20 October, 2016

Pelan Merakyat Membangun Bersama Islam Pentadbiran Negeri Kelantan

Perkembangan Pasca 2010 - Merakyat Membangun Bersama Islam
Di dalam satu majlis ucaptama Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob yang bertemakan “Kelantan Mendepani Cabaran” (Sempena Sambutan Jubli Perak Membangun Bersama Islam Tahun 2015 Pada 1 Februari 2015) adalah diungkapkan maksud Surah Al-Araf ayat 96, “Dan negeri yang baik, maka tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik maka tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan lambat serta layu. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda kekuasaan Kami dengan pelbagai cara bagi orang-orang yang  bersyukur.” Ia merupakan suatu pengharapan pemimpin dan rakyat Negeri Kelantan pada hari ini mencapai Baladutthoyib sesudah 25 tahun dasar Membangun Bersama Islam dilalaksanakan. Kini dasar itu terus dipasakkan lagi agar sebati dengan rakyat Kelantan, iaitu melalui fasa “Merakyat Membangun Bersama Islam” dengan tiga tonggak asasnya iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan. Ini pasti dijadikan pegangan dan agenda keutamaan kerajaan negeri dalam semua program-program yang sedang dan bakal dilaksanakan. Lantas suatu doa diungkapkan oleh Menteri Besar: “Kita sentiasa mendoakan agar Kelantan tidak terhijab daripada Barakaatul Ardh iaitu segala nikmat kemudahan prasarana, infrastruktur dan makanan.”

Ke arah mencapai harapan tersebut, komitmen Kepimpinan Ulama fasa Merakyat  Membangun Bersama Islam ialah untuk terus melakukan penambahbaikan dengan merangka seterusnya melancarkan Wawasan “Kelantan Melangkah Kehadapan: Keberkatan Kemakmuran Kebajikan” dengan menggariskan tiga tonggak utama ini (Tonggak 3K) dan sepuluh strategi bagi mencapai wawasan tersebut. Ia adalah dokumen strategik yang memerlukan penggemblengan Jabatan dan Agensi Kerajaan bagi mencapai Wawasan tersebut.
Bukti penghayatan dan pencapaian mengikut wawasan atau gagasan ini, contohnya telah berlaku di Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) salah satu GLC ulung Kerajaan Negeri Kelantan. Antaranya ialah dengan mengamalkan dasar pentadbiran  MBI dalam mempertingkatkan prestasi program dan aktiviti Kumpulan PKINK. Justeru berlakunya prinsip Islamik seperti Ar – Rahn, ditubuhkan melalui anak syarikat PKINK, Permodalan Kelantan Berhad (PKB). Ar- Rahn diwujudkan sebagai sebuah syarikat atau institusi gadaian Islam terawal di Malaysia dalam memenuhi tuntutan syariah. Ar-Rahn bermatlamat untuk memberi peluang bermuamalah berlandaskan syariat kepada umat Islam yang mementingkan aspek halal di dalam urusniaga. Diikuti dengan Perhotelan Islamik, mengamalkan cara patuh Syariah, sesuai untuk semua lapisan masyarakat terutama umat Islam, dengan kemudahan dari bilik-bilik yang selesa, restoran halal, sehingga tarikh mesyuarat dan kemudahan bankuet untuk menyediakan kemudahan surau dengan imam sepenuh masa yang memimpin pelaksanaan solat. Menggerakkan keperluan rakyat menerusi projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK). Maka Binaraya PKINK Sdn Bhd diberi tanggungjawab menguruskan RMMK bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri sesuai dengan slogan “Satu Keluarga Satu Rumah”. Pembangunan projek ini adalah berkonsepkan Islam di mana semua unit kediaman mempunyai 3 bilik tidur, 2 bilik air dan berorientasikan ke arah kiblat. Namun yang paling penting ialah melaksanakan Prinsip Pentadbiran adalah 'Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (UMI), iaitu menjalankan pentadbiran sebagai satu ibadah bagi mencapai keredaan Allah SWT. Selain itu, banyak lagi perlaksanaan sistem ekonomi Islam diterapkan dalam pengurusan PKINK sesuai dengan motto ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, malah perlaksanaan sama turut diamalkan oleh agensi-agensi kerajaan negeri yang lain.
