29 December, 2013

Himpunan Amarah Rakyat wajar demi kesejahteraan rakyat

Kerajaan Pusat sudah melaksanakan rasionalisasi ekonominya menerusi pendekatan menaikkan harga barangan dan caj tenaga serta yang terbaru cadangan menaikkan bayaran tol lebuh raya. Ia adalah lanjutan daripada siri-siri kenaikan harga barangan asas selepas pilihan raya umum yang ketika kempen pihak Barisan Nasional menjanjikan untuk mengurang kos sara hidup rakyat. Namun apa yang berlaku ialah kerajaan Pusat telah bertindak menaikkan harga petrol, disel dan gas. Seperti mana pada 3 September lalu harga petrol RON95 dan disel dinaikkan kepada 20 sen menyambung daripada siri-siri kenaikan harga sebelum ini.

Walau pun pihak Kerajaan Pusat diterajui Barisan Nasional cuba memujuk rakyat dengan mengadakan beberapa pendekatan, namun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malik cuba memujuk rakyat semasa perasmian kedai rakyat satu Malaysia (KR1M) di Tawau Sabah (15 September 2013). Katanya, kerajaan membuka KR1M dan bersedia menjual sebanyak 397 jenis barangan pengguna pada harga berpatutan adalah satu langkah kerajaan yang menepati janji.

Kenyataan ini adalah permainan wayang yang cuba mempersedakan rakyat. Ia ditambah buruk lagi dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang menghiburkan rakyat dengan segala-gala pemberian termasuk BR1M, insuran satu Malaysia dan pelbagai skim kredit atas jenama satu Malaysia.

KR1M bukan penyelesaian
Persoalannya, apakah KR1M ini menjual barangan lapuk dan tidak terikat dengan kenaikan kos-kos berkaitan dalam produksi barang. Jawapnya, mustahil KR1M menjual barangan yang bebas daripada segala-gala kenaikan kos-kos berkait.  Maksudnya, roti atau biskut yang dijual adalah barangan dari kilang yantg dijanakan oleh tenaga elektirik atau minyak dan gas (telah dinaikkan caj), dan ini sudah tentu memberi kesan kenaikan kos pengeluaran. Justeru KR1M terpaksa juga menjual pada harga yang untung demi survival. Maka harga barangan keperluan asas di KR1M tidak boleh dielak, kenalah menjual pada harga yang untung (selepas mengambil kira kenaikan kos).

Misalnya harga gula (berat sekilogram) bertapis kasar ialah  RM2.84 dan bertapis halus RM2.94. Logiknya harga gula dijual pada harga RM3.00 sekilo. Mungkin kebaikan di KR1M hanya dari segi pilihan antara mahu membeli barangan import yang mahal atau barangan tempatan yang murah. Natijahnya barangan tempatan lebih murah kerana tiada cukai import. Apa yang pasti harga jualannya tetap pada harga yang untung setelah mengambil kira kos pengeluaran yang bertambah kesan kenaikan kos-kos pengeluaran.

Sementara kos bahan asas pengeluaran satu-satu barangan (produk) pula adalah mengambil kira harga bahan tenaga yang menjana mesin dan pengangkutan kilang serta bahan mentah. Maka kesannya kenaikan minyak dan gas memungkinkan caj (bil elektrik dan gas) sumber asas bahan tenaga dinaikan. Kesan yang sama berlaku ke atas kos pengangkutan bahan mentah (contohnya tepung gandum) yang terpaksa juga dinaikkan. Justeru logiklah produk kilang (misalnya roti dan biskut) itu dinaikkan. Kalau sebelum ini satu pek roti saiz jumbo berharga RM2.80, tetapi kini terpaksa dijual dengan harga untung pada saiz sama ialah RM3.20. Secara langsung kos makanan untuk roti sudah meningkat 40 sen bagi satu hari atau sebanyak RM12.00 sebulan. Sudah tentu unjuran kenaikan banyak lagi barangan pengguna yang lain akan melalui kadar kenaikan tertentu. Jika purata satu barang asas (roti) mengalami kenaikan RM12 sebulan, bayangkan berapa kos yang meningkat terpaksa ditanggung pula jika setiap bulan kita terpaksa menggunakan 10 bahan keperluan asas (beras, minyak masak, gas, elektirik, bawang, lada, ikan, ayam, sabun dan air), maka purata kenaikan kos keperluan bahan asas sudah melebihi RM100 sebulan. Jika setiap keluarga atau individu menggunakan sekitar 100 jenis barangan asas setiap bulan maka, tidak dinafikan kenaikan kos bulanan sudah melebihi RM1,000 sebulan.

