02 February, 2013

Mengimbau sejarah dan jasa PAS menjelang PRU13

Mengimbau sejarah lalu, tahun 1978 menyaksikan kerajaan PAS di Kelantan kecundang dalam pilihan raya khas negeri Kelantan. Umno dan Berjasa adalah dua gerombolan ‘ahzab’ yang menggempur, sekaligus menumbangkan kuasa pentadbiran berpusat di Kota Bharu diterajui PAS. Di sana berlaku kekalutan politik akibat darurat yang menyumbangkan hilangnya keyakinan majoriti rakyat terhadap ketulusan kepimpinan PAS daripada terus menerajui kerajaan Negeri Kelantan.

Meskipun rekod jasa PAS sepanjang mentadbir Kelantan bermula 1959 hingga 1977 adalah cukup berkesan, namun ia dihancurkan segala-galanya oleh serangan fitnah Umno berkaitan konsesi pembalakan di Hulu Kelantan yang didakwa ratusan ribu ekar. Sebagaimana dicatatkan oleh Alias Mohamed (dalam bukunya Kelantan di bawah PAS - Masalah tanah dan rasuah, 1984): “Semasa pilihanraya 1978, risalah-risalah, surat-surat layang dan beberapa dakyah lain telah disebarkan kepada para pengundi menuduh pemimpin-pemimpin PAS rasuah, berpura-pura dan mengeksploitasi isu-isu agama….munuduh pemimpin-pemimpin  PAS lebih mementingkaan kekayaan hasil hutan dan balak dari kebajikan rakyat.”

Ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan adalah bukti Dasar Membangun Bersama Islam mengutamakan berkebajikan apabila deviden RM200 sebulan diberi kepada rakyat.
 Jasa baik PAS kepada rakyat Kelantan

Sebelum fitnah itu timbul, rakyat telah mengetahui prestasi baik (memuaskan) kerajaan negeri pimpinan PAS menerusi beberapa projek pembangunan negeri yang boleh disebut sebagai jasa baik PAS kepada rakyat Kelantan. Di antara jasa itu ialah pembinaan jambatan Sultan Yahya dan  pemberian tanah kepada lebih 7,000 orang rakyat serta pembukaan 27 tanah rancangan menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN). Di samping dalam bidang pendidikan kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan turut memberi biasiswa kepada pelajar pengajian tinggi yang belajar di luar negeri  serta memajukan lagi sistem pendidikan Islam seluruh Kelantan. Sementara dari segi keagamaan pula berlakunya perlantikan guru-guru agama (mubaligh) untuk mengajar agama di madrasah dan masjid di seluruh Kelantan. Paling terkesan ialah kerajaan negeri pimpinan PAS itu telah berjaya menutup beberapa pusat hiburan dan pelacuran (pintu maksiat) yang berpusat di Kota Bharu. Rakyat cukup berpuas hati dengan keupayaan kewangan yang sedikit ditambah lagi dengan diskriminasi kewangan pihak Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, kesemua jasa itu telah tidak dikenang lantaran kuatnya fitnah dan surat layang yang disebar tali barut Umno. Ia berlaku seiringan dengan agenda tersirat Umno yang menentang usul yang diputuskan oleh persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menggantikan menteri besar, Dato’ Muhamad Nasir. Ia mencetuskan nilai-nilai pertentangan yang memporak-perandakan hubungan sesama pemimpin, malah mencetuskan hubungan tegang antara PAS dengan Umno yang ketika sama-sama anggota Barisan Nasional. Terbukti ia sudah dirancang demi melemahkan PAS sebagai kerajaan, tatkala usul mendaruratkan negeri Kelantan diluluskan oleh parlimen. Diikuti dengan tindakan Barisan Nasional ‘menendang’ PAS keluar sebagai parti komponen. Berlakulah politik panas akibat darurat dan Umno mula mengatur langkah memecah-belah keyakinan rakyat terhadap keupayaan dan kebaikan kerajaan negeri di bawah PAS Kelantan. Maka tiadalah lagi terkenang apa-apa jasa-jasa (prestasi baik) PAS yang membangunkan negeri untuk rakyat. PAS tidak lagi mendapat mandat rakyat. Meskipun semua pihak memahami, kerajaan PAS terpaksa menyerahkan konsesi pembalakan kepada syarikat-syarikat adalah bertujuan mendapatkan hasil (kewangan) untuk membiayai projek pembangunan negeri akibat kerajaan Pusat menyekat pelbagai peruntukan pembangunan untuk rakyat Kelantan. Apa pun, senario politik panas ketika itu dihangatkan lagi oleh perselisihan dalaman kepimpinan PAS akibat hilang kepercayaan terhadap menteri besar yang tidak mesra sesama pimpinan PAS.

