20 October, 2016

TAHNIAH, 26 tahun Pentadbiran MEMBANGUN BERSAMA ISLAM Negeri Kelantan



YAB Ustaz Dato' Menteri Besar Kelantan menyampaikan amanat khas di hadapan Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai Kerajaan Negeri Kelantan, Khamis, 19 Muharam 1438/20 Oktober 2016 di Dewan Teratai, Kompleks SUK Kota Darulnaim, Kota Bharu.



Tempoh 26 Tahun Membangun Bersama Islam Mendasari Kejayaan

Negeri Kelantan


Oleh:
Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

Pengenalan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Harakahdaily, 16 Nov. 2009) menyifatkan kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut (ulasannya ketika itu merujuk kepada tempoh 1990-1995, 1995-1999, 1999-2004 dan 2004-2008 - P) adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri ini. Sementara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (November 2009), ADUN Paloh dari Barisan Nasional, Dato’ Nozula Mat Diah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar selama sembilan belas tahun (semasa itu). Demikian pula, kajian ilmiah oleh dua pensyarah Sekolah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Azizah Md. Yusof dan Nariman Md. Saad (2001)[1] mendapati dasar Membangun Bersama Islam turut membawa hubungan positif kepada peningkatan hasil Kerajaan Negeri atas asas pentadbiran kewangan dan pembangunan telah menunjukkan kemantapan dan kestabilan. Berikutnya, Timothy P. Daniels (2012)[2] dalam kajiannya Economics and ethics in Kelantan” antara lainnya menyifatkan Kelantan mengalami pembangunan berteraskan nilai-nilai Islamik kesan amalan dasar Membangun Bersama Islam.

Demikian empat pengiktirafan ke atas kelebihan dasar Membangun Bersama Islam yang dapat dirakamkan dalam perspektif menilai pelaksanaannya di bumi Kelantan. Kini tempoh itu sudah melangkaui masa sambutan Jubli Perak pada 21 Oktober 2015 yang lalu dan sudah melangkah tahun ke-26 (1990-2016). Sudah tentu pelaksanaannya menghasil lebih banyak lagi kesan kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik Negeri Kelantan.

Ia dianggap selari dengan keunikan Kelantan sebagai negeri Serambi Mekah yang rakyatnya didapati mendukung kukuh kehidupan beragama. Justeru dasar Membangun Bersama Islam telah dipacu oleh misi saf kepimpinan ulama’ yang begitu kental dan segar dengan keazaman (political will) untuk memastikan asas Fiqhud-Maqasid berlaku dengan sewajarnya.  Di sebalik misi itu tercapainya objektif bagi merealisasikan prinsip mentadbir Negeri berteraskan siasah syarriyyah––iqamatiddin wa siasatuddunyabih––yang membuktikan Islam sebagai panduan politik mentadbir dan memerintah serta menjayakan kehendak dan hak rakyat. Oleh itu, kejayaan selama 26 tahun Negeri Kelantan melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam yang diisikan dengan pelbagai program melibatkan peranan agensi kerajaan dan semua rakyat adalah selayaknya diiktiraf sebagai satu model pentadbiran Islam yang praktikal dan kontemporari. Sebagaimana dicatatkan oleh Daniels (2012), “This wide-ranging implantation of their pious Islamic ethical schema indicates that religious humanist ethics is stimulating commercial development and a more equitable distribution of resources.”  Suatu amalan etika beragama berasaskan ketakwaaan dalam memastikan pembangunan komersial dan pengagihan sumber yang lebih saksama. Ia merupakan skema Islamik yang meyeluruh yang juga boleh dianggap sebagai suatu model pilihan tepat dalam bidang politik pentadbiran ke arah mengukuhkan keyakinan umat Islam mahupun bukan Islam terhadap sistem politik Islam berteraskan siasah syariyyah.
Sehubungan itu, menelusuri latar belakang pelaksanaan dua dekad Membangun Bersama Islam adalah suatu persoalan penting bagi mendapat gambaran jelas ke arah memahami isi kandungan dan pendekatan pelaksanaannya di Negeri Kelantan.

Dasar Membangun Bersama Islam

Berpandukan sejarah lahirnya dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan adalah bermula daripada kemenangan PAS di Kelantan dalam pilihan raya umum 1990. Kemenangan tersebut adalah atas prinsip kerjasama politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Namun, atas prinsip demokrasi PAS yang memenangi majoriti kerusi iaitu 24 daripada 39 Dun berbanding parti-parti Angkatan (Semangat 46 sebanyak 13 Dun dan Berjasa 1 serta Hamim 1 Dun), ia melayakkan PAS menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri.  Ekoran daripada itu, manifesto PAS Kelantan yang disebut sebagai “Program PAS Negeri Kelantan Pilihan Raya Umum 1990” yang memakai tema “Membangun Bersama Islam” telah diterima dan disahkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kelantan sebagai rujukan dalam membina kerangka dasar bagi perancangan pembangunan Negeri Kelantan. Hasil keputusan ahli MMK itu dirangka secara rasmi dasar Membangun Bersama Islam menjadi panduan Kerajaan Negeri Kelantan semenjak 1990.