Atas rasional pengiraan mudah ini, pendekatan KR1M bukanlah satu penyelesaian. Maka amatlah tidak popular bagi sebuah kerajaan cuba mengimbangi kenaikan kos dan kesan himpitan ekonomi semasa dengan cara pendekatan rasionalisasi harga, iaitu menaikan harga dan cukai barangan pengguna.

Justeru pendekatan PAS dan Pakatan Rakyat membina kesedaran bersama-sama NGO untuk mendesak pihak Kerajaan Barisan Nasional agar menurunkan harga bahan asas seperti caj elektrik, minyak dan gas serta cukai perkhidmatan (baca: GST akan kenakan) dan sebagainya adalah sesuatu yang harus disokong.

Meneteri Besar sokong
Selari dengan hasrat dan kesedaran inilah, pihak Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah menyatakan sokongan penuh kepada usaha bagi mengadakan perhimpunan untuk membantah kenaikan harga dan turut bersetuju dengan pendirian NGO, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) mengajurkan Himpunan Amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember nanti. Ia bukanlah himpunan mengguling kerajaan sebagaimana difitnahkan oleh media pro-Barisan Nasional. Ini kerana himpunan mengguling kerajaan sebenarnya berlaku di Kota Bangkok. Himpunan amarah (mendesak diturunkan harga) ini adalah himpunan membela rakyat.

Justeru pendirian Kerajaan Negeri Kelantan ini turut disokong oleh Pemuda PAS Kelantan menerusi kenyataan Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang bersedia menghantar ahli pemudanya untuk hadir menyertai himpunan tersebut. Ini adalah keprihatinan warga Kelantan atas komitmen bagi memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat berdepan dengan himpitan hidup angkara pentadbiran boros dan ketirisan Kerajaan Barisan Nasional. Ia juga adalah terjemahan secara langsung pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana terkandung dalam tawaran pilihan raya lalu.


Semoga kesedaran dan bangkitnya rakyat menyatakan bantahan (baca: amarah) akan membangkit tindakan balas Kerajaan Pusat agar bersedia melaksanakan pertimbangan sewajarnya untuk menyeimbangi himpitan ekonomi melampau hari ini. Inilah prinsip perjuangan Pakatan Rakyat, sentiasa bersama rasa dan denyut nadi rakyat bagi kesejahteraan rakyat.

Kelantan tetap segar Membangun Bersama Islam

Minggu lepas (21 Disember) berlaku Konvensyen Intelek dan Graduan Kelantan. Penganjur utamanya ialah Persatuan IGrad yang diketuai Zamakhshari Muhammad.  Pejabat Menteri Besar Kelantan turut memberi kerjasama menjayakan konvensyen yang julung kali itu.  Ia membincangkan secara serius persoalan dasar Kerajaan Negeri Kelantan, iaitu Membangun Bersama Islam.  

Sifatnya julung kali kerana persoalan dasar kerajaan itu sebenarnya telah meninta sejarah unik politik pentadbiran negeri Serambi Mekah dan dibicarakan secara terbuka sejak berlalunya musim pilihan raya umum ke-13.

Meskipun sebelum ini (21 Oktober), Kerajaan Negeri Kelantan telah menyambut genapnya 23 tahun Kelantan Membangun Bersama Islam, tetapi di situ tidak berlakunya konteks penilaian yang boleh dirincikan untuk menjadi titik muhasabah.

Forum memenuhi harapan
Walaupun begitu , pihak Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) sebelumnya telah mengadakan satu forum sulung seawal penubuhannya (ditubuhkan pada Jun 2013). Forum tersebut membincangkan “Kelantan Pasca Tok Guru: Harapan dan Halatuju.”  Forum yang telah menghasilkan perkongsian antara moderatornya Ketua Eksekutif KTD, Dr. Abdullah Sudin dengan tiga figur cendiakawan, iaitu pertama mewakili Kerajaan Negeri Kelantan ialah Datuk Dr Mohamad Fadzli Datuk Hassan, keduanya pensyarah USM dan mantan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zanal Abidin dan ketiga pensyarah media UMK, Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah. Hasilnya banyak maklumat dihidangkan kepada audiens yang terdiri daripada ketua jabatan, para pentadbir dan kakitangan kerajaan negeri. Justeru, pihak Pengarah IPTG, Dr. Che Samsudin Mohamed Nor bertanggungjawab mengangkat semua maklumat yang berguna itu kepada pihak Menteri Besar untuk diteliti demi memenuhi harapan dan halatuju yang lebih baik dalam pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam.