Ini sebahagian contoh betapa pengamalan tadbir urus Islamik berlaku di peringkat GLC yang turut menyuburkan semangat Ustaz Dato’ Menteri Besar sekarang untuk meneruskan legasi menteri besar sebelum ini, Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sehubungan itu, Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob telah terus melangkah ke hadapan dengan mengambil tindakan dan pembaharuan sejak awal menjadi Menteri Besar Kelantan. Ia bertujuan untuk memperkasakan lagi pentadbiran dan pembangunan Negeri Kelantan berpandukan Strategi Merakyat Membangun Bersama Islam.
Oleh kerana itu, sehingga kini didapati langkah tersebut adalah melibatkan penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) yang dianggotai oleh sembilan orang pakar ekonomi, ilmuwan dan ahli teknokrat. Jawatankuasa ini berperanan untuk mencadang dan menasihati Kerajaan Kelantan khususnya dalam aspek pembangunan negeri. Ia merupakan satu pendekatan baru yang dikira lebih produktif. Diikuti dengan pewujudan Unit Sistem Pelaksanaan dan Pemantauan Strategik Negeri Kelantan (SPARK) yang diterajui oleh Menteri Besar sendiri. Tujuan unit ini ialah untuk memantau pelaksanaan pelan strategik dan pencapaian menurut KPI setiap potfolio Exco Kerajaan Kelantan. Seterusnya menubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dengan visi untuk menjadi sebuah institusi yang mengembangkan dasar Membangun Bersama Islam berasaskan Kepimpinan Ulama. Langkah ini sesuai dengan pendekatan baru ke arah melarbkan lagi penghayatan dan pengamalan dasar-dasar Kerajaan Negeri strategi menerusi Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI). Menerusi pendekatan ini diwujudkan tiga tonggak utama iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan dengan misi penerapan Strategi MMBI secara bersama antara pemimpin dan rakyat bagi membangunkan Kelantan sejahtera dan diredai Allah.
Berikutnya dilaksanakan penambahbaikan dalam PAC (Public Account Committee) dan meminta PAC Kelantan melaksanakan fungsi hisbah dengan pendekatan yang tegas dan berkesan. Ia adalah suatu pendekatan baharu ke arah memantapkan lagi peranan yang telah dimainkan oleh jawatankuasa PAC selama ini di negeri Kelantan Darul Naim di bawah seliaan  ulama’ dan umara’.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar sekarang turut meraikan keterlibatan bersama anak-anak Kelantan diperantauan menerusi pembentukan portfolio Hubungan Seranta. Portfolio ini diletakkan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta bagi membolehkan penyaluran maklumat Kerajaan Negeri dipercepatkan menerusi pusat-pusat aktiviti anak-anak Kelantan di luar negeri. Bagi mengukuhkan matlamat ini, suatu peruntukan khas secara tahunan disediakan di dalam bajet negeri terutama bagi menjalin silaturahim anytara pemimpin dan rakyat yang bertugas atau merantau di luar negeri.
Demikian pula, bagi memenuhi amanah dan mandat rakyat Kelantan yang inginkan di negeri ini terlaksananya perundangan Syariah, maka bajet tahunan sebanyak RM 1 juta disediakan bermula daripada Bajet 2014 dan seterusnya. Ia penting sebagai komitmen Menteri Besar bagi menggerakkan secara aktif usaha ke arah persediaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) di Kelantan mulai tahun 2015 lalu. Hal ini telah ditegaskan oleh Ustaz Dato’ Menteri Besar ketika melancarkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah JHEIK dan komitmen Kerajaan Pusat yang seiring dalam menggerakkan jawatankuasa teknikal yang sama di peringkat JAKIM.
Seterusnya satu peraturan baru turut diperkenalkan yang mewajibkan Pegawai Tadbir Negeri Gred 41 menyertai Program Diploma Tasawwur Islam di KIAS sebagai usaha bagi melahirkan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak hanya cekap dalam pekerjaan semata-mata, bahkan mempunyai ilmu keagamaan yang tinggi.
