20 October, 2012

Pengundi luar mengundi di Kelantan – apa hak mereka?

Minggu lepas (Utusan 9 Oktober 2012) pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terkial-kial menyangkal dakwaan pihak Pakatan Rakyat mengenai adanya pengundi yang diragui dalam senarai daftar pemilih yang bakal digunakan dalam pilihan raya akan datang. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mendakwa kenyataan ketua umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya secara umum dan menyukarkan SPR untuk menyiasat secara terperinci. 

Beliau menambah, SPR mahu maklumat terperinci daripada pihak yang mempertikai kedudukan 64,100 pemilih pos yang didakwa telah dimasukkan dalam daftar pemilih. Ia minta dibuktikan dengan menyerahkan semua 64,100 maklumat pemilih dengan terperinci bagi membolehkan SPR menyemak rekod daftar pemilihnya. 

Sementara, Anwar dalam Suara Keadilan (2 Oktober) atas tajuk "Audit Sahkan SPR Menipu-Anwar" menyatakan penemuan 64,100 pemilih pos dimasukkan dalam daftar pemilih pada 9 April 2010 berkemungkinan besar tidak melalui proses semakan dan bantahan rasmi. Laporan itu turut mendakwa 77,246 nama yang tidak ada dalam daftar pemilih yang dipakai pada pilihan raya umum ke-12. 

Kesemua dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Abdul Aziz dan baginya setiap permohonan (menjadi pemilih) perlu melalui proses tertentu dan sebelum diterima oleh SPR.

Kesangsian daftar pemilih

Pada bulan Mei lalu, pihak SPR (The Star 30 Mei 2012) telah mendedahkan seramai 12,658,803 pemilih boleh mengundi jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat. Ketika itu, Abdul Aziz turut mengumumkan SPR melaksanakan pembersihan daftar pemilih dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak pengundi sendiri diberi peluang mengesahkan maklumat berdaftar adalah betul dan tepat.

Hasil daripada usaha itu, kini di Kelantan terdapat 894,915 pengundi. Apa pun terdapat kesangsian di sebalik jumlah ini apabila dibandingkan jumlah pemilih pada pilihan raya umum 2008 seramai 753,407––berlaku  tambahan seramai 141,508 (18.78 peratus).  Pertambahan yang lebih besar berbanding tahun 2004 ke tahun 2008––tambahan dalam tempoh ini (2004-2008) ialah 88,960 (13.42 peratus).

Mungkin pertambahan besar (antara 2008 hingga 2012) adalah kejayaan gerakan pendaftaran pemilih atas sifat masih ramai mereka yang cukup umur belum mendaftar.
Namun berdasarkan analisis dan semakan ke atas senarai pemilih yang diedar oleh pihak SPR, timbul lagi beberapa persoalan terhadap daftar pemilih di Kelantan. Ini kerana pertambahan itu didapati telah disumbangkan oleh 100,231 pengundi pertama (first time voter), iaitu pemilih dalam kumpulan umur 21-25 tahun.

Bukan warga Kelantan

Daripada jumlah ini, satu analisis data dibuat mengenai identiti pengundi tersebut, maka didapati tambahan itu turut disumbangkan oleh pengundi bukan warga negeri Kelantan. Data kajian latar belakang pengundi itu didapati mereka yang bukan lahir di Kelantan (bukan warga negeri) pada tahun 2008 ialah 74,907, kemudian bertambah kepada 118,850 pada Mac 2012 lalu. Ia menunjukkan tambahan seramai 43,943 pemilih.

Ini bermakna daripada jumlah tambahan pengundi di Kelantan seramai 141,508 terdapat 43,943 (31.05 peratus) adalah mereka yang lahir di luar Kelantan didapati mendaftar menjadi pengundi di Kelantan. Apakah maksud di sebalik ini?

Kemungkinan mereka adalah ‘warga Kelantan sebenar’ tetapi tidak dilahirkan di Kelantan kerana ibu bapa mereka berkerja di luar Kelantan. Namun dipercayai mereka itu tidaklah sampai berjumlah lebih 40 ribu orang.

Analisis data tersebut mengikut Parlimen, didapati Parlimen yang agak besar peratusnya (bukan lahir di Kelantan) ialah Kota Bharu (13,485 – 16.98 peratus) dan Jeli (7,116 – 16.86 peratus). Diikuti dengan Pengkalan Chepa (9,449 – 14.98 peratus), Pasir Puteh (10,404 – 13.91 peratus), Tumpat (12,040 – 12.58 peratus), Tanah Merah (7,034 – 12.58 peratus) dan Bachok (8,119 – 10.22 peratus).

Kerja pihak tertentu?

Logiknya ada pengundi yang memang bukan warga negeri Kelantan yang diurus daftar khas oleh pihak tertentu untuk mengundi di Kelantan. Hal ini terbukti apabila ada kes-kes bantahan yang dibuat oleh pihak PAS melibatkan pengundi yang tidak kenal dan bukan memiliki kad pengenalan (kod 03 dan 29) membuktikan bukan warga Kelantan. Sebagaimana dakwaan di Dun Wakaf Bharu (melibatkan laporan polis pihak PAS ––Sinar Harian 11 Julai 2012) bagi suku ke-2 tahun 2012 lalu, terdapat 10 orang awam dan 37 anggota polis yang diragui identiti mereka yang ada namanya dalam rang daftar pemilih tambahan telah dibantah. Kemasukan nama-nama itu (10 orang awam dan 37 anggota polis) dikatakan dibuat secara terancang.

Persoalannya, itu semua kerja siapa? Justeru pihak SPR tidak seharusnya bersikap reaktif atas apa yang dibangkitkan. Paling utama, usaha pemutihan dan pengharmonian nama-nama pemilih di dalam senarai yang diragui itu mesti diselesaikan sebagaimana tuntutan BERSIH.

Sekadar mengingatkan semula mengenai tuntutan BERSIH, salah satunya ialah meminta pihak SPR membersihkan nama-nama pemilih dalam senarai pemilih yang sudah dilihat kotor. Ia dikatakan kotor berikutan adanya nama pengundi yang tidak dikenali, tidak bermastatutin pada alamat yang didaftarkan dan ada yang telah lama meninggal dunia. Sementara itu, tidak kurang pula ada nama-nama yang sudah berpindah tempat tinggal dan ada nama-nama yang didaftar secara berlonggok (berpusat) pada satu alamat.

Pun begitu, pihak PAS dan Pakatan Rakyat seharusnya mengambil langkah proaktif untuk memantau dan menyemak serta mengemaskini data pemilih yang ada. Ia langkah penting bagi memastikan mereka yang benar-benar berhak boleh mengundi dan yang tidak berhak harus disekat menurut peraturan yang ada. Praktikal sekiranya pihak PAS dan rakan Pakatan Rakyat dapat menumpukan kepada urusan bancian dan penculaan atas semua nama-nama pengundi pertama dan pengundi bukan warga negeri sebagai pencerapan untuk mendesak SPR melakukan pemutihan.

No comments:

Post a Comment