Sokongan Menteri Besar
Sementara Konvensyen Intelek dan Graduan pula menyasarkan audiensnya adalah terbuka kepada wakil NGO. Ia menampilkan pengisian bermakna menerusi ucapan perasmian oleh Menteri Besar Kelantan yang dibacakan oleh Ahli Exco merangkap Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah , Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Haji Mohd Nassuruddin Daud. Ucapan yang sarat dengan penghebahan maklumat baru dan nada sokongan tinggi Kerajaan Negeri Kelantan atas usaha IGrad tersebut.  Tahniah untuk semua aktivis IGrad.

Selanjutnya konvensyen sehari itu disusuli dengan pembentangan pengalaman mantan Speaker (juga mantan Ahli Exco Negeri Kelantan) Datuk Hj Omar Mohamed berhubung pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam. Diikuti pula, pembentangan kertas kerja tentang prestasi 23 tahun dasar itu dan ulasan menuju masa depan oleh Ahli Exco selaku Pengerusi Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan. Pengisian terakhir ialah sesi wacana yang meneliti persoalan realiti, isu dan cabaran dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan. Wacana itu dijayakan bersama-sama moderatornya, Ketua Kerusi Tok Kenali KIAS, Dr. Yaacob Yusof dan tiga panelis yang terdiri daripada pensyarah sains politik UKM Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff, ahli korporat Haji Ahmad Zakie Ahmad Shariff, dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof.  Kesemua pengisian dalam konvensyen kali ini dianggapkan amat bermanfaat, lebih-lebih lagi idea (baca: cadangan) dan teguran serta kritikan daripada dua figur ‘luar’ iaitu Datuk Dr. Mohamad Agus dan Haji Ahmad Zakie.

Realiti berjaya
Sepintas lalu, persoalan pokok yang dihasil daripada konvensyen dasar Membangun Bersama Islam ini sememangnya sesuatu realiti yang berjaya. Di sebaliknya banyak isu kejayaan telah diutarakan dan tidak boleh tidak sentiasa berdepan dengan cabaran. Misalnya Dr Mohamad Agus banyak mengulas dan mencadang peri pentingnya Kelantan menguruskan pendidikan rakyat secara cekap dan cemerlang serta berkebajikan. YIK antara paling diharapkan dapat meneruskan kecemerlangan. Sementara Ahmad Zakie amat mengharapkan ketelusan dan kemurnian sistem nilai Islam dapat dihayati dan diamalkan secara terbaik demi mencipta budaya kerja (ahli pentadbir) dan pembangunan negeri (ahli korporat) yang benar-benar Islamik.

Tinggal lagi, hasil perjalanan forum itu perlu dibutirkan dalam bentuk poin-poin untuk muhasabah, dijadikan maklumat perancangan dan jalan penyelesaian ke arah memastikan dasar Membangun Bersama Islam sedia diurus secara tuntas oleh Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Semoga Zamakhshari dan rakan sepasukan IGrad dapat menyediakan butiran konvensyen sebaiknya. Tahniah untuk kalian.

Bagi Kerajaan Negeri Kelantan, sesungguhnya sentiasa mengalu-alukan penyertaan dan perkongsian sumbangan mana-mana NGO bagi memesra masing-masing kelompok berkepentingan  (interest gorup) kepada memahami dasar negeri. Justeru strategi ini dibina sekian lama sejak 1990.

Sebagaimana tercatat di dalam Program PAS Kelantan 2013 ketika mengemukakan sembilan tawaran pilihan raya untuk rakyat kekal memilih PAS dan KeADILan (PKR), iaitu tawaran ketujuh:  “Meningkatkan mutu taraf hidup ke arah Masyarakat Madani”––merupakan pendekatan masyarakat sivil yang sedia memberi ruang kepada semua pihak NGO mengemukakan apa-apa sumbangan demi kebaikan masyarakat dan negeri.