Kemudian tidak dilupakan adalah usaha ke arah melengkapkan Negeri Kelantan sebagai hub pendidikan Islam ialah menubuhkan sekolah baru berkonsepkan asrama penuh yang dibina di Pengkalan Chepa dan perletakan batu asas telah disempurnakan pada 6 Februari 2014 yang lalu. Sekolah ini diberi nama ‘Maahad Sains Tok Guru’ bagi menggemilangkan ketokohan arwah Tok Guru sebagai bapa pendidikan Islam negeri Kelantan.
Hal ini dilengkapkan lagi dengan memperuntukkan sejumlah bajet bagi program Kerusi Tok Kenali dalam usaha membiayai pelajar yang terpilih untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang yang sesuai dengan matlamat Kerajaan Negeri. Ini adalah satu usaha kerajaan negeri bagi mewujudkan pelapis masa hadapan yang berpotensi.
Selain itu, penubuhan Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) yang bertujuan untuk memantapkan lagi perjalanan prestasi pendidikan di Kelantan. Semenjak ditubuhkan, ILPK telah berjaya mengendalikan kursus peningkatan profesionalisma guru untuk 180 orang guru Yayasan Islam Kelantan pada awal Disember 2014 dan turut mengendalikan bengkel kepimpinan Pengetua pada Mei 2015 lalu. Selain itu, ILPK telah menyediakan modul kursus yg meliputi pengurusan sekolah, pedagogi, Al-Quran dan subjek-subjek teras dan pilihan bagi SPM, SMU, STAM serta UPSR.
Di samping itu, usahasama pendidikan di peringkat antarabangsa turut dibuat menerusi perjanjian persefahaman pengajian di Turki dalam bidang perubatan dan juga pengajian Islam, diikuti dengan pihak institusi pendidikan daripada Qatar, Dubai, Kuwait dan Maghribi. Misinya adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar Kelantan menyambung pengajian dalam dalam pelbagai bidang yang dimaksudkan.
Sementara dalam bidang penghayatan nilai-nilai ibadat pula, turut dilaksanakan programkan ‘Hari Mabit’ sempena musim Ibadat Haji yang melibatkan mabit di Muzdalifah di Tanah Suci Mekah. Ia merupakan penghayatan ‘ibrah (pengajaran) dari mabit yang berlaku dalam sejarah hidup Rasulullah SAW. Bagi Ustaz Dato’ Menteri Besar agar seluruh pemimpin dunia Islam yang mengerjakan haji mengambil inisiatif agar berkumpul bagi membincangkan isu semasa umat Islam dan menemukan ketetapan untuk menyelesaikan segala isu yang berbangkit di peringkat global, seperti isu hak umat Palestine dan umat Islam minoriti di negara bukan Islam.
Seterusnya Kerajaan Negeri sentiasa mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi negeri terus berjalan rancak dan memuaskan. Sehubungan itu, Ustaz Dato’ Menteri Besar telah bersetuju dengan projek menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri dapat dijayakan. Oleh itu, tumpuan bagi menarik lebih ramai pelabur dari Asia Barat dan Asia Timur diutamakan. Tumpuan diberikan kepada pelaburan dalam bidang halal hub dan industri berasaskan mineral terutamanya limestone yang belum diusahakan secara industri. Penerokaan telah dibuat dengan mengadakan MoU dengan kumpulan pelabur dari Wilayah Linxia China yang kini sedang diteruskan. Ia turut menjayakan MoU berkonsepkan kerjasama atas dasar kesaksamaan dan faedah bersama dalam bidang industri, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan. Persetujuan juga telah dibuat dalam industri halal dan pensijilan dari segi makanan, ubat-ubatan, pakaian, produk biologi dan penternakan. MoU telahpun diperluaskan dengan melibatkan juga kumpulan usahawan Shanghai Al-Amin Biotech dan Golden Triangle Worldwide Sdn Bhd bagi membina kilang pengeluaran gelatin halal di Negeri Kelantan untuk pasaran tempatan juga luar negara.
