16 June, 2015

KJS-Hudud Kelantan: Bukan Melayu berpersepsi positif

Daya usaha Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Kepimpinan Ulamak terus melangkah maju ke hadapan demi memartabatkan pentadbiran yang mesra syariah. Kini turut mendapat motivasi segar ekoran sokongan dan persepsi positif orang bukan Melayu terhadap usaha pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam-Hudud.

Penemuan kajian terbaru menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) menunjukkan majoriti rakyat Kelantan (kalangan pengundi) bukan Melayu menyokong di atas usaha pelaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah-Hudud untuk orang Islam.

Kajian oleh Pusat Kajian Strategik Kerajaan Negeri Kelantan menerusi SMS ialah berupa kenyataan untuk disokong atau ditolak: “Anda sokong usaha Kerajaan melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam-Hudud untuk orang Islam di Kelantan.” Pengiriman SMS itu ditujukan kepada responden bukan Melayu (baca, non-Muslim) yang namanya berdaftar sebagai pemilih di Kelantan dan memiliki nombor telefon.

Jawapan kajian

Kajian dilakukan selama tiga hari bermula 14-17 Mei 2015 yang membabitkan pengiriman SMS dan penerimaan balas. Jumlah pengiriman yang dibuat sebanyak 19,500 nombor telefon bimbit responden. Sementara jawapan balas yang diterima sebanyak 500 responden sahaja. Kadar jawapan balas yang agak rendah adalah sudah dijangka memandangkan persoalan yang bersifat perundangan dan menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Sementara ada pula responden yang membalas dalam bentuk komen dan tidak menjawab kepada kenyataan SMS yang dikirim. Malah paling ramai (19,000 responden) adalah bersikap sepi dan mengabaikan SMS yang dikirim.

Namun demikian, sejumlah 500 jawapan balas yang diterima (2.56% daripada 19,500 kiriman SMS) adalah sebenarnya sudah memadai. Ini disebabkan kajian ini bersifat tinjauan umum bagi menterjemahkan persepsi umum orang bukan Melayu terhadap usaha ke arah pelaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah-Hudud oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Analisis kajian

Kajian ini telah menganalisis penerimaan SMS itu secara SPSS (Statistical Package for the Social Science) bagi mengolah hubung-kait jawapan deskriptif yang menyokong atau bersetuju, atau sebaliknya. Justeru daripada 500 SMS balas yang diterima, 421 telah menjawab dalam maksud menyokong/bersetuju atau menolak/tidak bersetuju. Maka bagi maksud analisis kajian ini, jumlah 421 adalah sahih kerana ia mewakili kesemuanya bukan Melayu, iaitu 415 adalah Cina,  satu India dan lima kaum lain.

Seramai 421 jawapan yang diterima, pola menyokongnya berjumlah 245 (58.19%) dan pola menolaknya pula berjumlah 175 (41.81%). Signifikennya pola jawapan yang diterima boleh dianggap munasabah kerana kajian tersebut dibuat ketika persoalan Kanun Jenayah Syariah termasuk Hudud sedang hangat dibicarakan di dalam pelbagai media massa. Sudah tentu sensitiviti dan sikap terhadap SMS yang dikirim menepati premis masa dan persoalan yang berputar di khalayak awam. Justeru hasil kajian ini mempunyai nilai kebolehpercayaan yang meyakinkan.

Sekaligus, penemuan itu membuktikan seruan dan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan yang bertegas untuk memulakan usaha pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam pada tahun 2015 telah mendapat perhatian dan persetujuan rakyat Kelantan termasuk kaum bukan Melayu. Namun, pihak Kerajaan Negeri juga harus memberi perhatian kepada angka 175 (41.81%) yang menolak usaha tersebut. Ia memerlukan siri penerangan dan penjelasan yang baik bagi menangani isu-isu penolakan tersebut.

Kajian lalu

Sesungguhnya, penemuan Pusat Kajian Strategik pada kali ini telah mengukuhkan asas jawapan kepada nilai-nilai skeptikal sesetengah pihak yang pesimis dan menolak usaha yang sedang ditambahbaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob sekarang.
Demikian pula kajian ini telah mengukuhkan penemuan kajian-kajian yang dibuat sebelum ini. Antaranya kajian yang meninjau pendapat dan persepsi layanan adil Kerajaan Kelantan terhadap bukan Melayu yang dilakukan 15-16 Ogos 2012, iaitu menjelang pilihan raya umum 2013. Kajian tersebut melibatkan 1,200 responden dan mendapati 710 (59.2%) bersetuju bahawa Kerajaan Kelantan berlaku adil terhadap orang bukan Melayu.

Sementara itu, satu lagi kajian yang berkaitan usaha pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah yang telah digiatkan semula selepas 20 tahun dengan kerjasama Kerajaan Pusat juga mendapat sokongan positif. Kajian itu melibatkan 9,654 responden Melayu sahaja di 24 Dun terpilih telah dilakukan pada 25-31 Mei 2014 (setahun yang lalu) dan mendapati secara puratanya 91.89% adalah bersetuju di atas usaha tersebut.

Menariknya penemuan daripada dua kajian lalu ini adalah membuktikan hubungan isu Kanun Jenayah Syariah (baca, Undang-undang Jenayah Islam-Hudud) dengan persepsi bukan Melayu adalah menggambarkan suatu nilai majoriti yang bersetuju. Meskipun kadarnya agak rendah berbanding dengan persetujuan yang ditunjukkan oleh Melayu sendiri (baca orang Islam), namun ia boleh dianggap suatu fakta sokongan dalam menuntut hak di sisi demokrasi rakyat Kelantan sejak tahun 1990 yang lalu.


Tinggal lagi, masih ada pihak yang tidak bersetuju atau menentang tanpa asas terhadap usaha Kerajaan Negeri Kelantan selama ini. Sebaiknya pihak berkenaan perlulah mempertimbang semula sikap yang amat kontra itu dan sewajarnya menghormati hak demokrasi dan hasrat rakyat Kelantan sendiri. Semoga segala-gala usaha yang sedang berjalan menemui jalan penyelesaian bagi mengatasi setiap halangan yang ada.

Analisis oleh:
Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

No comments:

Post a Comment