Atas komitmen inilah, Menteri Besar, Ustas Datuk Ahmad Yakob telah bersetuju menubuhkan portfolio Hubungan Seranta bagi menggandingkan peranan portfolio NGO yang diasaskan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz yang sudah terserlah bukti kejayaannya. Semoga Kelantan dan rakyatnya terus Membangun Bersama Islam.

Kepimpinan baru PAS: Gandingan mantap mencapai rahmat

Pada 1 Disember 2013 berlansungnya mesyuarat pertama selepas Muktamar PAS ke-59. Ia disusuli kemudiannya ((17 Disember) satu mesyuarat pembentukan saf kepimpinan PAS Pusat bagi sesi 2013-2015. Hasilnya PAS dilihat berjaya mempamerkan suatu wajah kepimpinan yang diyakini mampu berganding erat dengan saf kepimpinan yang terpilih pada muktamar lalu.  Ia juga bakal mantap sebaik rasminya perlantikan di peringkat lajnah-lajnah dan perhubungan negeri-negeri/wilayah.

Sehubungan itu, PAS Pusat dijangka bakal meneruskan pelaksanaan agenda perjuangan yang lebih segar dan bertenaga mendepani cabaran dan harapan umat Islam. Lebih-lebih lagi di dalam merencana pelan tindakan mengatasi segala kelemahan yang ditemui ketika pilihan raya umum yang lalu. Termasuklah mengambil tanggungjawab atas setiap isu yang dibangkitkan oleh para perwakilan muktamar.

Selanjutnya, menjadi tugas PAS di negeri-negeri/wilayah pula untuk membentuk saf kepimpinan agar memenuhi tuntutan perjuangan, termasuklah merealisasikan tema ucapan dasar ’Rahmat untuk Semua’ seperti yang diucapkan oleh Presiden PAS.

Berdasarkan perkembangan terakhir (hal pembentukan saf kepimpinan), didapati hampir semua negeri telah membentuk jawatankuasa harian masing-masing. Cuma belum ada pengumuman (semasa tulisan disiap) ialah daripada PAS Sabah dan Sarawak.

Gandingan mantap

Sebagaimana diumumkan, saf kepimpinan baru kali ini merupakan suatu gandingan mantap antara kepimpinan generasi lama dengan yang baru.  Ini kerana pada pemilihan lalu, ada sebahagiannya terpilih daripada kepimpinan dari generasi baru (contohnya Ustaz Nasarudin, Ustaz Nik Mohamad Abduh, Ustaz Redhuan dan Ustaz Datuk Nik Zawawi) dan sudah tentu sebahagian besarnya adalah juga generasi lama yang cukup berpengalaman.

Ekoran itu, menerusi kuasa perlantikan (hasil cadangan Presiden dan persetujuan secara kolektif ahli mesyuarat), terserlah pula semangat kebersamaan dalam menggandingkan generasi lama dan baru dalam saf kepimpinan PAS Pusat. Ia suatu kematangan yang dikongsi atas nama amalan berjamaah (baca: musyawarah), terutama dalam membariskan susunan perjawatan (melalui lantikan dan pemilihan). Justeru amat tepat, perlantikan semula tokoh berpengalaman iaitu Datuk Haji Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung,  bakal memacu suatu gerak kerja kesetiausahaan Pejabat Agung. Lebih-lebih lagi apabila mengekalkan sama Datuk Takiyudin Hassan bersama dua orang lagi bakat baru selaku Penolong Setiausaha Agung. Demikian pula perlantikan Bendahari yang baru, Haji Asmuni Awi, seorang peguam yang turut berpengalaman dengan perniagaan. Ia diperkukuhkan lagi dengan perlantikan Ketua Penerangan yang baru Datuk Mahfuz Omar, mantan Naib Presiden sesi lalu yang teruji dalam membangkitkan isu-isu rakyat.  Turut dilantik semula Dr. Mohd Hatta Ramli sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya bagi meneruskan khidmat menggalas jalan ke Putrajaya untuk mencipta kemenangan.