Mengambil dan melaksanakan keputusan mesyuarat tersebut, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) telah merumuskan kandungan manifesto itu dalam bentuk kertas panduan dasar pentadbiran kerajaan dan perancangan pembangunan negeri. Rumusan kepada kandungan manifesto itu telah diterbitkan oleh pihak UPEN dalam Laporan Ekonomi Negeri Kelantan tahun 1990/91.
Menerusi laporan UPEN itu, pokok kepada dasar Membangun Bersama Islam ialah Islam sebagai Ad-Din.  Rujukannya adalah al-Quran dan As-Sunnah, maka dasar itu bermaksud ‘maju ke depan dengan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam’ dengan berlandaskan sembilan prinsip:  (1) Kekuasan Perundangan Ilahi, (2) Keadilan Antara Manusia, (3) Keadilan Antara Muslimim,  (4) Kekuasaan Adalah Amanah Allah, (5) Musyawarah, (6) Ketaatan Dalam Hal Kebaikan Dan Kebajikan, (7) Tidak Menggunakan Kekuasaan Untuk Kepentingan, (8) Mempunyai Tujuan Yang Jelas Terhadap Negeri/Negara, (9) Al Amru Bil Maaruf Wa Nahyu ‘Anil Mungkar.[3]

Edisi Laporan Ekonomi UPEN memetik manifesto PAS 1990 itu dari aspek dasar Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada aspek pembangunan seimbang yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan pembangunan Negeri. Di samping menumpukan aspek pentadbiran dari segi prinsip Islam yang mengutamakan penghormatan kepada kuasa dan tanggungjawab pegawai kerajaan.

Berikutanya, Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Pusat Kajian Strategik yang kemudian menganjurkan seminar-seminar dan kursus-kursus memahami dasar Membangun Bersama Islam. Di samping turut mengumpul dan mengulas kandungan visi dan misi ucapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyentuh persoalan dasar dan hala tuju pentadbiran dan pembangunan berteraskan pendekatan Islam. Penemuan daripada seminar dan ucapan menteri besar itu telah melengkapkan lagi rumusan oleh UPEN.  Kemudian seminar memahami dasar Membangun Bersama Islam telah diadakan tahun 1993.

Menyusuli keputusan seminar itu, semua ahli MMK telah membina dasar-dasar khusus setiap portfolio di bawah pentadbirannya. Justeru itu terbitnya dasar-dasar yang menyokong kepada pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam. Antaranya ialah dasar kebudayaan, dasar pelancongan, dasar belia, dasar wanita dan diperlengkapkan dengan pindaan beberapa enakmen seperti enakmen kekeluargaan Islam, enakmen jenayah syariah II (1993) dan enakmen kawalan hiburan. Sementara pihak Setiausaha Kerajaan Negeri turut mengeluarkan beberapa pekeliling pentadbiran untuk dipatuhi oleh pegawai dan kakitangan awam negeri.

Berikutnya, Pusat Kajian Strategik telah menerbitkan kesemua dasar-dasar dan enakmen serta pekeliling pentadbiran tersebut menerusi bukunya dasar Membangun Bersama Islam pada tahun 2005. Bagi Pusat Kajian Strategik, hakikat dasar Membangun Bersama Islam ialah merangkumi prinsip pentadbiran dan perancangan berteraskan teras ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Sementara prinsip pembangunannya adalah pembangunan yang seimbang bermula dengan pembangunan insan (kerohanian) yang perlu selari dengan pembangunan material (fizikal). Memahami prinsip ini, pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah menganjurkan bengkel pentadbiran Islam berteraskan penerapan teras UMI dalam mencapai budaya kerja cemerlang. Selanjutnya pihak PKINK telah menerbitkan kandungan bengkel itu dalam bentuk buku (terbitan 2005). Sekarang ia telah diulang-cetak.

Ia diikuti pula dengan usaha penulisan secara komprehensif kertas dasar induk Membangun Bersama Islam yang permulaan diusahakan oleh satu panel yang dipengerusikan oleh ahli MMK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri Kelantan, Ustaz Hassan Mohamood (sekarang Dato’) pada tahun 2006. Kemudian menjelang sambutan dua dekad pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (Ogos 2010) pihak ahli MMK selaku Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Islam, Dakwah dan Pendidikan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah telah menubuh satu panel untuk memantapkan kerangka yang pernah dibuat sebelumnya, iaitu apa yang dilaksanakan oleh panel yang dipengerusikan oleh Ustaz Hassan Mohamood sebelumnya.

Oleh itu, pemerkasaan malah penambahbaikan kepada kandungan dasar Membangun Bersama Islam dilihat wajar memandangkan banyak pengalaman serta hasilnya dicapai selepas dua dekad (1990-2010) menaungi  sebagai panduan dalam pentadbiran dan perancangan pembangunan Negeri Kelantan.

