut telah menjalani kuarantin, iaitu seramai 34 orang telah dikuarantin di Melaka dan sembilan orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Tindakan kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah sebahagian daripada aturan yang perlu dipatuhi. Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti ibu bapa atau keluarga mereka di Malaysia.

Kluster Bali

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengenal pasti dua subkluster COVID=19 yang berkaitan di Kuantan, Pahang hasil daripada penelusuran, penyaringan dan pengujian ke atas kelompok berisiko tinggi. Sub-kluster tersebut ialah kluster Bali di kesan di Kuantan. Asal jangkitannya dikesan pada 13 April, seramai 20 orang dalam kelompok yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.

Kemudian pada 19 April, pihak KKM mengumumkan terdapat lagi 43 orang dari Jawa Timur, tiga dari Acheh dan satu kes dari Kalimantan.

Berdasar data-data ini (kluster Magetan, Bali dan lain-lainnya) kesemuanya berjumlah sekurang-kurangnya 67 kes COVID-19 daripada kontak Indonesia. Jumlah ini boleh dianggap pembawa pertama dari Indonesia yang jika tidak dikawal dari awal bakal berjangkit kepada generasi kedua atau seterusnya.

Malaysia Berdoa
Alhamdulillah, dengan perkembangan yang berlaku di Malaysia telah berjaya mengambil langkah awalan meskipun dilihat terlewat di dalam mengekang penularan Wabak COVID-19. Meskipun Malaysia turut terdedah dengan kemasukan pembawa COVID-19 dari China, Singapura, Indonesia dan lain-lain, namun keupayaan dan kerjasama berkesan menerusi pendekatan PKP (bermula 18 Mac) merupakan inisatif yang patut dipuji. 


Semoga kita terus berdoa dan seluruh lapisan masyarakat sedia mematuhi arahan dan panduan untuk mengekang dan memutuskan rantaian Wabak COVID-19. Hanya kepada Allah kita berserah dan berdoa agar Malaysia terus selamat dan bebas daripada Wbak COVID-19. Ins sya Allah.


Wassalam.


No comments:

Post a Comment