Pesuruhjaya harapan PAS Negeri

Sementara perlantikan pesuruhjaya PAS di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, menyaksikan tujuh pesuruhjaya dikekalkan dan tujuh lagi dilantik yang baru. Negeri yang menerima lantikan Pesuruhjaya baru ialah Pulau Pinang (Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden), Kelantan (Ustaz Datuk Haji Ahmad Yakob, Timbalan Ketua Ulama Pusat merangkap Menteri Besar), Terengganu (Ustaz Saiful Bahri Mamat, Adun dan mantan Timbalan Pesuruhjaya), Johor  (Aminulhuda Hassan, Adun dan mantan Timbalan Pesuruhjaya), Selangor (Ir. Iskandar Abdul Samad, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan mantan Timbalan Pesuruhjaya), Perak (Razman Zakaria, Yang Dipertua Lenggong dan mantan Timbalan Pesuruhjaya) dan Perlis (Mohd Shukri Ramli, Adun dan mantan Setiausaha Perhubungan).

Pesuruhjaya yang dikekalkan ialah Pahang (Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), Melaka (Adly Zahari), Negeri Sembilan (Mohd Taufek Abdul Ghani), Kedah (Datuk Mahfuz Omar), Wilayah Persekutuan (Mohammad Noor Mohammad), Sabah (Mohd Aminuddin Aling) dan Sarawak (Adam Ahid).

Berdasarkan senarai saf kepimpinan tersebut, diyakini lantikan baru mahu pun lantikan semula diputuskan berdasarkan matlamat  ke arah keutuhan misi perjuangan dalam menarik sokongan dan memenuhi harapan rakyat di setiap negeri. Ini kerana mereka yang dilantik itu memiliki gaya ketokohan (baca: berkepimpinan) cukup berpengalaman di peringkat negeri/wilayah masing-masing. Malah mereka memiliki pelbagai latar belakang kepakaran dan kebolehan. Ia dilihat suatu gandingan kepelbagaian (ulama, iktisas dan aktivis) yang pasti mampu membawa imej PAS bersama ’Kepimpinan Ulama’ menuju kejayaan pada masa depan.

Apapun kepelbagaian ini seharusnya disokong kuat oleh PAS negeri-negeri dan wilayah demi memastikan PAS dapat berperanan secara berkesan, terutama dalam memenuhi cita-cita perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Sebagaimana harapan mantan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dalam mengalu-alukan perlantikan Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu selaku Pesuruhjaya, pemilihan Mohamad jelasnya, “amat bertepatan kerana ia menyenangkan persefahaman dan tindakan untuk menjaga kepentingan hubungan dalam Pakatan Rakyat khasnya di Pualau Pinang. Malah amat tepat demi memanjangkan pertalian dalam perjuangan memartabatkan PAS ke satu tingkat yang lebih baik."

Realiti atas keyakinan seperti yang ditunjukkan Ustaz Saleh itu amat penting demi melihat PAS terus maju dalam mencorakkan penguasaan politik di peringkat negeri-negeri/wilayah. Justeru komitmen sedemikian juga turut dikongsi oleh mereka yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya. Antaranya, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat menganggapkan “kepimpinan adalah amanah dan bukannya ghanimah.” Bermakna penerimaan perlantikan harus dibuktikan dengan hasil perjuangan (mencapai kemenangan). Ia turut berkongsi sama dengan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang menganggap jawatan yang baru diamanahkan adalah satu tanggungjawab yang besar bagi mengawal selia seluruh aktiviti serta program bagi mencapai matlamat merealiasasikan dasar dan objektif parti.  Sementara, Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru, Ir. Iskandar manganggapkan perlantikan itu sebagai tugas besar bagi membawa PAS Selangor ke arah memenuhi isu dan hasrat ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS tahun ini, iaitu "Rahmat Untuk Semua" sebagai panduan kepada perancangan dan gerakerja pada sesi ini."


Justeru itu, fokus PAS setelah selesai semua urusan pembentukan saf kepimpinan ialah memastikan pelan tindakan yang berstrategik dapat dirangka bagi memastikan visi, misi dan objektif PAS di peringkat Pusat dan negeri-negeri/wilayah. Ia penting bagi mendepani apa jua cabaran, lebih-lebih lagi untuk mengisi ruang dan memanfaatkan peluang yang ada, berikutan kebobrokon kerajaan Barisan Nasional sekarang yang semakin menekan rakyat dalam pelbagai segi kehidupan. Semoga ketuntasan kepimpinan sesi kali ini sentiasa memberi rahmat kepada perjuangan Islam, sekaligus rahmat untuk semua.