01 April, 2020

Hari Pertama Fasa II PKP COVID-19 - Status Pulih Bertambah

Menghadapi Fasa II (Tahap 2) PKP cegah Wabak COVID-19, pada hari pertama dan dalam suasana sebahagian bergembira dengan berita Pakej Rangsangan Prihatin (27 Mac), ternyata Wabak COVID-19 merekodkan pertambahan kes positif daripada 2,766 kepada 2,908 (+142).

Walaupun begitu, berlaku pula status pesakit yang dirawat berjaya dipulihkan telah bertambah daripada 537 kepada 645 orang. Ini menunjukkan perkembangan lebih baik dari segi usaha pakar-pakar perubatan, kerana bagi tempoh 30-31 Mac seramai 58 orang, sementara bagi tempoh 31 Mac-1 April seramai 108 orang telah pulih. 

Ini jelas suatu kesan baik hasil ketabahan dan kegigihan pasukan perubatan yang berbekalkan doa dan solat hajat dalam kalangan kita semua agar Allah membebaskan kita daripada Wabak COVID-19 dan kes yang menular dapat distabilkan dalam masa terdekat. Ins sya Allah.

Berdasarkan data di atas, didapati jumlah kumulatif kes keseluruhannya (Positif, Negatif, Pending) agak besar (43,462 kes) yang menunjukkan pertambahan 2,979 (1 April) sedangkan 820 pada hari sebelumnya (31 Mac). Oleh itu, langkah PKP wajar diperketatkan jumlah jamnya bagi mempastikan pergerakan orang ramai dapat diminimumkan. Mungkin pihak MKN boleh mengkaji untuk menghadkan tempoh pergerakan pihak persendirian setakat jam 7.00 malam, tidaklah sehingga jam 10.00 malam. Jika ini dapat dilakukan, ia selari dengan tempoh urusniaga ATM bank yang telah dihadkan setakat 7.00 malam, atau boleh juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengatur pergerakan orang ramai di pasar basah dan pasar raya melalui pemeriksaan status Wabak COVID-19 bagi mempastikan setiap pembeli adalah mereka yang bebeas daripada wabak. Sekaligus ia dapat memastikan mereka yang bebas wabak sahaja berurusan di pasar basah dan pasar raya. Apa yang penting, rantaian Wabak COVID-19 perlu diputuskan dalam segala bentuk ikhtiar demi mengembalikan kehidupan yang mengembirakan seluruh warga negara.   Didoakan pasukan frontliners terus bersemangat dan orang ramai teruskan komitmen bagi mematuhi tertib PKP demi pemulihan suasana hidup yang normal. Kita percaya di atas kerjasama semua pihak, maka kes kematian dapat dibendung dan kes positif dapat ditangani dengan bijaksana.Kepada Allah kita berdoa dan menaruh harapan. Hanya Allah jua yang Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu yang berlaku.
WalLahu'alam.  



No comments:

Post a Comment