Jasa-jasa selepas 1990

Merujuk pula kepada senario hari ini, semacam muncul kembali gerakan memporak-perandakan dalaman PAS dan juga gerakan memfitnah atas segala jasa dan kebajikan kerajaan negeri untuk rakyat Kelantan. Ia digerakkan oleh mainan media arus Umno yang memutar belitkan keyakinan rakyaat terhadap ketulusan kepimpinan PAS. Justeru beberapa isu menyentuh dalaman PAS seperti isu keputusan majlis syura ulama PAS mengenai kalimah Allah telah dikaitkan sebagai perselisihan sesama PAS. Diikuti dengan usaha memburukkan prestasi kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terutama dalam isu pembangunan tanah, bekalan air dengan poembelaan terhadap rakyat miskin dan turut dimomokkan dengan berlakunya rasuah atas beberapa projek yang dilaksanakan di bawah agensi kerajaan negeri. Malah tidak cukup dengan peranan media arus Umno, muncul pula beberapa NGO yang kononnya mewakili kepentingan rakyat, hakikatnya kepentingan Umno yang saban hari membangkit dan mengulangi isu-isu yang dicipta bagi melunturkan keyakinan rakyat terhadap jasa dan prestasi baik kerajaan negeri pimpinan PAS di Kelantan selama ini.

Sedangkan sebelum ini, rakyat sudah merasai segala-gala jasa PAS yang telah melaksanakan sistem pentadbiran kerajaan berteraskan Islam, mengamalkan system kewangan berteraskan syariah, memperkasa pendekatan keagamaan di kalangan masyarakat dan memperkasa pendidikan Islam peringkat sekolah serta penubuhan kolej university berteraskan Islam. Di samping program berkebajikan untuk rakyat di dalam pelbagai projek yang menjurus kepada pembinaan jati diri dan peningkatan sosioekonomi yang mencetus kesejahteraan kepada golongan miskin, dhaif, warga emas, armalah, wanita usahawan, belia dan kekeluargaan. Tidak kurang pula dari segi pembangunan fizikal yang melibatkan penaikan taraf perbandaran berteraskan Islam, bandar baru, penambahan zon perniagaan, pembangunan perladangan dan hartanah serta melengkapkan prasarana sosioekonomi. Kesannya, pertumbuhan pesat ekonomi negeri Kelantan sudah terpuji dan menjadi setaraf dengan negeri-negeri lain di bawah kerajaan Barisan Nasional. Malah dibekalkan pula dengan penemuan beberapa sumber hasil baru seperti galian emas, bijih besi dan balrite serta manganese. Kini Kelantan sudah duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negeri yang setraf.

Persoalannya, apakah nilai-nilai jasa sebegitu terkesan dan membawa kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat Kelantan harus dilupakan begitu sahaja saat Umno yang ‘menggila’ menjelang  PRU13 ini?

Apakah rakyat Kelantan rela dengan segala-gala fitnah para pemimpin dan tali barut Umno? [Kononnya kerajaan negeri merampas hak rakyat, merampas tanah, mengabai kebajikan, tidak peduli akan rungutan rakyat, menjual negeri kepada bangsa asing, tidak pandai mentadbir negeri (walaupun sudah 22 tahun) dan sabotaj sana sabotaj sini]. 

Kononnya lagi, pemimpin Umno lebih pandai, lebih beragama, lebih betul akidahnya, lebih tulus menunai janji (walaupun sudah masyhur dengan janji yang tidak ditepati), lebih berintegriti (meskipun diketahui pemimpin Umno kaki rasuah, songlap dan menipu rakyat), lebih rapat dengan rakyat (sedangkan diketahui umum politiknya adalah politik hujung minggu) dan tidak kurang pula mendakwa pemimpin Umno cekap mengurus negeri (walaupun diketahui umum keutamaan mereka hanya projek sana projek sini demi kantung sendiri).  

Lalu hadirlah presiden dan timbalannya mengumumkan segala janji manis, meskipun diketahui sebahagian janji itu sebenarnya sudah basi dan sudah pudar di sisi rakyat Kelantan. 

Tidak padan dengan segala fitnah, musim pilihan raya tiba program atas nama kerajaan pun telah dijenamakan sebagai program Umno. Pemberian wang untuk pelajar sekolah, bantuan rakyat dan sumbangan kebajikan kesemuanya perlu dibacakan jampi mentera terlebih dulu oleh ketua-ketua bahagian Umno. Sementara ibu bapa dan penerima dipaksa menadah telinga atas maki hamun dan caci cerca terhjadap jasa dan budi kepimpinan PAS. Lalu diisytiharkan pilihalah calon Umno kerana mereka lebih b erkebajikan berbanding pemimpin PAS. Sedangkan semua sudah mengetahui, berkebajikan yang dipamerkan itu hanyalah lakonan pentas satiran PRU13.

Sehubungan itu, rakyat Kelantan kenalah bijak menilai mana permata mana pula kaca. Sewajarnya difahami selama ini, betapa Umno hidup dan bernafas kerana jentera kerajaan yang disalah gunakan sebagai jentera parti. Penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan adalah satu kes spesifik sebagai saluran mengawal projek (bajet) yang mengambil kira kepentingan Umno. Ia sebagai wadah politik pembangunan yang sering dicaturkan demi menyambung nafas ‘kaki-kaki projek’ yang berkait rapat dengan poket Umno bahagian. Relakah rakyat Kelantan untuk membiarkan kepincangan urusan kepentingan rakyat dijadikan percaturan Umno?

Justeru itu, jentera penerangan PAS dan kerajaan Negeri seharusnya berganding bahu menjelaskan realiti yang ada. Semoga pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik menguburkan segala kepincangan ini. Serentak dengannya, pentadbiran Islam di Kelantan terus dikekalkan sebagai pencetus menawan Putrajaya.

No comments:

Post a Comment