Perkembangan selepas dua dekad pengamalan dasar di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri semakin rancak yang membuktikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang berkat, makmur dan berkebajikan. Ia menyaksikan lahir pula beberapa dasar pelaksanaan yang membabitkan pembangunan keluarga, kesejahteraan dan kebajikan selepas pilihan raya umum 2013.

Sebagaimana pada pilihan raya umum 2013, tumpuan tawaran pilihan raya (disebut juga manifesto) bagi memenuhi dasar Membangun Bersama Islam adalah pembangunan ke arah ‘keberkatan, kemakmuran dan kebajikan’ yang melimpah ruah dalam kalangan rakyat. Ia boleh dianggap sebagai penegasan kepada rangkuman ‘Kelantan sebuah negeri yang baik dan mendapat keampunan yang Maha Berkuasa’. Sehinggalah pasca pilihan raya 2013, menyaksikan Ustaz Ahmad Yakob selaku Menteri Besar telah mencetuskan daya usaha ke arah mematapkan lagi penghayatan dan pengamalan dasar dengan tambahan temanya iaitu “Merakyatkan Membangun Bersama Islam” sebagai bukti kesungguhan melaksanakan pentadbiran yang berpagarkan syariah. Pada 2014, Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan telah dilancarkan. Matlamat merakyatkan ialah ‘mendidik’ masyarakat agar bersikap ‘mesra’ dengan dasar Membangun Bersama Islam, lantas ‘komited’ kepada segala usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Menerusi matlamat ini, tujuh mercu tanda dijadikan landasan bagi menjayakan tiga prinsip utama di bawah Dasar Membangun Bersama Islam––Ubudiah, Mas’uliyah dan Itqan––teras pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri Kelantan. Tujuh mercu tanda itu ialah Amalan Kebersihan, Menyempurnakan Solat, Pembangunan Pendidikan, Menyuburkan Kebudayaan dan Kesenian, Menangani Gejala Sosial, Menerajui Pembangunan Ekonomi Islam dan Penyelidikan dan Penilaian. Sehubungan itu, tahap pengamalan sebenar dalam kalangan rakyat merupakan ukuran nilai kejayaan program dan aktiviti merakyatkan prinsip Ubudiah, Mas’uliyah dan Itiqan yang menjadi teras pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri Kelantan.

Justeru model pentadbiran dan pengurusan dasar adalah bermula dengan pengiktirafan dasar Membangun Bersama Islam dengan tiga prinsip yang menyokong, Ubudiah, Mas’uliyah dan Itqan. Selama 23 tahun pelaksanaannya yang kemudian menyaksikan usaha penerusan bermula 2014 apabila Ustaz Dato’ Menteri Besar Kelantan mencetuskan pendekatan dasar-dasar pembangunan yang mesra rakyat. Oleh kerana itu, ukuran kepada tahap pelaksanaan bukan hanya merujuk kepada pengamalan tiga prinsip tersebut, malah ke arah menilai kesannya yang berasaskan nilai-nilai keberkatan, kemakmuran dan kebajikan yang dinikmati kalangan rakyat. Maka modelnya dapat digambarkan sepertimana rajah di bawah.


Menjelang dua dekad

Hakikatnya Kelantan terus membangun memenuhi harapan rakyat menjelang dua dekad (tahun 2010) pelaksanaan  dasar Membangun Bersama Islam. Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri–– falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran––sekaligus menobatkan legasi Kepimpinan Ulama yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri. Kesinambungan legasi Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Ustaz Haji Ahmad Yakob merupakan taraf Negeri Serambi Mekah sebagai pusat pengimarahan ajaran Islam di dalam setiap cabang kehidupan. Tidak mungkin ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama Menteri Besar Kelantan. Buktinya kepimpinan Menteri Besar Kelantan sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat dengan wajah kepimpinan ulama yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan hari ini. Berkat taburan ilmu itu, kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Malah sesuai disebutkan Kelantan terus membangun dan ia telah memenuhi harapan rakyat.




[1]  Sementara itu dalam kertas kerjanya yang Azizah Md Yusof bersama-sama Nariman Mohd Saad bertajuk “Dasar Membangun Bersama Islam dan pertumbuhan eknonomi Kelantan” turut membuktikan program dan legislatif Islam yang dilaksanakan dalam pentadbiran di Kelantan memberikan impak yang positif terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Kelantan.
[2] Dr. Timothy P. Daniels merupakan Associate Professor of Anthropology, di Hofstra University, Hempstead, New York, US.  Beliau pernah berada di Kelantan selama tiga bulan bagi menyiapkan kajiannya dan hasil kajian beliau bertajuk “Economics and ethics in Kelantan, Malaysia” disiarkan oleh Hofstra HORIZONS, Spring 2012, pp. 22-27.
[3] Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (1996). Konsep Membangun Bersama Islam dalam pentadbiran kerajaan negeri. Kertaskerja yang dibentangkan di Majlis Perhimpunan Unit Dakwah Halaqah dan Penghulu Peringkat Negeri Kelantan pada 24 April 1996 di Kota Darulnaim, Kelantan.

No comments:

Post a Comment