Demikian juga, usaha menaiktaraf kehidupan rakyat di luar bandar melalui perancangan bandar-bandar baru diteruskan lagi. Ia penting sebagai katalis pembangunan dan ekonomi di koridor Negeri Kelantan. Selain yang telah menunjukkan kejayaan seperti Bandar Baru Tunjung dan Lemah Sireh yang sedang dimajukan ialah Pasir Tumboh dan Bandar Utama Gua Musang, di samping Bandar Baru Sungai Terah dan Dabong. Pembangunan bandar baru ini merupakan suatu nilai kerjasama dalam membangunkan negeri berkonsepkan kerajaan dan swasta. Ia turut menyumbangkan kepada pertambahan peluang pekerjaan, pembinaan rumah kediaman dan peningkatan taraf sosioekonomi negeri.
Apa yang menjadi keutamaan Strategi Merakyat Membangun Bersama Islam sekarang adalah ke arah mensejahterakan rakyat dengan nilai-nilai keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. Oleh kerana itu, usaha-usaha pembangunan yang memberi impak untuk kemajuan rakyat sering diutamakan. Di antara usaha terbaru pelaksanaan pembangunan yang dibuat antaranya lagi ialah membangunkan projek perintis yang dikenali sebagai Nucleus Green Valley  atau 'Lembah Hijau Nukleus' sebagai projek contoh oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad. Projek ini telah diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai projek tanaman tanah tinggi yang mesra alam dan menjadi penanda aras pertanian kepada Tanah Tinggi Lojing. Ini adalah antara usaha dalam membangunkan sektor pertanian serta mengoptimumkan hasil kerajaan negeri di samping dapat eningkatkan pengeluaran makanan penduduk dalam negeri.
Berikutnya, kepentingan pusat pengajian pondok tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri sekarang. Di antaranya berusaha menaikkan taraf Pusat Pengajian Pondok Moden YIK di Kandis sebagai tumpuan bagi mengikuti pengajian Islam. Malah usaha sedang dijalankan bagi memperkenalkan pusat pengajian pondok sebagai destinasi pelancongan Islam. Justeru usaha pembangunan pondok telah diselaraskan agar sesuai menjadi tarikan pelancong untuk mengikuti ilmu bertalaqi atau datang dan tinggal bertalaqi di pondok-pondok seluruh Kelantan.
Memberi kebebasan kepada aktiviti-aktiviti agama lain, menjaga kepentingan dan hak kaum-kaum lain agar tidak terabai  memandangkan mereka juga adalah rakyat Kelantan. Sebelum ini, Kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada 24 buah Wat Siam di Kelantan yang dalam proses diwartakan untuk diletakkan di bawah Majlis Sangkha Negeri Kelantan. Selain daripada itu, rumah ibadat orang Cina turut diberi perhatian. 
Paling utama lagi ialah perkembangan mutakhir sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan nilai-nilai kemakmuran dan berkebajikan kepada rakyat. Ia dibuktikan menerusi usaha penambahbaikan perkhidmatan bekalan air bersih kepada rakyat. Atas tujuan ini Kerajaan Negeri bersama-sama Kerajaan Pusat telah mengadakan Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan pada bulan September 2016 yang lalu. Syarikat Kerajaan Negeri, Air Kelantan Sd. Bhd telah diberi tanggungjawab bagi bagi membangun industri air demi memastikan bekalan air yang cukup dan bersih di seluruh Kelantan. Ia suatu tindakan bijak dan terbuka kepimpinan Ustaz Dato’ Menteri Besar sekarang yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Akhirnya yang terkini, semasa Amanat YAB Ustaz Dato' Menteri Besar bersempena Sambutan 26 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan pada 20 Oktober 2016 kepada Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negri Kelantan adalah disebutkan keperihatinan Kerajaan Negeri Kelantan mengenai keharmonian hubungan antara kaum. Justeru Menteri Besar telah mengumumkan penubuhan Pusat Integrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan yang menumpukan sasaran kepada mengerat hubungan antara semua kaum di negeri ini. Ini suatu lagi perkembangan positif pelan merakyat aspek Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan secara lebih melebar.

Semoga sambutan ke-26 pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan tahun ini memberi makna besar kepada pemimpin dan rakyat negeri ini. Harapan yang tinggi, ia bakal mencetuskan nilai sokongan lebih meyakinkan kalangan rakyat menjelang setahun lagi akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14.

No comments:

Post a Comment